Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Isnin, Julai 15, 2013

Cerita bola 2013: Surat Piya untuk Rajagobal

Piya kemuka surat tunjuk sebab

BADHRI (kiri) bersama penolong pengurus Kelantan, Wan Badri Wan Omar (kanan) memeriksa surat tunjuk sebab dan laporan perubatan sebelum berlepas ke Kuala Lumpur di LTSIP, Pengkalan Chepa di Kota Bharu semalam.
KAPTEN Kelantan, Mohd. Badhri Radzi tidak mahu kegagalannya melaporkan diri ke kem latihan skuad Harimau Malaya sejak Khamis lalu disalaherti oleh mana-mana pihak.
Bagi mengelakkan sebarang salah faham, Badhri atau lebih senang disapa Piya mengambil keputusan untuk melaporkan diri bagi mengikut kem latihan Harimau Malaya semalam.
Piya turut membawa surat tunjuk sebab serta laporan perubatan sebagaimana yang dikehendaki Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Menurut Piya, surat tunjuk sebab serta laporan perubatan berkenaan akan diserahkan kepada FAM sebaik dia melaporkan diri ke kem latihan tersebut.
"Saya akui wujud sedikit salah faham dalam isu ini. Kegagalan melaporkan diri ke kem latihan, bukan bermakna saya ingkar kepada jurulatih (Datuk K. Rajagobal) dan pasukan.
"Saya berharap FAM dapat menerima surat tunjuk sebab serta laporan perubatan dan membuat keputusan seadilnya berhubung isu ini," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengakalan Chepa di Kota Bharu semalam.
Piya berharap keputusannya untuk melaporkan diri ke kem latihan semalam mampu menepis segala tohmahan yang mengatakan dia enggan menabur bakti bersama skuad Harimau Malaya.
Kosmo! semalam melaporkan Piya bersedia menjawab surat tunjuk sebab yang dikemukakan FAM berhubung kegagalannya melaporkan diri pada sesi latihan Harimau Malaya yang bermula Khamis lalu.
Piya berkata, dia akan mengemukakan laporan pemeriksaan kesihatan yang dibuat oleh doktor di Kota Bharu, Kelantan sehari selepas berakhirnya saingan Liga Super menentang Lions XII pada 6 Julai lalu.
Ditanya sama ada dia bersedia menggalas tugas untuk mengemudi jentera tengah skuad negara, perancang tengah Kelantan itu memberitahu: "Saya bersedia dengan tugas tersebut dan berjanji memberikan aksi terbaik bersama Harimau Malaya.
"Jikalau ada peluang memimpin jentera tengah negara, saya bertekad memberikan aksi terbaik bagi membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih.
"Bagaimanapun, semua itu terpulang kepada jurulatih. Saya selaku pemain yang memberikan aksi terbaik sekiranya diberikan peluang," kata Piya.
Piya antara tujuh pemain Kelantan termasuk Khairul Fahmi Che Mat, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab Halim, Azizi Mat Rose, Mohd. Shakir Shaari, Mohd. Norfarhan Muhammad dan Ahmad Fakri Saarani yang dipanggil menjalani kem latihan Harimau Malaya.
Hakcipta terpelihara: www.kosmo.com.my

Sabtu, Julai 13, 2013

Isu Mesir; mana pendirian kerajaan Malaysia?

Tragedi penggulingan Presiden Morsi
Sumber: www.kosmo.com.my






KETIBAAN bulan Ramadan yang sepatutnya diraikan dengan penuh rasa kesyukuran bertukar tragedi berdarah di Mesir apabila sekumpulan penyokong Presiden Dr. Mohammed Morsi yang digulingkan daripada jawatannya terkorban.
Seramai 51 orang terbunuh selepas pasukan keselamatan bertindak melepaskan tembakan dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang dikatakan cuba menceroboh Kompleks Pengawal Republikan, lokasi Morsi ditahan pada awal pagi 8 Julai lalu.
Lebih menyedihkan 35 daripada jumlah mangsa yang terbunuh ketika itu sedang menunaikan solat Subuh berjemaah di satu kawasan terbuka berdekatan Masjid Rabiatul Adawiyah yang menjadi tempat perhimpunan para penyokong Morsi.
Selain itu, lebih 400 orang dilaporkan cedera dalam pertempuran antara peserta demonstrasi jalanan dan pihak tentera sekali gus menjadikan krisis pergolakan di Mesir semakin membimbangkan.
Kejadian itu bagaimanapun tidak melemahkan semangat para penyokong untuk terus menegakkan keadilan terhadap Morsi yang dipilih secara sah melalui pilihan raya presiden pada Jun 2012.
Mereka bertegas untuk terus mengadakan demonstrasi di jalanan sehingga Morsi yang kini ditahan oleh pihak tentera dikembalikan semula jawatannya sebagai Presiden.
Sebagai Presiden Mesir pertama yang dipilih secara demokrasi, Morsi telah dikritik sebagai diktator dan tidak berjaya menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin negara tersebut. Namun, di mata penyokongnya, beliau dianggap sebagai seorang wira.
"Saya sanggup menempuh perjalanan sejauh 600 kilometer semata-mata untuk menunjukkan sokongan kepadanya. Beliau adalah presiden yang telah diundi secara sah," ujar Essam al-Hawany, seorang guru sekolah tinggi yang menyertai demonstrasi tersebut.

