Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Sabtu, Oktober 11, 2014

Cerita Bola 2014: Selamat tinggal piala

10 Oktober 2014 telah menjadi penamat buat Kelantan dalam kancah bola sepak Malaysia musim ini. Pertarungan separuh akhir kedua di antara Kedah - Kelantan menyaksikan Kelantan kecundang dengan agregat 4-3. Baiklah...ringkas.

2014 serba tidak menjadi buat Kelantan. Satu persatu saingan gugur dengan cara yang tidak berapa disukai oleh ramai peminat dan penyokong.Bermula dengan Piala FA, Kelantan kecundang kepada Felda. Saingan Liga Super Kelantan berada di luar kelompok empat terbaik. Dan yang terkini pulang kecewa dengan dan sedu.
..............................................................................


PENYERANG Kedah, Khyril Muhymeen ( tengah) dihalang dua pemain Kelantan pada aksi suku akhir kedua di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi yang menyaksikan Kedah menang 3-0.

KELEBIHAN bermain di gelanggang sendiri dipergunakan sepenuhnya oleh Kedah apabila berjaya melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas Kelantan pada perlawanan suku akhir kedua saingan Piala Malaysia 2014 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi.
Seperti dijangka, kedua-dua pasukan dilihat ‘lambat panas’ dan bermain terlalu berhati-hati pada babak-babak awal perlawanan sehingga menyebabkan bola lebih banyak berlegar di tengah padang.
Barisan pertahanan pasukan tuan rumah yang diketuai ketua pasukan, Khairul Helmi Johari nyaris dihukum pada minit ke-29, namun percubaan penyerang berbisa Kelantan, Francis Forkey Doe tersasar melepasi palang gol.
Tersentak dengan percubaan itu, jentera serangan Helang Merah yang diketuai Billy Mehmet Osman mula mengatur gerakan ke kubu pasukan lawan.
Hasilnya pada minit ke-42, pasukan Kedah berjaya menjaringkan gol pertama menerusi pemain tengah Mohd. Hanif Mohd. Zahir.
Gol berpunca daripada hantaran silang Billy sebelum Mohd. Hanif yang tidak dikawal berjaya menolak masuk ke kiri gawang Kelantan, menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Kelantan yang mula mengatur gerakan selepas jaringan pertama itu nyaris menyamakan kedudukan pada minit-minit terakhir separuh masa pertama menerusi Mohd. Shawqi Ali, namun percubaanya tersasar.
Ketika perlawanan separuh masa kedua bermula, pasukan Kedah yang mendapat sokongan padu lebih 30,000 penyokong setia dilihat lebih banyak mengasak dan menguasai kawasan tengah.
Pada minit ke-51, pemain tengah, Badrol Bakhtiar menambah derita Kelantan apabila menambah gol kedua pasukannya.
Cemas dengan situasi itu, skuad kendalian George Boateng itu dilihat mula mempamerkan corak permainan keras terhadap pasukan tuan rumah.
Hasilnya, Kelantan terpaksa bermain dengan sepuluh pemain selepas Ahmad Fakhri Saarani dibuang padang oleh pengadil perlawanan selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-70.
Baddrol hampir menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini pada minit ke-82 selepas mendapat hantaran daripada Mohd. Syafiq Ahmad, bagaimanapun tendangannya melepasi palang gol.
Kedah mencipta kemenangan bergaya, sekali gus memastikan tiket ke separuh akhir Piala Malaysia terjamin, selepas Mohd. Syafiq Ahmad menjaringkan gol ketiga pada minit ke-88 selepas menerima hantaran dari Adam Griffith.
Dengan kemenangan tersebut, Kedah mara dengan kelebihan agregat 4-3.
Pada aksi suku akhir pertama di Kota Bharu minggu lepas, Kedah tewas 1-3.
Dalam satu lagi aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Termerloh, Pahang malam tadi, Selangor gagal meneruskan kemaraan ke separuh akhir selepas mencatat keputusan seri 3-3 dengan Felda United.
Keputusan tersebut membolehkan Feldsa United mara dengan kelebihan agregat 7-3 selepas meraih kemenangan 4-0 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Shah Alam minggu lalu.
Gol-gol Selangor pada aksi malam tadi dijaringkan oleh Paulo Rangel pada minit ke-30 dan 61, Andik Vermansah (m-52) manakala gol Felda United pula dihasilkan oleh Edward Junior Wilson (m-48 dan m-68) serta Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-84.
Perlawanan suku akhir kedua itu turut dicemari dengan gelagat penyokong pelawat yang membakar suar dan membaling mercun ke kawasan padang.

