Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Isnin, Ogos 30, 2010

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Seperti biasa mata aku sukar untuk lelap. Dan kesempatan ini aku cuba coretkan sesuatu yang telah lama aku tinggalkan; bagaikan menulis sebuah karangan pada waktu sekolah. Dan karangan aku tika ini berkisar mengenai "MERDEKA"!!

Setiap Ogos kita akan segera teringat (malah diingatkan) kepada bulan kemerdekaan. Dan tahun ini kita sekali lagi diingatkan dengan kemerdekaan negara. Namun setelah 53 tahun merdeka kadang-kala kita keliru apa itu makna di sebalik perkataan "merdeka".

Sebut saja perkataan "merdeka" pasti ramai yang menggangguk tanda faham. Tetapi dalam anggukan itu kadang-kadang kita lupa dan kita cuba mengeskploitasi perkataan "merdeka" itu dengan konatasi yang berbeza. Secara mudahnya "merdeka" itu bermaksud sesebuah negara atau negeri atau wilayah bebas dari penjajahan kuasa asing. Ia juga bermaksud kepada individu yang bebas dari pengaruh (tidak lagi diperintah/ menjadi hamba suruhan) sesiapa.

Kita kadang-kala menggunakan kalimah "merdeka" tidak kena pada tempatnya. Sebagai contoh seorang pelajar sekolah atau IPT akan melaungkan "merdeka" setelah tamat peperiksaan akhir. Hal ini seolah-olah peperiksaan itu suatu penjajahan ke atas pelajar. Seorang anak akan melaungkan "merdeka" ketika ibu bapanya tidak ada di rumah, seolah-olah ibu bapa itu penjajah asing yang sering menjengkelkan anak-anak.

"Merdeka" juga membolehkan kita bebas melakukan sesuatu tanpa terikat dengan mana-mana kuasa. Hal ini merujuk kepada situasi sebelum tahun 1957, di mana negara kita ditadbir oleh beberapa kuasa asing. Sebelum 1957, segala hal yang ingin dilakukan mesti mendapat kelulusan pihak berkuasa (penjajah). Setelah 1957, penjajah tidak lagi berhak memerintah itu dan ini. Ini bermakna kita mempunyai hak kebebasan untuk melaksanakan apa yang terbaik untuk kita. Tetapi makna "merdeka" itu dipergunakan oleh sesetengah pihak dan individu untuk melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang. Misalnya seorang pengguna jalan raya dengan bebasnya menyalahi undang-undang apabila tidak mematuhi undang-undang jalan raya. Seorang anak dengan bebasnya bergaul dengan sesiapa, bebas melakukan sesuatu tanpa mempedulikan orang tua mereka.

Di sebalik "merdeka" itu juga sebenarnya kita tidak benar-benar bebas kerana kita ada aturan yang perlu diikuti. Mengambil contoh mudah, seorang anak perlu mengikut aturan ibu bapa, rakyat perlu ikut aturan pemerintah selagi mana tidak menyalahi syariat Islam. Dan yang paling utama mengenai aturan adalah aturan daripada Pencipta.

Merdekakah kita? Setelah diperhalusi kita sebenarnya telah kembali dijajah dalam bentuk yang lain terutama dalam pemikiran, tingkah laku dan beberapa perkara lagi. Persoalan penjajahan fikiran juga mempunyai konatasi berbeza bagi setiap individu. Secara mudahnya pemikiran dan tingkah laku kita sering membelakangi aturan pemerintah, ibu bapa, malah membelakangi aturan Allah. Apakah maksudnya? Kadang-kala kita terikut-ikut budaya sonsang barat. Kita mengagungkan sesuatu yang tidak patut kita agungkan. Kita sanjung seseorang yang tidak patut kita sanjung. Itu sebagai contoh; malah masih banyak lagi contohnya yang tidak mungkin aku nyatakan di ruangan yang terbatas ini.

Makna "merdeka" membawa konatasi yang berbeza, tetapi asasnya sama iaitu bebas tanpa dipengaruhi. Walau apapun maknanya kita seharusnya tidak merosakkan maksudnya untuk kepentingan diri. Manfaatkan "merdeka" itu dengan seadil-adilnya.

Ini adalah secebis fahaman aku terhadap "merdeka". Sesiapapun bebas membuat andaian apa itu "merdeka" mengikut fikiran masing-masing.

*Untuk mengenali apa itu "merdeka" kita tentu boleh saja merujuk mana-mana buku, makalah dan sumber-sumber yang ada.

