Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Khamis, Jun 23, 2011

Aku masih di sini

Aku masih di sini seperti sebelumnya,
Meniti dan merangkak seperti sebelumnya,
Bergerak dan berjalan juga seperti sebelumnya,
Entah bila dapat ku berdiri dan berlari selaju-lajunya?

Tiada daya tiada upaya,
Tapi bukan kerana kecacatan,
Mungkin kerana tiada usaha,
Atau ini sudah suratan?

Suratan atau kebetulan,
Tersurat atau tersirat,
Inilah ketentuan tuhan,
Pencipta yang maha hebat.

Bukan menyalahkan takdir,
Apatah lagi menentangnya,
Hanya berfikir dan terfikir,
Bilakah pengakhiranya.

Aku masih memujuk diri,
Agar lebih cekal dan tabah,
Walaupun tertusut onak duri,
Insya-Allah aku takkan rebah.

Aku masih di sini,
Meneruskan hidup yang berbaki,
Berdiri dan meniti,
Meneruskan hidup yang hakiki.

Allah itu maha agung,
Maha pengasih lagi mengasihani,
Seberat mana ujian ditanggung,
Mudah-mudahan tidak selamanya begini.

Lantaran itu aku terus memujuk diri,
Mengenang dosa dan salah,
Agar aku terus berdiri,
Menerima takdir Allah.

Tenanglah wahai hati nurani,
Ini bukan pengakhiran cerita,
Kesudahannya bukan di sini,
Kerana yang abadi hanya di sana...

Ibun: 15 Feb.’11M, bersamaan 16 Rabiul Awal 1432H..

Aku masih di sini. Sebuah coretan.

Selasa, Jun 21, 2011

Onani itu haram di sisi agama

Perkahwinan tanpa lelaki







MELAYARI bahtera cinta sehingga ke jenjang pelamin pasti menjadi impian setiap pasangan yang bercinta. Selepas mendirikan rumah tangga, bermulalah kewajipan sebagai suami atau isteri.
Kehidupan juga tentulah berbeza daripada semasa hidup membujang dahulu khususnya dari segi hubungan intim suami isteri.
Namun, perkahwinan itu tidak semestinya indah lebih-lebih lagi jika suami gagal menunaikan tanggungjawabnya. Ia sedikit sebanyak boleh menghakis keharmonian institusi kekeluargaan.
Seorang isteri, dikenali sebagai Sofea, menceritakan bagaimana peritnya dia menanggung penderitaan batin kerana si suami gagal memberi kepuasan seksual kepadanya.
Pelbagai cara dilakukan Sofea bagi menikmati hubungan intim itu namun semuanya gagal.
Bagi menjaga perasaan suami tercinta, Sofea berpura-pura dia mencapai tahap klimaks. Namun, selepas suaminya terlena, dia berusaha sendiri untuk memuaskan keinginan seksualnya.
Klimaks palsu
Selama hampir 10 tahun dia menggunakan teknik memuaskan nafsu sendiri itu dan hanya selepas bertemu doktor, baru dia menyedari dia selama ini telah melakukan onani.
"Saya membuat keputusan bertemu doktor selepas saya sering menolak ajakan suami bagi melakukan hubungan seks.
"Bagi menyelamatkan rumah tangga, saya terpaksa memberitahu doktor dan suami tentang masalah yang dihadapi dan bagaimana saya memuaskan diri sendiri.
"Namun, selepas diberitahu tentang onani, saya dan suami akhirnya berjumpa pakar kaunseling. Kini saya sudah menghentikan aktiviti onani tersebut," ujar ibu kepada tiga anak itu.
Berdasarkan kisah Sofea, kesimpulan awal yang boleh dibuat ialah wanita melakukan onani hanya kerana mahu mencapai klimaks yang tidak diperoleh semasa melakukan hubungan seks dengan suami.
Menurut Pakar Seksual Lelaki, Wanita dan Reproduktif, Hospital Damai Service, Dr. Mohd. Ismail Thamby, kebanyakan wanita yang telah berkahwin cenderung memalsukan klimaks bagi memuaskan hati suami.
Berikutan itu, mereka memilih untuk melakukan onani bagi melampiaskan kehendak yang tidak dicapai. Apa yang mengejutkan, majoriti daripada mereka tidak mengetahui mereka sebenarnya melakukan onani.
"Masyarakat mungkin ingat hanya lelaki yang melakukan onani.
"Tetapi wanita juga beronani dan cara mereka berbeza daripada lelaki.
"Perkara tersebut akan membuatkan mereka berasa seronok dan tanpa disedari mereka akhirnya akan beronani," katanya.
Berdasarkan pengalaman Ismail, pesakit wanita yang bertemu dengannya mendedahkan terdapat pelbagai peralatan yang menjadi pilihan mereka ketika beronani.
Mungkin kedengaran pelik tetapi hakikat yang perlu diketahui, wanita sering beronani menggunakan alat-alat bantuan yang tidak masuk akal.
Ada juga dalam kalangan mereka yang menggunakan alat bantuan yang dicipta khas yang dijual di kedai barangan seks.
Ismail menjelaskan wanita yang mengalami ketagihan onani akan mencuba pelbagai alatan dan cara bagi mendapatkan kepuasan paling tinggi.
Daripada segi psikologi pula wanita meletakkan onani sebagai satu tabiat berfaedah kerana ia mampu mengurangkan tekanan serta menimbulkan rasa seronok.
"Sebenarnya wanita yang beronani telah meletakkan satu pemikiran dan menetapkan tahap bagi mereka mencapai klimaks.
Mati putik

