Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Selasa, Julai 06, 2010

Jiwa kereta api Rajah

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID





KETIKA asyik memasukkan arang batu pada enjin sebuah lokomotif wap, S. Varatharajah seorang pencuci lokomotif tiba-tiba tersentak apabila namanya dipanggil oleh Vax Bi, pegawai Malayan Railway Gemas berketurunan British.
Dengan peluh yang membasahi tubuh dan calitan arang penuh di muka, lelaki yang bertubuh kurus itu pantas berlari. Dia terus mendekati lelaki British itu dan memberi tabik hormat.

Dia melihat lelaki itu mencapai sekeping kertas yang berselerak di meja lantas mencapai pen biru dakwat basah dan mencatat sesuatu di belakang sehelai resit terpakai.

"S.V. Rajah, 101103, Tahniah! Ini surat rasmi kenaikan pangkat kamu. Mulai hari ini, kamu dinaikkan pangkat daripada pencuci lokomotif kepada pemandu lokomotif dengan gaji RM1.96. Kerja bersungguh-sungguh dan janganlah merungut," pesan Vax Bi kepada S.Varatharajah yang ketika itu berusia 18 tahun.

Varatharajah melonjak keriangan lantas berkongsi berita itu dengan rakan-rakannya. Momen itu kata Varatharajah, meskipun telah berlalu hampir lima dekad lalu, namun ia masih kekal dalam memorinya. Hari ini, lelaki yang mesra dengan panggilan Rajah itu berumur 75 tahun.

Kertas yang menjadi saksi kepada peningkatan kerjayanya itu, masih tersimpan rapi dalam sebuah fail lama yang dibawanya ketika pertemuan baru-baru ini.

Dia mengakui hari itu merupakan hari yang paling hebat dalam hidupnya. Rajah berhak untuk merasai perasaan itu kerana dia merupakan pemandu lokomotif wap terakhir di Malaysia yang masih bernafas di muka bumi ini.





"Saya dan kereta api sudah bersatu. Tiada tembok yang boleh memisahkannya. Bunyi enjin kereta api bagaikan terjemahan kepada degupan jantung saya.

"Saya sudah lama berhenti kerja dengan Keretapi Tanah Melayu (KTM). Tetapi hati saya dengan kereta api belum bersara lagi," katanya ketika ditemui di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur baru-baru ini.

Luahan penuh melankolik dalam bahasa Inggeris itu pada saat kereta api baru saja berlepas adalah pembuka bicara selepas kami berjabat tangan sambil memperkenalkan diri masing-masing. Rajah amat menghargai pertemuan kami. Dia sanggup menyelongkar almari usangnya, mengambil topi dan lencana nama yang pernah digunakan pada zaman awal dia dilantik menjadi pemandu lokomotif.

Begitu juga dengan rakan sejawatnya, T. Sivasubramaniam. Katanya, apabila memakai barang-barang lama, ia mampu membangkitkan nostalgia di samping boleh menaikkan moodnya bercerita. Rajah telah mengabdikan dirinya selama lima dekad dengan KTM. Sebelum ini di antara tahun 1885 hingga 1985 KTM dikenali dengan nama Malayan Railway.

Kecintaan untuk berkhidmat dengan kereta api mula berputik ketika buku yang bertajuk, A Career With The Malayan Railway diagih-agihkan oleh British ke semua sekolah rendah di Malaya sekitar tahun 1940-an.

"Berkhidmat dengan kereta api pada zaman dulu dianggap kerjaya paling hebat, lagi pun bapa saya pada ketika itu pun bekerja dengan kereta api.

"Gabungan kepada dua elemen itu membuatkan saya teruja dan memasang cita-cita untuk menjadi pemandu lokomotif sejak kecil," kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Pada awalnya, cita-cita Rajah tidak direstui oleh bapanya. Bapanya beranggapan pekerjaan itu menyebabkan dia akan berada berjam-jam di dalam bilik air untuk membersihkan diri dan sakit kepala disebabkan debu arang batu dan kepanasan yang melampau ketika menghidupkan enjin lokomotif.


LOKOMOTIF wap kelas 56 yang terakhir dibawa masuk ke Malaysia ini pernah dipandu oleh Rajah.



Walaupun dalam dilema, Rajah nekad. Keinginan bekerja dengan KTM kian membara. "Entahlah, saya memang tak boleh tidak daripada mendengar bunyi enjin atau hon lokomotif, kalau tak dengar satu hari, rasa macam nak demam," akui Rajah yang kadangkala pelik dengan perasaannya itu.

