Kita yang silap atau mereka yang salah? Soalan ini tidak akan terhenti selagi politik menjadi teras utama dalam hal memilih pemimpin. Barangkali ia berubah jika sistem pemilihannya sama seperti waktu kita di sekolah dulu-dulu. Guru kelas melantik ketua dan penolong ketua kelas berdasarkan penelitiannya. Tak ada tanya-tanya, tak perlu buat undi. Kalau bilik darjah huru-hara, ketua kelas dan penolong akan kena. Tetapi semuanya sudah berbeza apabila sistem pemilihan ketua dalam kelas pada zaman ini juga sudah mula pakai undian. Apalagi dalam hal menentukan pemimpin sama ada di peringkat kampung mahupun peringkat negara.
Tentang siapa salah dan siapa betul, kita kena tanya diri. Memang niat dalam hati hendak lihat banyak benda berubah, nak tengok negara aman dan tenteram, hendak merasa senang dan tak mahu ditipu. Malangnya, setiap hari kita disua dengan karenah-karenah tak masuk akal pemimpin. Mereka seolah-olah tak pernah fikir rakyat sebenarnya semakin muak dan jelak dengan penonjolan melampau mereka bermain dengan isu politik.
Politik yang ada sekarang hanya 'politik toghut'. Itu yang saya nampak. Kata-kata untuk menegakkan kebenaran, memajukan bangsa dan agama, menidakkan perkauman, merajakan rakyat... hanya mainan di hujung lidah. Kata-kata untuk meraih sokongan, bila dah dapat semunya hilang dan terserlah kemudiannya bakat-bakat badut dalam diri masing-masing. Inikah pemimpin yang mahu kita mahu? Secara logiknya, si badut memang tidak layak jadi pemimpin. Kita silap memilih mereka.
Bercerita tentang silap, saya hendak berkongsi pengalaman tersilap masuk majlis kenduri. Tanpa memandang kiri kanan, tanpa bertanya-tanya dulu, saya terus menuju kepada seorang wanita yang saya kira tuan rumah berdasarkan identitinya. Saya juga ikut bersalaman dan menyerahkan hadiah untuk disampaikan kepada pasangan pengantin (pengantin lelaki adalah rakan saya). Selepas menepuk-nepuk bahu tanda terima kasih, tuan rumah menjemput saya makan. Saya menyertai tetamu lain mengambil makan. Kecor melihat gulai nanas campur ikan masin, selera mula membuak. Sambil makan mata sempat menjeling kiri kanan. Baru terperasan, dalam ramai-ramai yang hadir, tak ada seorang pun kelibat rakan lain yang saya kenal.
Elok-elok hendak sudahkan makan, pengantin sampai. Saya tepuk dahi sebab kedua-dua mempelai yang diiringi paluan kompang itu tak ada langsung rupa rakan saya, sipi-sipi pun tak ada. Orang lain sibuk tercangak-cangak tengok pengantin, saya pula sibuk cari air cuci tangan, rasa tak sabar nak angkat kaki cepat-cepat. Kelibat makcik yang menyambut tetamu cepat-cepat saya cari. Beria-ia saya mintak maaf dan mengaku silap rumah. Selesai minta halalkan makan minum, saya terpaksa tebal muka minta semula hadiah. Bukan buruk siku tetapi itulah buah tangan yang saya niatkan kepada rakan saya dan pasangannya. Hendak kurangkan malu, saya hulur RM10 ringgit tanda rasa bersalah, walaupun makcik itu berulang kali menolak dan kata "tak apa". Saya tak dapat bayangkan apa yang ada dalam fikiran tuan rumah termasuk tetamu-tetamunya yang memandang saya berjalan pantas sambil membimbit beg hadiah! Waktu itu saya terasa seperti badut!
Moral yang saya dapat, siapa pun kita sebelum bertindak kena buka mata luas-luas, kena pandang kiri kanan, kena fikir dalam-dalam. Itulah juga pesanan saya buat rakyat yang hendak memilih, sepatutnya sentimen terhadap parti tidak boleh dipakai lagi ketika memilih pemimpin. Orang yang bermain politik sama sahaja rentaknya. Keperibadian pemimpin itu yang sepatutnya kita belek. Kalau masih tak jumpa, lupakan niat memilih kerana kita akan jadi punca kepada lahirnya badut generasi kedua, ketiga dan seterusnya.
NAJWA MOHD GHAZALI
Editor Edisi Perak
najwa@karangkraf.com.my
Sinar Harian. 9/12/09
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..