Cerita Bola: Kelantan vs UiTM

Agak lama aku tidak berbicara tentang bola sepak Kelantan. Kali ini aku ingin mengulas mengenai perlawanan persahabatan di antara Kelantan menentang UiTM. Lewat malam tadi (10:30 mlm) Kelantan menerima kunjungan juara Liga IPT 2010, UiTM. UiTM pasukan baru yang bakal menyertai Liga FAM 2011, setelah berjaya menjadi johan pada peringkat IPT. Namun juara IPT itu kecewa dengan kekalahan 1-5.

Kehadiran penonton walaupun tidak seramai seperti biasa namun bagi aku agak memuaskan; ruang astaka agak ramai jugalah. Tempat terbuka tidak dibuka pada kali ini. Mungkin kerana lawan kali ini bukan bertaraf bintang, mungkin juga kerana kekangan bulan puasa, mungkin juga kerana cuaca hujan seketika; penyokong berkurangan.

Jaringan Indra, Akmal, Badri, Che Hishamuddin dan Khairan Eroza menjadi momentun Kelantan untuk mengharungi cabaran Liga Malaysia yang akan bermula 14 September nanti. Aku tidak sempat melihat jaringan awal Indra kerana lewat sampai ke stadium. Sepakan leret Akmal dari luar kotak penalti membolehkan Kelantan mendahului dengan 2-1. Kemudiannya hasil gerakan menarik Norfarhan mengelirukan pertahanan UiTM dan bijak menghantar bola tepat ke kepala Badri untuk jaringan ketiga Kelantan. Jaringan ketiga oleh Che Hishamuddin yang membuat sepakan leret setelah menerima hantaran Wan Zaman. Hishamuddin hampir melakukan jaringan kedua tetapi dibentes oleh penjaga lawan di dalam kawasan penalti. Dan pengadil menghadiahkan sepakan penalti. Khairan Eroza menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Keseluruhan permainan agak biasa. Tiada perubahan drastik. Cuma ada beberapa pemain yang masih "kekok" dan "malu-malu". Seperti biasa, barisan pertama diturunkan untuk separuh masa pertama. Ketiadaan Khairul Fahmi membolehkan Syed Adney diturunkan. Bekas penjaga gol Malaysia itu terkedu seketika dengan jaringan tunggal UiTM. Agak menarik juga jaringan itu; bola melepasi betul-betul kepala Adney sebelum mencium palang dan menerjah gawang.

Hairuddin Omar yang masuk mengantikan Akmal pada separuh masa kedua tidak mempamerkan aksi menarik. Beberapa percubaan yang dilakukan agak lemah. Walaupun lawan Hairuddin bukan pemain berpengalaman tetapi Hairuddin masih terkial-kial untuk menemui rentak. Nizab Ayub diberi peluang pada separuh masa kedua, tapi kelibatnya tidak sedikitpun menggerunkan pertahanan lawan. Kemudiannya, Che Hisyamuddin dibawa masuk mengantikan Nizab. Walaupun berehat panjang akibat kecederaan siku (cedera ketika lawan Perak, 1 Jun lalu; Che Hishamuddin cedera), Hishamuddin mampu memberi persembahan terbaik. Percubaan pertamanya ke arah pintu gol membolehkan Kelantan mendahului 4-1.

Shahrizan Ismail, yang lama berehat (tidak pasti apa puncanya direhatkan) dan tidak pernah diturunkan pada musim ini, dibawa masuk mengantikan Adney. Tugasnya agak mudah kerana bola yang sampai kearahnya tidak lebih lima atau enam kali. 

Keseluruhannya, Kelantan banyak mendominasi permainan. Tetapi kerancakan separuh masa pertama tidak berlanjutan pada separuh masa kedua.

Sabtu, Ogos 28, 2010

Chuchoh Puteri B

RPT Chuchoh Puteri A dan B, 18000, Kuala Krai, Kelantan, satu kampung yang menjadi tempat aku mengenal A,B,C; Alif, Ba, Ta. Dibuka (diteroka) pada lewat tahun 1960-an - awal 1970-an di bawah Rancangan Pembangunan Tanah KESEDAR. Jaraknya lebih kurang dua jam perjalanan dari Kota Bharu. Satu kampung yang biasa saja tetapi indah pada pandangan ku. Aku sekeluarga tinggal di  Chuchoh Puteri B (juga dikenali dengan Blok B). Setelah berhijrah ke Kota Bharu pada penghujung 1997, desa tercinta itu aku kunjungi sekali sekala, itupun pada musim buah-buahan.