Berkat kesungguhan

Usai tamat sekolah rendah (darjah lima), Rajah dengan hati yang terbuka menerima jawatan gred paling rendah iaitu sebagai pencuci enjin lokomotif pada tahun 1952.

Berkat kesungguhannya, dia kemudian mengisi kekosongan jawatan pemandu lokomotif seperti yang diidam-idamkannya.

Cerita Rajah, untuk menghidupkan sebuah lokomotif wap ia memerlukan kekuatan tenaga maksimum. Empat jam sebelum lokomotif bergerak, dia bersama rakan-rakannya yang lain akan memasukkan arang batu ke dalam tempat pembakaran.

"Berpeluh-peluh kami dibuatnya kerana suhu sekitar terlampau panas," selorohnya yang pernah berpeluang memandu lokomotif wap yang paling awal dibawa oleh British ke Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Pada ketika itu, fungsi lokomotif selain membawa barangan dan komoditi bijih timah, ia merupakan kenderaan mewah rakyat British di Malaya.

Bagi setiap perjalanan, lokomotif terbabit akan membawa seramai 40 hingga 50 penumpang orang kulit putih yang rata-rata golongan wanitanya menggayakan gaun meleret sementara golongan lelakinya segak berkot.

Sepanjang lima dekad berkhidmat bersama KTM, terlalu banyak pengalaman pahit manis yang dikutip oleh Rajah. Menurutnya, ketika memandu lokomotif dia lebih bimbang jika terlanggar haiwan ternakan berbanding manusia.

Mengapa? "Saya takut tuan kepada ternakan itu akan baling batu pada cermin lokomotif dan bila pecah, susah kita nak menjawab nanti," imbasnya.
Pengalaman memberi bantuan kecemasan semasa beberapa lokomotif tergelincir pada tahun yang berbeza merupakan antara kenangan paling indah dalam memorinya.

Rajah menjadi individu penting yang telah menyelamatkan Tren 2NK yang tergelincir di landasan di antara Tanjung Malim ke Behrang pada tahun 1979. Peristiwa 17 jam yang berlaku pukul 2.57 pagi pada Julai 1979 juga telah mengangkat Rajah sebagai wira.


RAJAH menganggap lencana namanya adalah khazanah yang berharga dalam hidupnya.



Insiden itu mengakibatkan kereta api 24 unit yang mengandungi 20 buah gerabak daripada tren No.602Nk tergelincir dan landasannya mengalami kerosakan teruk di antara Chemor dan Sungai Siput.

"Selama 17 jam kami bersama-sama ketepikan gerabak-gerabak yang rosak dan boleh kita katakan tempoh itu adalah masa yang cukup singkat untuk kerja-kerja menyelamat," katanya yang bersyukur kerana tiada nyawa yang hilang.

Ingatan bekas pemandu itu juga masih kuat terhadap satu lagi pengalamannya menyelamatkan BBC 10567 (Berisi) dengan tren No.401 yang tergelincir di landasan di antara Batu Gajah dan Malim Nawar pada 11 April 1986.

Tragedi itu mengakibatkan semua roda tren terkeluar daripada landasan tepat pukul 12.45 malam. Dia yang ketika itu tidak bertugas dan atas inisiatifnya sendiri, Rajah bersama rakannya, V. Utirapupathy bergegas ke lokasi dan berjaya melandaskan semula gerabak yang tergelincir.

"Pengalaman-pengalaman itu menjadikan hidup saya tenang kerana sekurang-kurangnya pada usia muda kita telah berjasa kepada masyarakat," ujar bapa kepada dua anak itu.

Daripada seorang pencuci enjin yang bergaji RM1.96, Rajah mengakhiri kerjaya sebagai Pemandu Lokomotif Khas (Merinyu Lokomotif) dengan gaji asas sebanyak RM400.

Dia tidak pernah menyesal melalui kehidupan yang sentiasa terikat dengan kereta api.
Namun, tiada seorang pun di kalangan ahli keluarganya yang jatuh cinta dengan kereta api. Hari ini Rajah bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan. Bagaimanapun, kereta api kekal sebati dengan jiwanya kerana dia memilih untuk menaiki kereta api ke mana sahaja.

Sabtu, Julai 03, 2010

Raih iktibar di tanah asing

Oleh AQMAR ALLADAD



KALAU berbicara dalam konteks penghayatan ilmiah, tidak keterlaluan kalau seseorang menyifatkan bahawa pengisian pembelajaran di peringkat sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi di negara ini banyak tertumpu pada konsep teori dan berpaksikan peperiksaan.

