Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Ahad, Jun 12, 2016

Puasa pertama tanpa ibu

..sahur pertama pada 6 Jun 2016 tanpa ibu di sisi. Sayu dan sepi tapi itulah realiti yang kami sedang hadapi sekarang. 18 November 2015 masih dalam lipatan memori kami. Perginya ibu yang cukup menghiris sanubari. Itulah yang kami rasa.

Sahur pertama tanpa ibu sedikit terubat ketika kami adik beradik dapat berkumpul bersama walaupun tidak semuanya ada di sini. Kami bergembira pada raut wajah. Masing-masing begitu. Namun hakikatnya hanya Allah yang maha mengetahui.

Kami masih ingat sejak puasa dua tahun lalu setelah berpindah dari jajahan Kota Bharu (Kata pertama Januari 2014) ibu memang tak boleh puasa. Tapi ibu akan bangun siapkan makanan dan turut sama bersahur. Bila petang ibu akan siapkan juadah berbuka. Dan kami berbuka bersama. Pernah juga ibu tidak sihat dan tidak sempat menyediakan juadah sahur dan berbuka. Dan kami makan sekadarnya. Itulah ibu. Begitu juga untuk persiapan juadah Hari Raya.

Puasa 2016 ruang yang ditinggalkan ibu amat dirasai. Dalam hila tawa kami sebenarnya terselit suatu yang cukup pedih. Setelah pemergian ibu pada 18 November lalu kami cuba bayangkan bagaimana untuk menghadapi hari ini. Kini kami sedang laluinya.

Aidilfitri yang sedang menunggu di depan akan menghiris sekali lagi. Ya Allah tabahkan hati kami untuk menghadapinya ..

Khamis, Januari 14, 2016

Pergi Tak Kembali (1)

Tarikh : 27 Disember 2015
Hari : Ahad
Masa :1512
_______________(www.facebook.com/anokjate.ayoh)____________
Hari ke-40 roh terpisah dari jasad.
Hari ke-39 jasad bersemadi di sini.

Sesungguhnya kerinduan kami amat dalam ...
Alfatihah Zaimah (Minah) Bt Che Moh (Zakaria)
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
11 Januari 2016

Hari ini hari ke-55 mek kembali kepada Maha Pencipta. Memang perit dan sakit untuk menerima takdir Ilahi ini tetapi inilah hakikat yang kami mesti lalui. Masih segar dalam ingatan kami. Pada 27 Oktober mek dihantar ke Hospital Tanah Merah kerana tidak sihat dalam beberapa minggu. Beberapa hari di hospital keadaan mek nampak macam biasa. Kami masih ingat. Namun di sebaliknya darahnya tidak baik. Atas nasihat doktor mek akan dihantar ke Kota Bharu bagi menjalani rawatan lanjut. Ingatan kami masih kuat ketika itu bertarikh 30 Oktober 2016, hari Jumaat.

Mek akan ditidurkan. Pada mulanya mek beria-ria tak mahu ditidurkan. Ingatannya masih terbayang ketika mek ditidurkan pada tahun 2013 yang lalu (Allah menguji lagi). Demi kesihatannya ayah terpaksa merelakan mek dibius. Demi kesihatannya. Malam itu mek dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II dengan ambulan.

Bermula dari itu mek tidur sepenuhnya dengan bergantung sepenuhnya kepada mesin oksigen. Beberapa hari kemudian mek dipindahkan ke ICU. Kali ini ada perubahan. Mek mula membuka mata. Percakapannya tersekat dengan topeng oksigen. Namun kami amat gembira. Walaupun tuturnya tersekat. Beberapa hari di ICU mek dipindahkan ke wad biasa. Kegembiraan kami memuncak. Kami bergilir-gilir menemani mek.

Saat-saat akhir najis mek berdarah. Doktor membuat telahan mungkin ini berpunca daripada ususnya. Kami masih ingat detik ini pada Selasa malam. Malam itu juga doktor berkata jangkitan kuman telah ke paru-paru. Dan lebih dari itu akan ke otak. Subhanallah. Pagi rabu keadaan mek nampak penat sangat tapi kami tidak mengenyaki apa-apa.

Tengah hari 18 November 2015 mek separa sedar. Pernafasannya dari mulut.  Namun keadaan mek sebenarnya tidak stabil. Terlalu penat. Doktor mencuba. Keputusannya untuk menidurkan kembali mek. Tujuannya untuk membuat ujian punca najis berdarah. Kami masih ingat masa tu jam lebih kurang 03:00 petang. Ketika proses awal untuk bius, dalam 03:30 jantung mek terhenti seketika. Waktu ni tiga orang bertungkus lumus memberi bantuan CPR bersama jururawat.

Jam 04:00 petang doktor masih mencuba. Akhirnya doktor bersuara untuk sekian kalinya. Katanya degupan jantung mek makin lemah. Bertenanglah. Katanya lagi cpr akan terus dilakukan untuk 15-20 minit lagi. Selepas 20 minit adakah pihak keluarga mahu meneruskan cpr? Itu pertanyaan doktor. Kerana mengikut ilmunya keadaan ketika itu cukup kritikal. Sekiranya pihak keluarga masih mahukan cpr kemungkinan kecederaan tulang dada akan berlaku. Sekiranya pihak keluarga merasakan sudah cukup, maka cpr akan dihentikan....dan mek akan kembali kepada Allah swt.

Akhirnya kami sepakat..cukuplah setakat itu. Kami tidak mahu terus menyiksa jasad mek. Kami redha. Akhirnya satu borang kebenaran menghentikan cpr ditandangan. Waktu ini ayah dan kakak bergilir-gilir melunakan kalimah shahadat ke telinga mek. Waktu ini air mata jantang kawe gugur. Air mata wanita kakak bercucuran.

Tepat jam 0412 petang, 18 November 2015, bertempat di Wad Puteri, Hospital Raja Perempuan Zainab II, tercatat sebagai waktu terakhir mek di dunia yang fana ini ...

...bersambung.

.............Allah menguji lagi