Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Jumaat, Disember 27, 2013

Teruskan meniti ...

Tahun 2013 bakal berakhir tak lama lagi. Cukup pendek masa cukup laju saat berjalan. Sejauh mana masa meninggalkan kita sejauh mana kita meninggalkan masa. Oh pening dengan ayatnya. Kawe cuba memahami makna iaitu jauhnya masa meninggalkan kita bermakan kita ketinggalan. Tercicir. Jauhnya masa yang kita tinggalkan maknanya cepatnya kita up to date kata "orang putih".. Kawe..?

Nak kata tinggalkan masa macam tak berapa kena. Nak kata ditinggalkan masa macam nak kena! Hahaha... Masa terus berjalan. Biarkan ia berjalan. Atau biarkan berlari. Kalau larat kawe kejar. Kala tak kawe hanya jadi pemerhati. Biarkan biarkan biarkan ...

2014 bakal menjelma. Apa agaknya azam baru? Kawe tak pernah ada azam tapi berazam. ???.. 

InyaAllah 2014 akan muncul sinarnya. Mudah-mudah kita semua dihujani rahmat dan limpah rezeki daripada ALLAH
...................
Emm buat sekian kalinya kawe tak rasa kehidupan kita (sebenarnya kawe) dipamerkan di sini. Tiada yang istimewa. Tiada yang lebih melainkan kurang.

Gambar hiasan: InsyaALLAH hujan rahmat Allah sentiasa ada

......Cerita seram....Menghampiri kematian

Jumaat, Disember 06, 2013

Suatu cerita kecil tentang parking MPKB-BRI

... Beberapa hari yang lalu kawe ada urusan bank di Kota Bharu. Dengan kereta Proton Iswara buatan Malaysia tercinta kawe sampai ke tempat dituju. Bila tengok ruang parkir Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) kawe terus masuk. Betul-betul depan tangga Kamdar. Lalu beberapa keping syiling dimasukan dalam tabung parking. Angka di tabung menunjukkan "1:00". Ini bermakna kawe ada sejam untuk "menyewa" parking tersebut.

Berada di dalam Maybank berdekatan lebih lama daripada waktu yang disangkakan. Dipendekkan cerita selesai sahaja urusan bank kawe terus keluar dan lihat satu kertas saman MPKB-BRI di cermin kereta. ""meletak kenderaan dengan tidak membayar caj yang ditetapan".

Sebenarnya bukan meletak kenderaan tanpa membayar caj tapi melebihi masa. Tanpa berlengah kawe terus ke pejabat MPKB untuk langsaikan saman. Bila kertas saman dihulur bayarannya seperti yang tertera iaitu RM10.00. Ooo bukankah sebelum ini ada potongan ..? Bila ditanya ada diskaun ke tidak, staf kata takde. Malas banyak cakap, kawe terus hulur RM10 dan terus keluar.

Resit bayaran (Cerita dalam FB)

Sebab apa kawe kata ada diskaun? Sebabnya sebelum ini dua kali kawe kena. 23 September 2013 lalu ceritanya sama saja, iaitu terlebih masa. Sebaik saja selesai urusan, aku terus turun. Dan terlekatlah di cermin depan kereta surat saman MPKB. Kesalahan "meletak kenderaan dengan tidak membayar caj yang ditetapan". Okey.. Masa 30 minit telah berlalu, dan itu rezeki MPKB. Kemudian aku teruskan urusan, menuju ke Muda Osman. Parking kereta sekali lagi dalam petak MPKB. Kali ini angka 0:19 tertera di tabung syiling. Kali ini aku tak tambah syiling sebaliknya aku letak balik kertas saman tu di cermin kononnya "kereta ini telah disaman". Tak sampai 5 minit urusan selesai. Tiada tambahan masa. Tiada tambahan syiling. Yg penting tiada tambahan saman.

Terus menuju ke MPKB untuk bayar saman. Dapatlah diskaun RM5.00. Sekiranya bayar pada hari yg sama ada diskaun. Selepas sehari caj adalah RM10.00. Sekiranya melebihi 7 hari, katanya mencecah RM100.00. Ooooo..

*kerani MPKB kata bukan rezeki (aku). Lalu aku menjawap itu rezeki MPKB. Senyum. Ikhlas. 

Resit bayaran (dengan diskaun) (Cerita dalam FB)
Nampaknya pihak MPKB di bawah kerajaan negeri Kelantan juga melakukan sesuatu yang kerajaan pusat buat iaitu menaikan harga perkhidmatan. Ini realiti sekarang.

Dalam perkebangan lain ada tabung syiling MPKB yang rosak dan memberi kesan yang negatif kepada sebilangan pengguna / rakyat. 

Rosak (Cerita dalam FB)
1) Bertarikh 23 November. Lokasi sebelah Kamdar Kota Bharu (Dekat lampu isyarat, berhadapan -seberang jalan- Bank Islam). Kawe masukan beberapa keping syiling tapi tapi angkanya tetap menunjukan "0". Jadi kawe letak sekeping kertas dengan menulis "Rosak", beserta dengan tarikh dan nombor pendaftaran kereta. Takut disaman. Alhamdulillah selamat. *kedua-dua tabungnya rosak.

2) Tarikh 25 Novermber. Lokasi sebelah Kamdar Kota Bharu. Kali ini dekat dengan bengkel kereta sebelum simpang empat lampu isyarat. Kawe masukan beberapa keping syiling tapi tapi angkanya tetap menunjukan "0". Jadi kawe letak sekeping kertas dengan menulis "Rosak", beserta dengan tarikh dan nombor pendaftaran kereta. Takut disaman. Alhamdulillah selamat. *kedua-dua tabungnya rosak.

1 & 2 ceritanya sama. Tabung rosak. Harap sangat Majlis Perbandaran Kota Bharumengambil tindakan segera. Jangan nanti tahu nak saman je!


...............................................................................................

Tamat sebuah cerita. 

