Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Khamis, Januari 28, 2010

Nik Aziz: Royalti, nama Allah dan hubungan antara agama

Zulkifli Sulong, Salmah Mat Husein dan Rizal Tahir   


Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menjawab pelbagai isu dalam wawancara khas dengan beliau di JKR 10, kediaman rasmi MB Kelantan Sabtu, 23 Januari lepas. Beliau telah diwawancara oleh tiga wartawan kanan termasuk dari Harakahdaily, Zulkifli Sulong. Berikut adalah hasil wawancara eksklusif itu dengan dibantu oleh Salmah Mat Husein dan Rizal Tahir.

Wartawan: Isu royalti minyak, sejauh mana kerajaan Kelantan berusaha untuk mendapatkannya.

Nik Aziz:  Sepatutnya tuntutan Kelantan terhadap royalti tidak menjadi masaalah, kerana minyak terletak dalam pantai di perairan Kelantan. Jauh mana sekalipun ianya dikira hak kerajaan Kelantan.

Tiga kilometer ke, 10 kilometer ke atau 70 sekalipun, kerana ianya (ukuran) perbuatan manusia.

Sekiranya Kerajaan Pusat, yang mana setitik minyak sekalipun tidak ada di tempat mereka, namun mereka juga turut mendapat hasil melalui Petronas.

Tetapi, kenapa Kelantan yang mempunyai hasil minyak sendiri melalui telaganya yang banyak, kenapa pula dijadikan isu?.

Sepatutnya minyak yang keluar dari bumi Kelantan, menjadi hak negeri inilah. Kalau dikira dari segi ehsan, kerajaan Pusat yang sebenarnya perlu mendapat ehsan dan bukannya Kelantan. Kelantan yang ehsan pada Kuala Lumpur, tetapi sudah terbalik keadaan.

Tinggal lagi masaalah mahkamah tu, tuan-tuan sudah maklum, kita telah membuat tindakan. Pada masa yang sama kerajaan negeri telah melantik penal peguamnya sendiri, termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas.

Insyaallah, Allah akan menolong kita dan saya minta doa agar Kerajaan Pusat akan memberi kepada kita sebagai hak kita, disamping tidak menimbulkan rasa benci rakyat pada mereka.

Rakyat sekarang ini semakin ramai yang faham apa itu erti demokrasi, komunis itu pula macam mana, jadi sekiranya masih melakukan tindakan sebegini (nafi hak Kelantan) tiada bezanya dengan tindak tanduk komunis dengan demokrasi.

Komunis rampas harta orang, demokrasi juga rampas harta rakyat, dengan sebab ini akan menimbulkan rasa benci rakyat terhadap demokrasi sebagaimana mereka benci pada komunis. Ini bahaya jika rakyat akan berperasaan begini.

Baru-baru ini Tun Salleh Abas berkata ketika dalam wawancara dengannya berhubung kerajaan Kelantan menuntut royalti minyak menyifatkan mereka yang menentangnya sebagai penderhaka. Contohnya Mustapha Mohammad. Jadi apa pandangan Tok Guru?

Ada dua tiga orang rakyat Kelantan ini yang hanya boleh dibilang dengan jari yang tidak bersetuju (tuntutan royalti). Sebagai bukti yang jelas sekali sebagai bukti pada 28 Januari ini, Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan menjelaskan keadaan yang sebenar berhubung perkara itu.

Tengku Razaleigh telah lama menyebut. Dia ni orang Umno, tetapi atas sifat kemanusiaan, beliau memahami sehingga tidak menjadikan ianya sebagai isu politik parti yang didokonginya.

Beliau lebih memandang tuntutan itu sebagai yang benar-benar berhak serta adil. Kenapa hasil balak tidak ada siapa yang peduli, kenapa hasil minyak ingin pula diganggu-gugatkan? Sedangkan ianya perkara yang sama.

28 haribulan ini ada suatu perkara penting saya nampak di Kelantan. Ada wakil-wakil paderi di seluruh Negara akan berhimpun di Kelantan.  Kemudian Tuan Guru akan menganjurkan makan tengahari bersama mereka, jadi bagaimana Tuan Guru melihat hubungan antara agama?

