Musim 2010 adalah tahun yang lain daripada lain bagi skuad Kelantan. Pembelian demi pembelian pemain yang difikirkan berkebolehan cuba didapatkan. Bagi pemain yang kurang berkemampuan bermain dengan baik pada musim lalu mereka digugurkan. Itu semua adalah perancangan pihak pengurusan. Bagi peminat, lebih-lebih lagi penyokong, ada yang bersetuju dengan pembelian tersebut dan ada yang tidak bersetuju. Namun apalah sangat pandangan penyokong bagi pihak pengurusan. Bagi penyokong, mereka terfikir, apakah pemain-pemain ini berupaya untuk mengharungi musim ini dengan penuh kegemilangan?
Khalid, Nafuzi Zain dan beberapa pemain lagi telah digugurkan kerana dirasakan tidak mampu membawa cabaran Kelantan pada musim ini. Beberapa pemain lain masih dikekalkan. Antaranya Che Hisyamuddin, Nizad Ayud, Zamri dan beberapa orang lagi. Sementara pemain baru dibawa masuk untuk memantapkan lagi pasukan. Antaranya Syed Adni, Hairudddin, Akmal, Chanturu dan beberapa lagi muka baru.
Keupayaan pemain ini bagi peminat masih diragui. Syed Adni, penjaga gol ketiga negara, dibawa masuk menggantikan Halim Napi. Sementara Syahrizan (penjaga gol kedua Kelantan) sekali lagi "direhatkan" ekoran kehadiran Adni. Namun bagi kebanyakkan penyokong, mereka masih lagi mengharapkan Syahrizan sebagai watak utama di gawang. Tetapi di mata jurulatih, Adni lebih berupaya. Setakat ini Adni masih lagi menunjukkan kebolehannya dengan cemerlang.
Aku tertarik untuk melihat tiga pemain baru iaitu Chanturu, Akmal, dan Hairuddin. Chanturu, pemain berketurunan India, dibawa masuk ke kem Kelantan. Perlawanan persahabatan yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad iv, menjadi petanda kehadirannya diterima oleh penyokong. Gerakan lincah dan sifat rajinnya dipuji oleh penyokong. Pembeliannya untuk menyertai Kelantan boleh dikatakan berbaloi. Akmal pula dilihat sebagai bayangan Khalid Jamlus. Ada juga yang mengatakan Akmal lebih baik daripada Khalid. Bagi aku prestasinya boleh dikatakan baik. Hairuddin??
Bagi aku Hairuddin ialah satu-satunya pemain yang kurang berupaya. Walaupun pernah mewakili negara, dan pernah menewaskan Halim Napi dalam final Piala Malaysia 2009, ia belum cukup bersedia untuk berdepan dengan penyokong Kelantan. Perlawanan persahabatan di Kota Bharu (menentang Narathiwat & T-Team) tidak menampakkan Hairuddin yang sebenar. Dia belum serasi bergandingan dengan pemain sedia ada.
Perlawanan Liga Super kedua di Kota Bharu ketika menentang Johor, mempelihatkan Hairuddin seolah-olah baru hendak main bola sepak. Tandukan meliar entah ke mana. Kalau nak diikutkan perlawanan tersebut, Kelantan boleh menjinakkan Johor dengan jaringan yang lebih besar. Jaringan 3-0 oleh Akmal, Bahdri dan Indra tidak memadai ketika itu. Hairuddin mampu menambah lima gol hasil tandukkannya, namun peluang disia-siakan. Perlawanan malam ini (16 Jan. 2010 - menentang Perlis) sekali lagi memperlihatkan kecapikkan Hairuddin. Apalah ada pada Hairuddin yang dilihat oleh Sathianathan? (Tahniah Hairuddin).
Pemain lama seperti Nizad Ayud dan Zamri dilihat sebagai penggenap korum sahaja dalam skuad Kelantan. Di mana keupayaan mereka? Zamri lebih baik daripada Nizad. Che Hisyamuddin? Aura pemain ini bagaikan Halim dan Syahrizan. Tetapi bukan sebagi penjaga gol. Kemasukan Hisyamuddin sentiasa diharapkan oleh penyokong. Keupayaannya untuk melepasi pemain lawan dinantikan. Walaupun sering terjatuh dek kerana fizikalnya, Hisyamuddin mampu mengembirakan penyokong setia. Namun, seperti juga Syahrizan, dia juga pilihan kedua Sathia.
Walau apa pun pandangan, teguran, kritikan malah kutukan sekali pun, ini bukan untuk memperlekehkan keupayaan pemain, jurulatih dan pengurusan semata-mata. Ini hanya pandangan peribadi daripada kaca mata seorang penyokong. Yang lebih arif semestinya jurulatih dan pengurusan. Namun jangan cemarkan kearifan ini dengan melupakan dan tidak menghiraukan pandangan penyokong. Keupayaan pemain bukan sahaja ditunjangi oleh kemahiran semata-mata tetapi ia juga ditunjangi oleh sokongan peminat dan penyokong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..