Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Rabu, Januari 15, 2014

Kangkung Najib dapat liputan antarabangsa

Lawak ‘kangkung’ Najib turut jadi berita antarabangsa


Gara-gara kenyataan kontroversi perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai harga kangkung yang turun di pasaran menyebabkan beliau bukan sahaja  dikritik hebat oleh rakyat bahkan turut mendapat liputan media antarabangsa.
Portal berita online BBC melalui kolum "#BBC Trending: Be careful what you say about spinach" (berhati-hati apa yang anda katakan tentang kangkung) menyiarkan, semenjak video kenyataan Najib itu dimuat naik, ia dijadikan bahan lawak dan antara topik hangat dibincangkan dalam laman sosial.
Dalam portal tersebut menyifatkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan memuncak apabila perdana menteri mengeluarkan kenyataan tidak sensitif tatkala kenaikan harga barang dan perkhidmatan seperti gula dan tarif elektrik di Malaysia.
"Di kala kemarahan rakyat terhadap kerajaan kerana kenaikan harga dalam perkara asas seperti bahan api dan elektrik, Perdana Menteri memilih untuk bercakap mengenai penurunan harga kangkung sebagai contoh bahawa tidak semua harga naik di Malaysia.
"Ia menyebabkan Najib dikritik hebat apabila rakyatnya bergelut dengan peningkatan kos sara hidup, namun terpaksa melihat korupsi dan perbelanjaan mewah kerajaan Malaysia," seperti yang dipetik dalam portal tersebut.
Selain itu, BBC turut melaporkan bahan lawak kangkung juga menjadi satu fenomena apabila ribuan memberi komen di laman sosial seperti di Twitter, manakala di Facebook pula, laman akaun ditubuhkan dengan pengikutnya mencecah 10,000 orang.
Tambah portal itu, ekoran daripada reaksi luar biasa rakyat ke atas isu tersebut juga menyaksikan video ucapan Najib diubah menjadi lagu, dan lebih daripada itu, Tshirt tertera 'Keep Calm and Eat Kangkung' dihasilkan.
Portal itu juga berkata tindakan Najib itu dilihat memberi peluang kepada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bersama rakyat mentertawakan kerajaan.
Presiden Umno tersebut dalam sebuah video yang dimuat naik bertarikh 12 Januari 2014, mempersoalkan mengapa kerajaan dipersalahkan tatkala harga barang naik, tetapi ketika harga turun tidak pula dipuji.
"Bila harga barang naik, sawi naik, kangkung naik. Ada masa dia naik, ada masa dia turun.
"Hari ini saya baca dalam surat khabar ada yang dah turun. Kangkung dulu naik sekarang dah turun, apabila dah turun kenapa tak puji kerajaan, masa naik dipersalahkan kerajaan. Ini tidak adil," kata Najib yang dipetik berkata dalam video tersebut.
Video yang tersebar luas tersebut boleh ditonton di sini.

Kangkung turun harga
Kenyataan Najib bukan kali pertama mendapat kritikan dan cemuhan daripada pengguna laman sosial dan rakyat, malahan menteri Kabinet beliau juga sebelum ini dikritik hebat kerana kenyataan yang tidak memahami sensitiviti rakyat yang bergelut dengan kenaikan harga barang.
Antara kenyataan menteri Kabinet yang menerima kritikan ialah kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek sebelum ini berkata jangan makan ayam sekiranya harga ayam mahal dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata pengguna jalan raya boleh menggunakan jalan alternatif bagi mengelak tol yang dijangka naik.
Kenaikan harga bahan api, tarif elektrik, air dan gula mewujudkan kesan domino yang menyebabkan harga banyak barang lain meningkat. – 15 Januari, 2014.
...............................................
..dalam kemeriahan rakyat membicarakan tentang kangkung sehingga dijadikan tajuk penghibur rakyat, saya rasa ada beberapa soalan yang lebih serius patut dikemukakan; pada persepsi kerajaan penurunan kangkung takdir Tuhan semata atau usaha kerajaan? Jika ia satu usaha kerajaan -sebab musabab-, boleh atau tidak kaedah yang telah berjaya menurunkan harga kangkung diguna pakai ke atas sayuran dan keperluan asasi rakyat yang lain..mungkin kerajaan boleh kongsi formula yang membolehkan harga kangkung turun untuk ahli-ahli ekonomi mengkaji formula itu untuk dilaksanakan ke atas bahan-bahan yang lain. Ini mungkin membantu. -Dr MAZA

