Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Jumaat, Januari 08, 2010

PM tidak halang demo kalimah Allah

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan menghalang orang ramai yang ingin mengadakan perhimpunan di mana-mana masjid bagi membantah isu penggunaan kalimah Allah hari ini. Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, peserta perhimpunan mempunyai hak berbuat demikian dan berharap perhimpunan itu berlangsung secara aman tanpa sebarang kekecohan. Walau bagaimanapun, Najib berkata, semua pihak perlu menyerahkan kepada mahkamah bagi menyelesaikan isu berhubung penggunaan kalimah Allah. “Kita perlu mengambil sikap bahawa perkara ini perlu diselesaikan melalui mahkamah secara baik..kita sepatutnya tidak menaikkan tahap ketegangan di negara ini. “Tapi walau apapun, pihak berkuasa sentiasa bersedia dan saya berharap jika ada orang yang mahu menunjuk perasaan, ia tidak akan merebak sehingga menjadi sesuatu yang amat serius... moga-moga ia hanya tunjuk perasaan yang minimum,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Klinik 1Malaysia di Kerinchi, Lembah Pantai di sini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerajaan mengamalkan sikap berbeza terhadap kumpulan tertentu yang menganjurkan demonstrasi membantah isu penggunaan kalimah Allah dalam :Herald-The Catholic Weekly. Najib berkata, kerajaan tidak akan menghalang para penunjuk perasaan jika mereka mahu berhimpun di sekitar kawasan masjid selagi ia di dalam lingkungan batas kawasan itu. Katanya, jika perkara itu terlepas dari kawalan, ia terpulang kepada pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi meredakan suasana. Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang merancang mengadakan tunjuk perasaan berhubung isu tersebut memastikan mendapat permit daripada pihak berkuasa selain mematuhi undang-undang. “Ia perlu mengikut peraturan. Bagaimanapun, ia (tunjuk perasaan) tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa berkaitan. “Tunjuk perasaan itu tidak boleh mengancam keselamatan orang ramai. Ia tidak boleh lari dari undang-undang negara ini, dan ia perlu dilaksanakan dalam lingkungan had undang-undang,” katanya. Perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di pekarangan Masjid Negara selepas Solat Jumaat hari ini akan disertai oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antara Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida). Pada 31 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan, dalam keputusan lisannya menegaskan bahawa Herald mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan kalimah itu dalam majalah berkenaan. Kelmarin, hakim yang sama membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah itu berikutan persetujuan Kementerian Dalam negeri dan Ketua Paderi Roman Katolik Malaysia berdasarkan kepada kepentingan negara. Sinar Harian, 08/01/10

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..