PEMERINTAHAN Morsi hanya bertahan selama setahun.



Tambah Essam, pihak tentera telah melakukan penghinaan terhadap demokrasi di Mesir. Justeru, dia tidak akan gentar untuk terus memperjuangkan keadilan buat Morsi.
"Biarlah darah kami tumpah kerana kami sanggup mati dalam perjuangan menentang kebatilan. Jika tidak, kami tidak akan datang ke sini," tegasnya.
Sementara itu, jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad melalui laman sosial Twitter, menggesa rakyat Mesir yang patriotik dan berani agar keluar beramai-ramai untuk mempertahankan negara daripada pengkhianat konspirasi rampasan kuasa oleh pihak tentera.
Demonstrasi jalanan
"Setiap wilayah akan mengadakan majlis pengkebumian dan demonstrasi. Kami tidak akan mengalah," ujarnya.
Apa yang pasti, pergolakan terus berlaku di Mesir bermula pada 30 Jun lalu iaitu antara puak yang menyokong dan menolak kepimpinan Morsi. Ia menyaksikan beberapa buah bandar utama menjadi lokasi perhimpunan penganjuran demonstrasi jalanan untuk meluahkan pendapat masing-masing.
Bagi ribuan penyokong Morsi, mereka berhimpun di Rabiatul Adawiyah, Nasr City manakala Dataran Tahrir di Kaherah menjadi tempat perhimpunan rakyat yang menolak kepimpinan Morsi.
Menurut pemerhati politik tanah air, Dr. Maszlee Malik, penggulingan Morsi merupakan satu pengkhianatan terhadap aspirasi rakyat Mesir pascarevolusi 25 Januari 2011 yang telah menjatuhkan diktator Hosni Mubarak.
"Apa yang jelas, pihak tentera telah mencabuli demokrasi serta menghina keluhuran undang-undang di bumi Mesir. Keadaan ini boleh dianggap satu tindakan melangkah semula ke belakang iaitu ke tahun 1952.
"Ketika itu, Mesir telah diperintah oleh pihak tentera akibat rampasan kuasa sambil membelakangkan pilihan rakyat melalui kerangka demokrasi. Malangnya, apabila perkara sebegini berlaku, negara-negara Barat yang selama ini melaungkan dan memperjuangkan demokrasi terutama Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) bersikap hipokrit.
"Mereka yang sepatutnya mengecam dan tidak mengiktiraf rampasan kuasa itu, sebaliknya hanya mendiamkan diri dan cuba menyalahkan Morsi," jelas Maszlee sambil memuji sikap Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang berani mengutuk rampasan kuasa tersebut.

ANTARA reaksi rakyat Mesir selepas berlakunya tragedi serangan di Kompleks Pengawal Republikan di Kaherah.



