KOTA BHARU 25 Jan. – Kerajaan negeri Kelantan tidak harus mengambil pendekatan berkonfrontasi apabila menolak cadangan kerajaan Pusat untuk bersama-sama menyertai jawatankuasa wang ihsan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berkata, tindakan tersebut tidak akan menguntungkan rakyat kerana kerajaan Pusat telah menghulurkan kerjasama untuk membangunkan negeri ini.
Oleh itu beliau berharap, kerajaan negeri akan menerima tawaran supaya wakil daripada kerajaan negeri berada dalam Jawatankuasa Wang Ihsan bagi menentukan pengagihan peruntukan tersebut.
“Kita tidak harus mempolitikkan isu ini dan mengambil pendekatan yang sentiasa berkonfrontasi. Ada perkara yang boleh untungkan rakyat harus ada persefahaman (di antara Pusat dan negeri), tetapi keputusan kerajaan negeri itu hanya akan merugikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Tinta Media 2010 dan penyampaian hadiah pertandingan boling di antara Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan Media Kelantan di sini malam tadi.
Turut hadir Pengarah Pembangunan Persekutuan Kelantan, Makhtar Mustapha.
Semalam, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan Pas Kelantan menolak cadangan supaya seorang wakilnya dilantik untuk menyertai jawatankuasa pembangunan wang ihsan yang ditubuhkan bagi menentukan kaedah penyaluran wang tersebut.
Menurut Nik Abdul Aziz, keputusan itu dilakukan kerana kerajaan negeri menolak pemberian wang ihsan dan bertegas untuk menuntut royalti minyak seperti mana yang diperjuangkan.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, pemberian wang tersebut membuktikan kerajaan Pusat tidak pernah menzalimi rakyat negeri ini.
“Saya nampak seolah-olah kerajaan Kelantan merasakan rakyat negeri ini dianiaya, ia sama sekali tidak betul kerana kerajaan pusat tetap menyalurkan peruntukan walaupun namanya wang ihsan.
“Kerajaan Pusat telah menghulurkan kerjasama dan silaturrahim dalam menentukan agihan wang ihsan maka sebab itu ditubuhkan sebuah jawatankuasa dimana ahlinya termasuk wakil kerajaan negeri, kita berharap mereka terima,” katanya.
Mengulas mengenai desakan Pas yang tetap mahukan royalti, beliau berkata, kerajaan pusat tetap bertegas dengan wang ihsan kerana ia berdasarkan peruntukan undang-undang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..