Isnin, Disember 02, 2013

Ahmad Ammar; Kisah pemuda luar biasa

Ahmad Ammar pemuda luar biasa




KETENANGAN di bumi Turki pada hari itu sama seperti hari-hari yang sebelumnya. Penduduk setempat sibuk dengan rutin seharian manakala mereka yang memandu di kawasan berbukit di sekitar Istanbul begitu berhati-hati.
Namun, pada pagi dua hari sebelum sambutan Awal Muharram itu merupakan hari yang cukup istimewa kepada seorang anak muda kelahiran Kuala Lumpur, Ahmad Ammar Ahmad Azam, 20. Ia menjadi titik permulaan dalam hidupnya kerana bakal mengajar pelajar-pelajar baharu mengenai risalah An-Nur di sebuah madrasah.
Dia begitu berhati-hati menuruni bas yang dinaiki dari madrasahnya di Mobilyacilar sambil mendengar alunan muzik seruling Ney, instrumen yang menjadi kegemaran Jalaluddin Ar-Rumi. Jalaluddin atau lebih dikenali sebagai Rumi merupakan penyair tersohor dari Parsi yang banyak mempengaruhi penulisan dan budaya masyarakat Islam.
Ketika cuba melintas di satu persimpangan jalan, langkahnya terhenti. Tubuhnya seakan-akan hilang imbangan lalu dia terjatuh. Pada saat itu jugalah sebuah van ambulans yang datang dari belakang merempuh tubuhnya. Dia terkulai di tepi jalan, namun digagahkan juga berdiri meminta bantuan daripada pemandu van ambulans yang melanggarnya.
Namun, sudah tertulis di Luh Mahfuz, hayat siswa Universiti Marmara, Istanbul, Turki itu dipinjamkan sehingga 2 November 2013. "Pelbagai versi yang saya dengar tentang kemalangan itu. Apa pun, Allah telah menyusun perjalanan hidup Ahmad Ammar. Memang sedih tetapi saya reda dengan ketentuan-Nya," luah ibu arwah Ahmad Ammar, Nur Azlina Abdul Aziz ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Hari ini masuk sebulan pemergian anak keempat daripada lima beradik itu.
Kenangan manis
Menurut laporan bedah siasat, Ahmad Ammar mengalami kecederaan teruk pada organ dalaman yang mengakibatkan dua tulang rusuknya patah. Apa yang mengejutkan Nur Azlina ialah tiada kesan darah ditemui pada tubuh Ahmad Ammar.
Namun, kenangan bersama Ahmad Ammar, terus mekar di dalam hati Nur Azlina.
"Saya tidak pernah berasa kehilangan Ahmad Ammar kerana dia sentiasa bersama saya. Jika dahulu, dia berada jauh di negara orang tetapi kini dia seperti sentiasa berada di sisi saya, setiap masa," katanya.
Penghormatan tertinggi. Jenazah Ahmad Ammar disemadikan di tanah perkuburan sahabat Rasulullah SAW, Abu Ayub al-Ansari.


Kisah Ahmad Ammar tiba-tiba menjadi bualan di laman-laman sosial, sehinggakan pemergiannya diangkat setinggi pemimpin agung Islam dan ditempatkan bersama sahabat-sahabat nabi di Eyub Sultan, Turki. Di pinggir Konstantinople itu letaknya makam Saidina Abu Ayub al-Ansari iaitu sahabat rapat Rasulullah yang meninggal dunia ketika menyertai kempen perang jihad fisabillah tahun 674 Masihi.
"Anak saya seperti remaja-remaja lain, cuma beza Ahmad Ammar ialah akhlaknya. Ketika orang sibuk bertanya tentang keperibadian arwah, saya cuba ingat kembali, berapa kali saya meninggikan suara atau jika pernah terdetik perasaan marah kepadanya.
"Baru saya tersedar, tidak pernah sekali saya melakukan semua itu kepadanya. Dia anak yang mudah dijaga dan tidak pernah merungut," cerita Nur Azlina yang aktif dalam badan kebajikan amal.
Ibu kepada lima anak itu menambah, Ahmad Ammar seorang yang pendiam dan hanya bercakap apabila perlu saja sama ada bersama teman atau ahli keluarganya.
Sehinggakan kata Nur Azlina, guru sekolahnya pernah menelefon beliau semata-mata mahu memberitahu Ahmad Ammar tergelak di dalam kelas. Masa kecilnya, ujar Nur Azlina, dahi arwah sudah mempunyai garis-garis halus. Optimis wanita itu, anaknya mungkin berfikir tentang umat Islam di seluruh dunia.
Satu perkara yang mengagumkan tentang ibu bapa Ahmad Ammar ialah tiada riak kesedihan pada wajah mereka. Sebaliknya, terpancar ketabahan dan keredaan kedua-duanya baik kepada Nur Azlina dan suami, Ahmad Azam Abdul Rahman dalam setiap gerak geri dan butir bicara mereka. Sebagai ibu, bohonglah jika Nur Azlina tidak terkesan dengan pemergian Ahmad Ammar. Namun, beliau melihatnya dari sudut yang positif.
"Perasaan sedih itu bertukar syukur kerana peribadi dan sumbangan Ammar selama hayatnya membawa perubahan positif dalam dirinya," kata mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia itu.
Minat arwah dalam sejarah tamadun Islam dunia membawanya ke Turki untuk mendalami ilmu-ilmu Daulah Uthmaniyyah. Arwah terdorong daripada wawasan bapanya yang menjadikan Sultan Muhammad al-Fatih sebagai rujukan dalam hidup.
Percaturan Allah
Menurut Nur Azlina, beliau pernah bergurau dengan Ahmad Ammar dengan mengatakan Sultan Muhammad al-Fatih berjaya membina empayar Uthmaniyyah yang bertahan selama 600 tahun pada usia 21 tahun. Maka, Ahmad Ammar ada setahun lagi untuk menyumbang sesuatu kepada umat Islam.
Rupa-rupanya, pemergian arwah itulah yang memberi kesan mendalam kepada masyarakat Islam.

