KOTA BHARU - Pemuda UMNO Kelantan, semalam, membuat laporan polis terhadap Kerajaan Negeri berhubung tindakan pembelian balik tingkat bawah Bazar Tok Guru di sini, yang dikatakan bernilai RM23 juta.
Laporan yang dibuat di Balai Polis Kota Bharu di sini, melalui Ketua Penerangannya, Che Othman Che Ismail bertujuan meminta polis menyiasat jika berlaku penyelewengan dalam urusan pembelian bazar itu.
”Pergerakan UMNO kecewa dengan kenyataan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mengaku Kerajaan Negeri melakukan kesilapan dalam urusan melibatkan bazar itu.
”Kami mahu siasatan dibuat mengenai perjanjian yang dibuat oleh Kerajaan Negeri dengan syarikat pembinaan itu sehingga menyebabkan kerugian bernilai puluhan juta ringgit,” katanya ketika ditemui bersama beberapa ahli Pemuda di sini, semalam.
Nik Aziz, sebelum in mengakui melakukan kesilapan dalam urusan pembinaan Bazar Tok Guru sehingga terpaksa memperuntukkan wang bagi membeli aras satu bazar tersebut.
Laporan blog Kickdefella menyatakan, kerugian itu dikatakan membabitkan nilai RM50 juta hasil kehilangan dari pemberian tanah dan RM23 juta kerana menebus untuk mengambil balik tingkat bawah bazar tersebut.
Bagaimanapun, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan menafikannya dan menyatakan kerajaan tidak rugi, sebaliknya mendapat keuntungan daripada projek itu kerana mendapat sebuah bangunan tanpa mengeluarkan modal.
Pada masa sama, Che Othman menggesa siasatan tersebut mahu pihak polis menyiasat adakah pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Abd Rahman dibuat mengikut prosedur betul.
Menurutnya, sebagai generasi muda, Pemuda UMNO tidak mahu membiarkan kesilapan dan penyelewengan terus berlaku yang merugikan rakyat semata-mata hendak menjaga air muka Menteri Besar.
“Kami tidak sanggup melihat pentadbiran Kerajaan Negeri diperintah dan diurus tadbir oleh kroni yang mengikut selera dan cita rasa tanpa melihat kepentingan untuk rakyat dan sekali gus merugikan semua pihak terutama rakyat Kelantan yang selama ini memberi kepercayaan kepada mereka,” katanya.
Sinar Harian. 18 Jan. 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..