Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Ahad, September 26, 2010

Peneman hidup

(malam ini biarkan aku “berjiwang” sikit)

Dingin sungguh malam ini,
Dan sukar mata ku lelapkan,
Lalu ku cuba coretkan secebis lambaran buat mu..

Intro lagu Ukay’s, berjudul “Kekasihku di menara” seakan menggambarkan situasi aku pada malam ini. Tapi ini bukan mengenai kekasih hati, buah hati atau teman istimewa seperti mana bait-bait puitis yang dilontarkan oleh Amir itu. Ini menggambarkan kedingini malam yang ku lalui malam ini. Tambahan pula hujan yang turun agak lebat. Mata yang belum rasa penat dan masih lagi segar untuk melihat kepekatan malam. Tapi tak pekatpun sebab rumah aku berdekatan jalan raya; lampu terang benderang. Suasana malam ini juga menjemput aku untuk menulis catatan yang tak seberapa ini.

Rindu itu adalah anugerah dari Allah,
Insan yang berhati nurani punyai rasa rindu...

Ini pula “Rindu” daripada Hijjaz. Kerinduan yang wujud dalam diri adalah pemberian Allah. Ya, pemberian Allah. Dalam kedingini malam ini juga aku kerinduan. Kerinduan pada masa yang lalu. Apa yang aku rindu sebenarnya . . . Dalam kerinduan ini juga terselit di fikiran mengenai teman. Ya, peneman hidup..

Biarkanlah... Biarkan lagu Ukay’s dan Hijjaz ini bergemar di halwa telinga aku untuk hiburkan hati seketika. Dan dua lagu ini adalah tema untuk coretan aku malam ini.

Sunyi dan sepi.. Ya..itu yang aku rasa kini. Tapi taklah sampai lupa dunia. Aku bersyukur dalam kesepian, dalam kesunyian aku masih lagi tersenyum. Dalam dunia teknologi yang semakin canggih ni aku manfaatkan ia untuk mengatasi kesunyian, mengatasi kesepian.

Facebook, Tagged, Blog, Scribd, YM dan macam-macam lagi permainan dunia moden yang menemani aku. Tidak seperti dahulu benda ni semua memang tak terfikir boleh mangatasi keboringan. Malah memang tak terfikirpun benda sebegini ada di dunia.

..Dulu; Pulang dari sekolah hanya siaran radio dan tv yang menjadi peneman. Bila petang pelbagai acara akan berlangsung untuk mengisi masa lapang. Membesar dalam suasana desa - di Chuchoh Puteri - telah menghidangkan aku dengan pelbagai jenis permainan rakyat.

Sorok-sorok, baling tin (macam bowling; tin susu FNN disusun beringkat-tingkat kemudian bola lisut @ tenis akan dibaling atau dipekon ke arah tin) bola wasembunyi lidi, police entry, ronda kampung dengan basikal, memancing, mandi sungai, panjat pokok, lompat getah dan macam-macam lagi. Dalam setiap acara ini ada yang beregu, solo, berkumpulan dan juga regu campuran. Walaupun begitu adat dan agama masih lagi terpelihara; walaupun kami masih tidak mengerti dengan jelas. Venue pula pelbagai; jika hari ini venuenya di laman Liza, esok di laman Siti. Jika hari ini di rumah Abe, esok di laman Sufian. Dan adakalanya venue ini akan kekal buat seminggu sebelum beralih ke venue yang lain.


Ini semua ada di kampung, bila tiba di bandar semuanya telah ditinggalkan. Semetelahan lagi aku pun dah meningkat usia. Kini aku tertanya-tanya masih wujudkah lagi kanak-kanak seperti kami dahulu? Apakah mereka seperti kami dahulu? Masih adakah lagi venue-venue itu? Adakah ibu bapa mereka masih membenarkan laman mereka dijadikan venue oleh kawan-kawan?

Abang-abang @ senior kampung pula sibuk dengan aktiviti memikat burung, bermain bola, takraw, wau dan macam-macam lagilah. Bila tiba Ramadhan mercun menjadi bahan utama mengisi diari harian kami; dan aktiviti mercun dan bola tidak pernah hilang sama ada di kampung atau bandar sehingga kini.

Kini zaman telah beralih, zaman telah beredar sejajar dengan perkembangan semasa. Di saat ini aku (dan mungkin juga rakan-rakan seusia) telah menerima suasana baru untuk mengisi kesunyian.

Kalau dulu senior memikat burung, sekarang kami memikat orang; Dulu panjat pokok, sekarang panjat bangunan pasar raya (bukan jadi buruh tapi melepak); dulu lompat getah, sekarang ramai yang lompat pagar sekolah, lompat jendela rumah mengikut buah hati; kalau dulu main masak-masak, sekarang ada yang jadi ibu yang betul-betul memasak.

Peneman. Peneman. Peneman hidup. Sedar atau tidak selain ibu dan ayah serta keluarga; dari kecil sampailah usia sebegini semua yang aku ceritakan itu adalah peneman hidup kita. Peneman hidup yang sentiasa mendampingi kita. Cuma, peneman hidup yang sejati, yang hakiki belum lagi menjadi realiti. Belum lagi mendampingi..

Dan biarkan aku meneruskan kesunyian, kesepian dengan cara hidup baru.

Biarkan aku seketika dengan “Suasana malam” ini, dendangan Anuar Zain.

Anuar Zain - Suasana Malam

Khamis, September 23, 2010

Baginda sultan, baginda imam


TUANKU Muhammad Faris pemimpin berjiwa rakyat yang mementingkan aspek keagamaan.


