Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Rabu, Ogos 31, 2011

Cerita bola: Kelantan dalam misi pertahan kejuaraan PM


Awas amukan Kelantan

KARATHU, arkitek yang meneruskan kecemerlangan Kelantan dalam saingan bola sepak tempatan musim ini.

SELEPAS juara Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super diketahui, kancah bola sepak negara kini beralih pula ke saingan paling berprestij iaitu Piala Malaysia yang bakal membuka tirainya pada 6 September ini.
Sebanyak 10 pasukan negeri dan enam kelab yang dibahagikan kepada empat kumpulan akan berentap sesama sendiri untuk memastikan siapa yang layak dinobatkan selaku juara baharu musim ini.
Pada edisi lalu, The Red War- riors yang dipimpin bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan 2009, B. Sathianathan menjulang kejuaraan tersebut buat kali pertama sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1921.
Kejayaan tersebut menyaksikan Kelantan menamatkan kemarau panjang selama 89 tahun untuk dinobatkan sebagai juara baharu selepas gagal melakukannya dalam saingan terdahulu.
Diundi dalam Kumpulan C bersama Felda United, Johor FC dan naib juara Liga Premier Sarawak, skuad bimbingan Datuk M. Karathu dijangka tidak berdepan laluan sukar untuk menempah slot ke pusingan suku akhir.
Tetapi semuanya terpulang kepada aksi yang ditunjukkan dalam saingan peringkat kumpulan pada edisi kali ini.
Jika prestasi semasa diambil kira serta senarai pemain yang dimiliki, juara bertahan itu dilihat mempunyai peluang yang cukup cerah.
Namun dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku, secara logiknya pasukan yang kurang melakukan kesilapan serta bijak memanfaatkan setiap peluang yang diperoleh maka peluang untuk dinobatkan sebagai pemenang seterusnya mara ke peringkat suku akhir adalah cerah.
Begitupun, dalam saingan suku akhir nanti, The Red War- riors bakal berdepan laluan sukar apabila mereka berkemungkinan bertemu naib juara musim lalu, Negeri Sembi- lan atau musuh tradisi, Terengganu yang juga juara Piala FA musim ini.
Kedua-dua pasukan tersebut menjadi pilihan untuk muncul juara atau naib juara kumpulan, seterusnya menjadi lawan Kelantan di peringkat seterusnya selain dua pasukan berstatus kelab iaitu PKNS dan Sime Darby FC.
Untuk saingan kali ini, skuad bimbingan M. Karathu tampil dengan menggalas tugas berat iaitu mempertahankan kejuaraan selain meneruskan kecemerlangan yang dicipta ketika di bawah kendalian B. Sathianathan pada musim lalu.
Menyedari bakal berdepan dengan laluan mencabar untuk saingan kali ini, The Red Warriors tidak mengambil mudah setiap per- juangan mereka, sebaliknya menggunakan tempoh rehat selama sebulan sempena bulan Ramadan yang dimiliki sebaik mungkin dengan mengatur beberapa perlawanan persahabatan dalam usaha untuk memantapkan lagi jentera pasukan.
Jika 18 tahun lalu, Karathu hanya berjaya membawa Kelantan layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia selepas dikece- wakan Kedah, musim 2011 merupakan tahun yang terbaik buat beliau untuk menebus kekecewaan tersebut dengan membawa The Red Warriors ke puncak kejayaan musim ini selepas meraih kejuaraan Piala Sumbangsih dan Liga Super.
Seandainya berjaya melaksanakan tugas tersebut, Karathu akan menjadi jurulatih pertama yang berjaya membawa Kelantan menjulang tiga kejuaraan dalam satu musim selepas Piala Sumbangsih dan Liga Super sekali gus memahat namanya dalam lipatan sejarah bola sepak negeri Kelantan.
Empat kemenangan yang dilakar dalam aksi perlawanan persahabatan di Lembah Kelang iaitu bertemu Kuala Lumpur, PDRM dan Selangor serta satu aksi di Kota Bharu menentang T-Team dilihat sebagai petanda awal bahawa Kelantan sudah bersedia sepe- nuhnya untuk mempertahankan kejuaraan musim ini.
Dalam perlawanan pertama menentang Kuala Lumpur, barisan bimbingan M. Kara- thu mempamerkan kegarangan apabila membelasah skuad warga kota 5-0 menerusi jaringan kapten pasukan, Mohd. Badri Radzhi, Nurul Azuwan Roya, Solihin Kanasian Abdullah serta dua penggempur pinjaman, Azamuddin Akil dan R. Surendran.
KELANTAN kini memburu gelaran ketiga dalam saingan liga tempatan selepas memegang status sebagai juara Liga Super dan Piala Sumbangsih musim ini.