ISMAIL



"Jadi sukar bagi mereka mencapai klimaks ketika bersama suami kerana mereka telah terbiasa mendapatkan kepuasan dengan bersendirian.
"Mereka yang berada di tahap seperti ini perlu cuba menghentikan aktiviti tersebut kerana ia boleh menjejaskan hubungan intim bersama pasangan," ujarnya.
Pakar Psikologi dan Kaunseling, Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Suradi Salim pula menyatakan keinginan wanita untuk beronani bergantung kepada kepuasan yang dicapai mereka ketika bersama pasangan.
"Kemungkinan mereka mempunyai keinginan lebih tinggi terhadap pasangan dan apabila ia gagal dipenuhi, mereka memilih untuk beronani.
"Namun, dalam konteks onani ini kita perlu merujuk kepada pegangan agama seseorang itu kerana pada akhirnya perbuatan mereka itu akan dinilai berdasar kepada agama dan kepercayaan mereka.
"Ia terbukti apabila mereka yang kerap beronani akan berasa bersalah terhadap perbuatan itu dan ia tidak dizahirkan secara fizikal sebaliknya ia akan mengganggu emosi mereka," katanya.
Jika kekerapan onani boleh mengakibatkan golongan lelaki berdepan dengan risiko mati pucuk, wanita juga mempunyai kebarangkalian mengalami mati putik.
Menurut Ismail pula, mati putik atau disfungsi seksual wanita bakal menjadi mimpi ngeri buat golongan wanita apabila mereka mula menunjukkan tanda-tanda kelewatan mengalami klimaks serta gagal untuk menghayati rangsangan ketika bersama suami.
Apabila tiada perasaan ghairah terbit dalam diri, ia akan mengganggu kelancaran peredaran darah ke bahagian kemaluan serta mengakibatkan alat sulit gagal mengembang dan menggebu.
"Wanita yang gemar beronani juga akan mudah berasa letih dan tidak bertenaga serta tertekan dengan persekitaran apabila tidak mendapatkan kepuasan yang dihajati," jelas Ismail.
Justeru, Ismail mengingatkan golongan wanita agar mengelakkan onani kerana aktiviti tersebut merupakan satu bentuk penderaan kepada alat kelamin.
ONANI tetap HARAM

DAUD CHE NGAH



KEKELIRUAN masyarakat khususnya mereka yang beragama Islam terhadap onani sering dijadikan alasan untuk mereka terus melakukan aktiviti tidak sihat itu. Menurut pendakwah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah hukum melakukan onani adalah haram tidak kira dalam apa jua keadaan sekali pun. “Ada pendapat mengatakan onani boleh dilakukan bagi mengelak berlakunya zina, tetapi ia tetap jatuh haram buat seseorang yang melakukannya. “Allah telah menciptakan manusia itu berpasangan dan sekiranya mereka berkeinginan untuk mencapai kepuasan seksual, mereka perlu melakukannya bersama pasangan masing-masing.
“Mencapai kepuasan secara bersendirian dengan beronani bukan satu pilihan tepat, malah ia tidak dibenarkan dalam ajaran Islam,” jelasnya. Daud juga memberitahu pasangan suami isteri yang berdepan dengan masalah tersebut perlu mengatasinya dengan bijaksana terutama suami kerana tanggungjawab sebenar terletak di bahu mereka. Ujarnya, kegagalan isteri mencapai kepuasan seksual hingga mendorong mereka beronani adalah disebabkan fahaman mereka terhadap hubungan seks itu tidak seperti yang ditetapkan syarak. “Hubungan intim bersama suami bukan sekadar mencapai kepuasan tetapi ia juga perlu mencapai matlamat. “Apabila tercapainya matlamat maka pasangan tersebut akan mendapat rahmat. Tetapi jika isteri gagal mencapai kepuasan, suami perlu mencari punca kepada permasalahan tersebut,” tambahnya lagi.

