Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Ahad, Januari 10, 2010

Siapa pakar bakar sentimen?

KETUA pembangkang, Anwar Ibrahim yang juga pemimpin utama PKR nampak terdesak untuk mempolitikkan apa sahaja. Dalam isu kalimah Allah, Anwar yang menyokong penggunaan kalimah suci itu untuk digunakan oleh agama Katolik (berdasarkan banyak laporan sebelum ini), sekali lagi mempolitikkan keadaan.

Kali ini, beliau bersama pemimpin DAP menuduh UMNO menyemarakkan sentimen bantahan umat Islam, yang kononnya secara tidak langsung dikaitkan dengan kejadian membakar gereja.

Itulah kepakaran Anwar, apa sahaja ruang dan kesempatan akan digunakan sepenuhnya untuk meraih sokongan. Dalam isu tersebut, sokongan bukan Islam terutama di Sabah dan Sarawak mahu ditagihnya dengan cara memburukkan UMNO. (Sedangkan pentadbiran Barisan Nasional di bawah teraju UMNO telah membolehkan agama lain berkembang dan dianuti dengan bebas. Rumah ibadat agama lain yang begitu banyak di negara yang majoriti Islam ini membuktikan hakikat itu. Kesederhanaan dan pragmatisme UMNO selama ini banyak menguntungkan agama lain.)

Maka apabila berlaku insiden bakar gereja, secepat kilat Anwar menyambarnya untuk dijadikan isu. Lebih-lebih lagi, Anwar sedar reaksi majoriti umat Islam yang menentang penggunaan kalimah Allah oleh agama lain, tidak memihak kepada beliau.

Demonstrasi aman di banyak masjid menyerlahkan hakikat bahawa umat Islam menolak pendirian Anwar dan sekelompok kecil termasuk pembangkang.
Bukan itu sahaja, reaksi kalangan orang muda menerusi laman web sosial facebook tidak selari dengan beliau. Sehingga Khamis lalu, lebih 100,000 orang menyertai bantahan penggunaan kalimah Allah dalam facebook. Malah Awang difahamkan, ramai ahli PKR dan pembangkang di kalangan orang Islam kecewa dengan pendirian pemimpin mereka itu.

Maka strategi Anwar ialah memaksimumkan sokongan bukan Islam bagi meneruskan momentum sokongan yang diperoleh ketika pilihan raya umum lalu. Awang percaya masyarakat bukan Islam boleh menilai siapa Anwar, yang sebenarnya lebih mementingkan agenda peribadinya.

Realitinya, beliau memerlukan banyak isu panas bagi mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang dihadapinya sekarang. Anwar kian tertekan kerana perbicaraan kes liwatnya terhadap Saiful Bukhari Azlan hampir tiba. Semua orang tahu, beliau asyik cuba menangguhkan perbicaraan sehingga mencetuskan banyak persoalan termasuk mengapa beliau takut.

Tindakan sekutu politiknya, Raja Petra melarikan diri ke luar negara dengan menggunakan pasport asing dan kini menjadi buruan polis, sedikit sebanyak menjejaskan kredibiliti pergerakan politik Anwar.

Selain itu, seorang demi seorang pemimpin PKR terus meninggalkan parti dan melepaskan jawatan. Terbaru, peletakan jawatan Setiausaha Agung PKR, Salehudin Hashim, yang tindakan tersebut dilihat satu lagi tamparan buat Anwar.

Apa sahaja strategi Anwar, tidak sukar dibaca. Beliaulah sebenarnya yang suka membakar sentimen rakyat. Sejarah telah membuktikan bahawa kes moral peribadinya boleh dimanipulasi sehingga rakyat terheret sama. PKR dan DAP menang banyak kerusi pada pilihan raya umum lalu juga kerana sentimen yang Anwar mainkan, biar sekalipun kepentingan agama dan bangsa menjadi taruhannya.

Utusan Malaysia. 10/01/10

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..