Pada aksi kedua menentang PDRM, The Red Warriors hanya berjaya melakar keme- nangan tipis 1-0 menerusi jaringan Mohd. Nizab Ayub.
Bertemu seteru utama, Selangor pada perlawanan ketiga, Kelantan ternyata tidak berdepan masalah untuk mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas juara 32 kali Piala Malaysia itu menerusi jaringan Azammud- din Akil.
Aksi keempat bertemu T-Team, Kelantan terus mempamerkan watak sebagai juara apabila membenam skuad bimbingan Yunus Alif 3-1 hasil jaringan Mohd. Badri Radzhi dan Azzamuddin Akil dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Berdasarkan ramuan pemain yang miliki oleh The Red Warriors musim ini, ditambah pula dengan kemasukkan dua penyerang pinjaman dari Pahang iaitu Azammuddin Akhil dan R. Surenderan, ia dilihat memantapkan lagi kekuatan pasukan menghadapi cabaran Piala Malaysia musim ini.
Kemasukan dua pemain tersebut dilihat memberikan ilham buat M. Karathu untuk menyediakan ramuan terbaik dalam memantapkan lagi jentera serangan The Red Warriors yang sebelum ini mengharapkan sentuhan berbisa penggempur sensasi kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha.
Aksi yang ditampilkan oleh dua pemain tersebut dalam perlawanan persahabatan sebelum ini menampakkan petanda positif apabila dua tonggak Pahang itu tidak mempunyai masalah untuk membentuk keserasian bersama pemain-pemain lain yang ada dalam pasukan.
Ketika sedang rancak mengadakan persiapan untuk menghadapi saingan kali ini, juara bertahan Piala Malaysia itu mendapat perkhabaran yang kurang enak apabila bakal kehilangan beberapa tonggak utama seperti penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, Mohd. Izuan Solahuddin, Zairul Fitree Ishak dan penyerang pinjaman, R. Surenderan.
Khairul Fahmi dan Mohd. Izuan Solahuddin menggalas misi negara bersama skuad Olimpik, manakala Zairul Fitree serta penyerang pinjaman R. Surenderan dilaporkan mengalami kecederaan dan berkemungkinan terlepas beberapa aksi awal.
Namun itu bukan masalah besar buat Karathu selaku jurulatih yang kaya dengan pengalaman.
Rangkaian pilihan pemain yang dimiliki, mampu memberikan kelebihan dalam menyusun strategi untuk mengekang asakan lawan.
Kekosongan yang ditinggalkan oleh Khairul Fahmi itu bakal diisi seorang penjaga gol yang tidak kurang hebatnya, Mohd. Shahrizan Ismail.
Kredibiliti pemain yang pernah menyarung jersi pasukan ternama sebelum ini seperti Selangor dan Terengganu tidak perlu diper- tikaian.
Meskipun jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama, anak jati kelahiran Jalan Bayam, Kota Bharu ini mampu membuktikan sesuatu seandainya diberikan peluang.
Buktinya, sepanjang aksinya dalam tiga perlawanan iaitu dua dalam Liga Super dan satu Piala FA, penjaga gol berusia 32 tahun ini berjaya menutup gawang Kelantan daripada dibolosi.
Ketiadaan Zairul Fitri dilihat membuka pe- luang kepada seorang lagi tonggak pertaha- nan, Muhammad Abdul Aziz Ismail untuk membuktikan kemampuan seterusnya membentuk gandingan mantap dengan Mohd. Daudsu Jamaluddin, Mohd. Farisham Ismail, S. Subramaniam serta Mohd. Rizal Fahmi Rosid.
Di bahagian tengah, Kelantan pasti mengharapkan sentuhan Muhd. Badri Radzi, Mohd. Shakir serta dua pemain sayap lincah, S. Chanturu bersama gandingannya Nurul Azu- wan Roya bagi memastikan barisan serangan tidak berdepan masalah untuk mendapatkan bola.
Posisi serangan untuk saingan kali ini menyaksikan Kelantan mendapat tonik baru de- ngan kemasukan penyerang pinjaman dari Pahang, Azamuddin atau mesra dengan panggilan Alexs.
BADRI (kiri), komander padang yang banyak merencanakan rentak Kelantan.


Kehadiran pemain tersebut membuka peluang kepada Karathu untuk membuat pilihan siapakah yang layak untuk digandingkan dengan Norshahrul Idlan Talaha bagi mengetuai jentera serangan The Red Warriors.
Tiga gol yang dijaringkan dalam empat perlawanan oleh anak jati Kampung Relong, Kuala Lipis, Pahang itu membuktikan bahawa dia sudah bersedia untuk menggalas tugas se- laku penggempur utama The Red Warriors untuk aksi Piala Malaysia musim ini sekiranya diberikan peluang untuk beraksi.
Ketika Kelantan dilihat mempunyai barisan ampuh untuk menggalas cabaran pada edisi kali ini, pengendalinya, M. Karathu tidak mahu mendabik dada dengan barisan pemain yang dimilikinya.
Dengan rendah diri Karathu tidak mahu terlalu yakin sebaliknya mahu barisan pemainnya mempamerkan aksi terbaik sepanjang saingan Piala Malaysia musim ini kerana pada saingan peringkat kalah mati, apa sahaja boleh berlaku.
Tanpa berselindung, bekas pengendali Perak itu tidak menganggap pasukannya akan mendapat laluan mudah bagi mencari tiket ke suku akhir biarpun diundi bersama pasukan kurang ternama seperti Johor FC, Felda United dan Sarawak.
Bagaimanapun, cabaran kuat mungkin dari Johor FC dan Felda United yang disifatkan- nya mempunyai ramai pemain yang berpe- ngalaman dan sudah masak dengan kancah saingan bola sepak tempatan.
“Kami tidak pernah berdepan pasukan Sarawak musim ini kerana mereka adalah dari- pada Liga Premier, jadi saya tidak begitu mengetahui kekuatan Sarawak,” katanya.
Tambahnya, berdasarkan empat perlawanan yang dilalui, Kelantan dilihat tidak mempunyai masalah untuk membentuk gandingan mantap dalam saingan kali ini.
“Walaupun kita berjaya meraih kemenangan dalam semua perlawanan persahabatan, namun masih ada beberapa kekurangan yang perlu diatasi terutamanya tahap kecergasan. Saya harap tempoh yang ada ini dapat digunakan sebaik mungkin untuk mengatasi kekurangan ini.
“Bagi saya kemenangan itu tidak penting. Kita mahu lihat corak permainan dan prestasi setiap pemain sebelum aksi pertama yang akan bermula 6 September ini,” ujarnya.
_____________________
Lain-lain berita: 