AHMAD AMMAR (dua dari kanan) merupakan pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2010 di Maktab Tentera Diraja.


Sebagai bapa, Ahmad Azam menerima pemergian arwah anaknya sebagai satu percaturan yang telah ditetapkan Allah.
"Sebenarnya, saya sedang dalam pembinaan pejabat rasmi di Turki. Jarak antara Eyub Sultan dan pejabat itu hanya 10 minit perjalanan. Bolehlah saya melawatnya selalu di sana," katanya memasang impian.
Sementara itu, salah seorang sahabat karib arwah Ahmad Ammar, Muhammad Huzaifi Ali, 20, seboleh-bolehnya mahu memadamkan memori yang tercatat pada 2 November lalu.
Panggilan telefon dan mesej daripada rakan-rakan yang memaklumkan berita pemergian Ahmad Ammar merengut jantungnya.
'Adik dah meninggal'. Ayat pendek itu membuatkannya tergamam apatah lagi sahabatnya itu berkelana di perantauan untuk menimba ilmu.
"Kehilangan seorang rakan karib yang mesra dipanggil adik itu sangat terkesan di hati saya, namun saya bersyukur kerana arwah mendapat pengiktirafan tinggi daripada kerajaan Turki apabila jenazahnya dikebumikan di Eyub Sultan di Istanbul, Turki," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Memori singkat bersama arwah sewaktu sahabatnya itu pulang bercuti ke tanah air dua bulan lalu menerjah ke kotak fikiran Huzaifi. Dalam kesibukan memenuhi tugas sebagai seorang jurugambar, dia masih sempat bertemu Ahmad Ammar.
Arwah yang juga rakan sekolah ketika mereka menuntut di Sekolah Rendah Islam Al-Huda di Gombak, Selangor mencadangkan kepada Huzaifi supaya membuat satu sesi penggambaran korporat dengan menjadikan bapanya, Ahmad Azam sebagai model.
Catatan rakan karib
"Itu adalah pertemuan terakhir saya bersama arwah dan bapanya," ujar graduan Diploma Fotografi Universiti Teknologi Mara itu.
Antara pesanan arwah yang cukup berbekas di hati Huzaifi ialah supaya dia tidak terlalu bebas berkarya, sebaliknya memanfaatkannya kepada jalan dakwah.
Menerusi sebuah laman peminat di Facebook, Tribute Ahmad Ammar Ahmad Azam yang diwujudkan, terdapat satu catatan yang ditulis oleh seorang rakan karib arwah ketika menuntut di Universiti Marmara, Turki iaitu Muhammad Ahmad Zahid, 20.
RIBUAN rakyat Turki mengiringi jenazah Ahmad Ammar ke tanah perkuburan.


Anak muda ini merupakan individu yang bertanggungjawab mengalunkan surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali ketika jenazah Ahmad Ammar diditurunkan ke liang lahad di tanah perkuburan Eyub Sultan, Istanbul.
Menerusi video berdurasi selama kira-kira 24 minit yang dimuat naik ke laman YouTube berjudul GPTD: Ahmad Ammar Dalam Kenangan (1993-2013), kelihatan seorang anak muda berkemeja T merah memegang mikrofon membaca surah tersebut.
Tindakannya itu hanya semata-mata mahu melaksanakan amanah arwah yang ketika hayatnya pernah secara berseloroh meminta Muhammad berbuat demikian jika sampai waktunya beliau menghadap Ilahi.
"Pada mulanya, beliau meminta saya mengaji pada majlis perkahwinannya pada masa akan datang. Selepas itu, arwah meminta saya mengaji, sekurang-kurangnya surah al-Ikhlas selepas dia meninggal dunia," katanya yang menggelar arwah dengan panggilan Abang Long.
Hakcipta terpelihara Kosmo!


Dedikasi buat Allahyarham Ammar

Sabtu, November 30, 2013

DI SEBALIK CERITA KAMUS DEWAN

KAMUS DEWAN BUAH TANGAN TERHEBAT



SELAMA lima tahun dari 1966 sehingga 1970, Datuk Dr. Baharudin Zainal dan pasukannya lebih kurang 15 orang berhempas-pulas bekerja siang dan malam semata-mata mahu menghasilkan sebuah kitab rujukan yang penting bagi umat manusia yang menggunakan bahasa Melayu iaitu Kamus Dewan.
Sebelum Kamus Dewan diterbitkan, penutur dan pengguna bahasa Melayu menggunakan Kamus Umum Indonesia untuk mendapatkan takrifan perkataan.
Bagi penterjemahan bahasa Inggeris, Kamus Wilkinson dijadikan rujukan tetap, kata sasterawan yang lebih dikenali sebagai Baha Zain.
Ketika itu, tiada perisian atau aplikasi memasukkan maklumat dan seterusnya disusun secara automatik seperti sekarang.
Maka, semua perkataan yang ditemui daripada bahan-bahan bacaan seperti surat khabar, majalah dan buku digunting merangkumi set aksara serta ayat. Keratan-keratan tersebut seterusnya ditampal pada kad imbas dan disusun mengikut abjad.
Selain perkataan yang diambil daripada bahan bacaan, pencarian juga dibuat di negeri-negeri yang mempunyai loghat daerah.
Diskusi bersama individu berpengalaman turut dibuat seperti penulis antaranya, Keris Mas juga dibuat terutamanya pada waktu malam.
Teks-teks sastera lama turut dikaji dan setiap perkataan diteliti. Lebih 200,000 keping kad imbas berjaya dihimpunkan kerana gaya bahasa Melayu yang memberi imbuhan pada kata akar menambah bilangan perkataan yang dikumpul.
"Kerja menggunting keratan artikel menyebabkan tangan kami luka-luka setiap kali pulang ke rumah," kenang Baha Zain ketika ditemui di rumahnya yang terletak di Gombak, Selangor.
Kerjanya tidak terhenti setakat itu, kad-kad yang disusun dalam kotak besi perlu disalin semula menggunakan mesin taip untuk dijilidkan.
"Maka, timbul konotasi, jangan masukkan pesalah ke dalam penjara, tetapi suruh dia kerja membuat kamus," seloroh Baha Zain yang kini sudah menjangkau usia 74 tahun ketika menggambarkan kesusahan membikin kamus.