“MAK CIK kena makan ubat, jangan simpan dalam rumah saja. Jangan selang-seli, kalau terasa mahu muntah pun paksa juga makan. Insya-Allah kalau mak cik makan ubat ikut jadual akan sihat mungkin tidaklah gemuk macam Datuk (Datuk Dr. Awang Adek) atau saya, tapi makin sembuhlah badan mak cik," gurau Tuanku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail kepada seorang wanita berpenyakit kronik, Hasnah Ibrahim dalam ziarahnya ke rumah wanita itu di Kampung Peropok dekat Bachok, Kelantan, Ogos lalu.
Gurauan baginda yang ketika itu merupakan Pemangku Raja menyebabkan tetamu yang ada di rumah itu tersenyum termasuk Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin.
Mungkin itulah gambaran mudah siapakah Tuanku Muhammad Faris, 41, yang baru dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan.
Mesra dan prihatin akan keadaan rakyat. Sepanjang bergelar Pemangku Raja atau Tengku Mahkota, baginda kerapkali dilihat mencemar duli menziarahi golongan miskin dan ditimpa musibah.

TUANKU Muhammad Faris semasa bergelar Pemangku Raja berdoa bersama jemaah selepas selesai solat maghrib pada satu majlis berbuka puasa, Ramadan lalu.


Pemangku Raja
Antaranya, baginda menghadiri majlis tahlil di rumah bapa kepada mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat Pilatus, Muhammed Zulrihan, 39, dan menemui keluarga arwah Ustazah Norliza Ishak dan anak lelakinya yang mati dibunuh di Port Dickson, Negeri Sembilan Ramadan lalu.
Tuanku Muhammad Faris diputerakan pada 6 Oktober 1969 dan telah dianugerahkan gelaran Tengku Mahkota Kelantan pada Oktober 1985.
Baginda dilantik sebagai Pemangku Raja pada 24 Mei tahun lalu setelah ayahanda baginda, Sultan Ismail Petra gering dan dibawa ke Singapura untuk mendapatkan rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth.
Tuanku Muhammad Faris dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru selaras dengan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan pada 13 September lalu.
Baginda mendapat pendidikan awal di Kota Bharu dan di Kuala Lumpur. Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di Oakham School Rutland, England sehingga tahun 1989. Baginda seterusnya memilih untuk menuntut ilmu di Oxford dalam bidang Pengajian Diplomatik di Kolej St. Cross dan Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.
Tuanku Muhammad Faris bukan sultan biasa. Selain baginda disifatkan oleh bekas Pengerusi Majlis Perajaan Negeri, Tengku Sri Utama Raja Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd. Hamzah sebagai mencipta sejarah baru kesultanan Kelantan apabila dilantik ketika ayahandanya masih hidup, Tuanku Muhammad Faris juga mempunyai penampilan yang jarang dilihat pada sultan biasa.
AYAHANDA dan bonda Tuanku Muhammad Faris, Tuanku Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Istana Mahkota, Kubang Kerian, Kota Bharu baru-baru ini.
Berjubah
Baginda sering memakai jubah atau berbaju ‘gumbang’ serta berkopiah. Baginda juga seorang imam kepada makmumnya.
Januari lalu, kala Sultan Ismail gering, baginda sendiri yang menjadi imam kepada ribuan rakyat jelata Kelantan menunaikan solat hajat berdoa akan kesejahteraan ayahandanya.
Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu menjadi saksi baginda mengimamkan solat hajat yang dihadiri lebih 1,000 rakyat negeri itu.
Tuanku Muhammad Faris sudah lama diketahui rakyat sebagai putera istana yang cintakan agama dan sering menjadikan masjid sebagai lokasi utama lawatan semasa program menziarahi rakyat di seluruh negeri.
Pada hari-hari biasa, Masjid Muhammadi di pusat bandar yang merupakan Masjid Negeri adalah masjid utama tempat baginda menunaikan solat berjemaah.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad memberitahu Jurnal, Tuanku Muhammad Faris sememangnya gemar mendekati golongan agama.
Dedahnya, dari dahulu lagi setiap orang daripada 15 anggota Jemaah Ulama, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri sudah mempunyai nombor telefon bimbit baginda untuk kemudahan berhubung bagi memberi sebarang pandangan dan nasihat.

TUANKU Muhammad Faris Petra (dua dari kanan) berkenan bersalaman dengan para tetamu di rumah terbuka baginda di Istana Negeri Kubang Kerian baru-baru ini. Hadir sama Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra (kanan).


“Tuanku Sultan memberi nombor telefonnya kepada kami secara peribadi dan berpesan supaya menelefon baginda pada bila-bila masa jika ada perkara yang dirasakan perlu ditegur dan dinasihati.
“Baginda memberi peluang sebegitu terbuka kepada ahli Jemaah Ulama untuk menegur baginda secara langsung tanpa ada sebarang halangan atau protokol.
“Saya tidak mengetahui jika ada ulama yang pernah menghubungi baginda khusus untuk tujuan itu tetapi begitulah istimewanya Tuanku Muhammad Faris dalam memberi pengiktirafan kepada ahli agama,” katanya.
Tambahnya, baginda juga sudah beberapa kali menunaikan fardu haji dan kali terakhir menyempurnakannya pada tahun 2004.
“Pengukuhan asas dan ilmu agama baginda ini sebenarnya bermula sejak baginda kecil lagi. Ia sudah menjadi tradisi keluarga diraja untuk menjemput para ulama datang ke istana negeri memberi kuliah agama.
“Antara yang pernah menjadi guru kepada Tuanku adalah bekas Mufti Kelantan iaitu Allahyarham Datuk Mohd. Nor Ibrahim manakala selepasnya pula ilmuwan tersohor Allahyarham Datuk Yusoff Zaky Yaacob.
“Pelbagai aspek agama disentuh daripada bab akidah, fekah dan akhlak menerusi pembacaan kitab-kitab khusus,” kata Mohamad Shukri yang kini menyambung tugas menyampaikan kuliah agama kepada keluarga diraja.
Beliau berkata, sejak dari kecil, baginda berguru mengaji al-Quran dengan seorang qari yang pernah menjulang nama negara di peringkat antarabangsa yang juga bilal ternama negeri ini iaitu Nordin Idris.