Kelantan hilang 3 penjaga gol?

KOTA BHARU - Persiapan Piala Malaysia skuad Kelantan yang semakin menuju puncak dikejutkan dengan khabar kurang menyenangkan apabila dilaporkan bakal kehilangan tiga penjaga gol serentak.

Tiga penjaga gawang yang dimaksudkan penjaga gol veteran, Mohd. Halim Napi dan Norhadi Ubaidillah masing-masing dibelenggu kecederaan manakala penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek tidak mendapat pelepasan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana perlu melaporkan diri menjalani latihan bersama skuad Olimpik Khamis ini.

Perkara tersebut disahkan Pengurus pasukan, Azman Ibrahim yang mengakui kehilangan tiga penjaga gol serentak merencatkan persiapan Red Warriors.
___________-Laporan penuh dari http://www.utusan.com.my

Sekilas cerita kemerdekaan


Tunku Abdul Rahman melaungkan kemerdekaan Malaysia

Wanita pertama serah barang kemas






JARUM jam menunjukkan hampir pukul 3 petang. Sejak dari tengah hari, Siti Rahmah Kassim yang ketika itu berusia 29 tahun kelihatan sibuk menguruskan kehadiran ratusan peserta rombongan yang berkumpul di kawasan padang berhampiran pekan Rembau.
Biarpun agak keletihan, wanita itu tetap meneruskan tugas-tugasnya. Selaku penganjur, dia mahu semuanya berjalan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan.
Lapan buah bas yang ditempah khas juga sudah sedia di satu sudut. Kunjungan mereka ke Kuala Lumpur pada petang 30 Ogos 1957 itu bukan untuk bersuka ria, sebaliknya mahu menyaksikan satu peristiwa paling penting dalam sejarah negara.
Siti Rahmah sememangnya sudah lama menantikan tarikh keramat 31 Ogos 1957 itu. Perjuangannya bukan bemula sehari dua, tetapi sejak 1945 lagi melalui Persatuan Melayu Negeri Sembilan dan UMNO.
Dalam ceramahnya, dia banyak memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya golongan wanita tentang kepentingan perjuangan membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah.
Kini berusia 86 tahun, dia merupakan orang pertama menyerahkan barangan kemas bagi membantu rombongan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke London untuk menuntut kemerdekaan.
Liputan meluas
Kisah Siti Rahmah dipukul oleh ibunya sehingga bajunya berlumuran darah kerana memberi gelang perkahwinan pemberian ayahnya pada sebuah majlis yang berlangsung di Dewan Hang Tuah, Bandar Hilir Melaka juga mendapat liputan luas akhbar-akhbar di Tanah Melayu.
Lamunannya terhenti, tindakan sekumpulan peserta lelaki yang tiba-tiba turun dari bas menarik perhatiannya.
Rupa-rupanya, di dalam bas itu bukan sekadar peserta tetapi ada beberapa anggota polis cawangan khas British ditugaskan untuk menggagalkan rombongan berkenaan.
“Mereka cuba menakut-nakutkan segelintir peserta bahawa orang putih akan menjatuhkan bom menggunakan kapal terbang ketika Tunku Abdul Rahman melaungkan merdeka di Stadium Merdeka.
“Tidak hairanlah, ada peserta yang terpengaruh dan mahu pulang ke rumah, namun saya berjaya memujuk mereka kembali. Itu semua taktik jahat orang putih dalam usaha mengagalkan kemerdekaan negara,” cerita anak kelahiran Batu Hampar, Negeri Sembilan itu.
Selepas melalui perjalanan panjang dan berliku-liku, rombongan dari Rembau itu akhirnya tiba di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur ketika malam menjelma.
Siti Rahmah berkata, ibu negara seakan-akan berubah wajah dengan kehadiran ribuan orang ramai dan kenderaan yang datang dari segenap pelosok tanah air.
“Menjelang malam, suasana di sekitar Kuala Lumpur penuh meriah diterangi lampu jalan. Semua orang berpusu-pusu menuju ke Padang Kelab Selangor sambil membawa sepanduk dan bendera Persekutuan.
“Bangunan Sultan Abdul Samad kelihatan begitu gah diterangi lampu- yang berwarna-warni. Di tengah-tengah padang terdapat tiga tiang bendera yang mengibarkan bendera UMNO di sebelah kanan, bendera Union Jack di tengah dan bendera Perikatan di sebelah kiri,” ujar bekas Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO Bahagian Terentang (Rembau) itu.
Laungan Merdeka
Katanya, tepat pukul 11.55 malam, Tunku Abdul Rahman diiringi 30 ahli Perikatan bermotosikal dan polis pengiring pun tiba.
Ujarnya, Tunku telah disambut oleh Datuk Abdul Razak Hussein dan beberapa pemimpin daripada ketiga-tiga parti Perikatan yang mengiringinya ke pentas di tengah padang. Suasana yang sebelum itu riuh-rendah bertukar sunyi sepi, masing-masing tidak sabar menanti detik 12 malam yang menandakan tarikh kemerdekaan negara.
“Tepat pukul 12 malam, jam di menara berbunyi. Secara spontan laungan Merdeka berkumandang daripada ribuan rakyat jelata yang memenuhi segenap penjuru padang,” jelasnya.
Ibu kepada enam cahaya mata itu berkata, saat yang tidak dapat dilupakan ialah ketika bendera Union Jack mula diturunkan dan lagu God Save The Queen dimainkan buat kali terakhir sebagai tanda berakhirnya pentadbiran British di Tanah Melayu.
Katanya, ketika itu air matanya mencurah-curah. Dia bagaikan tidak percaya Tanah Melayu akhirnya berjaya mencapai kemerdekaan selepas hampir 170 tahun dijajah British.
Pada malam itu juga, buat pertama kalinya lagu kebangsaan, Negaraku, diperdengarkan kepada umum. Ketika bendera Persekutuan Tanah Melayu yang kini lebih dikenali sebagai Jalur Gemilang dikibarkan, semua orang memberikan tabik hormat.
“Saya lihat wajah Tunku begitu berseri-seri selepas upacara malam itu, begitu juga dengan wajah-wajah rakyat jelata yang hadir.
“Masing-masing kelihatan begitu beremosi. Saya juga tidak terkecuali, ternyata perjuangan saya selama ini menyedarkan masyarakat tentang betapa pentingnya kemerdekaan telah berbalas,” ujarnya yang kini bergelar Datuk dan memegang jawatan Pengerusi Tetap Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Negeri Sembilan.
PADA usia 86 tahun Siti Rahmah masih cergas dan mampu menjalankan tugasnya sebagai Pengerusi Tetap Perkim Negeri Sembilan.