Tengok niLucah, pornografi, bogel, telanjang..

Isnin, Jun 20, 2011

Pak Uda "ikut" jejak Pak Busu

Tiada lagi Pak Uda


MEMORI. Gelagat lucu Zami bersama anaknya, Mohd. Hitler dalam satu sesi fotografi bersama media baru-baru ini.


SAMBUTAN Hari Bapa tahun ini pastinya tidak bermakna buat ahli keluarga pelakon komedi terkenal, Zami Ismail, 67, apabila lelaki kesayangan mereka itu pergi meninggalkan mereka akibat serangan jantung semalam.
Sememangnya umum mengetahui tahap kesihatan figura yang yang cukup sinonim dengan gelaran Pak Uda itu agak menurun sejak akhir-akhir ini, namun pemergiannya itu merupakan satu kejutan dan kehilangan besar buat industri hiburan tempatan.
Menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang mula bersiaran sejak 27 tahun yang lalu, arwah cukup berjaya menghidupkan karakter Pak Uda.
Malah diakui, nama Zami lebih sebati dengan panggilan Pak Uda gara-gara sitkom tersebut.
Anak kelahiran Tapah Road, Perak itu memulakan kariernya sebagai seorang pelakon teater kira-kira 49 tahun yang lalu bersama Badan Budaya Ipoh.
Pada tahun 1973 menerusi teater Pertemuan Dua Roh yang diarah dan ditulis sendiri olehnya, arwah telah diangkat sebagai Pelakon Teater Terbaik.
Namun, nama arwah hanya mula popular setelah menjadi salah satu tunjang utama Pi Mai Pi Mai Tang Tu arahan Othman Hafsham pada tahun 1984.
Biarpun sudah berlakon puluhan drama serta filem sepanjang kerjayanya itu, namun Zami masih lagi menjadi antara pelakon veteran yang terus bertahan dan diminati sehingga sekarang.
Menurut salah seorang anaknya, Ahmad Yamashita, 38, ketika ditemui berkata, beberapa minggu sebelum meninggal dunia, arwah ayahnya itu sedang menjalani penggambaran drama di Pekan Hulu Langat, Selangor.

SITKOM Pi Mai Pi Mai Tang Tu menaikkan nama Zami Ismail untuk kekal diingati sebagai Pak Uda sampai bila-bila.


“Ketika menjalani penggambaran, arwah ayah ada mengadu sakit dan kemudian dia terus dibawa ke Hospital Ampang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Selama dua minggu arwah ayah dimasukkan ke hospital berkenaan, pihak hospital kemudian meminta kami supaya membawanya mendapatkan rawatan lanjut ke Institut Jantung Negara (IJN),” ujarnya.
Menurutnya lagi, ketika menjalani pemeriksaan di IJN, doktor mendapati keadaan jantung arwah ayahnya berada dalama keadaan yang cukup lemah.
Lebih memburukkan lagi keadaan katanya apabila Zami turut menghidap penyakit kencing manis sehingga menyebabkan pembedahan jantung ke atasnya terpaksa ditangguhkan sementara.
Bagaimanapun, usianya tidak panjang apabila dia menghembuskan nafas terakhir dan disahkan meninggal dunia pada pukul 10.30 pagi semalam selepas seminggu berada di IJN.
Selain Ahmad Yamashita, arwah meninggalkan seorang isteri, Hanizan Ibrahim, 58, serta sembilan orang anak iaitu Mohd. Hitler, 39; Mohd. Soupi, 37; Ismail Fahmi, 36; Khairul Affendi, 30; Aida Nurul Ashikin, 29; Aida Nurul Wahyu, 27; Mohd. Firdaus, 24, dan Zahid Bahoqman, 21.
Pelakon berkaliber
Selain terkenal dengan watak Pak Uda, ternyata arwah juga turut dikenali sebagai Pak Abu dalam dua filem arahan Mamat Khalid iaitu Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.
Ketika dihubungi semalam, Mamat meluahkan rasa sedihnya.