Tambah beliau, apa yang merisaukan adalah mengenai masa depan rakyat Gaza di Palestin memandangkan pintu sempadan Rafah yang menghubungkan Mesir dan Gaza serta antara Gaza dengan dunia luar telah ditutup sejak tentera mengambil alih pemerintahan Mesir.
Mengakui Morsi mempunyai kelemahan terutama dalam aspek memulihkan keselamatan dan ekonomi negara, namun ia bukanlah alasan kukuh beliau digulingkan sewenang-wenangnya.
"Morsi bekerja dalam keadaan kedua tangannya 'digari'. Saki-baki rejim telah menyukarkan pentadbiran beliau yang baru berusia setahun. Beliau juga tidak mendapat kerjasama daripada pihak keselamatan dan media yang sentiasa memfitnahnya.
"Malah, pihak yang memonopoli perniagaan dan bekalan bahan api sengaja melakukan sabotaj terhadap rakyat. Tetapi, dalam keadaan serba terikat itu, Morsi masih dapat melakukan banyak perubahan walaupun tidak secara menyeluruh. Jadi, mengapa menghukum beliau terlalu awal?
"Hakikatnya, tiada presiden yang mampu mengubah sebuah negara pascarevolusi dalam tempoh sekelip mata," ungkap beliau yang merupakan Pensyarah di Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Selain itu, Maszlee juga berharap rakyat Malaysia dapat mengambil iktibar berhubung isu yang berlaku di Mesir. Ujarnya, sistem demokrasi yang bertujuan menjadi mekanisme untuk menguruskan perbezaan pandangan dan perbezaan ideologi politik perlu dihormati.
"Demokrasi bukan semata-mata keputusan rakyat yang menentukan kemenangan mana-mana parti dalam pilihan raya, bahkan lebih daripada itu.
"Mekanisme untuk semak dan imbang melalui kebebasan media, kebebasan bersuara serta ruang-ruang untuk rakyat melalui masyarakat sivil berpartisipasi dalam proses politik juga adalah sebahagian daripada demokrasi," kata Ma szlee.
Rakyat Malaysia perlu berusaha mempertingkatkan tahap pemikiran dan pendidikan mereka.

PENYOKONG Morsi berdoa sebelum mereka berbuka puasa pada hari pertama Ramadan di Kaherah.



Pilihan raya
"Kadar keciciran pelajaran dan buta huruf dalam kalangan rakyat Mesir merupakan antara penyumbang kepada tidak stabilnya negara berkenaan," tegasnya.
Dalam pada itu, Presiden Mesir sementara, Adly Mansour berikrar akan mengadakan pilihan raya menjelang awal tahun hadapan sebagai respons terhadap situasi di negara itu.
Mansour telah mengeluarkan dekri yang menetapkan jadual untuk satu referendum terhadap perlembagaan yang telah digubal, sebelum pilihan raya presiden dilaksanakan.
Keseluruhan proses tersebut dikatakan tidak akan mengambil masa melebihi 210 hari. Menurut dekri itu, satu panel yang mewakili parti politik, agama dan perkhidmatan keselamatan akan bersetuju dengan penggubalan akhir perlembagaan dan menjadikan ia sebagai satu referendum dalam tempoh lima bulan.
Di samping itu, Mansour turut menamakan mantan Menteri Kewangan, Hazem el-Bablawi sebagai Perdana Menteri sementara dan melantik bekas Ketua Agensi Nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Mohamed El-Baradei sebagai timbalan presiden yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal luar negara.
Apa yang pasti, di sebalik kekacauan yang berlaku, para penyokong Morsi tidak melepaskan peluang menunaikan solat tarawih pada malam pertama Ramadan di Dataran Rabiatul Adawiyah.
Foto yang memaparkan ribuan umat Islam pro-Morsi menunaikan solat tarawih dan solat tahajud pada malam pertama Ramadan itu telah dimuat naik oleh laman sosial Facebook Mesir Kini.
.......................................
Sebaliknya di Malaysia pendirian kerajaan agak berbeza dengan rakyat biasa...?
Usul MESIR ditolak.

Saya telah mengemukakan usul ke Parlimen agar ditangguhkan sidang pada hari khamis bersamaan 11 Julai 2013, untuk membolehkan ahli - ahli Parlimen membahaskan Isu Mesir yang sedang bergolak. Malaysia bukan sahaja perlu nyatakan pendirian tegas tetapi juga tindakan berkesan sebagai sebuah negara anggota OIC dan pula mempunyai hubungan Diplomatik dengan Mesir.


Malangnya usul saya ditolak dalam kamar oleh pihak yang Dipertua Dewan dengan menggunakan peruntukan Aturan Mesyuarat 23 (1)(i) .

Saya tetap berpendirian bahawa Malaysia mesti memainkan peranan besar untuk mengecam rampasan kuasa oleh pihak tentera di Mesir , mengguling Presiden Mursi yang jelas menodai serta mengkhianati suara rakyat yang telah dimuktamadkan melalui sistem pilihanraya. 

Ia satu pencabulan demokrasi dan Malaysia sebagai sebuah negara pengamal sistem demokrasi tidak selayaknya diam membisu.

