Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Rabu, Januari 13, 2010

“Jangan main-main”

Sinar Harian. 13/01/10



SHAH ALAM – Seorang penuntut diploma sebuah kolej swasta diberkas polis malam kelmarin, selepas mendakwa dirinya terlibat dalam insiden membakar gereja yang disiarkan melalui satu kenyataannya di laman sosial ‘Facebook’.

Penuntut lelaki berusia 19 tahun itu, ditahan polis di rumahnya di Desa Mentari, Petaling Jaya pada jam 7.30 malam sebelum dibawa ke balai untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, penuntut itu kemudiannya dibebaskan kira-kira empat jam setengah selepas itu, berikutan keterangan yang dibuat menunjukkan dia tidak terlibat dalam sebarang insiden membakar gereja selain mengaku tulisannya yang disiarkan melalui laman berkenaan hanya ‘main-main’.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar ketika dihubungi semalam mengesahkan penahanan penuntut lelaki terbabit dan berkata, penahanan dibuat selepas pihaknya memperoleh maklumat berhubung tulisan atau kenyataan yang disiarkan pelajar itu dalam laman ‘Facebook’.

Menurutnya, penuntut itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis kelmarin, selepas polis berpuas hati dengan keterangan yang diberikannya.

Ketika mengulas berhubung tindakan selanjutnya yang akan diambil terhadap penuntut kolej terbabit, beliau berkata, tiada tindakan lanjut akan dikenakan terhadapnya.

Khalid bagaimanapun berkata, pihaknya berasa sangat kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab penuntut berkenaan yang dilihat sengaja memperlekehkan isu-isu seperti ini yang boleh menyebabkan ketegangan kaum dalam negara ini.”Isu seperti ini adalah isu sensitif dan tidak boleh ‘main-main’.

“Kita (polis) akan ambil tindakan tegas jika dapati ada lagi individu atau pihak-pihak tertentu yang sengaja melakukan perbuatan yang boleh memecah-belahkan keharmonian antara kaum serta agama di negara ini.

“Kita harap tangkapan pertama yang dibuat kelmarin dapat memberi pengajaran kepada semua pihak agar tidak melakukan perkara sama termasuk menyebarkan berita yang tidak benar melalui apa jua saluran sama ada menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), emel termasuk laman sosial,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Kementerian Pengajian Tinggi tidak akan memberi pelindungan atau keistimewaan kepada penuntut Institusi Pengajian Tinggi yang ditahan polis kerana melanggar undang-undang.

Mohamed Khaled berkata selepas Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) dipinda tahun lepas, penuntut institusi pengajian tinggi kini boleh didakwa berdasarkan undang-undang di negara ini.

“Apa nak buat pelajar tidak ada status keistimewaan, kalau ada AUKU dulu boleh saya protect (lindungi) tapi AUKU dah dipinda,” katanya.

Beliau berkata penuntut perlu bertanggungjawab dan tidak melibatkan diri dalam perkara yang sensitif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..