‘Ambo’
Katanya, sejak bersemayam di Istana Telipot beberapa tahun ini, Tuanku Muhammad Faris tetap meneruskan amalan memanggil ulama ke istana itu dan baginda tidak meminggirkan petugas-petugas dan pegawai pengiringnya dalam majlis ilmu tersebut.
“Kesemuanya dijemput hadir. Kuliah itu diadakan setiap minggu dan akan ditunda jika bertembung dengan jadual tugas Tuanku yang lain,” katanya.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan, Tengku Mohd. Norhamzah Engku Hussin pula memberitahu, baginda seorang yang merendah diri.
“Seingat saya, semasa baginda menjadi Tengku Mahkota, baginda sering menggunakan perkataan ‘ambo’ sebagai kata ganti dirinya apabila berbicara. Ia jelas melambangkan keperibadian yang merendah diri memandangkan ‘ambo’ itu berbunyi seperti hamba,” ujarnya.
“Tapi apabila baginda kini bergelar sultan, mungkin baginda perlu lebih mengikuti protokol,” katanya. sambil melafazkan pertubuhannya menjunjung kasih dan taat setia kepada sultan sepenuhnya.
Tengku Mohd. Norhamzah memberitahu, baginda juga banyak mewarisi sifat ayahandanya yang menggemari sukan berkuda dan menembak.
Akhbar pernah melaporkan sebelum ini bahawa baginda turut meminati sukan lasak seperti ekspedisi 4X4.
Minat mendalam turut ditunjukkan terhadap sukan memanah, memburu, boling dan memancing. Baginda juga gemar memelihara haiwan seperti kuda, kucing, ayam, rusa dan burung.
Kosmo!

Sultan Muhammad Kelima



Sultan Kelantan, Tuanku Muhammad Faris Petra berkenan untuk menggunakan gelaran Sultan Muhammad Kelima untuk penggunaan rasmi Istana dan kerajaan negeri bagi menggantikan nama baginda.

Pengelola Istana DiRaja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata penggunaan gelaran itu berkuatkuasa sejak pemashyuran Al-Sultan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu.

"Al-Sultan Kelantan telah mengampuni perkenan menggunakan gelaran itu dan ia akan menjadi nama rasmi bagi gelaran Baginda untuk sebarang majlis dan gelaran yang harus dipakai oleh pihak media bagi mengelakkan penggunaan nama yang pelbagai," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata baginda berkenan untuk menggunakan nama itu atas kehendak sendiri dan untuk mendapatkan berkat kerana nama Sultan Muhammad telah digunakan oleh keturunan baginda sejak dahulu lagi.

Katanya penggunaan gelaran Sultan Muhammad I bermula pada 1800 hingga 1835 oleh Sultan Kelantan pada ketika itu dengan nama asal baginda ialah Long Muhammad dan merupakan putera sulung kepada baginda Long Yunus yang memerintah Kelantan sejak 1765 hingga 1795.

Abdul Halim berkata baginda Long Senik Long Tan menggunakan gelaran Sultan Muhammad Kedua (Sultan Muhammad Mulut Merah) pada 1836 hingga 1886.

Katanya, baginda Long Kundor iaitu putera sulung kepada Sultan Ahmad menggunakan gelaran Sultan Muhammad Ketiga sejak 1890 hingga 1891.

Beliau berkata gelaran Sultan Muhammad Keempat telah digunakan oleh baginda Tuan Long Senik yang memerintah Kelantan pada 1900 sehingga 1920.

"Kita akan memaklumkan kepada seluruh jabatan kerajaan negeri penggunaan nama Al-Sultan dan ianya telah diwartakan untuk kegunaan rasmi," katanya.

Sementara itu, mengenai pemashyuran baginda yang berdepan dengan petisyen bekas Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, beliau berkata Al-Sultan Kelantan tetap menjalankan tugas baginda sebagai ketua negeri seperti biasa.

"Kita telah merujuk perkara pemasyhuran itu kepada pakar undang-undang kita termasuk Setiausaha Majlis Perajaan Negeri. Kita akan memberi respons terhadap petisyen itu mengikut prosedur mahkamah.

"Ini bukanlah kali pertama dan kita yakin Setiausaha Majlis Perajaan Negeri akan memberikan penjelasan. Namun tugas dan aktiviti baginda berjalan seperti biasa," katanya mengulas petisyen yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya 20 Sept lalu bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah berkenaan bahawa pemasyhuran anakanda sulung baginda, Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai sultan baru, tidak mengikut perlembagaan.

Tuanku Muhammad Faris Petra telah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru oleh Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Istana Balai Besar, di Kota Bharu pada 13 September lalu.

Berhubung laporan polis yang dibuat Istana Kelantan semalam berhubung beberapa salinan dokumen palsu berkaitan pengurniaan darjah kebesaran negeri oleh pihak tidak bertanggungjawab, Abdul Halim berkata pihak terbabit telah memalsukan namanya dan tandatangannya untuk menipu mangsa kononnya mereka mempunyai hubungan dengan saya untuk mendapatkan darjah tertentu daripada Istana Kelantan, sedangkan ia tidak benar sama sekali.

"Saya tidak pernah berbuat demikian dan tidak mempunyai kuasa untuk mengurniakan darjah," katanya.