Isnin, Januari 06, 2014

Kata pertama Januari 2014

SYUKUR kepada ALLAH sedar tak sedar kita telah melangkah ke angka baru iaitu 2014. Teringat zaman muda remaja dulu ketika tahun 2000, pernah terfikir sempatkah angka 1 dan ke atas dikecapi. Ooo..kini 13 tahun berlalu. Ahh bukan itu isunya sekarang. Ceritanya bagaimana akhir tahun 2013 ditinggalkan dan bagaimana awal Januari yang masih kita (sebenarnya kawe) lalui.

Untuk akhir 2013 kawe dan keluarga melalui sesuatu yang sama seperti tahun-tahun yang lalu dan ada sedikit perubahan. Pertamanya ibu kami masih lagi bergelut dengan masalah kesihatannya. Kedua bagaimana kami mula melangkah keluar dari jajahan Kota Bharu. Ketiga bagaimana ujian ALLAH mendampingi kami. Keempat cerita kawe yang baru menapak dalam kerjaya baru. Kelima dan keenam tak lain tak bukan mengenai bertambahnya angka umur...dan jodoh.. Opps..

Derita ibu belum berakhir apabila Allah menguji lagi. Kesihatannya adakalanya baik adakalanya menurun. Demam tiba-tiba, baik tiba-tiba. Kandungan gula dalam badan tidak stabil. Biasa juga terjadi sekiranya paras gula tinggi dia makin sihat. Yang pasti kandungan gula normal baginya adalah dalam angka belasan. Kawe tak tahu laras bahasa macam mana untuk menerangkan, bagi yang faham (golongan yang terlibat dalam bidang perubatan) mereka ada bahasanya sendiri.

Akhir 2013 juga melangkahnya kami keluar dari jajahan Kota Bharu ke jajahan Tanah Merah. Masih lagi dalam Kelantan. Sebenarnya rumah yang kami duduki sebelum ini milik makcik kami, adik ayah. Bila anak-anak makcik dan besar dewasa makcik perlu rumah yang besar. Kebetulan pula ayah ada duit sikit hasil jual rumah maka dapatlah buat rumah baru. (jual rumah kedai di kota, buat rumah baru di desa. Tak boleh cerita panjang) Di Tanah Merah ada ruang untuk mendirikan sebuah rumah; tanah milik nenek sebelah ibu. Desa baru kami Kampung Air Merbo, Jedok. Bedekatan dengan Bukit Bunga (kawasan bebas cukai), Jeli.

Perubahan tempat baru tiada masalah kerana itu juga kampung halaman kami. Cuma kenangan "mendewasa" di Kota Bharu (lebih tepat Kampung Landak, Pengkalan Chepa) selama 15 tahun sukar dilupakan. Bila diingat balik kami telah laluinya sebelum ini. Berhijrah dari Chuchoh Puteri dalam jajahan Kuala Krai ke Pengkalan Chepa, pada penghujung tahun 1997.