Episod kemerdekaan negara tidak terhenti begitu sahaja. Keesokannya, kira-kira 20,000 rakyat jelata berkumpul di Stadium Merdeka untuk menantikan pengisytiharan kemerdekaan negara secara rasmi.
“Malam itu saya dan suami menginap di rumah seorang kenalan lama di ibu kota. Tepat pukul 5.30 pagi, kami sudah berada di pekarangan stadium sambil menantikan upacara bersejarah yang bakal diadakan.
“Ketika itu terbit kebimbangan mengenai kisah serangan bom seperti didakwa oleh polis-polis cawangan khas British benar-benar terjadi, bagaimanapun dari mula hingga akhir majlis berjalan lancar,” jelasnya.
Menurut Siti Rahmah, upacara penuh simbolik di hadapan tetamu-tetamu kehormat seperti wakil kerajaan British dan wakil Raja-Raja Melayu jelas menandakan penjajahan British telah berakhir.
“Di atas pentas, saya melihat Tunku begitu segak dengan pakaian berwarna hitam Muskat ketika membaca watikah kemerdekaan. Ia diikuti laungan kemerdekaan sebanyak tujuh kali.
“Saat itu tiada kata-kata yang mampu diucapkan. Saya hanya mampu mengucapkan syukur kepada Allah di atas apa yang berlaku.
“Biarpun negara kini telah mencapai kemerdekaan selama 54 tahun, tidak bermakna perjuangan saya telah selesai. Saya akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan,” ujar serikandi terbilang itu.
_______________________________
Selamat menyambut hari kemerdekaan. Semoga Malaysia terus aman dan bertambah aman. Insya-Allah.

Isnin, Ogos 29, 2011

Salam Aidilfitri 1432 Hijriah

Insya-Allah, jika tiada aral melintang, esok, 30 Ogos 2011 umat Islam akan menyambut 1 Syawal 1432Hijriah.

Ramadhan kali ini akan meninggalkan kita. Untuk tahun yang akan datang entah dapat entah tidak untuk kita mengecapi Ramadhan lagi. Ada hamba Allah menangisi pemergian Ramadhan kerana sayangnya mereka pada bulan mulia ini. Bulan yang penuh rahmat inilah tapak semaian benih bekalan akhirat. Ada juga yang melompat riang kerana Syawal yang bakal menjelma akan menyaksikan kemenangan menghadapi ujian Allah.

Apapun perasaan, apapun ujian, ini semua daripada Allah. Mudah-mudahan Ramadhan yang dilalui itu penuh dengan kegembiraan.

Tiada apa yang berubah untuk raya tahun ini. Sama seperti tahun yang lalu kawe akan merayakan hari mulia ini tanpa sesuatu yang istimewa. Tapi ini tidak bermakna kawe kecewa. Cuma teringinkan "sesuatu" yang masih lagi dalam pengetahuan Allah. Entah dapat entah tidak. Raya tetap raya.