- Bernama

Saintis buktikan Nabi Musa belah laut




LAKARAN artis menunjukkan angin kuat dari timur telah menyebabkan air lagun (kiri) dan sungai (kanan) 'berpusing' dan membentuk dinding air dekat Laut Merah.


BOULDER, Amerika Syarikat (AS) - Saintis-saintis di AS membuktikan kebenaran kisah Nabi Musa membelah laut seperti yang diceritakan dalam kitab suci al-Quran dan Injil, lapor sebuah akhbar semalam.
Satu kajian oleh sepasukan penyelidik yang diketuai saintis Carl Drews dari Pusat Penyelidikan Atmosfera Nasional di sini, mendapati fenomena itu tidak bercanggah dengan hukum fizik.
Kitab al-Quran menceritakan bahawa Nabi Musa membelah laut dengan menghentakkan tongkatnya ke tanah semasa baginda dan kaum Bani Israel terperangkap di antara pasukan tentera Firaun yang sedang mara dan laut di hadapan mereka.
Kumpulan saintis itu yang mengkaji beberapa peta kuno Delta Sungai Nil mendapati laut terbelah itu merujuk kepada sebuah lagun yang kini dikenali sebagai Tasik Tanis di selatan Laut Mediterranean dekat Laut Merah dan satu cawangan Sungai Nil.
Kini, dengan menggunakan simulasi komputer, saintis-saintis itu menunjukkan bahawa laut berkenaan terbelah dua melalui proses tiupan angin kencang yang dikenali sebagai angin timur bertiup selaju 100.8 kilometer sejam (km/j) selama 12 jam menyebabkan aliran air sungai dan lagun itu berpusing balik lalu membentuk seperti dinding air.
Satu model lautan komputer kemudian digunakan sebagai simulasi bagi melihat kesan angin yang bertiup semalamam ke atas air sedalam beberapa meter itu.
Selama empat jam, tiupan angin tersebut menghasilkan jambatan darat sepanjang 3.2 kilometer (km) dan selebar 4.8km.
Sejurus selepas angin timur reda, air lagun dan sungai itu kembali mengalir ke tempat asal seperti ombak tsunami.
Hasil kajian saintis berkenaan disiarkan di Internet oleh Jurnal Public Library of Science ONE. - Agensi
Kosmo!
.............................
ini: Bahtera Nabi Nuh ditemui

Selasa, September 21, 2010

Cerita Bola: Perbezaan yang ada persamaan

Liga Malaysia telah bermula pada 14 September 2010. Perlawanan pertama Kelantan adalah menentang Negeri Sembilan. Jika dulu pasukan Terengganu sering dikatakan musuh tradisi dalam kancah bola sepak Kelantan. Sejak akhir-akhir ini Negeri Sembilan dikatakan musuh baru bagi skuad Kelantan. Bermula dengan insiden April 2009, sehinggalah Final 2009, Negeri Sembilan dilihat lawan yang mesti dilumpuhkan dengan apa jua sekalipun. Begitu juga dengan pasukan Selangor. Kekalahan Kelantan pada final FA 2009 ditangan Selangor bagaikan belum terubat. Perjuangan Kelantan (peringkat liga) akhinya ditamatkan setelah Selangor muncul juara Liga Super.

Seperti yang diduga, kehadiran penyokong pada perlawanan Kelantan vs Negeri Sembilan tidak menghampakan skuad dan pengurusan KAFA. Tiket di kaunter yang berharga RM12 akan melambung di tangan ulat-ulat jadian yang mengaut keuntungan hasil kesusahan orang. Harga stardard di tangan ulat RM15-20. Dan adakalanya mencecah dengan harga lebih tingggi. Namun bagi peminat, masalah harga adalah perkara nombor dua; yang utama dapatkan tiket dan bersorak di dalam stadium. Perlawanan pertama ini juga dimanfaatkan oleh penyokong yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri.

Kelantan vs Negeri Sembilan penuh dramatik dan debaran. Dipendekkan cerita Kijang tewas di kaki Rusa dengan keputusan 0-1. Yusuf Mat Karim bermurah hati menghadiahkan penalti kepada NS setelah Subramanian menjatuhkah Idris Karim di luar kotak penalti. Ya, di luar kotak penalti. Melalui gerakan perlahan Stesen Astro Arena saluran 801, seluruh Malaysia dapat menyaksikan bagaimana bijaknya Idris Karim memperdaya Yusuf Karim dengan menerbangkan badan untuk masuk ke kawasan penalti setelah dirempuh perlahan oleh Subra. Namun pada pengamatan Yusuf Kaim, pengadil yang sama menghadiahkan penalti kepada NS sewaktu final 2009, Subra bersalah menjatuhkan Idris Karim di DALAM KOTAK PENALTI.  Dan saat itu pemain NS, Halim Zainal, menyempurnakan sepakan penalti menewaskan Adney; saat itu jugalah penyokong terkedu dan tersedu.

Keseluruhan pemainan Kelantan tidak mencerminkan permainan sebenar. NS yang sebelum ini ditewaskan dalam dua perlawanan Liga Super lebih gemar bermain dengan corak bertahan. Keputusan seri memadai buat mereka. Namun bagi Kelantan keputusan seri di tempat sendiri sama seperti tewas di tempat sendiri. Permainan yang lemah dan longlai akhirnya membawa padah. Dan jaringan 0-1 kekal sehingga babak akhir.

Perlawanan kedua Piala Malaysia kumpulan A, Kelantan menang tipis dengan PKNS. PKNS pasukan dari Liga Perdana "berjaya" menyekat keghairahan Kelantan untuk menang besar. Babak-babak akhir Kelantan hampir berputih mata apabila PKNS diberikan sepakan penalti. Namun Adney kali ini bertindak cemerlang untuk menafikan jaringan PKNS.