Saya ini adalah di antara orang yang belajar agama, saya belajar dengan orang tua saya, saya belajar di India, Pakistan termasuk juga di Mesir.

Agama Islam ini disebut Islam, sesekali juga disebut ‘assilmu’, sesekali juga disebut ‘alamin’. Orang Islam apabila bertemu dengan orang lain akan mengucapkan ‘assalamualaikum’. Ini satu-satunya agama yang mengajar penganutnya berhubung kesejahteraan serta keamanan.

Allah hanya satu, malah Allah meminta kita mengulang namanya dengan ‘arrahmanirrahim’.  Walaupun nama Allah ada 99, tetapi ‘arrahmanirrahim’ diminta ulang-ulang mengucapkannya. Arrahman ni bermaksud pemurah, kesihanbelas, Al Jabbar (gagah perkasa), Al Mutakkabir (yang menyombong), Al Muttaqim (pendendam), namun malangnya nama Allah itu tidak diulangi bagi melahirkan rasa takut, gerun pada Allah. Yang biasa diketahui Arrahman, Arrahim sahaja.

Nabi Muhammad sendiri perkara pertama yang baginda lakukan sewaktu sampai di Madinah dengan musuh tradisi ialah ‘perdamaian’ atau disebut Piagam Madinah.

Piagam Madinah ini adalah antara sebuah kerajaan yang dipegang baginda di Madinah dengan musuh lamanya Yahudi.

Walaupun Islam mendakwa Nabi Isa dinaikkan ke langit, namun bagi orang Kristian, Yahudi telah membunuh Nabi Isa dengan menggunakan ‘salib’ sehingga lambang berkenaan digunakan oleh penganut Kristian sama ada di gereja atau seumpamanya sebagai simbolik ke atas kematian Nabi Isa atau ‘Jesus’.

Tetapi Nabi Muhammad menyelesaikannya secara perjanjian dan bukannya melalui peperangan dengan kaum Yahudi antaranya sekiranya puak berkenaan diserang, tentera Nabi Muhammad akan membantu dan begitulah sebaliknya. Itu kaedah perjanjian keamanan yang disebarkan oleh Rasulullah.

Begitu juga dengan Nabi Musa di mana puak Yahudi yang buat masaalah dengan pelbagai tuduhan terhadap Nabi Musa ketika itu.

Bagaimanapun akhirnya Yahudi yang membatalkan perjanjian dalam  Piagam Madinah sehingga akhirnya Rasulullah menghalau puak Yahudi dari Khaibar.

Sampai sekarang ini pun puak Yahudi yang banyak buat masaalah, perang sana, perang sini, semuanya kerja-kerja Yahudi. Untuk membesarkan kilang senjata mereka memperkenalkan system riba dan sebagainya.

Sewaktu 13 Mei berlaku di Kuala Lumpur hingga berlaku pertumpahan darah, namun ketenangan berlaku di Kelantan.

Walaupun kaum Cina minoriti di negeri ini, namun kerana rakyatnya tidak beremosi sebaliknya menanganinya dengan kaedah agama, akhirnya peristiwa itu tidak berlaku.

Islam mengajar umatnya menjaga air muka (maruah) diri sendiri, orang lain, jaga harta kita, jaga harta orang lain, tuduh orang melakukan zina tidak boleh dan sebagainya.

Sebagai contoh sekarang ini orang menuduh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan liwat, ianya sesuatu perkara yang cukup memalukan. Liwat dilakukan dalam kelambu, jangankan manusia nak tengok, nyamukpun tak ada dalam kelambu. Tetapi menuduh pula manusia seperti Datuk Seri Anwar melakukannya, ini satu perkara yang cukup memalukan.