-YB Nasrudin Hassan-
-klik untuk gambar asal & besar, facebook- Jawapan YDP Dewan Rakyat

Ujian Allah datang lagi


Ujian Allah berterusan apabila ibu kembali ke wad. Pada 2 Julai 2013, sesuatu yang tidak dijangka apabila ibu mengalami demam secara tiba-tiba. Sebelum itu ibu sedang membakar ikan untuk makan tengah hari. Belumpun selesai ibu terasa sejuk yang amat sangat. Meluru masuk ke rumah dan berbaring dan berselimut.

Dari pukul 01:00 tengah hari (lebih kurang) sampailah hampir Maghrib ibu berselimut dan dalam keadan separuh sedar. Muntah dan pening. Tidak mahu bercakap dan tidak bergerak banyak. Tidak mampu untuk berdiri, malah bangun mengangkat tubuh sekalipun.

Lebih kurang jam 06:30 petang ibu masih berbaring. Lalu kami sepakat untuk membawa ibu ke hospital. Lebih kurang jam 07:00 petang ambulans datang. Kami tak mahu mengambil risiko untuk membawa ibu dengan kereta memandangkan ibu dalam separuh sedar.

Menuju ke wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) juga masih dalam tidur yang tidak lena. Beberapa jam dalam wad kami setia menunggu. Akhirnya, sesuatu yang tidak kami duga; ibu disyaki ada kuman dalam darah. Oh tuhan. Terbayang bagaimana nasib orang-orang yang mengalami simptom ini, mereka tidak bertahan lama ..

Ya Allah, selamatkan ibu.

Lebih kurang jam tengah malam ibu dimasukan ke Wad Puteri. Wad yang mensyaratkan pelawatnya mesti memakai pas masuk ketika melawat. Wad yang tidak membenarkan waris untuk menunggu. Wad yang hanya jururawat dan doktor yang menjadi penjaga. Pelawat dan waris hanya boleh melawat pada waktu yang ditetapkan sahaja. Dengan kata lain wad ini adalah wad separa kritikal.

Di sini ibu diberi penafasan melalui tabung oksigen. Segala macam wayar membalut tubuh ibu. Ya Allah. Kesan "air garam" hospital menampakan muka dan tangan ibu macam belon. Menurut kata doktor, keadaan ibu agak baik kerana cepat dibawa ke hospital. Ya Allah. Kami tak fikir "cepat" dibawa ke hospital kerana ibu demam pada tengah hari, dan lewat senja baru ke hospital. "Maafkan kami ibu. Kami tidak tahu ini serangan virus yang dibenci".

Apabila melihat kepada tanda-tanda jangkitan ketar lutut kawe dibuatnya. Ini ada dalam pengamatan kami.  Antaranya;
  • Rasa sejuk
  • Kekeliruan atau kecelaruan
  • Air kencing yang keluar berkurangan bila membuang air kencing.
  • Demam atau suhu badan yang rendah (hipotermia)
  • Hyperventilation (keadaan tercungap-cungap)
  • Pening akibat tekanan darah rendah
  • Denyutan jantung yang cepat
  • Menggigil
  • Ruam kulit
  • Kulit hangat (warm)

Doa dan air mata seiringan. Alhamdulillah, Allah mendengar rintihan kami. Ibu beransur pulih. Denihari 06 Julai ibu dipindahkan ke wad biasa, Puteri. Wad yang membenarkan waris menunggu dan menjaga. Wad yang membenarkan pelawat masuk tanpa pas.

Syukur kehadrat Ilahi, 08 Julai ibu dibenarkan pulang. Kami tak tahu status kuman dalam darah ibu kerana yang penting ibu kembali ke rumah. Dibekalkan ubat yang cukup banyak.

Unsur mistik
02 Julai, sebelum kejadian. Denihari yang biasa bagi ibu. Bangun pagi seawal 04:00 pagi untuk buat kuih-muih jualan. Ini lebih sebagai hobi. Waktu ini ibu tersentak dengan satu bayangan seakan tikus besar, putih, terbang paras pinggang. "Sesuatu" itu menjelma tiga kali.

Tengah hari itu semasa sedang membakar ikan untuk makan tengah hari, ibu demam tiba-tiba. Pada waktu terlantar inilah baru ibu ceritakan pada kami apa yang ibu nampak pagi hari tadi. Ayah andaikan itu hanyalah tikus besar. Memandangkan mata ibu tak berapa terang, ayah membuat telahan sebegitu.