EMOSI murni dan tulus terpancar jelas daripada wajah cucu arwah Zami, Muzakir Al Bukhari Ahmad Yamashita, 11 tahun, di atas kepergian datuk kesayangannya.


“Arwah memang seorang pelakon yang cukup berkaliber dan dialah yang banyak bertanggungjawab dalam mencorakkan gaya pengarahan saya dalam bidang komedi.
“Sebagai seorang pelakon yang cukup berpengalaman, banyak perkara yang saya pelajari daripadanya dan sememangnya kebanyakan pelakon baharu sangat menghormatinya,” ucapnya.
Menurut Mamat, kali terakhir dia dan arwah bekerjasama adalah menerusi filem Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit yang sudahpun selesai menjalani penggambaran beberapa bulan lalu.
Sewaktu penggambaran filem itu, kata Mamat, dia sendiri sudah melihat keadaan arwah yang sudah tidak sihat dan selalu mengalami semput ketika berlakon.
“Arwah memang seorang pelakon yang begitu komited dengan kerjanya.
‘Malah, dia tidak kisah untuk berlakon pada bila-bila masa dan akan melakukan dengan sebaik mungkin.
“Walaupun saya ada beri kelonggaran kepadanya seperti mengurangkan beberapa babak yang melibatkannya, tetapi dia tetap berkeras untuk terus melakukannya kerana mahu mengikut kehendak skrip,” ceritanya lagi.
Sementara Othman pula menganggap arwah sebagai tunjang kepada kejayaan Pi Mai Pi Mai Tang Tu.
“Biarpun pada asalnya semua yang terbabit dalam sitkom itu bukanlah pelakon komedi, namun mereka semua termasuk Pak Uda dapat membawakan watak masing-masing dengan baik.
“Malah, boleh saya katakan bahawa watak Pak Uda juga adalah tunjang kepada kejayaan sitkom berkenaan sehingga menjadi antara rancangan komedi yang paling lama bertahan,” jelasnya.

Jumaat, Jun 10, 2011

Cerita bola: Kelantan tak ingin kecewa lagi

Tahun 2009 Kelantan dikecewakan oleh Selangor pada saingan akhir Piala FA. Kelantan yang mendahului 1-0 hasil jaringan Indra Putra begitu bersemangat untuk mendakap piala buat kali pertama. Akhirnya penyokong Kelantan terkedu seketika dengan jaringan penyamaan Amri Yahya. Penentuan penalti pula memihak kepada Selangor untuk dinobatkan sebagai juara Piala FA 2009.

Malam esok adalah detik menebus kehampaan tapi bukan dengan Selangor. Selangor terlebih dahulu dijinakan oleh anak buah Datuk M.Karathu pada 13 dan 16 Mei 2011 lalu. Kemenangan 5-1 di Shah Alam dan 1-1 di Kota Bharu sudah lebih daripada cukup buat Kelantan mara ke perlawanan akhir.

Lawan kali ini adalah musuh tradisi zaman berzaman, Terengganu. Terengganu turut menjinakan jiran tetangga, Pahang, pada tarikh yang sama. Terengganu menang 3-2 di Pahang. Sebelum itu skuad penyu ketinggalan 0-2 kepada Pahang. Walaupun ketinggalan tidak mematahkan semangat anak buah Irfan Bakti ini untuk bangkit dengan tiga gol selepas itu. Penyu terus bersorak apabila turut menang 2-0 ke atas anak buah Dollah Salih dan Zainal Abidin hassan di Kuala Terengganu.

Kini debaran kian memuncak. Di kem Kelantan ada beberapa perkara yang menarik perhatian. Tahun 2009, Sharizan Ismail (Mat Cah) bertanggungjawab untuk menjaga gawang. Pada mulanya Halim Napi menjadi penjaga utama sebelum itu. Selepas tercetus pergaduhan pada 7 April 2009 yang melibatkan Halim, KAFA dan FAM terpaksa menggantung Halim buat beberapa bulan. Ketika inilah Mat Cah bertindak sebagai penjaga gol utama Kelantan. Tetapi Mat Cah terpaksa akur dengan kekalahan kepada Selangor.

Khairul Fahmi Che Mat (Apex) pada waktu itu hanyalah sebagai penjaga gol ketiga skuad Kelantan. Tapi tahun 2011, ada perubahan ketara. Mat Cah bukan lagi penjaga gol utama, sebaliknya diganti dengan Apex. Untuk final malam esok sudah pasti Apex diturunkan kerana kedudukannya sekarang ini selaku penjaga gol nombor satu Malaysia.