Jika diimbas kembali raya pada masa kecil memang menarik. Kawe percaya kita berkongsi kegembiraan yang sama. Main bunga api, kumpul duit raya, melaram dengan pakaian baru dan macam-macam lagi.

Kegembiraan alam dewasa memang berbeza walaupun bukan seratus peratus. Tapi bezanya turut ada.

Kawe pernah beraya di perantauan. Tiga kali menyambut 1 Syawal jauh dari keluarga. Itu cerita 3-4 tahun lalu. Kini raya bersama keluarga.

Bagi rakan-rakan; ada yang beraya dengan keluarga baru, ada yang beraya tanpa ahli keluarga yang pergi menemui Allah terlebih dahulu. Macam-macam cerita dan cara.

Itu secebis cerita raya masa kecil. Kini melangkah dewasa, ceritanya juga turut berubah.

Apapun perubahan kita tetap kita. 

Salam Aidilfitri 1432Hijriah. Semoga amal kita di bulan Ramadhan diterima Allah. Insya-Allah.

Senario - Puasa dan raya

Senario - Seminggu berhari raya

Selasa, Ogos 23, 2011

Harta karun






RATUSAN tahun dahulu, ribuan kapal telah belayar merentasi Selat Melaka dan Laut China Selatan. Destinasi mereka adalah untuk mencari tanah baharu namun sebahagian besar daripadanya ingin berdagang dengan dunia luar.
Tidak hairanlah pada abad ke-15, perairan laut negara dipenuhi kapal yang membawa banyak barang dagangan. Sungguhpun begitu, tidak semuanya selamat sampai ke destinasi yang dituju.
Ada kapal yang karam di lautan sama ada disebabkan bocor terlanggar batu karang, dibedil dalam peperangan atau dipukul ribut.
Sejak dari zaman penjajahan Portugis, Belanda, British sehinggalah ke Jepun, semakin banyak kapal yang membawa pelbagai harta karam di perairan negara.
Pakar arkeologi yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Dr. Adi Taha pernah berkata, keadaan geografi dan sejarah perdagangan di Tanah Melayu menyebabkan ia memiliki banyak khazanah maritim berupa kapal karam dan harta karun.
“Bagaimanapun, ia bukanlah jongkong atau berlian sebaliknya pinggan mangkuk yang diperbuat daripada seramik, tembikar, senjata, wang syiling selain pelbagai barang dagangan pada zaman itu,” katanya.
Gading gajah
Antara usaha terawal dalam kerja mencari kapal karam di dasar laut dilakukan sekitar penghujung 1970-an apabila Kerajaan Terengganu bersama Jabatan Muzium dan dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menemui bangkai kapal karam tentera Jepun berhampiran Chendering.
Kapal yang karam kerana terkena tembakan peluru berpandu itu tenggelam kira-kira 30 meter di dasar laut. Kerja penyelaman dijalankan dan lakaran bentuk kapal itu berjaya dihasilkan.
Sementara itu, antara penemuan terbesar dalam kerja mencari kapal karam di dasar laut dicatat pada 1980-an apabila bangkai kapal dagang Risdam ditemui di perairan Mersing, Johor.
Kapal dagang milik Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) seberat 520 tan itu dibina pada tahun 1713 dan didapati karam pada 1727 akibat kebocoran.
Khazanah harta kapal karam yang ditemui dalam kapal itu adalah 90 batang gading gajah, kira-kira 100 jongkong timah dan dua tembikar Thailand.
SUDAH terbenam di dasar laut untuk tempoh lama, sauh ini asalnya dipenuhi dengan teritip.


“Operasi menyelamat khazanah kapal karam atau salvaj telah dijalankan oleh H.C Besancon iaitu ahli Butch East Wreck Foundation.
“Mereka mendesak kerajaan Belanda supaya satu rundingan dilakukan dengan kerajaan Malaysia untuk melakukan salvaj namun tidak berjaya.
“Akibatnya, mereka melakukan salvaj secara haram.
“Atas nasihat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, laporan itu telah dihantar kepada Ketua Pengarah Jabatan Muzium dan Antikuiti, Jabatan Kastam dan Eksais serta Kerajaan Negeri Johor,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan, Jabatan Muzium Negara, Samsol Sahar.
Tidak menolak tanggapan bahawa muatan kapal karam memiliki nilai komersial tinggi, bagi Jabatan Muzium, ia sangat berharga kepada negara, jelas Samsol.
Biarpun Risdam pernah diteroka pada tahun 1984, namun kerja-kerja sistematik mengikut kaedah arkeologi maritim hanya dimulakan pada tahun 1995 apabila Jabatan Muzium dan Antikuiti membuat kerja-kerja menyelamat khazanah terhadap kapal perang Belanda, Nassau di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Serpihan artifak yang ditemui oleh para nelayan ketika memukat ikan menjadi petanda ada kapal karam di situ.
Berbulan-bulan
Berkongsi pengalaman tentang bagaimana operasi salvaj dilakukan, pembantu muzium, Mohd. Suparman Mohd. Miskan berkata, ia tidak semudah kerja ekskavasi di daratan.
“Walaupun ada ratusan kapal yang karam di perairan negara, setakat ini Jabatan Muzium baru melakukan operasi salvaj ke atas 13 buah kapal dengan bantuan pakar dari syarikat swasta.
“Sebelum turun membuat kerja-kerja salvaj, banyak perkara yang perlu kami lakukan. Ini termasuk mengenal pasti lokasi kapal karam menggunakan pengimbas sisi sonar.
“Bukan mudah untuk menjumpai kapal karam kerana ia sudah ditimbusi pasir. Ada kapal tenggelam sehingga 63 meter di dasar laut.
“Keadaan seperti itu menyebabkan kami terpaksa mengambil masa sehingga berbulan-bulan sebelum dapat berjumpa dengan lokasi tepat,” katanya yang mengangap batu dan kayu balak dapat mengelirukan sistem pencarian yang digunakannya.
“Apabila sampai ke lokasi tepat, kami akan memasang grid menggunakan tali dan besi bagi memudahkan skala pencarian dan kerja mendokumentasi.
“Selepas semuanya selesai, baru kami menyelam untuk mencari dan mengumpulkan artifak,” katanya yang sudah lebih 10 tahun terlibat dalam operasi salvaj.
Ular
Selain menyelamat, artifak yang ditemui perlu didokumentasikan.
SETIAP artifak yang ditemui mempunyai kisah sejarah yang tersendiri.