BAHA membelek koleksi keratan-keratan akhbar berkaitan dengan beliau sepanjang berkhidmat bersama DBP.


Iutlah [Itulah] pengalaman yang dilalui oleh Baha Zain pada peringkat awal kariernya di Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai timbalan ketua di bahagian perkamusan.
Bagi merealisasikan penjilidan kamus tersebut, DBP telah melantik Pakar Perkamusan dari Indonesia, Dr. Teuku Iskandar dari Indonesia bagi mengetuai projek berkenaan. Turut terlibat Penasihat Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Dr. Teuw.
Ekoran itu, nama Dr Teuke diabadikan pada kulit Kamus Dewan.
Sebelum Kamus Dewan diterbitkan pada tahun 1970, terdapat usaha-usaha membuatnya, bagaimanapun sering tergendala disebabkan perkara-perkara tertentu seperti penukaran individu untuk sesuatu jawatan.
Kini, Kamus Dewan telah pun memasuki edisi keempat dan mempunyai versi laman web yang boleh dirujuk dengan mudah di alamat, http://prpm.dbp.gov.my/.
Menulis sepenuh masa
Sejak lima tahun lalu, lelaki yang mempunyai ketinggian 162 sentimeter itu meletakkan semua jawatan yang disandang termasuk di syarikat penerbitan sendiri, Pustaka Cipta Sdn. Bhd.
"Saya mahu menulis sepenuh masa secara bebas dan melakukan perkara yang disukai seperti berkebun," ujarnya ringkas.
Rumahnya itu memiliki sebuah halaman yang dihiasi landskap tumbuh-tumbuhan yang ditanam sendiri, manakala sebuah bilik khas dijadikan perpustakaan peribadi.
Setiap kali berfikir, jarinya pasti memegang dagu dan terdiam seketika. Itulah gaya Baha Zain saat membuat penimbangan membuat keputusan, menurut pandangan mereka yang baharu mengenalinya.
Anak-anaknya yang seramai tiga orang, Rosihan Hadi, Rosihan Juara dan Rosihan Zain telah memiliki keluarga sendiri.
Maka, kehidupannya dilalui berdua dengan isteri, Rusiah R. Abdullah. Baha Zain barangkali boleh dikatakan seorang pendiam, manakala isterinya, seorang yang ramah.
Berkahwin pada usia 27 tahun, kini tokoh sastera yang mendapat pengiktirafan Anugerah Sasterawan Negara ke-12 itu kembali hidup berdua pada umur 74 tahun.
Penulisannya secara berkala dapat dibaca dalam majalah Dewan Sastera melalui kolum Monolog Kecil yang membincangkan isu-isu semasa dengan mendasari fakta-fakta.
Jika berkarya pula, Baha Zain gemarkan puisi kerana lebih spontan berbanding esei yang perlu dirancang teliti setiap kali membuat satu-satu penulisan.

ISTERI Baha, Rusiah sentiasa menjadi tulang belakang dalam setiap usaha dilakukan olehnya dalam bidang bahasa.


Maka, tiada waktu yang khusus bagi Baha Zain untuk mengarang puisi, tetapi lebih bergantung kepada mood pada waktu tersebut.
"Menjadi penulis sepenuh masa memang ada kesan pada ekonomi, tetapi penulisan sastera adalah pengucapan hidup saya," ungkapnya.
Nama Baha Zain sebenarnya lahir daripada singkatan nama penuhnya dan digunakan sejak beliau menuntut di universiti lagi sekitar tahun 1960-an, tidak disangka apabila nama itu menjadi lebih popular.
"Menggunakan nama pena dalam penulisan telah wujud sejak zaman British lagi dan diikuti oleh generasi berikutnya," katanya.
Tujuan penulis pada masa itu adalah mahu idea mereka diketengahkan dan bukan diri penulis sendiri, ia amat berbeza dengan penulis sekarang yang menggunakan nama sebenar.
Minat Baha Zain dalam bidang penulisan bercambah perlahan-lahan sejak di bangku sekolah lagi. Beliau mempunyai abang dan kakak yang gemar membeli majalah hiburan sekitar tahun 1950-an.
Ekoran itu, beliau dapat memupuk minat dalam bidang penulisan dan lebih bertuah lagi apabila antara gurunya yang mengajar bahasa Melayu merupakan kumpulan pertama yang mendapat latihan di Maktab Kirby, Liverpool, England.
Beliau masih ingat dengan jelas nama gurunya itu, Allahyarham Sufian Saori yang memberikannya galakan secara berterusan dalam penulisan.
Rata-rata penulisannya didasari pengalaman dan persekitaran Baha Zain yang membesar di kampung dan belajar di kota besar.
Baha Zain dilahirkan di Batu 15, Hutan Melintang, Perak dan mendapat pendidikan di Sabak Bernam, Selangor, manakala peringkat sarjana muda pula di Universiti Malaya pada tahun 1960.
Buku seumpama tidak dapat dipisahkan dengan para pengkarya tanpa mengira bidang, begitu juga Baha Zain. Setakat ini, beliau sudah memiliki lebih 10,000 buah buku.
Antara penulis, Joseph Brodsky dari Rusia, Goenawan Mohamad dari Indonesia dan T. S Eliot dari British.
Gemar masakan Melayu
Baha Zain sangat menggemari masakan Melayu, asam pedas dengan ikan parang, jika tidak ikan kembung juga merupakan 'lawan' yang terbaik untuk masakan kegemarannya itu.
Tokoh Sasterawan itu juga kurang makan daging, ujarnya. Seperti penduduk Malaysia lain, Baha Zain pasti bersarapan dengan telur setiap hari dan minum teh tarik.
Pada waktu malam pula, isterinya tentu menghidangkan air kopi untuknya. Tabiat itu barangkali kesan daripada zaman mudanya dahulu yang sering sibuk.
BAHA ZAIN mengabdikan diri selama lima tahun bagi mengumpulkan semua perkataan yang terdapat dalam bahasa Melayu untuk disusun menjadi sebuah kamus.