05 Julai, Jumaat: Kami menjemput ustaz dari pusat rawatan Islam. Mereka datang jam 09:00 pagi. Kami sama-sama solat hajat, dan baca Yassin. Kemudian, mereka "membasuh" setiap sudut rumah dengan ayat-ayat Yassin tadi. Di luar rumah dipasakkan dengan garam yang bercampur dengan lada hitam. Satu rawatan altenatif.

Kembali sihat
13 Julai. Ibu belum pulih sepenuhnya. Walaupun mampu berdiri dan mandi sendiri ibu belum boleh menjalani rutinnya. Kalau sihat malam, pagi esoknya demam. Segar bugar waktu pagi, malamnya pula kembali sejuk badan.

Kini kami mampu berdoa agar Allah memberi kesihatan untuk ibu.
..................................................

AeMan - Buatmu ibu

Isnin, Julai 01, 2013

Cerita bola 2013: Matyo taknak pingat Naib Juara Piala FA


Mat Yo marah, buang pingat

Bukit Jalil: Kecewa, sedih dan marah. Mungkin itu perasaan penyerang Johor Darul Takzim (DT), Norshahrul Idlan Talaha selepas pasukannya hanya bergelar naib juara Piala FA kelmarin. 

Pemain terbaik negara itu antara tonggak utama Johor DT yang bermain bermati-matian sepanjang 90 minit sebelum ditewaskan bekas pasukannya, Kelantan 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.


Kemuncak pemain dengan gelaran Matyo itu terbukti apabila dia membuang pingat diterimanya ke dalam tong sampah sebelum masuk ke bilik persalinan. 


Norshahrul juga enggan ditemuramah media selepas perlawanan berkenaan. 

Marah, kecewa


Jika dinilai permainan penyerang kebangsaan itu, dia memang berhak untuk berasa marah dan kecewa kerana Johor DT mempunyai keupayaan untuk muncul juara, tetapi Norshahrul tidak banyak mendapat bantuan rakan sepasukan. 

Namun paling mengecewakan Norshahrul apabila golnya pada minit ke-63 dibatalkan pengadil Syed Azhar Syed Kamar yang terlebih dulu meniup wisel kerana mendakwa penyerang itu mengasari Azizi Matt Rose. 
Perlu sokongan 

Bagi penyerang hebat seperti Norshahrul, kilauan trofi sudah tentu menjadi ganjaran paling bermakna dalam karier mereka, tetapi bola sepak bukan setakat kemahiran individu. 

Dia memerlukan sokongan rakan sepasukan untuk berfungsi sebagai perancang dan juga penjaring.
.................

Inikah pingat yang dimaksudkan?

Cerita bola 2013: Farhan memang berbisa

Farhan balas kepercayaan Hodak
Farhan ketika Kelantan menentang Pahang dalam Liga Super

FARHAN (kanan) membalas kepercayaan Hodak dengan menjaringkan gol kemenangan Kelantan pada final Piala FA 2013 menentang Johor DT kelmarin.


PENYERANG Kelantan, Mohd. Norfarhan Muhammad yang muncul wira skuad The Red Warriors (TWR) apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan itu ketika menewaskan Johor Darul Takzim (Johor DT) 1-0 pada perlawanan akhir Piala FA malam kelmarin, berasa puas kerana dapat membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatihnya, Bojan Hodak.
Pada final Piala FA menentang Sime Darby FC tahun lalu, Norfarhan sekadar menyaksikan rakannya beraksi daripada bangku pemain simpanan kerana Hodak lebih berminat menggunakan gandingan Norshahrul Idlan Talaha serta Mohammad Ghaddar ketika itu.
Kira-kira lima bulan selepas itu, dalam final Piala Malaysia menentang Angkatan Tentera (ATM) pula, penyerang berusia 29 tahun itu sekali lagi menjadi penonton apabila menjalani penggantungan perlawanan akibat menerima dua kad kuning.
Namum, segala kenangan pahit itu terus lenyap di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin apabila Norfarhan yang menerima umpanan sempurna daripada kapten, Mohd. Badhri Mohd. Radzi menampilkan aksi tenang untuk menyudahkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-16 sekali gus membantu Kelantan mengekalkan kejuaraan Piala FA yang dimenangi mereka tahun lalu.
"Saya sangat gembira serta berbangga kerana menjadi sebahagian dalam sejarah gemilang pasukan Kelantan dan saya anggap kejayaan ini hasil usaha keras semua pihak yang terlibat dalam membangunkan bola sepak Kelantan.
"Saya tidak kisah siapa pun yang menjaringkan gol, namun apa yang paling penting bagi saya adalah dapat bermain dalam perlawanan akhir ini.
"Bagi saya, kemenangan ini adalah hasil permainan berpasukan dan kerjasama semua pihak," kata Norfarhan ketika ditemui Kosmo! selepas perlawanan akhir Piala FA malam kelmarin.
Kejayaan Kelantan itu membolehkan mereka mengekalkan kejuaraan Piala FA yang dimenangi tahun lalu manakala bagi pasukan Johor DT, kegagalan itu telah menangguhkan hasrat mereka untuk mencatat kejuaraan buat pertama kali dalam kejohanan kalah mati itu.
Ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri pula telah dipilih sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir Piala FA tersebut selepas berjaya mengemudi dengan baik jentera tengah pasukan Kelantan serta berjaya menenggelamkan arkitek Johor DT, Mohammad Safiq Rahim.

