KOTA BHARU 24 Jan. - Kerajaan negeri menolak cadangan supaya seorang wakil dilantik untuk menyertai jawatankuasa pembangunan wang ihsan yang ditubuhkan bagi menentukan kaedah penyaluran wang tersebut.
Menteri besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ia disebabkan pihaknya menolak pemberian wang ihsan itu dan bertegas untuk menuntut royalti minyak seperti mana yang diperjuangkan sekarang.
Beliau berkata, kerajaan negeri sama sekali tidak akan melayan sebarang permintaan atau cadangan berhubung penyaluran wang ihsan tersebut.
''Kalau dijemput untuk runding terima wang ihsan, saya tak akan pergi, kerajaan negeri seratus-peratus akan tolak.
"Kalau nak bagi ihsan tak payah rundinglah, kerana dia paksa dan saya tidak akan terima, saya akan bagi tahu rakyat Kelantan, kerajaan pusat merampas, mencuri dan menyamun harta Kelantan, tolong doalah, supaya musnah pemimpin-pemimpin pusat yang mengada-adakannya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin bahawa sebuah jawatankuasa yang turut disertai kerajaan negeri akan ditubuhkan bagi menentukan jenis projek dan kaedah penyaluran wang ihsan.
Awang Adek dilaporkan berkata wang ihsan dijangka disalurkan kepada rakyat negeri ini pada Mac ini tetapi proses rundingan masih dijalankan pada masa sekarang.
Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas itu turut mempersoalkan cadangan Kerajaan Pusat yang mahu menyalurkan wang ihsan terus kepada rakyat dan bukannya kepada kerajaan di bawah pimpinannya.
''Beri (wang ihsan) kepada kerajaan Kelantan kerana rakyat Kelantan ini ada kerajaan, ada bendera, ada Dewan Undangan Negeri ada Menteri Besar, buat apa mereka ni semua.
''Ini mengarut kerana mereka terlampau bertuhankan duit, tidak ada duit macam tak hidup dia sedangkan duit ini kita cari daripada kekuasaan Allah, Allah buat getah, susu getah, kelapa sawit, biji sawit dan buat tanah untuk tanam kelapa sawit, hak Allah semua, kita hanya proses," katanya.
Utusan Malaysia. 25 Jan. 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..