Baha Zain merupakan seorang pengkarya yang telah melalui zaman mesin taip yang panjang dan kini era komputer, tetapi beliau masih lagi setia mengarang puisi.
Barangkali, ada persepsi mengatakan orang seni sering mahu menjadi lain daripada lain, malah ada yang menolak kemodenan. Baha Zain bukan begitu waima terhadap media sosial, Twitter dan Facebook.
"Sepatutnya, medium sebegitu digunakan sebaik mungkin dalam meningkatkan lagi penulisan," katanya lagi. Baha Zain juga menulis dalam blog, bahazain.blogspot.com.
Akuinya, selepas bertahun-tahun memakai mesin taip atau menulis dengan tangan, Baha Zain mengambil masa yang cukup lama, lebih kurang setahun untuk membiasakan diri menggunakan komputer dalam berkarya secara terus.
Begitu juga dalam perkembangan karya-karya tempatan dan kontemporari kini yang kelihatan penulis muda semakin berani memasukkan elemen-elemen seksual yang eksplisit.
Novel-novel itu kelihatan mempunyai pengikut tetap dan bilangan pembaca yang tinggi atau dalam erti kata lain pasti mendapat sambutan.
Ditanya perihal tersebut kepada Baha Zain, beliau tidak sedikit pun menolak mentah-mentah karya sebegitu kerana baginya, ia boleh menarik perhatian orang muda untuk membaca sekali gus dapat memupuk dan mengembangkan khalayak pembaca.
"Cuma, penulis-penulis mesti menggunakan nahu dan tatabahasa dengan betul termasuk ejaan. Kecuali dalam dialog," ungkapnya dalam memberi nasihat dalam mengarang.
Boleh jadi, mudah orang ramai untuk mengatakan bahawa Baha Zain sudah mencapai kejayaan tertinggi apabila menerima Anugerah Sasterawan Negara ke-12 baru-baru ini.
Namun, jauh di sudut hati, Baha Zain masih berharap diberikan Allah idea untuk terus menulis sesuatu yang boleh membina bahasa Melayu, menanam pembinaan bangsa sekali gus boleh menjadi bekal matinya nanti.
Hakcipta terpelihara www.kosmo.com.my

Khamis, November 28, 2013

Masih mencari ...

... Setiap orang pernah merasainya walaupun sekali..
Perasaan gembira dan kecewa itu sama saja di antara kita. Yang membezakan adalah punca dari mana datangnya gembira dan kecewa itu. Sama seperti rasa kenyang; walau apapun kita makan, rasa kenyang kita sama dengan kenyang orang lain ... [facebook.com/anokjate.ayoh]
-------------------------------------------------------------------------------------
Ayat di atas hanya hiasan...

Terasa agak lama jari ni tak menekan papan kekunci menaip patah-patah perkataan yang ada dalam kepala. Kadang-kadang ada kadang kosong. Kosong tanpa kata-kata yang hendak diluahkan. Entahlah, ke mana perkataan itu menghilang. Tapi masih ada juga tinggalan.

Percaya atau tidak kawe mesti percaya bahawa 2013 hampir melabuhkan tirainya. Tiada perubahan drastik dalam hidup tapi ada suatu anjakan. Mungkin belum tiba waktunya. Rutin harian kali ini ada sedikit penambahan. Sekarang tengah mencongak masa depan 2014. Wwaau.. 2014 bakal menjelma.

....


Selasa, November 05, 2013

Allah menguji lagi

9 Zulhijjah 1434 hijriah sekali lagi Allah menguji kami sekeluarga. Kali ini keadaan ibu semakin merunsingkan. Kencing manisnya membawa kesan yang cukup mendebarkan apabila ibu jari kakinya membengkak dan menggelembung. Sehari sebelum itu kawe bawa ibu ke Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa, untuk pemeriksaan biasa. Di sini doktor mengesyorkan ibu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Tapi ibu tak mahu kerana takut untuk berada di wad sekali lagi. Kami pulang.

Esoknya ibu jari kakinya lagi membesar. Kami sekeluarga mengambil keputusan untuk membawa ke hospital. Jadinya malam 10 Zulhijjah kami bermalam sekali lagi di Hospital Raja Perempuan Zainab II. Yang membuatkan kami tersentap apabila doktor memberi keputusan untuk memotong ibu jari yang buruk itu atas alasan takut kumannya merebak. Sekali lagi kami bermesyuarat bagaimana untuk mengelakkan "potong-memotong ini". Akhirnya kami menerima satu jalan altenatif. Dan proses membawa ibu bermula pada Khamis, 17 Oktober.


Sebelum itu, di HPRZ II ada ceritanya yang tersendiri...
Malam Raya Haji ibu dimasukkan ke wad kecemasan. Malam ini juga ibu dimasukan ke wad Otopedik (wad tulang). Ibu jarinya dibelah dari atas.


Sehari selepas itu pihak hospital beria-ia untuk memotong ibu kaki yang rosak itu. Belumpun kami bersetuju dan menandatangan dokumen, pihak hospital telah menyuruh ibu berpuasa untuk melakukan pembedahan. Tapi ibu berpuasa sekejap saja.