Hampir empat tahun aku tidak pulang ke sana. Dan semalam aku berpeluang. Walaupun hanya beberapa jam di desa tercinta sedikit sebanyak mengundang kenangan lalu bermain di ingatan.


Kini ada perubahan yang ketara terutamanya Sekolah Kebangsaan Cuchoh Puteri (berada di Blok B). Jaraknya lebih kurang 1KM dari rumahku. Bermula dari darjah satu sehinggalah darjah lima aku (dan juga adik beradik yang lain) berjalan kaki ke sekolah. Dan sebahagian besar murid-muridnya juga berjalan kaki, kecuali murid dari Blok A (jaraknya lebih kurang 3-4KM). Uniknya SKCP ini, ia mempunyai asrama. Dengan bayaran RM5.00 sebulan aku juga sempat mengecapi alam asrama ketika darjah enam. Tinggal di asrama memberi pengalaman baru kepada ku. Di sini aku mengenal erti berdikari (walaupun tidak sepenuhnya). Salah satunya adalah cuci pakaian sendiri.


Bangunan yang baru terbina di segenap ruang kawasan. Jika dulu hanya bangunan teres terdiri, kini ia bertingkat-tingkat. 13 tahun dahulu dan tahun-tahun sebelumnya murid-muridnya dianggarkan sekitar 400 orang. Kini dengan pertambahan bangunan baru bermakna murid-muridnya telah bertambah.


Sungai yang dulunya menjadi lokasi penting untuk memburu ikan sungai dan tempat utama melakukan gaya bebas, kuak kupu-kupu, acara terjun dan sekali sekali dijadikan medan peperangan tanah liat; kini hanya tinggal kenangan. Kedalamannya mula berubah sehingga hanya separas betis. Semak samun kelihatan di sekitar tebing muaranya.


Di sini bekalan airnya dari tadahan air bukit. Dengan bayaran RM0.50 setahun (selalunya jarang dibayar) seluruh kampung akan menikmati bekalan air yang cukup nyaman; air bukit yang sejuk dan putih jernih. Bila tiba tengkujuh, saluran air akan tersumbat dan ini akan mengganggu aktiviti harian penduduk. Dan sungai akan menjadi satu lokasi yang paling sibuk waku itu. Bagaikan tempat reaksi, ia dipenuhi oleh pengunjung sama ada untuk mandi-manda, membasuh dan aktiviti rafting pelampung tiup lori.


Di sungai ini juga tersimpan nolstagia pahit pertama dalam hidup aku. Difitnah membunuh!! Ya, membunuh. Membunuh seekor anak kambing. Peristiwa itu berlaku pada tahun 1994, sewaktu aku darjah 3M. Entah dari mana puncanya aku tiga bersaudara dituduh menyebabkan kematian seekor anak kambing. Tuan kambing itu tinggal berhampiran sungai. Suratan atau kebetulan hari itu aku dan saudara ku bersendirian mandi sungai. Esoknya sewaktu di sekolah (di waktu rehat) aku diajukan soalan yang lebih mirip kepada tuduhan; "Kenapa kau bunuh kambing aku?". Tuduhan itu dilempar oleh pekerja kantin sekolah, anak perempuan pakcik yang kematian kambing itu (aku masih ingat nama keluarganya tapi malas untuk nyatakan di sini).


Di dalam kelas aku diejek dan ditertawakan oleh beberapa rakan sekelas kerana "membunuh". Di kampung keluarga ku juga terkena tempias. Namun ibu dan ayah aku lebih kenal siapa anak-anaknya; mana mungkin kami yang melakukan pembunuhan itu. Dipendekkan cerita; kisah itu berakhir dengan sendiri. Dan beberapa tahun selepas itu (setelah kami berpindah ke Kota Bharu) barulah "keluarga kambing" tersebut bertegur sapa dengan ibu aku (walaupun tiada ucapan maaf kerana mereka menuduh, tapi dengan teguran itu kisah pembunuhan itu berakhir). Namun, dalam tempoh konfrontasi itu anak lelaki penuduh itu adalah rakan sepermainan kami adik beradik. Hubungan kami tiada masalah.


Kisah kambing itu adalah secebis cerita sahaja. Tersimpan sejuta kenangan yang masih segar dalam ingatan.


Pulang ke desa menenangkan jiwa ku seketika. Kesibukan kota, deruman enjin kenderaan, dan tiupan angin bandar, ditinggalkan seketika. Dan ini menenangkan jiwaku yang sedikit bergelora selama ini.