“Seperti di darat, kami akan melukis penemuan di setiap tapak grid mengunakan pensel dan papan slip khas untuk mendapat gambaran lebih jelas tentang sejarah kapal tersebut,” katanya.
Selain Suparman, Mohd. Edry Awang Gani yang juga pembantu muzium, turut terlibat dalam misi salvaj.
“Kami akan turun secara berkumpulan dan bergilir-gilir.
“Kami tidak boleh terlalu lama di dasar laut kerana tangki oksigen boleh bertahan di antara setengah jam hingga satu jam sahaja,” katanya.
Di samping menyelam dan melukis, para penyelam akan memasukkan semua barang yang dijumpai ke dalam bakul sebelum ditarik ke atas.
Sampai saja tiba di atas, artifak yang kebanyakannya seramik dan porselin akan asingkan mengikut jenis sebelum dibersihkan.
“Ada artifak yang perlu direndam dengan air suling untuk membuang garam.
“Ada juga yang tidak boleh terdedah kepada persekitaran daratan dan terpaksa direndam untuk tempoh yang lama seperti hulu pedang dan sarung keris,” katanya yang mengakui kerja salvaj telah mengubah persepsinya tentang apa yang mungkin ada di dasar laut.
“Di bawah sana memang gelap, bahkan boleh dikatakan sangat gelap sehinggakan ada kawan di sebelah pun kita tidak perasan.
“Pernah juga ada penyelam daripada syarikat swasta yang dipatuk ular laut. Kami juga terdedah dengan sengatan obor-obor.
“Namun, seronok juga bekerja di bangkai kapal yang telah menjadi tempat tinggal ribuan ikan dan batu karang,” katanya.

Rabu, Ogos 17, 2011

Riadah bulan puasa

Gambar 1
Tengok gambar di sebelah. Gambar ini diambil pada bulan Ramadhan ini. Kelihatan dua remaja sedang main bola. Walaupun berpuasa tidak menghalang mereka untuk berkejar ke sana ke mari. Tapi ada juga yang tak puasa. Ini riadah mereka pada sebelah petang, sambil menunggu waktu berbuka. Kalau bulan lain lagi ramai remaja di atas tanah lapang ini, termasuk kawe.

Teringat waktu remaja dulu, di sinilah kawe. Sama seperti mereka. Bezanya kami lebih ramai daripada itu. Siap boleh lawan lagi, main dua gol. Sekarang kawe masih remaja lagi, tapi remaja tua.

Selain tidur petang pada bulan puasa (atas alasan penat dan letih kerana puasa) aktiviti inilah yang kawe dan rakan-rakan lakukan. Setakat berlari sikit-sikit pada sebelah petang bukan masalah bagi kami. Bukan penat sangatpun. Lagipun habis main, balik rumah, duduk-duduk sekejap terus waktu berbuka.

Gambar 2
Aktiviti lain adalah "berperang". Mercun sana sini, letup itu dan ini termasuk meledakan tahi lembu. Bunyi dentuman mercun diiringi gelak ketawa. Tapi kawe main mercun yang kurang bahaya. Yang kurang powernya.

Seronok jugalah. Boleh juga hilangkan bosan dan lapar. Nak tolong-tolong mak di dapur itu bukan kepakaran kawe. Tugas lelaki beli barang-barang masakan apa yang patut dan apa yang disuruh, kemudian keluar beraktiviti.

Segilintir remaja yang lain (bukan di kalangan kami) akan beraksi di jalan raya seakan litar perlumbaan. Rumah kawe berdekatan dengan salah satu "litar" utama bagi golongan Samseng Jalanan (kawasan Pengkalan Chepa) mempamerkan aksi. Bila tiba bulan puasa "litar" lurus sepanjang dua kilometer (lebih kurang) menjadi tumpuan sama ada "pelumba" mahupun penonton. Tapi kawe bukanlah peminat pelumbaan haram ini.