20 September; KL Plus betandang ke Kota Bharu untuk memburu kejayaan yang agak mustahil. Kelantan yang tidak pernah kecewa di kaki KL Plus, kali ini penuh yakin untuk mengecewakan pasukan pelawat. Namun kesilapan pertahanan- Subra- yang mendakwa dijatuhkan pelawat tidak diendahkan pengadil pelawanan. Larian bola oleh pelawat akhirnya menewaskan Adney buat kali kedua dalam saingan Liga Malaysia. Tersentak dengan jaringan tersebut akhirnya Kelantan memperoleh peluang keemasan. Bola yang tekena tangan kapten KL Plus, Norhafis Zamani Misbah, di kawasan penalti menceriakan lebih 10 ribu penyokong. Namun sepakan lemah pemain negara, Norsharul Idzlan Talaha berjaya diselamatkan oleh Faizal Rashid, penjaga gol pelawat. Kemudian, entah apa sebab dan punca pengadil menghadiahkan sepakan percuma buat Kelantan sejurus selapas sepakan penalti dilakukan Idzlan. Kapten Kelantan, Indra, melakukan free kick terbaik dari luar kotak penalti untuk menewaskan Faizal Rashid; bola melambung cantik mencium tiang gol sebelah kanan dan melantun menerjah jaring.

Separuh masa kedua Sathia membuat sedikit perubahan. Badri @ Piya dibawa masuk mengantikan Khairan Eroza. Lambungan cantik Piya ke kawasan gol pelawat gagal ditangkap kemas dan membolehkan Idra menanduk bola tersebut untuk jaringan kedua Kelantan dan kedua Indra malam itu. Piya sekali lagi bijak membuat hantaran ke kawasan gol pelawat yang membolehkan Akmal menanduk bola untuk kedudukan 3-1. Namun kegembiraan penyokong tersentak dengan jaringa kedua pelawat pada minit ke-91. Bola yang meluru ke gawang gagal ditepis kelua oleh Syed Adney. Bola yang meluru ke gawang itu dikuis oleh pertahanan tetapi pengadil perlawanan tetap meniup wisil mengesahkan jaringan itu. Selang seminit Adney tersentak dengan sepakan jarak jauh pelawat dan ....gol.....

Kedudukan Kelantan vs KL Plus 3-3. Dan misi mustahil KL Plus sebelum ini tidak lagi mustahil apabila pulang gembira.

Perbezaan Yang ada persamaan
Kerancakan bola sepak Kelantan sejak akhir-akhir ini memang tidak dapat dinafikan. Segenap ruang stadium hampir dipenuhi. Dan jika lawan Kelantan pasukan yang dilihat "hebat" seperti Selangor, NS, atau Terengganu, ruang tempat duduk akan penuh. Dan seringkali juga penyokong berdiri sehingga ke pagar. 20 ribu adalah satu angka yang besar untuk stadium keramat Kelantan. Dan adakalanya angka ini akan bertambah. Ini tidak lagi ditambah dengan jumlah yang berada di luar stadium- perkarangan stadium. Apa maknaya ini semua? Ini maknanya skuad Kelantan menerima sokongan yang terbesar dalam negara Malaysia berbanding dengan pasukan-pasukan lain. Sokongan yang tidak berbelah bagi ini kadang-kala tidak diakui, tidak dipedulikan ...

Perbezaan penyokong dan pemain adalah jelas; pemain berada di padang, penyokong berada di luar padang. Itu bezanya. Persamaannya adalah ingin mengecapi kegembiraan, kemenangan; walaupun dengan cara berbeza. Peminat tidak pernah main-main dalam sokongannya, tetapi pemain adakalanya main-main dalam permainan. Lihat saja perlawanan ketika menentang KL Plus, pemain yang penuh yakin akan menang dalam perlawanan tersebut akhirnya tewas dengan memalukan. "Diboo.." oleh peminat hanya terkesan seketika sahaja. Pemain tidak terjejaspun dengan kekalahan kerana gaji tetap berjalan seperti biasa. Menang atau kalah gaji tidak akan berkurang. Tapi jika menang itu sudah pasti ada habuan yang menanti. Bagi peminat, menang adalah satu kegembiraan, kalah adalah satu kekecewaan. Gaji? Sama sekali tidak ada.

Sedar atau tidak pemain-pemain ini "menerima" gaji daripada peminat? Ya, daripada peminat. Bayangkan jika setiap perlawanan tidak ada penonton, daripada pengurusan hendak buat pembayaran gaji. Jutaan ringgit dikutip melalui jualan tiket. Peminat hadir untuk menyaksikan persembahan menarik dan jika menang itu satu bonus. Tapi kalu mainpun macam budak sekolah, apa lagi yang boleh mengembirakan peminat?

Seringkali kita dengar ungkapan "menang dipuja, kalah dikeji".. Ya, itu adalah satu ungkapan yang benar. Namun di sebalik ungkapan itu seolah-olah mengambarkan peminat yang yang bersalah jika peminat mencela pemain yang tewas. Sebagai peminat @ penyokong, kita membeli tiket untuk melihat kemenangan, bukan kekalahan. Ungkapan "kekalahan bukan disengajakan, kekalahan tidak dipinta" juga sering kedengaran di kalangan pemain. Tapi itu bukan alasan untuk "anda" bermain sambil lewa.


Sampai bila agakya penyokong akan terus menyokong? 

Penyokong menyokong dengan sepenuh hati, tetapi pemain bermain dengan separuh hati. Jika ini berterusan tidak mustahil Kelantan akan sekali lagi mengalami zaman gelap dalam bola sepak tempatan.