Sungai Besar/ Bijih
Sungai di atas bukan sungai yang menyimpan kenangan pahit aku. Ini adalah salah satu sungai yang ada di Chuchoh Puteri. Saiz lebarnya yang jauh berbeza dengan sungai-sungai yang ada menjadi sebab mengapa sungai ini dinamakan Sungai Besar. Dikenali juga dengan Sungai Bijih kerana berhampiran dengan kawasan bijih (aku tak pasti bijih timah atau besi). Kawasan bijih ini wujud sebelum aku lahir lagi.


Jambatan Sungai Besar
Jambatan ini penghubung kepada beberapa penduduk (termasuk kami sekeluarga) untuk ke kebun getah dan kebun buah. Dulunya jambatan ini binaan kayu. Dek kerana sering dilimpahi air sungai ketika tengkujuh, jambatan ini kian usang. Kini ia diganti dengan binaan konkrit.

Selasa, Ogos 24, 2010

Ujian DNA dedahkan Hitler mungkin keturunan Yahudi





ADOLF HITLER



Kosmo!

BRUSSELS - Ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) ke atas ahli keluarga pemimpin Nazi di Jerman, Adolf Hitler menunjukkan bahawa dia mungkin berketurunan Yahudi dan Afrika Utara, lapor sebuah akhbar semalam.

Penemuan itu mengejutkan kerana Hitler bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan penduduk berketurunan Yahudi pada zaman Perang Dunia Kedua.

Hitler mati dengan menembak dirinya semasa jerman kalah dalam perang Dunia Kedua.

Majalah Knack yang beribu pejabat di Brussels mendakwa DNA yang diambil daripada saudara Hitler yang tinggal di Amerika Syarikat (AS) telah membawa kepada penemuan tersebut.

Seorang wartawan, Jean-Paul Mulders mengumpulkan DNA daripada kain napkin yang digunakan oleh salah seorang daripada tiga pewaris Hitler yang tinggal di Long Island, New York.

Kejayaan DNA itu menyebabkan seorang petani di Austria yang hanya dikenali sebagai Norbert H. dan merupakan sepupu kepada diktator Jerman tersebut berjaya dijejaki.

Mulders mendapatkan khidmat pakar sejarah Marc Vermeeren untuk mencari Norbert di Waldviertel, Austria. Norbert H. memberikan Vermeeren dan Mulders sampel air liurnya.

Dengan menggunakan sampel Norbert dan DNA daripada kain napkin itu, Mulders mendakwa terdapat hubungan antara kedua-dua lelaki itu.

Namun, DNA jenis Haplopgroup E1b1b (Y-DNA) yang ditemui pada kedua-dua lelaki itu jarang dijumpai di Jerman dan Eropah Barat.

"Ia lazimnya ditemui dalam penduduk Barbar di Maghribi, Algeria, Libya dan Tunisia termasuk puak Yahudi Ashkenazi dan Sephardic," kata Mulders.

"Itu merupakan keputusan yang mengejutkan. Sukar diramalkan bagaimana penyokong dan penentang Hitler menerima maklumat ini," kata pakar genetik, Ronny Decorte yang mengesahkan hasil ujian terbabit dan menegaskan bahawa kemungkinan Hitler juga mempunyai darah keturunan Afrika Utara.

Menurut majalah Knack, DNA itu diuji dalam kondisi makmal yang ketat. - Agensi

Apa khabar sahabat?

Dingin sungguh malam ini,
Dan sukar mata ku lelapkan,
Lalu ku cuba coretkan secebis lembaran buatmu . . .

Itu adalah satu bait kata daripada Ukays, berjudul Kekasihku di Menara. Liriknya menyentuh mengenai percintaan yang tidak kesampaian apabila sang kekasih berubah hati. Tapi lagu itu tiada kaitan sedikitpun dengan cerita aku kali ini. Cuma aku tertarik dengan bait awalnya. Dan bait itu juga seolah-olah menggambarkan perasaan aku malam ini tatkala jari-jemari meraba-raba papan kekunci komputer.

Sukar aku untuk melelapkan mata apabila mengenangkan sahabat-sahabat yang telah lama tidak aku temui. Suka duka bersama sahabat tetap segar dalam ingatan walaupun telah lama aku menyendiri. Bukan kerana sombong, bukan kerana berkecil hati, tapi aku ingin menyendiri. Menyendiri kerana belum bersedia untuk bersua atau bertanya khabar. Mengapa? Setakat ini aku gagal dalam merancang hidup, aku gagal dalam kepedihan. Kegagalan ini memasksa aku menyendiri.