Cerita bola 2013: Karathu mengakui kehebatan Piya


Tonggak kekuatan Kelantan
Pengakuan Karathu

PIYA layak memainkan watak penting dalam skuad Harimau Malaya.
“PIYA (Mohd. Badhri Mohd. Radzi) telah membuktikan keupayaannya dan sudah tiba masanya untuk dia diberikan peluang mengemudi jentera tengah skuad Harimau Malaya.”
Demikian tegas bekas jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu (gambar kecil) selepas menyaksikan kapten Kelantan itu membantu The Red Warriors (TWR) mempertahankan Piala FA dengan menewaskan Johor Darul Takzim (Johor DT) 1-0 pada final di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, Piya muncul watak penting dengan melakukan banyak hantaran tepat kepada jentera serangan Kelantan dan umpanan pertamanya kepada Mohd. Norfarhan Muhammad telah berjaya menghasilkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-16.
Kelincahan yang dipamerkan pemain tengah kelantan itu membolehkannya dinobatkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir.
“Piya merupakan seorang ‘jeneral padang’ yang hebat. Lihat sahaja gandingannya dengan Mohd. Shakir Shaari yang berjaya menguasai bahagian tengah berbanding Johor DT.
“Sebenarnya, saya juga hairan dengan corak permainan yang ditunjukkan oleh Johor DT. Dalam aksi sebelum ini, pemain-pemain tengah mereka lebih banyak pegang bola.
“Namun, pada aksi semalam (kelmarin), mereka dilihat lebih kerap turun dan melakukan serangan melalui bahagian tepi.
“Piya dilihat semakin selesa dengan gaya permainannya. malah mampu melepasi dua tiga pemain tengah Johor DT. Ini bermakna Johor DT memberikan ruang yang selesa kepada Kelantan untuk bergerak.
“Hasilnya, Kelantan berjaya mengambil kesempatan itu dengan menjaringkan gol kemenangan sekali gus mempertahankan kejuaraan Piala FA,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.
Tambah bekas pengendali Perak itu, beliau menepis dakwaan bahawa Piya hanya mampu menyinar dengan Kelantan dan tenggelam ketika bersama Harimau Malaya.
Ini kerana Karathu menganggap pemain berusia 31 tahun itu memiliki kelebihan dari sudut pengalaman beraksi di pentas final dan Piala AFC.
“Sebenarnya, perkara itu bergantung kepada jurulatih dan saya pernah membimbing Piya dan saya tahu keupayaan pemain ini.
“Sudah tiba masanya dia diberikan peluang untuk mengemudi pasukan Harimau Malaya,” katanya.
.................................
Piya ketika Kelantan vs Pahang (Liga Super 2013)
Tekan Lihat foto