...
Perbezaan (penyokong & pemain) ini akan terus berlansung. Tapi dalam perbezaan ini terselit persamaan iaitu inginkan kemenangan, kegembiraan.


Lihat ini ...
Malam malang buat kelantan

Ahad, September 19, 2010

Nasi goreng RM250.00!!

Ya, RM250.00 (dua ratus lima puluh), bukan RM2.50 (dua ringgit lima puluh sen). Macam mana tu? Ceritanya begini; pukul 12:30 malam tadi aku keluar tengok bola dengan kawan aku. Kami bertiga keluar tengok Sunderland vs Arsenal di sebuah restoran yang tidak berapa orang. Memang tak ramaipun, tak sampai 15 orang pelanggan. Separuh masa pertama Sunderland ketinggalan 0-1. Minit-minit akhir perlawanan, Sunderland menyamakan kedudukan (saja je nak cerita pasal bola dulu).

Ketika asyik tengok bola, seorang kawan kami telefon, meminta tolong belikan nasi goreng. Di kedai ni masakan dah habis, jadi selesai saja bola kamipun carilah kedai berdekatan untuk beli nasi goreng. Tiba satu restoran, kawan aku terus pesan makanan. Kawan yang membeli tu tunggu kat luar kereta, aku berdua dalam kereta. "RM4.00"..Katanya pelayan kedai tu. Setelah bayar kawan aku terus masuk kereta. Aku dengan selamba dan yakin terus undur kereta. Tiba-tiba bunyi "prak" kat belakang. Keluar je tengok dah kemek pintu kereta kat sebelah. Datanglah tuan punya proton Wira tu pot pet pot pet... Ya, aku silap dan salah. Keluar dan tengok belakang.

Masa mula-mula masuk parking ruang sebelah kanan tu memang takda kereta. Yang ada kereta Honda sebelah kiri. Aku dah perasan kereta Wira tu masuk parking, tapi masa nak keluar tu tak sedar. Tuan ampunya wira tu baru je duduk kat kerusi, tengah tunggu pesanan minuman. Belum sempat minum dia bergegas ke arah aku. Dengan nada yang agak kasar dan kesal terkeluar daripada mulut lelaki dalam lingkungan 30-40-an itu. Aku hanya ucap maaf.

Memang tak padan dengan ucap maaf. Dipendekkan cerita kenalah aku bayar RM250.00 sebagai ganti rugi. Kasar dan kesal.. Ya, itu memang patutlah, sebab aku yang cuai. Bila aku cakap aku baru habis belajar, dia tak boleh terima alasan tu. Habis belajar ke, baru belajar ke, tak pernah belajar ke, itu bukan alasan yang konkrit (ini yang aku cakap pada diri sendiri). Tapi apa yang pasti aku tak kurang ajar. Dia pun bukan kurang ajar, tapi marah sikit je. Terkeluar jugalah daripada mulut dia untuk hempap kereta Kancil tua aku tu dengan kayu atau batu. Cakap punya cakap, tuan wira tu baik juga. Dia marahlah sebab aku yang salah.

Aku nak bayar dengan apa? RM2.50 adalah. Tapi member aku dua orang tu nak tolong. Walau macam mana sekalipun mereka memang kena tolong sebab memang aku takde duit. Jadi aku pun "rompak bank" dengan salah satu kawan aku tu. Berhutanglah aku dengan member aku pada malam kejadian. Waktu serahkan RM250.00 itu tuan wira tu ajak minum sekali (dengan ajakan yang baik). Aku menolak kerana telah lewat.

Cuai
Masa aku nak undur kancil tua aku tu aku hanya tengok Honda sebelah kiri, wira sebelah kanan aku tak perasan. Tambah pula dengan nak cepat dan mata yang dah mengantuk tahap dewa. Yalah, hampir pukul 3:00 pagi, macam mana tak mengantuk. Kerana mencari nasi goreng, aku hilang RM250.00. Siapa salah? Yang memesan nasi? Yang membeli nasi? Bola sepak? Atau tuan wira? Semua tu tak salah, yang salah aku. Bagaikan Arsenal yang "tewas" di saat akhir perlawanan, aku juga tewas di saat nak balik ke rumah. Arsenal sepatutnya bertahan beberapa minit sebelum menang. Tapi kerana cuai Sunderland dapat menyamakan kedudukan. Aku juga sepatutnya "menang" masa undur kancil tua tu, tapi tewas dengan "jaringan" RM250.00.

17 September, Jumaat aku ke Chuchoh Puteri B untuk tengok-tengok kebun. Sebelum Zohor (Jumaat) aku sekeluarga sampai di situ. Jam 8:00 malam bertolak pulang. Penat jugalah memandu. Penat panjat pokokpun belum hilang. Masa perjalanan pulang adalah beberapa kali aku terlalai. Mata mengantuk, penat. Kali ini dengan Iswara. Acap kali jugalah Iswara ni memijak line tengah dan tepi. Cuai betul. Sebelum pulang juga aku terlupa beg duit aku. Aku tak ingat bawa atau tidak. Kalau bawapun aku tak sedar mana aku letak. Perjalanan pulang dari Chuchoh Puteri ke Pengkalan Chepa aku kelam kabut bagi aku. Dalam kepala duk memikir beg duit tu. Tambahan hujan pula. Mata pun kuyu dan layu. Pendek kata pemanduan pada hari itu memang "mencuaikan".

Petang 18 September pula aku ke Machang (laluan ke Kuala Krai juga. 1jam setengah perjalanan dari rumah). Masa balik ni juga mata ni pun mengantuk sangat. Cuai lagi. Nasib baik takde apa-apa masa balik tu. Tapi adalah juga dua-tiga kali kancil tua aku hampir "liwat" kereta depan. Pulang dari Machang tu la aku keluar tengok bola dan "prak" wira orang.