Ke mana agaknya mereka sekarang? Bagaimanakah kedudukan sahabat semua? Entah sihat entah tidak. Itu semua aku tidak ketahui. Walaupun begitu aku sentiasa mendoakan semuanya beroleh rahmat dan keredhaan-Nya dalam segenap bidang yang diceburi.

Isnin, Ogos 23, 2010

Masjid dan fobia 11 September



Utusan Malaysia 22/08/2010


Kontroversi pembinaan masjid dan pusat Islam di sebelah tapak World Trade Center atau Ground Zero menunjukkan Barat sengaja tidak mahu memahami Islam. Barat melihat Islam itu adalah al-Qaeda, Taliban dan Parti Baath di Iraq sebelum kejatuhan Saddam Hussein. Maka apabila ada rancangan membina masjid di sebelah World Trade Center yang menjadi abu diserang oleh puak radikal pada 11 September 2001, ini dianggap sebagai monumen "kejayaan" Islam membunuh lebih 3,000 mangsa yang berada di bawah runtuhan itu.

Amerika Syarikat (AS) menjaja keterbukaan mereka kepada kebebasan beragama, tidak kira Islam, Kristian dan sebagainya. Semua penganut mendapat hak yang sama dan ini termaktub dalam perlembagaan negara itu. Tetapi keterbukaan itu ditutup dengan prejudis dan salah tanggapan terhadap Islam apabila sebuah masjid mahu didirikan bersebelahan Ground Zero. Ini menunjukkan Barat yakni AS tidak memahami Islam dan wujudnya pihak mengaut keuntungan politik seolah-olah bersimpati dengan keluarga mangsa tragedi 11 September 2001. Kontroversi yang berlaku ini bukan disebabkan reaksi marah menjelang ulang tahun kesembilan leburnya World Trade Center. Sebaliknya ini indikator kepada prejudis Barat terhadap Islam.

Penentangan pembinaan masjid ini memperlihatkan senario sosio-politik yang sangat bahaya sekaligus boleh mencetuskan ketegangan AS dengan dunia Islam. Barat tidak berusaha untuk memahami kompleksiti, kepelbagaian dan nuansa dalam dunia Islam. Ini adalah kegagalan Barat yang sangat besar dan lebih teruk lagi apabila menyekutukan puak radikal itu sebagai tindakan Islam yang sebenar. Kalau situasi ini diletakkan dalam dunia Kristian, adakah wajar untuk melabelkan Boston Roman Katholik misalnya sebagai puak radikal yang membuat bom untuk Tentera Republikan Irish (IRA)? Atau adakah wajar penganut Kristian Ortodoks semuanya dituduh terlibat dalam jenayah perang di Serbia atau semua Southern Baptist terlibat dengan pembunuhan doktor-doktor yang melakukan pengguguran?

Tokoh di sebalik rancangan pembinaan masjid dan pusat Islam ini adalah Feisal Abdul Rauf yang memimpin Cordoba Initiative. Beliau seorang sarjana dan pemikir sufi. Barat mesti memahami bahawa seorang sufi sentiasa menentang sebarang bentuk keganasan. Malah Barat juga perlu tahu bahawa dalam banyak gerakan radikal dalam Islam, golongan sufi yang sering menjadi sasaran kerana mereka menolak keganasan dan menyintai keamanan tanpa mengira warna kulit dan agama. Maka tindakan calon gabenor New York dari Republikan, Rick Lazio menuduh Faesal Abdul Rauf mempunyai hubungan dengan organisasi radikal sebagai modal politik untuk menangani hati penyokong yang majoriti bukan Islam.

Isu pembinaan masjid dan pusat Islam yang menelan belanja AS$100 juta itu juga menjadi gelanggang "tinju" bagi parti Demokrat dan Republikan meraih sokongan pada pilihan raya akan datang. Penentangan pembinaan masjid ini juga membuktikan wujudnya penindasan terhadap Islam di AS. Lebih teruk lagi apabila mengaitkan penyerang World Trade Centre dengan masyarakat Islam di AS dan seluruh dunia.

Peluru
Kontroversi ini dinyalakan oleh Republikan kerana mempunyai peluru untuk menyerang Presiden Barack Obama dari parti Demokrat. Golongan pembangkang yang bertanggungjawab membina persepsi serong rakyat terhadap Islam. Merekalah yang menggambarkan seolah-olah masjid itu sebagai satu monumen Islam dan menghina keluarga mangsa runtuhan World Trade Centre. Ini adalah kesengajaan untuk mengaitkan Islam dengan puak-puak radikal yang kebetulan beragama Islam. Pada masa yang sama apa yang berlaku ini adalah rentetan prejudis lampau Barat terhadap apa saja yang dilabelkan Islam adalah radikal, teroris dan perosak tamadun manusia.