Dalam mencari altenatif ada tiga pilihan kami. Pertama untuk mencuba rawatan di Hospital Pakar Perdana, atau kedua di Kota Bharu Medical Center (KBMC). Pilihan ketiga adalah di sebuah klinik swasta di Kuala Terengganu. Dipendekan cerita pilihan kami adalah di Kuala Terengganu, Klinik Mohd. Ramly. Mengikut testimoninya, Doktor Ramly memang pakar dalam rawatan kencing manis dan luka-luka.

Ayah (baju putih, duduk) dan abang-abang (berdiri, baju biru tua dan muda) serta waris pesakit (duduk). Mereka (baju kuning & hitam) berkongsi cerita tentang "kehebatan" doktor Ramly dalam merawat luka yang kritikal. 
Disebabkan 17 Oktober itu ibu keluar wad lebih kurang jam 3:00 petang, maka kami membatalkan untuk terus ke Kuala Terengganu. Akhirnya keputusan diambil, hari Sabtu kami akan bergerak. 19 Oktober 2013 kami sampai ke Kuala Terengganu lebih kurang hampir tengah hari. Di sini katanya Doktor Ramly, beliau akan iktiar yang terbaik. Katanya lagi, sekiranya takda peluang untuk sembuh dia akan kata takda peluang. Tapi untuk kes ini peluangnya masih ada antara 40 %. Perbelanjaan rawatan ini agak mahal. Tapi kamu telah bersedia kerana testimoni bekas pesakitnya telah memberi tahu awal-awal.
Menunggu giliran

Ada perubahan. Dengan izin Allah. Dalam 10 hari lagi kami akan datang sekali lagi untuk rawatan susulan.  Cuma, ada suatu cerita yang mengejutkan kami apabila Doktor Ramly meninggal dunia pada awal pagi Jumaat, 25 Oktober akibat kemalangan. Sungguh tak disangka, takdir Allah adalah segala-galanya.

Setelah dua minggu lebih barulah kliniknya dibuka semula. 3 November kami membawa ibu ke Kuala Terengganu sekali lagi. Kali ini anak Allahyarham Doktor Ramly yang meneruskan profesyen ayahnya. Sebelum pulang sempat doktor (lupa namanya) berpesan berhati-hati di jalan raya.

Hari ini, keadaan ibu makin stabil. Untuk sembuh sepenuhnya ia mengambil masa. Cuma ada persoalan dan kemusyukilan dalam diri ..


Di hospital kerajaan (atau yang lebih tepat sebenarnya hospital awam)pihak doktor beria-ria mengatakan "kena potong". Tiada iktiar lain. Di klinik swasta sebaliknya. Mengikut cerita pesakit-pesakit Allahyarham Doktor Ramly ayat sama yang mereka dengar dan diperdengarkan adalah "potong" adalah cara terbaik untuk mengelakan kuman tersebar. Keliru juga.. Atau klinik mahupun hospital swasta hanya memberi impian dan harapan palsu? Oooo kalau palsu mengapa Klinik Doktor  Mohd Ramly (salah satu contoh) memberi harapan yang baik?..
.......

Kisah lalu cerita ibu ... Ujian Allah datang lagi


Ahad, September 15, 2013

Apa cara rawat diri?

Beberapa lama menyepi tanpa ayat. Suatu ketika dulu sekitar awal 2013 kawe ada rasa macam semangat untuk menulis walaupun ini bukan laman perhatian. Namun suatu peristiwa yang tidak dijangka telah menjetik sejenak hati yang tak berapa kuat ini seakan menyekat nafsu untuk mencoret kata-kata. Namun hari ini kawe gagahkan diri untuk mencuba menjadi diri yang sekuat dulu. Jika diizinkan Allah kawe mahu aktif dalam media maya ini.
..............................................................

Lakaran hidup bakal berubah, seakan menampakan cahaya. Buat masa ini ada bayang-bayang dan sinar di hadapan. Cuma waktunya belum tiba seperti yang dirancang. Peristiwa lalu yang hanya menjadi angan-angan sebenarnya akan dihanyutkan dalam fikiran. InsyaAllah.

Begitulah hidup ini dalam mengisi ruang kosong kan? Tidak semua yang diimpikan akan menjadi kenyataan. Teruskan hidup tanpa jemu. ;-) Biarkan mimpi berlalu tanpa meninggalkan kesan. Biarkan ...