Sabtu, September 20, 2014

Bukan tak biasa kecewa


“Dalam kita melangkah, terkadang diuji dengan ujian yang terasa berat hingga kita terduduk dan menangis. Peritnya terasa.  Tapi ketahuilah dan renunglah kembali ke dalam diri kerana mungkin air mata tika itu hadir kerana dia mahu kita menjahit kembali sejadah iman yang kian terkoyak lantaran ada langkah-langkah yang tersasar daripada keikhlasan”

Itu antara bait-bait teristimewa daripada sahabat kawe. Waktu itu Facebook belum glemor, Friendster hampir pupus, Yahoo Massager jarang-jarang buka. Dengan sms la kita menyampaikan pesanan dan ingatan.

Bercakap tentang kecewa tiada yang terlepas daripada merasa kecewa. Setiap orang pernah merasa kecewa. Secara mudahnya kawe mengadaikan pedih dan sakit dalam kekecewaan itu sama sahaja di antara kita. Yang membezakan adalah punca kita kecewa. Begitu juga dengan rasa gembira dan bahagia. Dengan contoh mudah adalah rasa kenyang. Setiap orang merasa kenyang selepas makan. Sama ada kenyang sekenyang-kenyangnya atau kenyang sekadar mengalas perut. Persoalannya “rasa” kenyang. Yang membezakan kita adalah apa yang kita makan yang menjadi punca kita kenyang.

Bercakap tentang kecewa kawe turut merasai peritnya kecewa. Dari hujung kaki hingga hujung rambut kepala terasa bergegar. Tangan dan kaki terasa sejuk dan kebas. Denyutan nadi seakan tersekat. Dengupan jantung begitu pantas. Sukar untuk lelapkan mata. Bila bangun dari tidur fikiran kusut kembali. Paling menakutkan kekecewaan itu terbawa-bawa ke alam separa mati iaitu alam mimpi. Punyalah kecewa kita yang tanggung.

Bagaimana cara kawe hilangkan kecewa? Ia mengambil masa yang sangat lama. Bertahun-tahun. Apa yang kawe buat adalah berserah dan redha. Mengakui kesilapan. Tidak salahkan sesiapa. Yang lebih penting adalah jangan salahkan ALLAH kerana mengizinkan kekecewaan itu hadir dalam hidup kita. Cukup memeritkan untuk hilangkan kecewa, tapi percayalah bebanan yang kita hadapi ini sebenarnya cukup untuk kita hadapai. Allah tidak bebankan hamba-Nya melainkan beban ini mampu ditanggung oleh kita.

Alhamdulillah kekecewaan itu hadir kembali. Mengapa alhamdulillah? Sebabnya itu tanda dan ingatan Allah untuk kawe kenal pasti dosa yang kawe lakukan sama ada secara sedar ataupun tidak. Ini ingatan untuk kawe.

Mungkin sahabat-sahabat juga pernah merasai rasa inikan?

Sabtu, September 06, 2014

Masa yang hilang

Catatan yang hanya beberapa kali sahaja tahun ini. Kesibukan duniawi ditambah dengan kelembaban liputan "selkong" ni menyebabkan semangat untuk ber"blog" seakan terhenti. Kehidupan yang diimpikan belum berjalan di landasannya. Sedikit teleka dan lagha menyebabkan kita seakan layu dan kuyu... Begitulah hidup kitakan.. Kadang-kadang perancangan agak baik tapi pengakhirannya sangat buruk. Dan adakalanya belum sampai akhirpun telah tersungkur membaham bumi.

Errmmm... Itu mukadimah untuk catatan yang tidak seberapa ni. Hanya terfikir akan kehidupan yang mendatang. Walaupun kawe belum menyembah bumi tersungkur tapi semangat itu tetap ada. ..kerana ini semua adalah ketentuan daripada Allah. Baiklah, kata-kata itu sebenarnya tidak jelas. Tidak mengapa, biarkan tergantung di situ.