Saya sendiri kalau keluar negara sekiranya mereka bertanya saya datang dari negeri mana, saya cakap dari Malaysia, secara automatiknya mereka menggambarkan peristiwa memalukan itu  dilakukan oleh seorang pemimpin di negara ini. Memang cukup memalukan.  Minta doalah banyak-banyak pada Allah supaya orang melakukan fitnah berhubung perkara ini insaf kerana mereka yang melakukan fitnah tersebut akan berhadapan dengan kemurkaan dan siksaan yang amat pedih. Jahat-jahat komunispun tak buat fitnah macam ni.

Apa sikap PAS terhadap isu penggunaan nama Allah oleh Kristian?

Saya telah membuat kenyataan yang acap kali berhubung ‘kalimah Allah’ ini.  Ayah Nabi Muhammad ialah Abdullah. Ayah baginda lahir ke dunia sewaktu anakandanya Muhammad belum lagi menjadi Nabi, iaitu zaman jahiliah lagi.  Namun ketika itu nama ayahanda baginda adalah Abdullah (hamba Allah).  Nama Allah yang bermaksud hamba Allah telah lama digunakan oleh orang-orang jahiliah terutama di negeri-negeri di Timur Tengah.

Tempat kita ini sekiranya saya ingin berniat baik kepada orang Kristian, saya boleh kata kepada mereka sekarang ini kamu ingin menggunakan nama Allah, ada baiknya kamu menerima sepenuhnya ajaran Allah bukan hanya setakat kalimah. Sekarang ini kamu hanya mengambil namanya sahaja, lama kelamaan ambil pula ajaran agama Allah itu sepenuhnya.

Keduanya kalau ingin disangka tidak baik, mereka ingin mengambil kalimah Allah dengan tujuan untuk mengelirukan. Tidak sepatutnya menggunakan agama untuk mengelirukan orang lain.  Sekiranya ingin menyebarkan agama Kristian, tidak perlu mengelirukan masyarakat, sebaliknya mengeluarkan hujah.  Islam dengan jelas menyatakan kepada agama lain bagaimana sekalipun kebenaran agama yang dibawa, tetapi biarlah melalui hujah.

Jangan sekali-kali membawa kekeliruan, jangan bawa kesamaran dan jangan juga membawa syubhah. Kerana itu saya mengeluarkan kenyataan sekiranya ingin menggunakan kalimah Allah tidak mengapa, tetapi jangan sekali-kali mengelirukan masyarakat dengan kalimah itu dengan hasrat untuk menarik mereka menerima ajaran agama Kristian, ia akan memburukkan nama agama tersebut. Pada masa yang sama imej paderi akan menjadi rosak, jadi ada baiknya mereka menunjukkan keikhlasan mereka sekiranya benar ingin menggunakan kalimah itu.

Di beberapa negeri, perkataan Allah dan beberapa istilah lagi digazetkan oleh enakmen agama tidak boleh digunakan oleh agama lain. Bagaimana dengan Kelantan.

Itu negeri-negeri lain, dia ada cara mereka sendiri, saya tidak mahu campur.  Saya bercakap atas nama Kelantan. Kelantan telah meletakkan segalanya atas suasana persaudaraan, keharmonian bukan sahaja sesama Islam, sebaliknya bukan Islam.

Tujuan Kelantan menjemput semua paderi-paderi, alim ulamak, para sami, sikh dan Buddha kerana makanan (majlis makan tengahari) itu sebagai satu simbolik mengeratkan hubungan silaturrahim.

Sejak zaman berzaman lagi sekiranya ada sesuatu masaalah, akan dapat diselesaikan melalui silaturrahim.  Kita melahirkan kesyukuran kita buat jamuan, kita aqiqah, buat jamuan, berkahwin juga membuat jamuan, kita musafir jauh dan akhirnya pulang semula ke rumah juga kita membuat jamuan. Jamuan ini adalah fitrah manusia untuk mendekati satu sama lain.