.........................................
Masih terkenang mimpi dan jodoh ...:-D

Isnin, Julai 15, 2013

Cerita bola 2013: Surat Piya untuk Rajagobal

Piya kemuka surat tunjuk sebab

BADHRI (kiri) bersama penolong pengurus Kelantan, Wan Badri Wan Omar (kanan) memeriksa surat tunjuk sebab dan laporan perubatan sebelum berlepas ke Kuala Lumpur di LTSIP, Pengkalan Chepa di Kota Bharu semalam.
KAPTEN Kelantan, Mohd. Badhri Radzi tidak mahu kegagalannya melaporkan diri ke kem latihan skuad Harimau Malaya sejak Khamis lalu disalaherti oleh mana-mana pihak.
Bagi mengelakkan sebarang salah faham, Badhri atau lebih senang disapa Piya mengambil keputusan untuk melaporkan diri bagi mengikut kem latihan Harimau Malaya semalam.
Piya turut membawa surat tunjuk sebab serta laporan perubatan sebagaimana yang dikehendaki Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Menurut Piya, surat tunjuk sebab serta laporan perubatan berkenaan akan diserahkan kepada FAM sebaik dia melaporkan diri ke kem latihan tersebut.
"Saya akui wujud sedikit salah faham dalam isu ini. Kegagalan melaporkan diri ke kem latihan, bukan bermakna saya ingkar kepada jurulatih (Datuk K. Rajagobal) dan pasukan.
"Saya berharap FAM dapat menerima surat tunjuk sebab serta laporan perubatan dan membuat keputusan seadilnya berhubung isu ini," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengakalan Chepa di Kota Bharu semalam.
Piya berharap keputusannya untuk melaporkan diri ke kem latihan semalam mampu menepis segala tohmahan yang mengatakan dia enggan menabur bakti bersama skuad Harimau Malaya.
Kosmo! semalam melaporkan Piya bersedia menjawab surat tunjuk sebab yang dikemukakan FAM berhubung kegagalannya melaporkan diri pada sesi latihan Harimau Malaya yang bermula Khamis lalu.
Piya berkata, dia akan mengemukakan laporan pemeriksaan kesihatan yang dibuat oleh doktor di Kota Bharu, Kelantan sehari selepas berakhirnya saingan Liga Super menentang Lions XII pada 6 Julai lalu.
Ditanya sama ada dia bersedia menggalas tugas untuk mengemudi jentera tengah skuad negara, perancang tengah Kelantan itu memberitahu: "Saya bersedia dengan tugas tersebut dan berjanji memberikan aksi terbaik bersama Harimau Malaya.
"Jikalau ada peluang memimpin jentera tengah negara, saya bertekad memberikan aksi terbaik bagi membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih.
"Bagaimanapun, semua itu terpulang kepada jurulatih. Saya selaku pemain yang memberikan aksi terbaik sekiranya diberikan peluang," kata Piya.
Piya antara tujuh pemain Kelantan termasuk Khairul Fahmi Che Mat, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab Halim, Azizi Mat Rose, Mohd. Shakir Shaari, Mohd. Norfarhan Muhammad dan Ahmad Fakri Saarani yang dipanggil menjalani kem latihan Harimau Malaya.
Hakcipta terpelihara: www.kosmo.com.my

Sabtu, Julai 13, 2013

Isu Mesir; mana pendirian kerajaan Malaysia?

Tragedi penggulingan Presiden Morsi
Sumber: www.kosmo.com.my






KETIBAAN bulan Ramadan yang sepatutnya diraikan dengan penuh rasa kesyukuran bertukar tragedi berdarah di Mesir apabila sekumpulan penyokong Presiden Dr. Mohammed Morsi yang digulingkan daripada jawatannya terkorban.
Seramai 51 orang terbunuh selepas pasukan keselamatan bertindak melepaskan tembakan dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang dikatakan cuba menceroboh Kompleks Pengawal Republikan, lokasi Morsi ditahan pada awal pagi 8 Julai lalu.
Lebih menyedihkan 35 daripada jumlah mangsa yang terbunuh ketika itu sedang menunaikan solat Subuh berjemaah di satu kawasan terbuka berdekatan Masjid Rabiatul Adawiyah yang menjadi tempat perhimpunan para penyokong Morsi.
Selain itu, lebih 400 orang dilaporkan cedera dalam pertempuran antara peserta demonstrasi jalanan dan pihak tentera sekali gus menjadikan krisis pergolakan di Mesir semakin membimbangkan.
Kejadian itu bagaimanapun tidak melemahkan semangat para penyokong untuk terus menegakkan keadilan terhadap Morsi yang dipilih secara sah melalui pilihan raya presiden pada Jun 2012.
Mereka bertegas untuk terus mengadakan demonstrasi di jalanan sehingga Morsi yang kini ditahan oleh pihak tentera dikembalikan semula jawatannya sebagai Presiden.
Sebagai Presiden Mesir pertama yang dipilih secara demokrasi, Morsi telah dikritik sebagai diktator dan tidak berjaya menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin negara tersebut. Namun, di mata penyokongnya, beliau dianggap sebagai seorang wira.
"Saya sanggup menempuh perjalanan sejauh 600 kilometer semata-mata untuk menunjukkan sokongan kepadanya. Beliau adalah presiden yang telah diundi secara sah," ujar Essam al-Hawany, seorang guru sekolah tinggi yang menyertai demonstrasi tersebut.

PEMERINTAHAN Morsi hanya bertahan selama setahun.



Tambah Essam, pihak tentera telah melakukan penghinaan terhadap demokrasi di Mesir. Justeru, dia tidak akan gentar untuk terus memperjuangkan keadilan buat Morsi.
"Biarlah darah kami tumpah kerana kami sanggup mati dalam perjuangan menentang kebatilan. Jika tidak, kami tidak akan datang ke sini," tegasnya.
Sementara itu, jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad melalui laman sosial Twitter, menggesa rakyat Mesir yang patriotik dan berani agar keluar beramai-ramai untuk mempertahankan negara daripada pengkhianat konspirasi rampasan kuasa oleh pihak tentera.
Demonstrasi jalanan
"Setiap wilayah akan mengadakan majlis pengkebumian dan demonstrasi. Kami tidak akan mengalah," ujarnya.
Apa yang pasti, pergolakan terus berlaku di Mesir bermula pada 30 Jun lalu iaitu antara puak yang menyokong dan menolak kepimpinan Morsi. Ia menyaksikan beberapa buah bandar utama menjadi lokasi perhimpunan penganjuran demonstrasi jalanan untuk meluahkan pendapat masing-masing.
Bagi ribuan penyokong Morsi, mereka berhimpun di Rabiatul Adawiyah, Nasr City manakala Dataran Tahrir di Kaherah menjadi tempat perhimpunan rakyat yang menolak kepimpinan Morsi.
Menurut pemerhati politik tanah air, Dr. Maszlee Malik, penggulingan Morsi merupakan satu pengkhianatan terhadap aspirasi rakyat Mesir pascarevolusi 25 Januari 2011 yang telah menjatuhkan diktator Hosni Mubarak.
"Apa yang jelas, pihak tentera telah mencabuli demokrasi serta menghina keluhuran undang-undang di bumi Mesir. Keadaan ini boleh dianggap satu tindakan melangkah semula ke belakang iaitu ke tahun 1952.
"Ketika itu, Mesir telah diperintah oleh pihak tentera akibat rampasan kuasa sambil membelakangkan pilihan rakyat melalui kerangka demokrasi. Malangnya, apabila perkara sebegini berlaku, negara-negara Barat yang selama ini melaungkan dan memperjuangkan demokrasi terutama Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) bersikap hipokrit.
"Mereka yang sepatutnya mengecam dan tidak mengiktiraf rampasan kuasa itu, sebaliknya hanya mendiamkan diri dan cuba menyalahkan Morsi," jelas Maszlee sambil memuji sikap Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang berani mengutuk rampasan kuasa tersebut.