Begitu juga dengan Khalid Jamlus yang menjadi sandaran utama skuad 2009. Kini, Khalid sebagai pemain simpanan dan kadang-kadang kala super-sub untuk Kelantan.

Skuad Piala FA 2009 dibimbing oleh Peter Butler, tapi 2011, M.Karathu mengambil alih.

Walauapun sejarah atau kisah lalu, Kelantan tidak ingin kecewa lagi buat kali kedua.

Tapi, ada sesuatu yang "busuk" berbau dan bertiup sekarang ini. Jual permainan. Itulah khabar angin yang kedengaran. Ada yang mengatakan Kelantan akan memberi laluan kepada Terengganu untuk dapat Piala FA, dan Terengganu akan memberi laluan kepada Kelantan untuk menjulang Piala Liga Super. Itulah khabarnya. Jujur aku mengatakan, aku tidak percaya perkhabaran ini.

Pertembungan final kali ini juga bakal menarik perhatian jutaan peminat bola sepak tempatan. Tapi tumpuan lain yang utama adalah penyokong kedua-dua pasukan. Umum mengentahui penyokong Kelantan dan Terengganu sukar duduk bersama walaupun berjiran (ketika menonton pasukan mereka berentap sesama sendiri. Jika untuk hal lain tidak menjadi masalah untuk orang Kelantan - Terengganu duduk bersama). Hal ini sudah pasti akan menimbulkan sesuatu yang tidak diingini berlaku jika ada pihak yang mengambil mudah.

Walau apapun, harap-harap tidak ada penyokong yang babil dan tolol sepanjang perlawanan berlangsung mahupun sebelum atau selepas perlawanan berakhir.

*Dengar-dengar juga RTM akan menyiarkan juga siara langsung final kali ini dan juga baki dua perlawanan Liga Super nanti. Harap-harap betullah. Dan berharap juga Liga Piala Malaysia nanti RTM turut adakan siaran langsung. Haraplah.. \m/

Rabu, Jun 08, 2011

Bila ustazpun merokok

Tika termenung dan mengelamun, aku terfikir dan berfikir.. Siapakah ustaz? Apa istimewanya seorang ustaz berbanding dengan kita insan biasa..? Uztaz tu semuanya baik ke? Ada ke ustaz hanya pada gelaran tapi bukan pada tingkahlaku?

Secara mudahnya gelaran ustaz itu adalah untuk merujuk kepada individu yang menjadi guru agama Islam. Guru yang mendapat pendidikan Islam dan mengajar mengenai Islam. Ustaz juga tidak saja merujuk kepada guru sekolah malah guru yang mengajar di mana-mana sektor. Ia juga merujuk kepada sesiapa saja yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam hal ehwal Islam. Itu gambaran mudah untuk menggambarkan siapakah “ustaz”.

Dalam kepala kita ustaz itu seorang yang cukup istimewa. Ustaz ini digambarkan seorang yang bersih dari segi jasmani lebih-lebih lagi rohani. Ustaz seorang yang diberi penghormatan lebih tinggi berbanding seorang guru biasa, apatah lagi orang biasa. Ustaz adalah guru yang sempurna dari segala sudut. Itu gambaran kita terhadap seorang yang bergelar “ustaz”.

Jika seorang ustaz melakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama sudah tentu ia sesuatu yang malang. Di sini mengambarkan bagaimana masyarakat tidak mahu gelaran “ustaz” itu tercemar dengan perbuataan yang negatif oleh seorang ahli agama.

Bagaimana pula jika seorang ustaz itu merokok?

Merokok merupakan satu pendebatan dan perbahasan yang tidak berkesudahan. Ada pendapat yang mengharamkan. Ada yang kata makruh. Ada juga yang diam membisu (terutama perokok itu sendiri).

Dari sudut kesihatan sudah tentu ia satu tabiat sia-sia kerana bukan saja merbahayakan kesihatan perokok malah orang sekelilingnya. Kalau ilmu perubatan melarang tabiat merokok, apatah lagi ilmu Islam. Tapi bagaimana pula dengan pandangan ustaz yang merokok. “Apa pandangan ustaz tentang tabiat merokok”?, cuba tanya soalan ini kepada ustaz yang tidak merokok dan ustaz yang merokok. Apa reaksi mereka? Apa jawapan mereka?

Pengharaman merokok memang belum dimuktamadkan. Tapi ini bukan alasan untuk seorang ustaz untuk terus dengan tabiat merokok.