Kalau tidak masakan sebuah masjid dan pusat Islam di New York ini menjadi isu nasional dan antarabangsa? Isu yang semakin menyala dan bakal meletus sesuatu di luar jangkaan ini mendedahkan sikap tersembunyi Barat terhadap Islam. Golongan penentang menganggap masjid yang akan dibina itu sebagai monumen Islam sekaligus "kejayaan" menyerang AS. Pemimpin pembangkang dari Republikan, Newt Gingrich misalnya menganggap Obama cenderung kepada radikal Islam apabila setuju dengan pembinaan masjid itu.

Dalam satu majlis berbuka puasa dengan pemimpin Islam di White House baru-baru ini, Obama menganggap pembinaan masjid itu bawah bidang Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg. Beliau setuju dengan pembinaan masjid itu kerana selaras dengan perlembagaan negara yang memberikan layanan sama rata kepada semua agama. Tetapi kenyataan seorang Presiden dari Demokrat begitu cepat dipintas oleh Republikan untuk menyekutukan Obama dengan radikal Islam seperti al-Qaeda dan Taliban. Tetapi hakikatnya masjid dan pusat Islam diusahakan oleh Cordoba Initiative dan dilabelkan sebagai "harta persendirian" yakni bukan milik kerajaan. Ini adalah daya usaha masyarakat Islam di AS khususnya New York dan tidak ada kaitan dengan tragedi sembilan tahun lalu itu.

Kebebasan
Sama seperti Lazio, Gingrich membina persepsi rakyat khususnya keluarga mangsa tragedi 11 September 2001 bahawa penentangan pembinaan masjid itu adalah sama dengan menentang monumen tentera Jepun di Pearl Harbour dan monumen Nazi di Muzium Holocaust di Washington. Padahal puak radikal yang menyerang itu bukan mewakili Islam dan pembinaan itu pula bukan monumen di tapak yang pernah berlaku tragedi. Ketidakjujuran berpolitik seperti ini memberikan implikasi sangat buruk kepada generasi masa kini dan masa depan di AS.

Pemimpin politik AS perlu melihat bahawa kelulusan kepada Cordoba Initiative sebagai bukti amalan kebebasan beragama dilaksanakan seperti dalam dalam perlembagaan. AS merupakan antara negara yang paling banyak menonjolkan diri sebagai wira hak kebebasan beragama dan bersuara. Di AS seolah-olah semua orang tidak kira agama dilindungi oleh hak asasi mereka. Tetapi kenapa apabila tiba kepada pembinaan masjid di sebelah Ground Zero, kebebasan kepada Islam itu diambil balik padahal perlembagaan membenarkan penganut Islam mempunyai rumah ibadat dan pusat masyarakat.

Pemimpin politik dari Republikan sangat tidak bertanggungjawab apabila mempolitikkan isu masjid dan pusat Islam ini. Semua orang tahu senapang mereka mahu dihalakan kepada Obama dan Demokrat tetapi kesannya mewujudkan tembok antara Islam dan Barat. Selain Gingrich dan Lazio, bekas Gabenor Alaska yang juga calon Naib Presiden dari Republikan 2008, Sarah Palin juga mengambil peluang untuk "mengislamkan" Obama dan menakut-nakutkan bukan Islam. Sarah Palin menentang kerana menganggap masjid "tidak sesuai" di sebelah Ground Zero yang tragedinya dilakukan oleh orang Islam. Apakah maknanya kalau tidak melabelkan semua Islam adalah radikal?

Kesimpulan daripada kontroversi masjid dan pusat Islam ini adalah sikap prejudis Barat terhadap apa saja yang dikaitkan dengan Islam. Tragedi serangan World Trade Centre sudah pun dijadikan lesen oleh George W. Bush untuk menyerang negara Islam yang merdeka. Dengan mengaitkan Islam sebagai penyerang, Bush menyerang Afghanistan dan Iraq.

Sabtu, Ogos 21, 2010

Firaun Tut mati kesan sumbang mahram






GAMBAR fail menunjukkan wajah Firaun Tutankhamun yang dihasilkan dengan menggunakan teknik membina semula muka daripasa imbasan mumianya oleh pasukan pakar dari Perancis.






