KUALA LUMPUR 21 Jan. – Muzakarah pakar, yang disertai tujuh ilmuwan Islam, anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini bersetuju bahawa penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan atau ganti nama kepada “God” adalah tidak tepat.
Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, muzakarah itu merumuskan bahawa terjemahan kalimah Allah sebagai “God” juga menyalahi hakikat sebenar kerana bercanggah dengan konsep Tuhan yang dianjurkan oleh agama Islam di Malaysia.
"Dalam perbincangan ini, kita semua setuju bahawasanya kita perlu menghormati dan menjunjung Perlembagaan Malaysia yang memberikan kebebasan beragama diteruskan dalam suasana aman dan harmoni,” katanya pada sidang akhbar selepas muzakarah itu.
Tujuh pakar itu ialah Prof. Madya Dr. Kamar Oniah Kamaruzzaman dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md Zin; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; anggota Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Mohd. Nur Manuty; bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin; Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan IKIM, Dr. Mohd. Sani Badron; dan Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik IKIM, Md. Asham Ahmad.
Muzakarah bertajuk “Terjemahan God Sebagai Allah: Mengenal Pasti Punca Permasalahan dan Penyelesaiannya” berlangsung selama lapan jam dari pukul 8.30 pagi, dengan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan. - Bernama
Hadi nafi laporan "God" bukan Allah
Hadi nafi laporan "God" bukan Allah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..