Untuk sekian kalinya kawe terfikir dan terlintas bagaimana untuk menghadapi masa akan datang? Bagaimana orang yang selalu gagal menjalani kehidupan mereka? Bagaimana mata masyarakat sekeliling memandang? Atau sekurang-kurangnya bagai mana sanak saudara mereka memandangnya?

Ahh..itu semua kehendak Allah. Allah tidak akan membebani hamba-Nya melainkan dengan kemampuan sendiri. Kawe selalu juga meletakan kalimah itu untuk menjinakkan hati yang sedikit gusar.

Baik. Kehidupan kawe sekarang ada sedikit perubahan dari masa-masa yang lalu. Kehidupan seorang anak, seorang sahabat dan seorang teruna. Ooooo itu yang kawe jalani saban hari. Alhamdulillah, kurnia Allah dalam pelbagai cara. Mempunyai keluarga yang cukup menenangkan hati, memiliki sahabat yang sejati dan bujang yang sikit gelisahkan hati. Hahahaha...

Kehidupan mesti diteruskan. Masa tidak akan berpatah balik.. Masa yang hilang tidak akan kembali.. ;-D

Cahaya dan hujan kadang-kadang memberi satu simbolik kesuraman dan kecerahan..

Rabu, Jun 11, 2014

Sedar tak sedar

Siang atau malam kehidupan mesti diteruskan. Jangan hanya menanti siang untuk berjalan. Jangan mengharapkan siang untuk terus selesa. Yang pasti siang dan malam itu ada jalannya masing-masing.
.. Sedar tak sedar sudah masuk setengah tahun 2014. Rasanya baru sahaja melangkah ke tahun 2014. Laluan 2014 kadang-kadang kawe tak nampak. Hari beralih minggu, minggu bertukar bulan, bulan menjejak tahun. Hingga kini sudah enam bulan dilalui. Sepanjang tempoh itulah kawe tak nampak jalan itu. Yang nampak kalendar Januari telah berakhir lama dulu.

Berada di pertengahan tahun begini bermakna baki setahun tidak lama lagi. Angka 14 bakal bertukar ke 15. Entah sempat atau tidak. Sedar tak sedar juga Ramadan 1435 Hijriah juga bakal menjelma beberapa dari sekarang. Hari ini 11 Jun 2014 bersamaan 13 Sha'aban 1435 Hijriah. Siapa sangka siapa menduga siapa sempat untuk kembali merehatkan perut daripada terus bekerja menghadam makanan jasmani.

Sedar tak sedar juga Syawal akan menjelma. Walaupun terasa masih lagi panjang tapi hakikatnya Syawal itu tetap dekat setelah Ramadan datang. Insyaallah Syawal 1435H kali ini sedikit berlainan dalam hidup kawe. Syukur . . .

Semoga Ramadan dan Syawal yang bakal menjelma ini ada membawa berjuta erti dan . . .

Ahad, Mei 25, 2014

Titi pilihan

Kita umpama arus elektrik yang berlalu di laluannya. Sekiranya tersasar dari laluan yang ditetapkan maka bahaya bakal menanti. Tergelincirnya arus di laluan yang bukan laluannya itu mengingatkan kita untuk sentiasa berada pada jalan yang benar ...

Wwau telah berbulan tidak menjenguh laman ni. Terasa sangat kemalasan dan ketandusan idea. Lebih terasa dengan semangat yang hilang. Mengapa menghilang? Biarkan saja. Biarkan berlalu.

Perubahan hidup kadang-kadang mendatar. Tapi Alhamdulillah belum menjunam ke juram. Semakin hari semakin terasa “datarnya” itu. Tapi tak mengapa kerana mendatar atau menengak itu adalah kehendak-Nya.

Aaah begitulah hidup kita. Yang mendatar atau menegak. Malah ada yang menjunam. Apa yang pasti janganlah kita meletakan setiap yang menjunam itu kerana kealpaan Allah. Atau yang menegak itu dia atas kepintaran kita.

