Beliau berkata, Dr Mahathir sudah banyak berjasa kepada negara dan masih mampu menyumbangkan idea.
“Jadi hendak menyebut beliau sebagai rasis itu agak terlampau. Dia (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz) kawan saya juga tetapi tidak tahu kenapa perkara itu terkeluar. Dalam situasi politik negara hari ini macam-macam pihak boleh menyalah tafsir,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.
Muhyiddin yang dalam misi perdagangan dan pelaburan khas ke Jepun mengulas kenyataan Mohamed Nazri semalam yang melabelkan Dr Mahathir sebagai rasis kerana mempertahankan modul kurikulum Biro Tata Negara (BTN).
Dr Mahathir sebelum itu berpendapat kerajaan tidak perlu terperangkap dengan permainan politik pembangkang sehingga perlu merombak modul kurikulum yang diguna pakai oleh BTN dan telah sekian lama dipraktikkan secara berkesan di Malaysia.
Muhyiddin berkata, semua pihak terutamanya pemimpin seharusnya tidak terperangkap dengan strategi pembangkang sehingga berdebat sesama sendiri.
Beliau berkata, adalah lebih berfaedah sekiranya semua pihak mengambil pendekatan kurang bercakap.
“Jadi sebaik mungkin, supaya kita tidak dilihat berdebat secara terbuka, saya rasa tidak perlulah berdebat atau berpolemik mengenai agensi-agensi kerajaan seperti BTN,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, sejak berkuasa di beberapa buah negeri, pembangkang mempunyai strategi untuk ‘memperlekehkan’ semua institusi kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), institusi diraja mahupun BTN supaya semua rakyat akan buruk sangka terhadap kerajaan dan pemimpin.
“Ini strategi mereka. Selama ini kita tidak berdebat soal-soal begitu. BTN adalah untuk kepentingan negara dan bukan bertujuan membawa kesan buruk kepada negara.
“Jadi kalau kita terperangkap dengan agenda pembangkang, saya rasa ia mungkin membawa kesan yang tidak baik seperti kes ini di mana pemimpin terpaksa berlaga sesama sendiri dan mereka tersenyum sahaja apabila agenda mereka berhasil,” katanya.
Muhyiddin berkata, lebih ditakuti ialah jika ada gerakan tertentu yang dibuat secara halus oleh pembangkang untuk melaga-lagakan pemimpin dan memperlekehkan institusi dan agensi kerajaan.
Beliau berkata, rakyat sudah bosan dengan politiking yang terlalu banyak dan pemimpin sepatutnya menghentikan debat politik dan menumpukan soal-soal yang lebih penting seperti pembangunan.
“Tapi kita kadang-kadang terperangkap dan bergaduh sesama sendiri yang bagi saya ia tidak berfaedah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..