Seperti yang aku katakan tadi, ustaz itu adalah individu yang begitu istimewa dari segenap sudut sama ada akhlak, dan tingkahlaku. Jika ustazpun sukar meninggalkan tabiat merokok apatah lagi orang biasa.

Umum mengetahui merokok itu banyak buruk berbanding baik. Membazir duit, menjejaskan kesihatan, pencemaran udara dan macam-macam lagi. Ustaz-ustaz yang merokok jangan kata tabiat ini untuk meningkatkan ekonomi negara. Ya, dengan jumlah “pengguna” rokok yang tinggi memang menjadi salah satu penyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

Sukar untuk aku menerima seorang ustaz perokok. Ustaz biasanya penuh dengan nasihat, tingkahlaku sempurna dan tabiat yang elok. Tapi dengan tabiat merokok bagaimana ustaz nak tampil dengan menjadi penasihat yang baik?

Ustaz perokok. Sesuatu kerugian bagi kita yang bukan perokok yang juga bukan ustaz (orang Islam biasa).

Tunjukkan tingkahlaku yang baik, tabiat yang elok..


Boleh faham...?

Isnin, Jun 06, 2011

9,10,11,12. Kenduri, kahwin, kenduri, kahwin. Akhir sekali mati.

9 Jun hingga 12 Jun, empat hari berturut-turut aku akan menghadiri sambutan hari bahagia sahabat aku. Sebelum tarikh itu ada beberapa tarikh lagi. Bermula 28 Mei dan 4 Jun. Sebelum itupun ada lagi. Aku taknak sebut sebab banyak sangat.

Selamat berbahagia buat sahabat semua.

Fasa hidup seterusnya dalam diri. Bermula dari loh mahfuz, kemudian beralih ke rahim ibu. Apabila cukup masanya, kita menjengah ke alam dunia sebagai anak kecil, bayi. Masa berlalu daripada meniarap kita merangkak, bertatih, berjalan dan berlari. Kita membesar lagi hingga menjadi kanak-kanak.

Daripada makan disuap, kita mula menyuap sendiri. Daripada minum berbotol susu, kita minum bergelas.

Apabila umur tujuh tahun kita mula diajar “A,B,C,... alif, ba, ta,...”. Dan ada juga di kalangan kita yang mendapat pendidikan sejak umur kurang enam tahun. Umur lima tahun masuk tadika. Setahun kemudian prasekolah.

Dalam tempoh ini kita sekali lagi menempuh alam baru. Bagi yang perempuan waktu begini menjadikan mereka gadis. Bagi lelaki kita juga akan jadi bukan lagi kanak-kanak biasa. Waktu inilah dipanggil akhil baligh. Tempoh ini jugalah kita – yang lelaki – akan mengalami detik cemas yang pertama, iaitu detik masuk jawi. Berdebar, takut, gemuruh, semuanya ada.

Umur 13 tahun satu langkah lagi dilalui apabila melangkah ke sekolah menengah. Dari 13 tahun hingga 17 tahun kita mula belajar sesuatu yang tidak ada dalam silibus sekolah. Ada yang bercinta monyet (aku pernah cakap kat sahabat aku, “Agak-agaknya cinta monyet ni sempat jadi beruk tak?”, sambil ketawa), hisap rokok, ponteng sekolah dan bermacam-macam lagi. Ada yang lebih parah mencuri, menagih dadah, zina dan sebagainya yang negatif. Bagi yang baik, kita laluinya dengan berhati-hati.

Habis sahaja SPM masing-masing ada haluan sendiri. Bagi yang cerdik pandai sikit mereka meneruskan pengajian. Tingkatan enam, kolej, matrikulasi dan sebagainya. Yang kurang minat belajar mereka cuba-cuba menjejak ke alam pekerjaan. Yang dapat jodoh awal, alhamdulillah, mereka mengikut sunnah lebih awal daripada sahabat-sahabat yang lain. Menjadi suami atau isteri. Tapi kebanyakannya dalam tempoh ini perempuan mendahului lelaki.

Fasa hidup diteruskan. Ada yang sambung belajar sampai ke universti. Ada yang ambil diploma. Ada yang ambil sijil. Ada juga yang temui ajal awal. Semuanya ada.

Masa terus berlalu. Hari berganti minggu. Minggu berganti bulan. Bulan berganti tahun. Setahun. Dua tahun. Tiga tahun. Dan empat tahun. Dan tahun-tahun yang mendatang.