Jadi sekiranya orang ingin membakar atau mengganggu gereja di negeri lain itu terpulang pada mereka, namun Kelantan ingin memaut masyarakat dalam suasana harmoni.  Namun yang penting bakar gereja yang berlaku baru ini sesuatu fitnah (dirancang) oleh golongan tertentu.  Sebelum itu mengarakkan kepala lembu, sedangkan perkara itu begitu biadab untuk dilakukan.  Sedangkan umumnya sudah ketahui lembu adalah dianggap ‘holly’ bagi Hindu, kenapa merancang perkara-perkara yang boleh mengguriskan hati masyarakat Hindu.

Daripada kita mengarak kepala lembu, ada baikknya kita mengajak mereka menerima Islam, tetapi kerana tidak pandai untuk berdakwah, mereka melukakan masyarakat bukan Islam dengan insiden tersebut.

Apa pandangan Tuan Guru dengan dialog antara agama?


Ya, saya setuju benar cadangan tu. Kalau boleh semua penganut pelbagai agama berhimpun khususnya ketua-ketua agama.  Namun saya cadangkan jangan memanggil orang PAS sebagai moderator pada pertemuan itu takut nanti dikatakan berat sebelah atau seumpamanya.

Boleh menjemput pensyarah-pensyarah universiti bahagian perbandingan agama.

Adakah dialog antara agama dibenarkan dalam Islam?


Islam tidak menghalang dialog antara pelbagai agama dilakukan, namun yang pentingnya perkara apa yang ingin dibincangkan.

Sekiranya saya ingin melakukan dialog saya akan mencadangkan ‘di mana salahnya Islam’.  Selagi tidak ada sesiapa dapat membuktikan Islam itu agama yang salah, saya nak tinggalkan Islam pun tak boleh kerana dia tak dapat membuktikan salahnya Islam dan ‘you’  ingin menolak Islampun tidak boleh kerana Islam tidak salah. Itu sebagai contoh sekiranya saya mengendalikan dialog, orang lain saya tak tahulah.

Dialog tu baguslah, tetapi berdasarkan tajuk apa. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditubuhkan  bertujuan untuk berdialog dengan pemimpin di seluruh dunia.  Islam telah lama mengajar dialog sebagaimana yang diajar dalam al-Quran menyeru golongan bukan Islam supaya membawa hujah sekiranya mereka benar dengan pegangan mereka.

Untuk menyelesaikan segala masaalah bukan dengan ISA, penumbuk, tetapi hujah.  Ini tidak, kita bawa hujah dia bawa ISA. Mengarut orang Umno ni. Dia sendiri tiada hujah, tetapi kerana sombong dan takabur mereka menggunakan ISA.

Alim ulama atau lebih dikenali dengan panggilan ‘tok guru’ pondok tahun-tahun 60-an, di Kelantan ramai ditangkap di bawah ISA.  Atas sebab itu juga walaupun saya sebagai seorang guru pada asalnya namun kerana ingin membela nasib mereka saya menyertai parti politik. Saya heran kenapa orang Melayu menangkap tok guru Melayu.  ISA ni nak bawa ke mahkamah tak boleh, malah tak tahu pula bila nak dilepaskan, punya jahat orang Umno ni tak habis-habis.  Jadi saya tinggalkan jawatan saya sebagai seorang guru sertai politik PAS.

Apa tujuan Kelantan menganjurkan jamuan tengahari 28 Januari ini.

Kelantan buat jamuan, 28 haribulan ini bukan kali pertama, sebelum ini pertemuan serta jamuan yang sama telah dilakukan beberapa tahun lalu.  Saya panggil ketua-ketua agama lain datang ke pejabat saya, ramai datang. Malah saya sendiripun pergi ke wat-wat mereka khususnya di Tumpat, saya pergi. Jumpa sami mereka dengan tujuan untuk membuktikan Islam ini membawa keamanan dan kesejahteraan. Sekiranya ada sesuatu perkara yang tidak kena berhubung ajaran suci ini, nyatakan di mana silapnya.

Harapan Tok Guru pada pertemuan itu nanti bagaimana?

Saya harap akan bertambah ketenangan, keselesaan hidup masyarakat di negeri ini.

http://www.harakahdaily.net 28 Jan. 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..