Apa yang kawe lakukan adalah dengan main bola atau takraw walaupun ada yang kata kami tak puasa. Kami yang main, kami yang rasa. Sekarangpun kawe masih seperti dulu. Jika ada kesempatan kawe akan turut serta bersama "juniors" di tanah lapang ini. Tanah lapang yang memang menjadi padang bola sepak dan takraw kami.

Gambar 3

Gambar 4
Gambar 5

Gambar 6
Padang kecil yang bersebelahan kubur dan jalan raya ini menjadi gelangang kami. Tendangan yang kuat akan melantunkan bola ke kawasan kubur (gambar 3 & 6). Tapi ini lebih selamat jika dibanding dengan sebelah satu tiang gol lagi; berhampiran jalan raya (gambar 1). Beberapa kali bola melintasi jalan raya. Sudah berapa biji bola pecah dilanggar dan dipijak kereta. Nasib baik bola saja yang pecah. Setakat ini kenderaan dan orang belum lagi pecah.

********************************
Di sebalik riadah puasa tahun ini, ada sesuatu yang baru dalam hidup kawe sekeluarga. Keadaan ibu yang sakit (baca catatan ini) awal tahun ini sedikit merencatkan suasa puasa. Tapi alhamdulillah, keadaan ini bukanlah sesuatu yang berat. Kami dapat atasinya dengan baik.

Selasa, Ogos 16, 2011

Cerita bola: Ekoran tiada ganjaran dari kerajaan Kelantan

Bukan meminta, sekadar pengorbanan dihargai 
 

KOTA BHARU – ‘Bukan meminta tapi sekurang-kurangnya biarlah pengorbanan kami dihargai’, mungkin itulah ungkapan yang tepat diluahkan barisan pemain skuad The Red Warriors mengenai keputusan Kerajaan Kelantan yang tidak berhasrat memberikan ganjaran di atas kejayaan muncul juara Liga Super, baru-baru ini.

Reaksi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Insan, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fattah Mahmood dalam kenyataannya baru-baru ini menjelaskan, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan tidak mahu mengambil sikap terlalu memanjakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan pemainnya biarpun berjaya membawa pulang piala kejuaraan itu ke bumi negeri ini.

Ketua Pasukan Kelantan Muhd Badhri Radzi berkata, kejayaan skuad The Red Warriors muncul juara Liga Super musim ini seharusnya diberi penghargaan memandangkan Kelantan tidak pernah bergelar juara sejak piala tersebut dipertandingkan.

“Bukan bermaksud mengatakan Kerajaan Negeri tidak pernah bantu kita selama ini. Mereka juga sentiasa membantu selain pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sendiri yang banyak berkorban menjaga kebajikan pemain. Tapi, apa salahnya pemain yang berjasa diberikan sedikit penghargaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Bagi penyerang, Norshahrul Idlan Talaha, turut senada dengan berharap pihak Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan memberikan penghargaan sewajarnya kepada pemain Kelantan yang mencipta sejarah muncul juara buat kali pertama pada musim ini.

“Muncul juara Liga Super seumpama kita memenangi Piala Malaysia. Kedua-dua piala tersebut merupakan piala paling berprestij dalam pentas bola sepak negara. Setidak-tidaknya dengan adanya ganjaran dapat menaikkan semangat para pemain untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia sekali lagi pada musim ini,” katanya.

Bek kental, S Subramaniam yang berasal dari Perak mengakui sedikit terkilan kerana segala penat lelah selama ini membawa pasukan The Red Warriors menjulang piala buat pertama kali itu seolah-olah tidak dihargai.

“Walaupun itu hak Kerajaan Negeri dalam menentukan sesuatu pemberian tetapi tidak ada salah sekiranya jasa dan pengorbanan pemain dihargai kerana mengharumkan negeri ini.

Sementara itu, Mohd Daudsu Jamaluddin pula berkata, kejayaan bergelar juara menjadikan ianya satu sejarah yang harus dikenang dan menganggap pihak Kerajaan Negeri wajar menghargainya tanpa mengambil kira fahaman politik yang berbeza.

“Bukan mudah untuk kita muncul juara, kita bukan bermain 10 perlawanan tetapi mengharungi 26 perlawanan yang begitu padat sepanjang tujuh bulan.

“Tidak semudah itu untuk kita muncul juara setelah dikecewakan pada musim lalu apabila sekadar menjadi naib juara musim lalu,” katanya. -Sumber dari: www.sinarharian.com.my
_________________________________________

Wajarkah pemain meluahkah kata-kata begitu? Kata-kata yang dikatakan terkilan. Wajarkah kerajaan negeri Kelantan beranggapan tidak mahu memanjakan pemain dengan wang ringgit atau ganjaran?

Kerajaan negeri Kelantan bukan seperti kerajaan negeri lain, yang kaya raya dengan aset.
Ada baiknya wang yang ada diperutukan untuk pembangunan negeri. Dilebihkan untuk golongan yang lebih berhak seperti anak-anak yatim, rumah kebajikan ataupun untuk infrastruktur dalam negeri.

