Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, membawa isu tuntutan itu ke mahkamah adalah langkah paling tepat berbanding usaha retorik iaitu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berdoa yang bukan-bukan terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat.
“Saya pun hairan mengapa mereka tak bawa Kerajaan Pusat ke mahkamah...daripada mereka buat benda-benda yang tidak boleh datangkan apa-apa perubahan kepada status quo, baik pergi ke mahkamah terus.
“Daripada berdoa yang bukan-bukan...minta diturunkan bala ke atas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang saya kira itu kerja bodoh. Baik terus bawa ke mahkamah kerana itu lebih dapat menyelesaikan masalah dan bukannya retorik sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai tindakan Kerajaan Kelantan yang dilihat lebih berunsurkan retorik berhubung isu tuntutan royati minyak selepas melancarkan Ensiklopedia Hansard Parlimen terbitan Yayasan Pembangunan Buku Negara dan Penerbitan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di lobi Parlimen, semalam.
Nik Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan mendoakan supaya pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) yang bertanggungjawab tidak memberi royalti minyak supaya ‘pecah perut’ sebagai reaksi terhadap keengganan Kerajaan Persekutuan menyerahkan bayaran royalti minyak kepada Kelantan, sebaliknya sekadar memberikan wang ihsan.
Pada 4 November lepas, Najib mengumumkan pembayaran wang ihsan daripada Kerajaan Pusat kepada Kelantan yang bermula tahun depan.
Ditanya apakah kerajaan yakin akan memenangi kes tersebut sekiranya dibawa ke mahkamah, Nazri berkata, kerajaan yakin keputusan untuk tidak memberikan royalti adalah menepati kehendak undang-undang tempatan mahupun antarabangsa dan untuk itu beliau yakin kemenangan akan memihak kepada kerajaan.
Katanya, dakwaan pemimpin Kelantan dan pembangkang bahawa hak royalti minyak negeri itu dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan adalah sama sekali tidak benar kerana perlembagaan hanya menyatakan royalti untuk negeri Sabah dan Sarawak sahaja.
“Kita kena hargai pengorbanan Sabah dan Sarawak. Sebab tu kepada dia, kita (kerajaan) kata royalti. Kita perlu hargai pengorbanan yang dibuat ini dengan menjamin hak royalti minyak sebanyak lima peratus kepada Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan. Tapi bagi negeri-negeri di Semenanjung, tidak ada minyak ditemui sebelum kita mencapai kemerdekaan pada 1957. Jadi hormatlah pengorbanan mereka,” katanya.
Menurutnya, setiap negara berdaulat hanya diberi 12 batu nautika sebagai perairan wilayah. Justeru itu, katanya, apa hak kerajaan negeri untuk menuntut lebih daripada 12 batu nautika.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..