Ujian ALLAH sentiasa ada buat semua hamba-NYA. Itu yang kita tak boleh elak. Ibu masuk wad, berdepan masalah kesihatan, ayah yang semakin tua, itulah lumrah. Tidak terkecuali untuk ibu saja, abang juga menghadapi masalah kesihatan. Hati bernanah. Dari Putrajya, abang dan isteri serta anak-anak pulang ke kampung apabila kesihatannya tidak stabil. Kebetulan isterinya dalam pantang anak keempat. Menerima rawatan di Hospital Tanah Merah dalam seminggu lebih. Semasa cerita ini ditulis abang masih belum sihat sepenuhnya. Sekarang sudah ke perantauan. Anak sekolah, isteripun kerja, jadi mereka terpaksa "pulang" ke ibu kota.

Cerita baru kawe; bermulanya kerja dalam bidang kontraktor. Ooo bunyinya macam best je. Hahaha.. Berada dalam bidang Penyelia Keselamatan Tapak atau dalam bahasa Inggeris (yang lebih tepat) Site Safety Supervisor (SSS). Tapi tak boleh cerita banyak sebab ini baru permulaan. Entah bertahan lama atau tidak. Sebabnya...

Sebabnya banyak benda yang kawe keliru dan kelu. Banyak kerja yang tertangguh. Pihak pengurusapun dah merungut. Entahlah. Setakat hari ini kerjanya mengikut hati bukan mengikut prosidur. Hahaha.. InsyaALLAH, akan ada penambahbaikan.

Yang menjadi mencabar adalah jarak perjalanan yang kawe lalui setiap hari. Jarak dari Pengkalan Chepa (rumah lama) ke Kandis, Bachok (tempat kerja) lebih kurang 38 kilometer. Antara Kandis ke Jedok (rumah baru) 78 kilometer, atau lebih kurang 1 jam setengah perjalanan, lebih kurang dari Pengkalan Chepa ke Jedok. Dalam seminggu kawe akan bergilir merentas tiga jajahan (di Kelantan "jajahan" digunapakai untuk ganti "daerah) iaitu Pengkalan Chepa - Tanah Merah - Bachok.

Di Pengkalan Chepa kawe masih ada abang-abang dan adik yang menetap di sana. Bekerja dan sekolah di sini. Jadi perlulah menyewa rumah baru. Di Tanah Merah tinggalah ibu, ayah, dan seorang abang (ada masalah kesihatan sejak kecil - bukan yang hati bernanah tu). Tiga beranak di situ. Jadi perlulah kawe berulang alik atau lebih tepat menetap di samping ibu dan ayah. Sebabnya senang untuk menghadapi apa-apa kesulitan atau kecemasan yang mendatang. Di sini juga taklah bimbang sangat kerana makcik kami bersebelah rumah baru kami. Makcik-makcik boleh tengok-tengok ibu.

Cerita utama dan berulang setiap tahun adalah bertambahnya angka umur. InsyaALLAH esok adalah tahun ke 29 kawe diberi nafas oleh ALLAH. 7 Januari kembali lagi dalam hidup kawe. Banyak perkara yang lompang. Perlu masa untuk menutupnya. InsyaALLAH perancangan ALLAH sentiasa terbaik untuk hamba-NYA ;-).

Bila Disember bertemu Januari suatu perkara lagi dalam fikiran adalah perihal jodoh. Ooo tersenyum sendirian. Dulunya mimpi seakan benar. Senyum sendirian. Kini antara mimpi dan jodoh adalah suatu yang sukar untuk kita realisasikan. Biarkan. Urusan peneman hidup itu rahsia ALLAH sebagaimana kematian yang tiada jawapan pasti melainkan ketentuan ALLAH. Tapi alhamdulillah sunyi itu diisi dengan kehadiran sahabat-sahabat dan yang lebih penting adalah keluarga tercinta.

Baiklah.. Tirai 2014 telah dibuka. Satu kemestian (itupun dalam tiga - empat tahun sebelum ini) adalah "berjemaah" di Stadium Sultan Muhammad. Bola oh bola. Tahun ini rasanya kesempatan itu terbatas. Dengan jarak Kota Bharu dari tempat kerja kawe rasanya sukar untuk sama-sama bersorak. Biarkan. Itu masih dalam pertimbangan.