KAHERAH - Kematian mengejut Firaun Tutankhamun pada usia 19 tahun didapati berpunca akibat tubuhnya yang lemah kerana dia dilahirkan hasil daripada hubungan sumbang mahram melibatkan keturunannya, kata beberapa saintis.
Sejak bertahun-tahun lalu, pakar-pakar cuba membongkar misteri kuno mengapa firaun remaja berkenaan yang memerintah Mesir selama 10 tahun meninggal dunia sebelum usianya mencecah 20 tahun.
Namun, kini sepasukan penyelidik dengan bantuan mesin pengimbas tomografi paksi berkomputer (CT), ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan maklumat arkeologi, mempercayai nasib yang menimpa Firaun Tutankhamun yang turut dikenali sebagai Tut adalah kerana ibu bapanya merupakan pasangan adik-beradik.
Ujian DNA membuktikan bapa Firaun Tut meniduri salah seorang daripada lima adik-beradik perempuannya sekali gus menyebabkan tubuh anaknya mewarisi gen berbahaya yang melemahkan daya ketahanan badan di samping boleh mengancam nyawanya.
Keadaan serupa dapat dikesan dalam kalangan zuriat yang lahir hasil perbuatan sumbang mahram.
Sebelum ini, Firaun remaja itu dipercayai meninggal dunia akibat kemalangan dan penyakit. - Agensi

Jumaat, Ogos 20, 2010

Surat

Bila posmen melintas je depan rumah aku mesti berdebar-debar dan takut. Macam mana tak berdebar-debar, bimbanglah kalau ada surat-surat yang tidak diingini sampai.

Surat pertama yang aku takut adalah surat PTPTN. Kedua; surat bil internet yang tertunggak berbulan-bulan. Sahabat-sahabat yang senasib dengan aku (yang belum dapat kerja tetap) telah beberapa kali sampai surat notis dari PTPTN. Dan ada juga yang terima surat daripada pejabat peguam. Hanya dengan bayaran RM50.00 mereka "terselamat" seketika. Aku? Belum lagi sampai surat peguam; hanya notis bayaran je yang sampai. Hahai.. Aku pun tak tahu berapa banyak bayaran yang tertunggak. Apa yang pasti aku tak pernah sekalipun buat bayaran. Hahaha... Agaknya "bunganya" akan naik melambung. Hah..Kepada pihak PTPTN, tunggu je la ye..

Surat kedua dari Celcom. Aku percaya Celcom Broadband yang aku langgan akhir tahun lalu dah kena potong berbulan-bulan yang lalu. Surat terakhir dari Celcom adalah tuntutan bayaran akhir dan dari pejabat peguam. Biasalah, kalau dah lama tak jelaskan hutang dah tentu Celcom akan hantar surat peguam. Hahaha... Aku pun dah ingat berapa RM yang akhir tu kena jelas.

Surat yang tak pernah aku dapat, dan yang aku duk tunggu-tunggu tak juga sampai-sampai. Surat temuduga kerja. Mungkin belum masanya lagi kut. Kalau ada rezeki tak ke mana la gamaknya.

Semalam aku terima satu surat yang tak pernah aku dapat. Tapi bukan pasal temuduga. Surat notis dari CIMB. Dah lama aku tak berurusan dengan CIMB, jadi pihak bank akan menamatkan perkhidmatan. Hah..yang ini aku tak kisah sangat. Tapi kalau difikir-fikir balik rugi juga la kena tamatkan perkhidmatan. Baki dalam tu ada lagi RM8.15. Kalau nak keluarkan comfirm tak dapat tu. Haha..

Hemm.. Itu semua surat dunia. Surat tuntutan dan surat jawapan. Itu juga surat peringatan. Bagaimana pula dengan surat ingatan dari Allah agaknya? Kita pun tak tahu bila agaknya Izrael akan menghantar surat jemputan temuduga dengan Allah. Bila surat temuduga kerja diterima, bila surat tuntutan sampai, bila surat kekasih disambut, kita sentiasa beringat dan sentiasa bersedia. Dan kita juga akan diberi masa, tarikh, dan waktu yang sesuai untuk menjawab surat-surat tersebut. Tetapi adakah kita telah bersedia jika dipanggil temuduga dengan Pencipta? Dan kita tidak tahu bila masanya kita akan dipanggil untuk sesi temuduga di hadapan-Nya. Apa yang pasti temuduga dunia kita boleh lakukan muslihat, helah mahupun pengaruh. Tapi dengan Illahi ...


UNGU - Andai Ku Tahu

Khamis, Ogos 19, 2010

Hmm.. Apa ek?

Ehm.. Apa ek.. Sebelum online tadi macam-macam perkara yang aku nak katakan, tapi bila dah online idea tu hilang tiba-tiba. Inilah salah satu sifat manusia yang kadang-kala cepat "hilang ingatan". Tetapi apa yang pasti itu bukan bukan kehendak kita.