Dalam tempoh ini juga ramai yang beralih nasib fasa. Lepasan universiti dapat kerja, lepasan diploma dapat kerja. Yang ada sijil juga dapat kerja. Yang tak dapat kerja juga masih ada.

Tempoh-tempoh terus berjalan. Jodoh telah sampai. Ini juga adalah detik cemas kedua buat kita, lebih-lebih lagi lelaki. Bakal berdepan tok kadi dan keluarga baru.

Bagi yang belum bertemu jodoh, juga masih membujang.

Masa terus berlalu. Fasa terus berganjak. Kerja. Kahwin. Isteri. Suami. Anak. Cucu. Cicik. Dan terus berjalan, berlalu untuk ke fasa yang seterusnya.

Fasa seterusnaya adalah saat kematian. Detik cemas seterusnya buat insan. Ya, buat semua hamba Allah. Tidak kira yang dah kahwin. Yang belum kahwin. Yang kerja. Yang belum kerja. Yang itu, yang ini. Yang yang yang yang dan yang yang seterusnya....

Fasa kematian tidak mengikut tempo dan turutan. Ada yang meninggal sebelum bersekolah rendah. Ada yang mati sebelum masuk jawi. Ada yang sebelum baligh. Ada yang sebelum bercinta monyet. Ada yang sebelum kahwin dan kerja. Dan ada juga yang mengakhiri hayat selepas melalui semua fasa di atas. Ada juga yang hanya sempat melalui satu, atau dua, atau tiga fasa saja.


Itulah fasa hidup kita. Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita pulang.

Ahad, Jun 05, 2011

Alhamdulillah. Dapat tiket bola percuma. Tapi..

Alhamdulillah. Sempena Final FA CUP 2011, pada 11 Jun ini, aku akan diberikan tiket percuma oleh seorang wartawan sukan, merangkap blogger sukan, suarasukan1mas.blogspot.com. Suara Sukan (SS) membuat kejutan sebagai menghargai pembaca-pembaca blog beliau. Pembaca bertuah yang selalu memberi ulasan pada entri beliau diberi hadiah istimewa tiket perlawanan akhir.

Hadiah ini cukup istimewa bagi aku. Tapi sayang aku tak dapat menerimanya. Pada mulanya aku ni calon yang entah ke berapa. Oleh sebab ada seorang pembaca bertuah tak dapat menerima hadiah itu (kerana berada di luar negara), aku pula tersenarai. Dan aku pun macam salah seorang pembaca tu tak dapat menerima hadiah istimewa itu. Bezanya antara kami, pembaca tu di luar negara, aku di dalam negara.

Entri SS yang bertajuk "Pembaca Bertuah Menangi Tiket Final Piala FA" sebagai menghargai pembaca blog beliau.

"IBUN_JOGHO, ada tiket kamu".. itu antara salah satu komen yang ditinggalkan oleh penulis blog SS. Kemudian aku susuli dengan mesej berikut pada sudut ulasan beliau:

"Salam ya sahabat. Trima ksh byk. Tp maaf, kita x dpt brsama. Skrg ni xleh tinggal Kelate. Bonda x sihat; awl thn ni bonda kena operate kaki, kncing manis. Skrg msh blm blh bjalan. Kat rmh xde org. Susah bonda nk begerak k klinik / hspital. Ayah xleh bawa keta. So kwe kena ada kat rmh slalu. Kalu stakat nk tgk bola kat SSM VI, KB & tgk Astro Arena 801 kat kedai dgn member2 blh la. Tp nk kluar Kelate blm blh lg. Apa2 pun terima kasih BANYAK & MINTA MAAF BANYAK2. Bkn x mhargai tp ada kekangan lain. Sorry..".

Sekali lagi aku ucapkan terima kasih di atas pemberian itu, dan mohon maaf kerana tak dapat menerima hadiah tersebut.

*Aku gunakan nama ibun_jogho bagi blog MyView ini.

Jumaat, Jun 03, 2011

Kecil Tumpang Besar, Besar Tumpang Kecil. Apa jadi?

Kali ini aku cuba sampaikan sesuatu catatan yang memerlukan akan berfikir panjang. Aku cuba untuk menyatakan apa sebenarnya "Kecil Tumpang Besar, Besar Tumpang Kecil".

Apa yang dimaksudkan dengan “kecil”, “besar” dan “menumpang”. Sebenarnya perkataan-perkataan ini bukanlah bermaksud secara tepat difinisinya. Aku cuba membuat andaian dan eksploitasi perkataan tersebut mengikut pendapat sendiri. Inilah MyView (pandanganku).