*18 September '10.
1100 = Ke rumah bekas guru. Bersama empat orang sahabat.
1500 = Pulang rumah. Tidur.
1700 = Bangun; Bersiap ke Machang
1830 = Ke Machang
2000 = Sampai ke destinasi
2040 = Bertolak pulang
2155 = Sampai rumah
2200 = Ke rumah kawan; Ada jamuan
2350 = Pulang dan jumpa kawan; untuk tengok bola

*19 September '10
0040 = Keluar tengok bola
0230 = Pulang dr. tgk bola dan cari kedai beli nasi goreng
0240 = "Prak"...Wira
0300 = Pulang rumah
*Nama dan tempat kejadian dirahsiakan.

Petanda
Suratan atau kebetulan kejadian RM250 ni terjadi setelah aku mengalami sesuatu sebelum ini. Bulan puasa yang lalu (lebih kurang seminggu sebelum raya) kancil tua aku tu langgar kucing yang tiba-tiba melintas depan aku. Orang-orang tua kata kalau kita langgar kucing, mungkin ada petanda yang kurang elok akan berlaku. Petang sebelum pergi Machang (18 Sept.) aku mimpi ular panjang (orang-orang tua kata kalau mimpi dipatuk ular maknanya ada orang nak masuk meminang. Tapi Datuk Ustaz Ismail Kamus, dalam ceramahnya, kata, mimpi yang berkaitan ular petanda yang tidak baik). Balik dari Machang aku ke rumah kawan kerana ada jamuan sikit. Sebelum pergi, aku jadi was-was dan berbelah bagi nak pergi dengan kancil tua atau motor. Malam tu juga aku rasa mengantuk sangat. Waktu ke Chuchuh Puteri beg duit pula lupa letak.


Apa itu "kebetulan"? "Kebetulan" itu sesuatu yang kita tidak rancang. Ia terjadi tanpa kita duga. Adakalanya apa yang kita rancang tidak menjadi, tapi apa yang tidak dirancang pula terjadi. Itu adalah makna "kebetulan". Tetapi, bagi Allah, "kebetulan" itu tidak wujud; kerana yang terjadi adalah perancangannya. Perancangan Allah tidak pernah silap.


Dan apa yang terjadi pada aku pada malam itu, sebelum ini dan yang akan datang adalah ketentuan Allah. Aku tak nak kata aku terlanggar wira tu kerana kebetulan berada di situ, kebetulan aku cari nasi goreng di situ, atau kerana kebetulan nasi goreng di "restoran bola" dah habis.


...
Kesudahannya, aku akur dan redha dengan ketentuan Allah. Mungkin ini ujian dan balasan Allah terhadap aku yang cuai, yang lalai. Bukan cuai dan lalai ketika memandu malah lalai dalam menjalani kehidupan sebagai muslimin. Mudah-mudahan Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada aku (dan kita semua) dalam mengharungi cabaran hidup yang berliku ini.


"Ya Allah, sesungguhnya aku lalai dan alpa terhadap-Mu. Aku tidak layak untuk ke Syurga-Mu, tapi tidak pula aku sanggup ke neraka-Mu. Dengan ini ampuni dosa-dosa ku".

Rabu, September 08, 2010

KDN campur tangan siasatan polis

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (gambar) semalam mendedahkan wujud campur tangan pihak ketiga ketika beliau menerajui pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketika ditanya siapakah pihak ketiga itu, Musa memberitahu: “Kementerian mana lagi yang jaga polis? KDN (Kementerian Dalam Negeri) lah.”
Wartawan: “Kenapa wujud campur tangan itu?”
Musa: “Kerana politik, kepentingan peribadi dan agenda sendiri.”
Selain itu, beliau yang akan bersara pada 13 September ini mengakui terdapat juga pihak-pihak luar yang bertindak mengeluarkan arahan tanpa pengetahuan beliau.
Jelas Musa, tindakan mencampuri tugas yang dilakukan oleh pihak berkenaan jelas bertentangan dengan arahan dan kawalannya sebagai Ketua Polis Negara.
“Kita tidak mahu orang (luar) bagi arahan salah, bila buat (ia) akan jadi salah.
“Arahan sepatutnya dikawal oleh polis bukannya daripada orang luar,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Kata Musa, arahan dalam pasukan tersebut sepatutnya dibuat oleh pegawai yang bertanggungjawab.
Jelas beliau, polis akan menjalankan tugas selepas mendapat laporan daripada orang ramai. Beliau menambah, campur tangan sedemikian boleh mengganggu siasatan.
“Kita mesti berlaku adil dalam menjalankan siasatan supaya dapat dihormati oleh masyarakat.
“Bila polis tidak dapat menjalankan tugas, orang ramai akan menuduh polis terima rasuah. Hakikatnya, ada arahan pihak lain tanpa pengetahuan polis,” kata beliau.
Ditanya bagaimana wujud campur tangan sedemikian ketika beliau menjalankan tugasnya, Musa memberitahu, sesetengah orang ada kepentingan peribadi, politik dan agenda sendiri.

Isnin, September 06, 2010

Cerita Bola: Hambar

5 September 2010, perlawanan persahabatan Kelantan - Felda United diadakan di Kota Bharu pada pukul 10:30 malam. Setengah jam sebelum sepak mula hujan turun agak lebat. Bagaikan penanda akan "kehambaran", hujan seakan-akan tidak mahu berhenti. Tiupan wisil permainan dimulakan dalam keadaan hujan yang renyai-renyai. Sepanjang tempoh 90 minit perlawanan ada kisahnya yang tersendiri di padang dan juga di tempat duduk.

