BACHOK 23 Jan. - Kerajaan dijangka menyalurkan wang ihsan kepada rakyat Kelantan pada Mac ini melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, kerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk menyalurkan wang tersebut kepada rakyat negeri itu secepat mungkin.
Malah, beliau berharap, pemberian wang ihsan tersebut tidak dipolitikkan kerana rakyat akan mendapat manfaat daripadanya secara terus dan telus.
"Kerajaan sedang berusaha supaya duit ini disegerakan dan dapat disampaikan kepada rakyat. Kementerian Kewangan pun berusaha melalui perbincangan dengan Petronas supaya duit ini dapat diberikan kepada rakyat secepat mungkin.
"Dalam perbincangan itu, kita jangka ia dapat disampaikan dalam masa sebulan, dua lagi, mungkin Mac ini tetapi tidak mungkin awal dari tempoh tersebut," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Keting dekat sini hari ini.
Sementara itu, Awang Adek berkata, satu jawatankuasa pembangunan wang ihsan akan ditubuhkan di peringkat JPP dalam tempoh terdekat bagi menentukan kaedah menyalurkan peruntukan itu.
"Jawatankuasa ini akan turut disertai oleh wakil kerajaan Kelantan dan dipengerusikan oleh seseorang yang akan dilantik oleh Perdana Menteri.
"Pelantikan ini menunjukkan Kerajaan Pusat ikhlas untuk membantu rakyat dan tiada agenda tersembunyi di sebalik pemberian wang ihsan ini," katanya.
Katanya, pengagihan wang ihsan melalui JPP itu dibuat bagi memastikan ia benar-benar sampai kepada rakyat dan bebas daripada dipengaruhi politik.
Utusan Malaysia. 24 Jan. 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..