ANTARA reaksi rakyat Mesir selepas berlakunya tragedi serangan di Kompleks Pengawal Republikan di Kaherah.



Tambah beliau, apa yang merisaukan adalah mengenai masa depan rakyat Gaza di Palestin memandangkan pintu sempadan Rafah yang menghubungkan Mesir dan Gaza serta antara Gaza dengan dunia luar telah ditutup sejak tentera mengambil alih pemerintahan Mesir.
Mengakui Morsi mempunyai kelemahan terutama dalam aspek memulihkan keselamatan dan ekonomi negara, namun ia bukanlah alasan kukuh beliau digulingkan sewenang-wenangnya.
"Morsi bekerja dalam keadaan kedua tangannya 'digari'. Saki-baki rejim telah menyukarkan pentadbiran beliau yang baru berusia setahun. Beliau juga tidak mendapat kerjasama daripada pihak keselamatan dan media yang sentiasa memfitnahnya.
"Malah, pihak yang memonopoli perniagaan dan bekalan bahan api sengaja melakukan sabotaj terhadap rakyat. Tetapi, dalam keadaan serba terikat itu, Morsi masih dapat melakukan banyak perubahan walaupun tidak secara menyeluruh. Jadi, mengapa menghukum beliau terlalu awal?
"Hakikatnya, tiada presiden yang mampu mengubah sebuah negara pascarevolusi dalam tempoh sekelip mata," ungkap beliau yang merupakan Pensyarah di Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Selain itu, Maszlee juga berharap rakyat Malaysia dapat mengambil iktibar berhubung isu yang berlaku di Mesir. Ujarnya, sistem demokrasi yang bertujuan menjadi mekanisme untuk menguruskan perbezaan pandangan dan perbezaan ideologi politik perlu dihormati.
"Demokrasi bukan semata-mata keputusan rakyat yang menentukan kemenangan mana-mana parti dalam pilihan raya, bahkan lebih daripada itu.
"Mekanisme untuk semak dan imbang melalui kebebasan media, kebebasan bersuara serta ruang-ruang untuk rakyat melalui masyarakat sivil berpartisipasi dalam proses politik juga adalah sebahagian daripada demokrasi," kata Ma szlee.
Rakyat Malaysia perlu berusaha mempertingkatkan tahap pemikiran dan pendidikan mereka.

PENYOKONG Morsi berdoa sebelum mereka berbuka puasa pada hari pertama Ramadan di Kaherah.



Pilihan raya
"Kadar keciciran pelajaran dan buta huruf dalam kalangan rakyat Mesir merupakan antara penyumbang kepada tidak stabilnya negara berkenaan," tegasnya.
Dalam pada itu, Presiden Mesir sementara, Adly Mansour berikrar akan mengadakan pilihan raya menjelang awal tahun hadapan sebagai respons terhadap situasi di negara itu.
Mansour telah mengeluarkan dekri yang menetapkan jadual untuk satu referendum terhadap perlembagaan yang telah digubal, sebelum pilihan raya presiden dilaksanakan.
Keseluruhan proses tersebut dikatakan tidak akan mengambil masa melebihi 210 hari. Menurut dekri itu, satu panel yang mewakili parti politik, agama dan perkhidmatan keselamatan akan bersetuju dengan penggubalan akhir perlembagaan dan menjadikan ia sebagai satu referendum dalam tempoh lima bulan.
Di samping itu, Mansour turut menamakan mantan Menteri Kewangan, Hazem el-Bablawi sebagai Perdana Menteri sementara dan melantik bekas Ketua Agensi Nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Mohamed El-Baradei sebagai timbalan presiden yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal luar negara.
Apa yang pasti, di sebalik kekacauan yang berlaku, para penyokong Morsi tidak melepaskan peluang menunaikan solat tarawih pada malam pertama Ramadan di Dataran Rabiatul Adawiyah.
Foto yang memaparkan ribuan umat Islam pro-Morsi menunaikan solat tarawih dan solat tahajud pada malam pertama Ramadan itu telah dimuat naik oleh laman sosial Facebook Mesir Kini.
.......................................
Sebaliknya di Malaysia pendirian kerajaan agak berbeza dengan rakyat biasa...?
Usul MESIR ditolak.

Saya telah mengemukakan usul ke Parlimen agar ditangguhkan sidang pada hari khamis bersamaan 11 Julai 2013, untuk membolehkan ahli - ahli Parlimen membahaskan Isu Mesir yang sedang bergolak. Malaysia bukan sahaja perlu nyatakan pendirian tegas tetapi juga tindakan berkesan sebagai sebuah negara anggota OIC dan pula mempunyai hubungan Diplomatik dengan Mesir.


Malangnya usul saya ditolak dalam kamar oleh pihak yang Dipertua Dewan dengan menggunakan peruntukan Aturan Mesyuarat 23 (1)(i) .

Saya tetap berpendirian bahawa Malaysia mesti memainkan peranan besar untuk mengecam rampasan kuasa oleh pihak tentera di Mesir , mengguling Presiden Mursi yang jelas menodai serta mengkhianati suara rakyat yang telah dimuktamadkan melalui sistem pilihanraya. 

Ia satu pencabulan demokrasi dan Malaysia sebagai sebuah negara pengamal sistem demokrasi tidak selayaknya diam membisu.

-YB Nasrudin Hassan-
-klik untuk gambar asal & besar, facebook- Jawapan YDP Dewan Rakyat