Sedar tak sedar kita sebenarnya mencorak diri sendiri. Jalan yang dipilih sendiri. Tapi mesti diingat juga apa yang kita pilih itu adalah ketentuan Allah. Allah jualah meletakan pilihan untuk kita memilih. Andai kita pilih jalan buruk maka buruklah destinasinya. Andai jalan itu baik sudah tentu baik jua penghujungnya.

Dalam memilih jalan yang baik kita sebenarnya diuji dan dicuba. Bukan mudah untuk ke destinasi yang sempurna. Ranjau dan onak mesti dilalui. Yang sabar dan tabah pasti bertemu kejayaan. Yang pasti mereka yang redha dengan ujian Allah pasti bertemu rahmah.

Oooooo ;-D sebenarnya kawe cuba mentafsir diri dalam berjalan ke jalan yang diberi pilihan. Cuba menasihati diri sendiri …

Rabu, Januari 15, 2014

Kangkung Najib dapat liputan antarabangsa

Lawak ‘kangkung’ Najib turut jadi berita antarabangsa


Gara-gara kenyataan kontroversi perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai harga kangkung yang turun di pasaran menyebabkan beliau bukan sahaja  dikritik hebat oleh rakyat bahkan turut mendapat liputan media antarabangsa.
Portal berita online BBC melalui kolum "#BBC Trending: Be careful what you say about spinach" (berhati-hati apa yang anda katakan tentang kangkung) menyiarkan, semenjak video kenyataan Najib itu dimuat naik, ia dijadikan bahan lawak dan antara topik hangat dibincangkan dalam laman sosial.
Dalam portal tersebut menyifatkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan memuncak apabila perdana menteri mengeluarkan kenyataan tidak sensitif tatkala kenaikan harga barang dan perkhidmatan seperti gula dan tarif elektrik di Malaysia.
"Di kala kemarahan rakyat terhadap kerajaan kerana kenaikan harga dalam perkara asas seperti bahan api dan elektrik, Perdana Menteri memilih untuk bercakap mengenai penurunan harga kangkung sebagai contoh bahawa tidak semua harga naik di Malaysia.
"Ia menyebabkan Najib dikritik hebat apabila rakyatnya bergelut dengan peningkatan kos sara hidup, namun terpaksa melihat korupsi dan perbelanjaan mewah kerajaan Malaysia," seperti yang dipetik dalam portal tersebut.
Selain itu, BBC turut melaporkan bahan lawak kangkung juga menjadi satu fenomena apabila ribuan memberi komen di laman sosial seperti di Twitter, manakala di Facebook pula, laman akaun ditubuhkan dengan pengikutnya mencecah 10,000 orang.
Tambah portal itu, ekoran daripada reaksi luar biasa rakyat ke atas isu tersebut juga menyaksikan video ucapan Najib diubah menjadi lagu, dan lebih daripada itu, Tshirt tertera 'Keep Calm and Eat Kangkung' dihasilkan.
Portal itu juga berkata tindakan Najib itu dilihat memberi peluang kepada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bersama rakyat mentertawakan kerajaan.
Presiden Umno tersebut dalam sebuah video yang dimuat naik bertarikh 12 Januari 2014, mempersoalkan mengapa kerajaan dipersalahkan tatkala harga barang naik, tetapi ketika harga turun tidak pula dipuji.
"Bila harga barang naik, sawi naik, kangkung naik. Ada masa dia naik, ada masa dia turun.
"Hari ini saya baca dalam surat khabar ada yang dah turun. Kangkung dulu naik sekarang dah turun, apabila dah turun kenapa tak puji kerajaan, masa naik dipersalahkan kerajaan. Ini tidak adil," kata Najib yang dipetik berkata dalam video tersebut.
Video yang tersebar luas tersebut boleh ditonton di sini.