Walaupun itu menjadi kesempatan hebat untuk golongan muda menyerap seberapa banyak cabang ilmu, namun masih ada kekosongan lain yang perlu dikejar dan dicapai. Perkara yang dimaksudkan itu adalah pengalaman yang mengisi minda dan jiwa.

Maka, pelbagai aktiviti tambahan di luar jadual pembelajaran formal menjadi 'buruan' mereka yang cintakan bentuk pengisian baru. Demi mendapatkannya, seseorang remaja atau belia perlu berhadapan dengan beberapa cabaran sampingan seperti pengurusan waktu, halangan kewangan, pemilihan program ideal dan sumber dorongan yang berterusan.

"Sebenarnya ada di antara ibu bapa yang mahukan anak mereka mengikuti aktiviti berfaedah di luar waktu pembelajaran. Tetapi mungkin disebabkan mempunyai kekangan dari segi kewangan hasrat itu terpaksa dilupakan," jelas Presiden Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD), Muhammad Suhail Ahmad, 28.

Menyedari hakikat itu, GPTD yang sudah berusia sembilan tahun tidak pernah pasif dalam menggariskan matlamatnya. Bergerak dengan kapasiti kewangan yang diusahakan sendiri, kumpulan organisasi bukan kerajaan itu sentiasa memikirkan aktiviti bermanfaat untuk disertai ahli-ahlinya.

Idea penubuhan GPTD tercetus daripada gagasan meneladani jatuh bangun sesebuah tamadun. Digerakkan oleh kumpulan anak muda berpendidikan tinggi, GPTD mendedahkan ahli-ahlinya kepada pelbagai aktiviti belia dan khidmat sosial.

"Selain merencana program latihan dan projek pendidikan di dalam negara, kami turut melanjutkan minat mereka terhadap pembinaan jaringan yang lebih besar.

"Ini dicapai melalui program kembara global bagi menjejak tamadun dunia seterusnya mendalami tokoh-tokoh Islam yang sepatutnya dijadikan contoh terbaik buat mereka," terang lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.

KUNJUNGAN Jelajah Tokoh Luar Negara sempat menatap makam Nabi Ayub.


Menurut Muhammad Suhail, aktiviti asas GPTD seperti bengkel kemahiran, latihan imam muda, kem asas relawan dan diskusi grup dapat berkembang dengan wujudnya matlamat tersebut.

"Ini meliputi penguasaan bahasa strategik, kajian lokasi, aktiviti sosial dan pembinaan jaringan relawan antarabangsa menerusi projek-projek khas di luar negara.

"Peluang itu membolehkan mereka menilai kehebatan Al-Fateh, Cheng Ho, Wali Songo, Hamka, Ibnu Battutah dan Jil Saladin dengan berkunjung sendiri ke negara-negara yang berkaitan dengan tokoh-tokoh dunia itu," jelasnya yang kini giat menyusun jadual buat 400 ahli GPTD.

Latihan asas
Walau bagaimanapun, setiap ahli GPTD perlu melalui beberapa proses latihan untuk menguji kredibiliti mereka sebelum layak mengikuti projek jelajah tamadun.

Melalui Program Outreach misalnya, setiap ahli diberi tugasan untuk mendekati golongan miskin, pesakit, mangsa bencana, orang kurang upaya (OKU) dan Orang Asli.

"Pengalaman menjalin perhubungan dan mendalami kehidupan golongan tersebut perlu dicapai terlebih dahulu. Selain melatih sikap berdikari dan rajin membantu, skil interaksi turut memainkan peranan penting," katanya yang menguji rekrut GPTD dengan kebiasaan bermalam di madrasah dan masjid.

Jika sudah berjaya dalam siri latihan domestik yang mengambil masa selama setahun, barulah para peserta diberi peluang mengikuti program jelajah di luar negara. Apabila terpilih, mereka perlu berada di negara tersebut sekurang-kurangnya sebulan bagi mengumpul maklumat sejarah dan tokoh tamadun.

"Kami ingin melihat daya ketahanan mental dan fizikal mereka termasuk beberapa skil lain. Kelebihan itu sebenarnya mempersiapkan mereka agar mampu mengharungi kehidupan serba sederhana dan mencabar di negara-negara kunjungan nanti.

"Ketika itulah mereka dapat menilai keistimewaan berada di negara sendiri yang serba lengkap dengan kemudahan. Kebanyakan peserta yang mengikuti program ke luar negara ini lebih menghargai negara sendiri apabila mereka pulang ke tanah air," ulas Muhammad Suhail.