Purata gaji pemain adalah lebih empat angka. Ditambah dengan elaun atau bonus menjadikan empat angka itu makin membesar. Dengan kejayaan merangkul kejuaraan seperti Juara Liga, Naib Juara Piala FA, Juara Piala Malaysia, angka empat telah lebih membesar dan membiak. Kemudian ditambah pula dengan sokongan peminat yang sentiasa membajiri stadium sudah pasti ia akan menambahkan lagi pendapatan persatuan seterusnya menambahkan poket pemain. Tidak cukup?

"Bukan meminta tetapi sekurang-kurangnya biarlah pengorbanan kami dihargai". Adakah penghargaan itu dengan ganjaran wang ringgit? Pemain bercakap pasal pengorban. Pengorbanan pemain dan persatuan menaikan nama Kelantan di arena bola sepak tempatan. Pengorbanan itu memang tidak dinafikan.

Bagaimana pula dengan pengorbanan peminat dan penyokong? Penyokong yang sentiasa memberi sokongan padu untuk setiap perlawanan. Bagaimana pula agaknya "mereka" ingin menghargai peminat? Adakah dengan membawa kemenangan dan piala itu dianggap penghargaan kepada kami?

RM12 harga sekeping tiket terbuka; di antara termahal di Malaysia. Ada atau tidak dalam perancangan KAFA untuk menghargai peminat dengan menurunkan harga tiket? Separuh harga. Atau potongan 30 - 40%. Atau sekiranya "penghargaan" ini dilakukan KAFA akan bangkrap? Cuba tengok pasukan lain. Berapa harga tiket mereka? Adakah mereka mengalami kerugian yang membawa kepada kemiskinan?

Setelah Kelantan diangkat, pemain dijulang. Kemudian pemain akan mendapat habuan dari pelbagai sumber. Tapi adakah peminat juga mendapat habuan seperti mana pemain dapat?

Penyokong akan berhabis duit dan keringat serta tenaga. Kemudian? Pemain akan berhabis keringat dan tenaga. Kemudian ada habuan menanti.

Tidak cukup lagikah dengan wang ada?; Untuk apa ganjaran tambahan?; Untuk perbelanjaan hari raya?

Ramai lagi yang berhak menerima ganjaran dan habuan. Atau lebih tepat yang berhak menerima sumbangan.

Sekarang kerajaan negeri agaknya sedang mengumpul dana untuk projek lebuh raya Kuala Krai - Kota Bharu. Ini juga perancangan untuk memberi "penghargaan" bukan saja kepada pemain malah lebih besar kepada rakyat.

Ada baiknya kerajaan negeri memberi ganjaran kepada yang LEBIH BERHAK..


Walau apapun situasi dan keadaan pasukan KELATE tetap di hatiku.. Moga-moga Piala Malaysia tidak berpindah tangan untuk tahun 2011.

Ahad, Ogos 14, 2011

Berakhirnya hayat seorang penggali kubur

Ini kisah betul. Bukan cerita "Penggali Kubur" lakonan Nasir Bilal Khan. Kisah seorang penggali kubur di kampung kami. Usia terakhirnya lewat 30-an.

-Gambar hiasan daripada google
Pagi semalam Sufian Hj. Ibrahim (kawe tak pasti nama sebenarnya. Orang kampung panggil Pian) rasa pening-pening kepala. Hampir tengah hari dia tiba-tiba pengsan di perkarangan madrasah. Semalam madrasah adakan majlis berbuka puasa. Untuk itu ada qariah surau yang gotong-royong buat persiapan, termasuk allahyarham.

Allahyarham sempat dibawa ke hospital. Tapi akhirnya roh dan jasad allahyarham terpisah jua pada bulan yang penuh berakah ini, 13 Ramadhan, 1432 Hijriah.

Emak allahyarham sebelum ini ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah. Kebiasaannya emak allahyarham akan pergi selepas raya Aidilfitri, tapi tahun ini emak allahyarham pergi awal. Sehari sebelum pemergian allahyarham, emaknya pulang ke tanah air. Sudah tersurat dalam ketentuan Allah bahawa allahyarham Pian mahu bertemu dengan ibunya terlebih dahulu sebelum mangadap Allah.

Sakit tidak, demam tidak, tiba-tiba ajal datang. Tiada siapa yang tahu tiada siapa yang menduga dalam hal kematian.

Sebelum ini dialah yang menggali kubur orang. Kini orang pula yang menggali pusara untuk dia. Jenazah dikebumikan lebih kurang pukul 10:00 malam, lepas solat sunat Teraweh, berdekatan dengan pusara ayahnya. Sewaktu jenazah diturun ke dalam liang lahad ada tangisan kecil kedengaran. Tangisan seorang gadis. Mungkin anaknya. Tangisan yang tidak mampu ditahan tatkala orang tersayang dijemput Allah.

Semoga rohnya tenang dan dicucuri berakah Allah. Al-fatihah ...
____________________
Akill Hayy - Selimut putih

Kadang-kadang terlintas juga ingin menemui Allah seperti Pian. Malaikat maut datang menjemput pada bulan yang penuh rahmat, penuh berakah.

Indahnya kematian jika seperti ini...

Ajal ketika sujud

Meninggal sewaktu bertazkirah?

Bagaimana cara sekalipun mati, di sini jua akhirnya ..
-Gambar hiasan daripada google
Ini juga: Pasal kematian