|
|
PENEMUAN mayat tanpa kepala dengan tubuh badan dikerat-kerat dan diletakkan di dalam sebuah kotak di pinggir kota metropolitan Jakarta baru-baru ini sememangnya menggemparkan.
Tidak sukar mengagak usia mangsa. Berdasarkan saiz mayat, siasatan polis mengesahkan ia seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun.
Mangsa hanya dikenali sebagai Ardiansyah - tidak mempunyai dokumen diri yang lengkap menyukar proses mengenal pasti siapa ibu bapanya.
Dia hanyalah salah seorang daripada anak-anak jalanan yang dalam bahasa pasar Indonesia lebih dikenali sebagai ‘gembel’.
Siapa sangka penemuan mayat Ardiansyah membawa kepada terbongkarnya kegiatan tidak bermoral seorang warga emas berusia 60 tahun.
Biar pun mangsa layak dipanggil cucu, namun ternyata tiada langsung rasa kemanusiaan lekat di hati suspek sehingga tergamak membunuh dan meliwat kanak-kanak malang itu.
Dosa warga emas itu tidak menunggu lama untuk dibongkar. Tubuh Ardiansyah yang dikerat lima ditemui di kawasan jambatan di Cakung tidak jauh daripada rumah suspek. Umpama ada ‘lorong cahaya’ mahu membongkar ‘kesakitan’ mangsa - tidak sampai sehari selepas dibunuh, kepala mangsa ditemui di rumah warga emas itu.
Polis percaya kanak-kanak itu dibunuh kerana dia enggan melayani nafsu serakah suspek yang mahu meliwat mangsa.
Rumah suspek yang menjadi tempat anak-anak jalanan bertandang terus lengang selepas kejadian itu.
Susulan penangkapan suspek, banyak lagi kes pembunuhan dan kekerasan seksual terhadap kanak-kanak jalanan yang dilakukan oleh suspek dijangka berjaya dibongkar.
Apatah lagi, sebelum ini memang ada kanak-kanak jalanan yang sering bertandang di rumah suspek hilang tanpa khabar berita atau mengadu dipaksa memuaskan nafsu warga emas itu. Itu bukan kejadian pertama menimpa kanak-kanak terbiar di Indonesia khususnya di Jakarta.
Seakan-akan menjadi trend di kota raya yang sarat dengan manusia dan peristiwa ini untuk menyaksikan kesengsaraan anak-anak jalanan sehingga ke satu peringkat mereka dijadikan tempat melampiaskan nafsu. Malah bukan pemandangan asing tatkala menyelusuri lorong-lorong, bahkan jalan-jalan utama seperti di kawasan Jakarta tua untuk melihat lelaki dewasa memujuk anak-anak jalanan.
Orang yang lalu-lalang biasanya tidak ambil peduli. Mereka menyangka kanak-kanak itu bersama ahli keluarga. Sedangkan hakikatnya generasi terbiar itu sedang dipujuk untuk dijadikan mangsa melampias nafsu manusia rakus.
Dengan memperolehi bayaran sekitar RM7 kanak-kanak malang tersebut terpaksa melayan nafsu lelaki dewasa. Jika permintaan mereka tidak dipenuhi, anak-anak jalanan itu akan dipukul, diseksa dan lebih kejam dibunuh.
Dianggarkan terdapat kira-kira 30,000 kanak-kanak jalanan di Jakarta.
Keturunan
Kehidupan seumpama itu terpaksa dilalui sama ada disebabkan sememangnya ibu bapa mereka sendiri dari ‘keturunan’ jalanan atau akibat desakan hidup mahu mencari rezeki bagi membantu keluarga menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
Selain menjadi pemuzik jalanan atau dipanggil ‘mengamen’, mereka juga meminta sedekah, mencuci kasut hinggalah menjadi pelacur kanak-kanak.
Kehadiran kanak-kanak jalanan ini mudah dilihat di lampu-lampu isyarat di sekitar Jakarta, Bekasi, Depok dan Tangerang.
Mereka kelihatan begitu girang bermain bersama-sama teman sebaya. Namun sebaik sahaja kenderaan berhenti di persimpangan lampu isyarat, mereka akan menyerbu dengan wajah-wajah sedih untuk menagih simpati.
Nelly yang berusia sembilan tahun ketika ditemui di Jakarta Pusat memberitahu, dia terpaksa meminta sedekah kerana pendapatan bapanya sebagai pemandu bajaj iaitu pengangkutan awam beroda tiga tidak cukup membiayai kehidupan mereka sekeluarga.
Nelly memperolehi kira-kira RM10 sehari yang digunakan sebagai belanja sekolah dan diberikan kepada bapanya.
Itulah rencam kehidupan di Jakarta. Cukup menyayat hati untuk dihayati menyebabkan kebanyakan warga kota berpura-pura tidak melihatnya.
Masa depan kanak-kanak gembel tidak boleh diramal dengan mudah cuma tidak mustahil mereka akan mewariskan gelaran tersebut kepada generasi seterusnya yang menyumbang kepada warna-warni Jakarta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..