Kangkung turun harga
Kenyataan Najib bukan kali pertama mendapat kritikan dan cemuhan daripada pengguna laman sosial dan rakyat, malahan menteri Kabinet beliau juga sebelum ini dikritik hebat kerana kenyataan yang tidak memahami sensitiviti rakyat yang bergelut dengan kenaikan harga barang.
Antara kenyataan menteri Kabinet yang menerima kritikan ialah kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek sebelum ini berkata jangan makan ayam sekiranya harga ayam mahal dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata pengguna jalan raya boleh menggunakan jalan alternatif bagi mengelak tol yang dijangka naik.
Kenaikan harga bahan api, tarif elektrik, air dan gula mewujudkan kesan domino yang menyebabkan harga banyak barang lain meningkat. – 15 Januari, 2014.
...............................................
..dalam kemeriahan rakyat membicarakan tentang kangkung sehingga dijadikan tajuk penghibur rakyat, saya rasa ada beberapa soalan yang lebih serius patut dikemukakan; pada persepsi kerajaan penurunan kangkung takdir Tuhan semata atau usaha kerajaan? Jika ia satu usaha kerajaan -sebab musabab-, boleh atau tidak kaedah yang telah berjaya menurunkan harga kangkung diguna pakai ke atas sayuran dan keperluan asasi rakyat yang lain..mungkin kerajaan boleh kongsi formula yang membolehkan harga kangkung turun untuk ahli-ahli ekonomi mengkaji formula itu untuk dilaksanakan ke atas bahan-bahan yang lain. Ini mungkin membantu. -Dr MAZA

Isnin, Januari 06, 2014

Kata pertama Januari 2014

SYUKUR kepada ALLAH sedar tak sedar kita telah melangkah ke angka baru iaitu 2014. Teringat zaman muda remaja dulu ketika tahun 2000, pernah terfikir sempatkah angka 1 dan ke atas dikecapi. Ooo..kini 13 tahun berlalu. Ahh bukan itu isunya sekarang. Ceritanya bagaimana akhir tahun 2013 ditinggalkan dan bagaimana awal Januari yang masih kita (sebenarnya kawe) lalui.

Untuk akhir 2013 kawe dan keluarga melalui sesuatu yang sama seperti tahun-tahun yang lalu dan ada sedikit perubahan. Pertamanya ibu kami masih lagi bergelut dengan masalah kesihatannya. Kedua bagaimana kami mula melangkah keluar dari jajahan Kota Bharu. Ketiga bagaimana ujian ALLAH mendampingi kami. Keempat cerita kawe yang baru menapak dalam kerjaya baru. Kelima dan keenam tak lain tak bukan mengenai bertambahnya angka umur...dan jodoh.. Opps..

Derita ibu belum berakhir apabila Allah menguji lagi. Kesihatannya adakalanya baik adakalanya menurun. Demam tiba-tiba, baik tiba-tiba. Kandungan gula dalam badan tidak stabil. Biasa juga terjadi sekiranya paras gula tinggi dia makin sihat. Yang pasti kandungan gula normal baginya adalah dalam angka belasan. Kawe tak tahu laras bahasa macam mana untuk menerangkan, bagi yang faham (golongan yang terlibat dalam bidang perubatan) mereka ada bahasanya sendiri.

Akhir 2013 juga melangkahnya kami keluar dari jajahan Kota Bharu ke jajahan Tanah Merah. Masih lagi dalam Kelantan. Sebenarnya rumah yang kami duduki sebelum ini milik makcik kami, adik ayah. Bila anak-anak makcik dan besar dewasa makcik perlu rumah yang besar. Kebetulan pula ayah ada duit sikit hasil jual rumah maka dapatlah buat rumah baru. (jual rumah kedai di kota, buat rumah baru di desa. Tak boleh cerita panjang) Di Tanah Merah ada ruang untuk mendirikan sebuah rumah; tanah milik nenek sebelah ibu. Desa baru kami Kampung Air Merbo, Jedok. Bedekatan dengan Bukit Bunga (kawasan bebas cukai), Jeli.

Perubahan tempat baru tiada masalah kerana itu juga kampung halaman kami. Cuma kenangan "mendewasa" di Kota Bharu (lebih tepat Kampung Landak, Pengkalan Chepa) selama 15 tahun sukar dilupakan. Bila diingat balik kami telah laluinya sebelum ini. Berhijrah dari Chuchoh Puteri dalam jajahan Kuala Krai ke Pengkalan Chepa, pada penghujung tahun 1997.