Bekas pengamal undang-undang ini sempat berkongsi pengalamannya ketika menjalani Program Jejak Tokoh Luar Negara selama setahun di Guangzhou, China.

Sewaktu berkunjung ke Masjid Saad Abi Waqqas untuk menunaikan solat Jumaat, dia tersentuh hati tatkala melihat bilangan para jemaah yang melimpah sehingga ke luar masjid kerana keterbatasan ruang.

SENI bina Masjid Umawi yang terletak di Syria cukup mengkagumkan.




Mereka khusyuk mendengar khutbah dan bersembahyang meskipun terpaksa menghamparkan tikar di kaki lima. Ketika itu, hujan sedang renyai dalam asakan suhu serendah lapan darjah Celsius.

Muhammad Suhail yang turut berada dalam saf tersebut terpaksa membuat keputusan menanggalkan stoking agar tidak diresapi air hingga menambah kesejukan yang dirasainya.

Terkesan dengan pengalaman itu, Muhammad Suhail telah mempelajari sesuatu. Kalau di bumi Komunis itu, umat Islam minoriti itu sanggup mengimarahkan masjid dalam cabaran cuaca ekstrem, tentu sekali umat Islam di Malaysia tidak punya alasan untuk melangkah ke masjid yang sememangnya lebih luas, selesa dan serba lengkap segala-galanya.

Pengalaman berharga
Bagi Penolong Setiausaha GPTD, Abdul Hakim Shahbuddin, 24, dia belum berkesempatan untuk mengikuti program jejak tokoh dengan sedalam-dalamnya disebabkan komitmen pengajian di UIAM yang perlu didahulukan.

Namun lima tahun lalu, Abdul Hakim berpeluang mengikuti lawatan pendek ke Jepun dan Korea. Dengan membawa misi mengumpul maklumat mengenai kebangkitan Islam di dua buah negara itu, dia dikejutkan dengan keakraban yang ditunjukkan para pelajar Malaysia yang menerima kehadirannya seperti keluarga sendiri.

"Saya membuat kesimpulan bahawa pemahaman tentang Islam di kalangan Muslim Jepun dan Korea masih perlu dibimbing dengan lebih mendalam. Mereka sebenarnya amat memerlukan tenaga pengajar namun bilangannya begitu terhad," terangnya.

Dalam pada itu, sepanjang 10 hari berada di Korea, Hakim pada awalnya berniat untuk bermalam di masjid. Disebabkan sikap ramah penduduk dan pelajar di sana, dia dipelawa untuk tinggal di asrama pelajar dan rumah keluarga angkat.

"Antara cabaran saya adalah untuk mendapatkan bekalan makanan halal. Jadi inilah pentingnya skil berdikari dan komunikasi supaya kita boleh menyelesaikan kemusykilan itu dengan penduduk Muslim di sana," ujar Abdul Hakim.

SEBILANGAN kanak-kanak rancak melakukan tarian tradisional masyarakat Pulau Kokos.


Bagi seorang ahli GPTD, Mohd. Shazni Abdullah, 24, pengalaman berada di tiga buah lokasi iaitu Syria, Turki dan Lubnan masih segar dalam ingatannya.

Baru sahaja berkunjung ke sana awal Januari lalu, Shazni sempat menghabiskan masa dengan mempelajari corak kehidupan masyarakat negara tersebut selama enam bulan.

"Tujuan kunjungan saya adalah untuk memperkukuhkan persahabatan GPTD dengan kumpulan NGO dan sukarelawan di sana. GPTD dalam proses untuk mengembangkan rangkaian bagi membolehkan lebih banyak projek kerjasama dijalankan.

"Kembara itu juga membawa manfaat tersendiri buat saya yang ingin memperkukuhkan kemahiran bahasa dan pertuturan Arab. Bahasa yang digunakan mereka sebenarnya amat berlainan dengan apa yang dipelajari. Mereka lebih banyak guna bahasa pasar," jelas graduan Pengajian Islam UIAM itu.

Seterusnya, sambil mengembara dia turut tidak melepaskan peluang menziarahi makam sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW dan juga lokasi-lokasi bersejarah di negara terbabit.

Selaras dengan motto GPTD iaitu Menjejak, Meneladani, Memimpin, jelas boleh dirumuskan bahawa setiap langkah yang dilakukan oleh ahli-ahlinya membawa nilai pulangan yang tiada tandingannya.

Mereka yang sudah lulus intipati kembara GPTD tentunya terasa mewah ilmu, pengalaman dan iktibar seterusnya mahu menyampaikan kisah tersebut kepada yang lain.