Cerita Bola 2013: Kelantan juara lagi

Sebahagian penyokong dalam SSMIV

Kelantan (1) vs (0) JDT

... Sementara itu di Kelantan ribuan penyokong tidak mahu ketinggalan merasai suasana gamat stadium. Empat skrin raksasa disediakan dalam Stadium Sultan Muhammad iv. Cuma yang pedihnya tengok skrin pun kena bayar tiket. Supo cis. HotLink mensyaratkan mesti membeli pas masuk berharga RM5.00, atau membeli kad prabayar RM10.00 (dapat 1 tiket masuk). Siap ada tukang check tiket lagi di pintu masuk. Setelah game bermula dalam 5 - 10 minit, penyokong yang masih berada di luar buleh pula masuk percuma. Emm..waktu ni tiket habis, untung dah dapat. Bulehlah lepas masuk. Cis. Ehh...pantang nampak duit mulalah nak buat untung. Kononnyo tiket cabutan bertuah. Masa Happy jadi penaja tahun lepas takde macam ni, bila PanasLink jadi penaja semuanya jadi perniagaan.. Huk aloh.. Agak-agaknya duit tiket tu untuk bayar sewa stadium ke? Atau untuk bayar kat abang, kakak, makcik, pakcik yang sapu, kutip sampah dalam stadium selepas tamat perlawanan? Heeee...!! Atau adakah ini juga suatu kerjasama di antara HotLink dengan KAFA?!!!

Dalam SSMIV
Kaunter tiket di perkarangan SSMIV


.........................................................................
Kelantan pertahan kejuaraan

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dan FERZALFIE FAUZI
sukan@utusan.com.my


KUALA LUMPUR - Kelantan membuktikan masih merupakan gergasi bola sepak negara selepas berjaya mempertahankan Piala FA yang dimenangi tahun lalu dengan menumbangkan Johor Darul Takzim 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Jaringan tunggal Mohd. Nor Farhan Muhammad pada minit ke-16 kekal sehingga ke akhir perlawanan tanpa dapat dicabar Johor DT.

Kejuaraan itu adalah yang kedua berturut-turut buat Kelantan dalam saingan Piala FA yang mula diperkenalkan sejak tahun 1990.

Sementara impian Johor DT untuk mengulangi pencapaian Johor pada tahun 1998 tidak kesampaian di samping gagal muncul kelab pertama memenangi trofi berkenaan.

Di hadapan 90,000 penonton dengan kehadiran penyokong yang seimbang antara kedua-dua pasukan, kegagahan The Red Warriors jelas terlalu sukar dicabar oleh Harimau Selatan dengan penguasaan mutlak dipamerkan bahagian tengah diketuai Mohd. Badhri Mohd. Radzi.

Serangan-serangan pantas yang diterapkan jurulatih, Bojan Hodak membuatkan Johor DT bagaikan hilang punca untuk bangkit.

Badhri dan Nor Farhan jelas menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Johor DT yang kehilangan Mohd. Aidil Zafuan, malah Kamarul Afiq Kamaruddin serta Ahmad Tharmini Saiban tidak senang duduk berdepan kesukaran mengawal pergerakan licik Dickson Nwakaeme.

Segalanya serba tidak menjadi buat Johor DT sejak awal permainan lagi, malah percaturan Fandi Ahmad mempertaruhkan Safiq Rahim di bahagian tengah sia-sia apabila ketua pasukan kebangsaan itu langsung tidak menghadirkan sebarang impak dan dikeluarkan sebaik sahaja bersambung babak kedua.

Tiada kelibat pemain import Argentina, Leonel Nunez dipertaruhkan pada permulaan perlawanan, sebaliknya Fandi Ahmad memilih Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha menerajui barisan hadapan.

Penguasaan penuh The Red Warriors pada 45 minit pertama dengan sekurang-kurangnya tujuh peluang diperoleh melalui gerakan oleh Ahmad Fakri Saarani, namun disia-siakan.

Gol yang dicari-cari oleh Kelantan akhirnya menjelma menerusi hantaran bijak Badhri yang menghidu ruang kosong kedudukan Mohd. Nor Farhan Muhammad sebelum rembatan leretnya gagal diselamatkan oleh Muhd. Al-Hafiz Hamzah pada minit ke-16.


Johor DT bagaikan seolah-olah tidak beraksi pada separuh masa pertama ketika Fandi sudah terpaksa mengeluarkan Safee pada minit ke-18 dan Andrezinho, 19 minit kemudian kerana mendapat kecederaan.

Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang banyak berehat akhirnya terpaksa bertungkus lumus pada 30 minit terakhir permainan melalui hantaran-hantaran silang yang dicipta oleh K. Thanaraj serta Nurul Azwan Roya ketika momentum The Red Warriors sedikit menurun.

Dua sepakan percuma yang diperolehi oleh Nunez pada minit ke-78 dan 82 juga gagal memberi impak apabila gagal menepati sasaran.