Ujian ALLAH sentiasa ada buat semua hamba-NYA. Itu yang kita tak boleh elak. Ibu masuk wad, berdepan masalah kesihatan, ayah yang semakin tua, itulah lumrah. Tidak terkecuali untuk ibu saja, abang juga menghadapi masalah kesihatan. Hati bernanah. Dari Putrajya, abang dan isteri serta anak-anak pulang ke kampung apabila kesihatannya tidak stabil. Kebetulan isterinya dalam pantang anak keempat. Menerima rawatan di Hospital Tanah Merah dalam seminggu lebih. Semasa cerita ini ditulis abang masih belum sihat sepenuhnya. Sekarang sudah ke perantauan. Anak sekolah, isteripun kerja, jadi mereka terpaksa "pulang" ke ibu kota.

Cerita baru kawe; bermulanya kerja dalam bidang kontraktor. Ooo bunyinya macam best je. Hahaha.. Berada dalam bidang Penyelia Keselamatan Tapak atau dalam bahasa Inggeris (yang lebih tepat) Site Safety Supervisor (SSS). Tapi tak boleh cerita banyak sebab ini baru permulaan. Entah bertahan lama atau tidak. Sebabnya...

Sebabnya banyak benda yang kawe keliru dan kelu. Banyak kerja yang tertangguh. Pihak pengurusapun dah merungut. Entahlah. Setakat hari ini kerjanya mengikut hati bukan mengikut prosidur. Hahaha.. InsyaALLAH, akan ada penambahbaikan.

Yang menjadi mencabar adalah jarak perjalanan yang kawe lalui setiap hari. Jarak dari Pengkalan Chepa (rumah lama) ke Kandis, Bachok (tempat kerja) lebih kurang 38 kilometer. Antara Kandis ke Jedok (rumah baru) 78 kilometer, atau lebih kurang 1 jam setengah perjalanan, lebih kurang dari Pengkalan Chepa ke Jedok. Dalam seminggu kawe akan bergilir merentas tiga jajahan (di Kelantan "jajahan" digunapakai untuk ganti "daerah) iaitu Pengkalan Chepa - Tanah Merah - Bachok.

Di Pengkalan Chepa kawe masih ada abang-abang dan adik yang menetap di sana. Bekerja dan sekolah di sini. Jadi perlulah menyewa rumah baru. Di Tanah Merah tinggalah ibu, ayah, dan seorang abang (ada masalah kesihatan sejak kecil - bukan yang hati bernanah tu). Tiga beranak di situ. Jadi perlulah kawe berulang alik atau lebih tepat menetap di samping ibu dan ayah. Sebabnya senang untuk menghadapi apa-apa kesulitan atau kecemasan yang mendatang. Di sini juga taklah bimbang sangat kerana makcik kami bersebelah rumah baru kami. Makcik-makcik boleh tengok-tengok ibu.

Cerita utama dan berulang setiap tahun adalah bertambahnya angka umur. InsyaALLAH esok adalah tahun ke 29 kawe diberi nafas oleh ALLAH. 7 Januari kembali lagi dalam hidup kawe. Banyak perkara yang lompang. Perlu masa untuk menutupnya. InsyaALLAH perancangan ALLAH sentiasa terbaik untuk hamba-NYA ;-).

Bila Disember bertemu Januari suatu perkara lagi dalam fikiran adalah perihal jodoh. Ooo tersenyum sendirian. Dulunya mimpi seakan benar. Senyum sendirian. Kini antara mimpi dan jodoh adalah suatu yang sukar untuk kita realisasikan. Biarkan. Urusan peneman hidup itu rahsia ALLAH sebagaimana kematian yang tiada jawapan pasti melainkan ketentuan ALLAH. Tapi alhamdulillah sunyi itu diisi dengan kehadiran sahabat-sahabat dan yang lebih penting adalah keluarga tercinta.

Baiklah.. Tirai 2014 telah dibuka. Satu kemestian (itupun dalam tiga - empat tahun sebelum ini) adalah "berjemaah" di Stadium Sultan Muhammad. Bola oh bola. Tahun ini rasanya kesempatan itu terbatas. Dengan jarak Kota Bharu dari tempat kerja kawe rasanya sukar untuk sama-sama bersorak. Biarkan. Itu masih dalam pertimbangan.