Ehm..lama juga tak online blog ni. Internet dah kena "potong". Sebenarnya dulu guna laptop, pastu "ambil" line wifi Petronas - 150 meter - berdekatan rumah. Bila laptop takda, maka terputuslah dengan dunia siber. Bila dunia siber terputus maka sedikit sebanyak merencatkan persahabatan. Yelah, adanya IT ini dapat jugalah berhubung dengan sahabat-sahabat ysng jauh. Walaupun begitu aku sesekali tidak melupakan sahabat jauh, apatah lagi yang dekat. Tetapi alhamdulillah sekarang aku guna wireless abdapter yang disambung ke PC Desktop aku. Boleh tahan juga la linenya. Dan persahabatan dihangatkan kembali.

Ehm..sejak dari dulu lagi aku ni payah sangat nak lelap mata waktu malam atau dalam bahasa sainsnya (mungkinlah) dikenali sebagai insomnia. Ada yang kata imsonia ni terjadi sebab kerap tidur siang hari, jadi payahlah nak tidur malam. Suratan atau kebetulan aku memang suka tidur siang hari. Tetapi kalau aku tidak tidur siang sekalipun mata aku payah juga nak lelap malam. Imsonia lah juga. Ehm..jadi kadang-kadang sampai ke pagi mata ni masih lagi terkebil-kebil.

Sejak akhir-akhir ni juga aku masih begitu. Di sebalik itu juga tidur aku terganggu kerana memikirkan sesuatu. Fikiran masih lagi kusut akibat kesilapan dan kealpaan lalu. Ya, masih. Bila terfikirkan perkara-perkara itu, aku makin payah nak lelapkan mata. Tetapi bila dah lelap, susahlah pula nak celik. Orang kata pengalaman itu "guru" yang sejati. Pengalaman itu akan mendidik kita untuk menjadi lebih dewasa. Hah.. sekarang ini pengalaman aku belum lagi betul-betul menjadi guru aku. Atau mungkin pengalaman itu telah lama menjadi guru aku, cuma aku tidak sedar. Mungkin suatu hari nanti aku akan menyedarinya. Harapannya begitulah, agar tidur ku kembali tenang dan normal..

Bila mata tak mahu lelap, ada kalanya sampai ke pagi, aku biarkan saja sehingga mata ini mengalah. Apabila hampir Subuh, bagaikan pintu lif, mata tiba-tiba mengantuk. Aku gagahkan semangat untuk sujud kepada Allah terlebih dulu sebelum lelap. Dan sering kali juga aku lalai dan biarkan mata lena tanpa mempedulikan suara azan. Ya, itulah aku..

Ramadhan 1431H, 2010M, memberi sedikit kekuatan. Bila malam mata tak mahu lelap, aku biarkan saja sehinggalah bersahur. Ramadhan yang menjelma juga memberi kekuatan untuk aku sujud kepada Allah tatkala azan Subuh berkumandang.

Ya.. Ramadhan ini satu rahmat. Mata yang sukar lelap, dan Subuh yang tertinggal sebelum ini; sekurang-kurangnya mengingatkan aku kepada Pencipta. Tetapi aku masih lalai dan cuai apabila solatku sering dibaluti dengan fikiran dunia. Ya begitu.

Ehm.. Mungkin ini semua sebagai ujian untuk aku terus tabah.. Tidaklah Allah bebankan umat-Nya melainkan ia mampu ditanggung..

Khamis, Ogos 12, 2010

Harapan Ramadhan kali ini

Untuk sekian kalinya Ramadhan menjengah lagi tahun ini. Ramadhan 1431 Hijriah sekali lagi didatangkan oleh Allah SWT untuk ummat Nabi Muhammad. Hah! Aku juga masih diberi nafas oleh Allah untuk mengecapi Ramadhan al-mubarak ini. Semoga Ramadhan kali ini aku menjanjikan sesuatu yang berharga buat aku. Dalam tempoh dua tahun ini aku masih lagi tercari-cari kesempurnaan hidup seperti orang lain. Namun kuasa Allah adalah penentu segalanya. Mudah-mudahan Ramadhan ini menjadi bulan rahmat buat aku untuk menghadapi hidup yang akan mendatang. Aku percaya setiap insan di dunia ini ada jalan ceritanya tersendiri. Aku akan cuba mengambil keberkatan Ramadhan untuk terus menikmati hidup yang lebih sempurna...Dan buat sahabat ku semua aku juga mengharapkan mereka juga diberi nikmat dan kesempurnaan yang dihajati.