Kali ini penonton di astaka memenuhi tempat duduk, dan mengatasi penonton di tempat terbuka; (astaka) hanya ruang bangku simen ada kekosongan. Di tempat terbuka dianggarkan tidak sampai 40 orang. Di sini ada seorang penonton yang cukup "ringan mulut". Pada awalnya aku sangkakan perlakuan itu normal, tetapi lama-kelamaan aku rasa pelik. Perlakuannya seakan insan kurang siuman. Belia dalam lingkungan 30-40-an ini mundar-mandir di ruang tempat duduk bersimen astaka. Sambil berjalan sambil membebel. Tetapi bebelannya berfokus. Fokus kepada permainan. Perlakuannya (bebelan) bagaikan jurulatih di tepi padang.

Separuh masa pertama Kelantan dikejutkan dengan jaringan Fatrorozi Razi. Jaringan ini menyebabkan belia kurang siuman itu lagi kuat bebelannya. Di sebalik perlakuannya yang begitu, orang ramai terus bersorak. Bukan bersorak untuk pasukan tetapi untuk pemuda tadi kerana tingkah lakunya.

Permainan malam tadi tidak menampakan Kelantan sebagai "Pahlawan Merah". Permainan serba tidak menjadi. Mungkin kerana bermain dalam keadaan hujan corak permainan agak terbatas. Hantaran kurang menjadi. Jaringan tunggal Felda oleh pemain yang berasal dari Kelantan itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pemain tuan rumah. Kesilapan dan salah faham di antara pertahanan dan penjaga gol (Syed Adney) dimanfaatkan Fatrorozi yang berada tepat di depan pintu gol.

Separuh masa kedua, Halim Napi dibawa masuk menggantikan Syed. Kali ini benteng Kelantan nampak kukuh dan bekerja keras. Kedudukan Halim di pintu gol tidak terusik. Pertahanan lebih berhati-hati kali ini. Halim kelihatan bersahaja dan "relax". Namun permainan hambar dipamerkan. Bermain dalam keadaan tertekan menyebabkan permainan agak "panas". Beberapa kekasaran dilakukan oleh kedua-dua pasukan. Indra misalnya menerima kad kuning pada separuh masa kedua kerana mengasari pemain lawan. Insiden berlaku setelah dia dihalang pemain lawan dan kedua-duanya terjatuh. Serentak dengan jatuh itu tangannya singgah di muka pemain Felda.

Insiden yang mengudang "kepanasan" memuncak setelah Chanturu dijatuhkan depan penjaga garisan. Gerakan Chanturu ke kawasan Felda di halang dua pemain lawan. Rashid Mahmud (jersi 8) yang dikesan oleh pengadil membentes Chanturu dilayankan kad kuning. Daudsu meluru ke arah Rashid dan sempat menyentuh kepala Rashid sebelum dihalang oleh penjaga garisan dan pemain kedua-dua pasukan. Dan serentak dengan itu juga pemuda yang tadi kuat bebelannya masuk ke padang. Dengan plastik bungkusan di tangan kiri dan wisil di kanan, pemuda itu cuba campur tangan. Dia segera ditolak keluar padang oleh pamain Kelantan, Khairan Eroza.

Beberapa orang polis berpakaian preman juga masuk ke padang dan membawa pemuda itu keluar padang. Dia kemudiannya "dipelawa" keluar melalui pintu keluar/ masuk pemain di bawah astaka. Tidak lama kemudian sekali lagi pemuda itu kelihatan di tempat duduk astaka, ruang atas: tempat masuk penonton.

Selepas itu permainan makin rancak dengan kekasaran. Kali ini sorakan penonton makin terasa. Rashid Mahmud dibawa keluar oleh Felda. Sorakan dan ejekan mengiring Rashid keluar. Kata-kata "katok (pukul) nombor 8 tu (Rashid)" bergema di astaka. Tindakannya membentes Chanturu tidak disenangi penyokong. Sorokan demi sorakan dengan sebutan "nombor 8" berulang kali menyebabkan Rashid menanggalkan jersinya. Tidak lama kemudian dia duduk di bawah; lantai. Mungkin tertekan dan "takut-takut" dengan tingkah laku penonton.

Percubaan Kelantan agak banyak tetapi lemah. Antaranya dari Indra, Hairuddin, Nizab, Azizi, Daudsu dan beberapa pemain lagi. Hairuddin berpeluang cerah untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama; tetapi terhalang oleh penjaga gol. Separuh masa kedua: Nizab Ayub punyai peluang untuk menghantar bola tetapi "ketamakkan"nya di kawasan gol Felda mengecewakan. Sepakan lemahnya dapat dihalang dengan mudah oleh penjaga gol. Tandukan Azizi dan Indra hanya mampu melepasi palang. Sepakan percuma Indra gagal ditangkap kemas penjaga gol pelawat, tetapi bola melambung melepasi palang. Daudsu membuat sepakan bebas dan bola melencong rendah paras lutut tetapi terus ke dakapan penjaga gol.

Jaringan Fatrorozi pada separuh masa pertama berkekalan sehingga wisil penamat. Dengan ini Kelantan tewas kepada kepada Felda United 0-1.


* Mengenai pemuda yang kurang siuman itu, aku tidak pasti adakah dia benar kurang siuman atau tidak. Jika pemerhatian aku ini silap, harap dimaafkan.
* Kali ini Kelantan memulakan permainan di sebelah kanan astaka. Biasanya tuan rumah memulakan dari sebelah kiri astaka.
*14 September akan dimulakan Liga Malaysia. Kelantan vs Negeri Sembilan.

*Perlawanan persahatan
Kelantan vs UiTM, 29 Ogos = 5-1
T-Team vs Kelantan, 3 September = 0-4
Kelantan vs Felda United = 0-1