Difinisi biasa “kecil” dan “besar” adalah mungkin dari segi saiznya. “Menumpang”, pula barangkali bermakna sesuatu “kebergantungan” kepada orang atau pihak lain.

Kenderaan kecil menumpang kenderaan besar, itu adalah biasa. Tiada apa yang luar biasa jika sebuah kereta (kecil) dimuatkan dalam lori kontena (besar). Tapi sebuah kontena hendak dimuatkan dalam sebuah kereta mahupun van memang luar biasa. Memang tidak munasabah. Memang melampau.

Kita cuba faham salah satu contoh “Kecil Tumpang Besar, Besar Tumpang Kecil”.

Seseorang yang bergaji kecil menumpang seseorang yang bergaji besar, itu biasa. Tapi adakalanya ini akan menjadi luar biasa. Adakalanya juga ia akan menjadi melampau.

Seseorang yang bergaji besar menumpang seseorang yang bergaji kecil, itu agak luar biasa. Adakalanya ini menjadi biasa dan tidak perlu dipersoalkan.

Kita cuba selangkah lagi persoalan ini. Fahami betul-betul.

Seorang isteri yang bergaji kecil menumpang seorang suami yang bergaji besar itu adalah biasa. Dalam hal ini istilah “menumpang” memang tidak boleh digunakan. Ini kerana sudah menjadi kewajipan seorang suami untuk menanggung seorang isteri walaupun isterinya bekerja. Dan ini akan menjadi lebih biasa jika isteri tidak bergaji (suri rumah).

Bagaimana pula dengan seorang suami yang bergaji kecil menumpang seorang isteri yang bergaji besar? Adakah istilah “menumpang” boleh diguna pakai, atau tidak? Ada ketikanya istilah “menumpang” itu mesti digunakan. Adakah suami bergaji kecil menumpang isteri bergaji besar itu perkara luar biasa? Sekali renung ia perkara luar biasa. Sekali fikir ia perkara biasa.

Ia akan menjadi luar biasa jika suami betul-betul menumpang isteri yang bergaji besar. Sebabnya? Sebabnya suami perlu dan wajib menanggung isteri walaupun isteri bergaji besar. Tapi ini akan menjadi biasa dan akan terus menjadi kebiasaan jika gaji suami yang kecil itu tidak mampu menanggung isteri (dan anak-anak).

Yang menjadi melampau kerana suami yang bergaji kecil tidak bertanggungjawab. Gaji kecil tidak menjadi masalah. Yang menjadi masalah apabila hilang rasa tanggungjawab dalam diri, tapi timbul pula sikap menumpang isteri. Inilah yang menjadi melampau.

Seterusnya; Seorang suami yang bergaji besar menumpang isteri yang bergaji kecil memang luar biasa. Dan ini memang melampau. Di sini ada dua perkara penting yang mesti diberi perhatian. Pertama tanggungjawab suami yang wajib menanggung isteri. Kedua wujud “kezaliman” suami yang bergaji besar menumpang isteri bergaji kecil.

Macam pula jika isteri bergaji besar menumpang suami bergaji kecil? Adakah perlu digunakan istilah “menumpang”? Sudah menjadi tanggungjawab suami menanggung isteri, walaupun isteri bergaji besar. Dan ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Dan ini tidak perlu dipersoalkan.

Perkara yang perlu dipersoalkan dan perkara yang melampau adalah apabila suami bergaji besar menumpang isteri bergaji kecil. Atau lebih parah menumpang isteri yang tidak bergaji.

Selesai sudah contoh.

*****Sesuatu yang tiba-tiba terlintas dalam fikiran. Persoalan “Kecil Tumpang Besar, Besar Tumpang Kecil” yang mencetuskan sedikit kekeliruan. Aku cuba menterjemahkan sedikit kekeliruan ini dalam bentuk penulisan. Tapi apa yang terbuku, terpendam, tersimpul dalam ini sebenarnya sukar untuk digambarkan.

Hakikatnya hidup berumah tangga ramai yang tahu tapi ramai juga yang sukar menangani dengan sempurna. Hidup saling kebergantungan, untuk mencapai sepakat. Jika ini terjadi tiada masalah jika wujud “Kecil Tumpang Besar, Besar Tumpang Kecil”. Dan aku percaya jika wujud sekalipun ia hanyalah untuk kebaikan bersama. Inilah yang diharapkan. Jika tidak? Tepuk dada tanya iman..

Apa yang akan jadi jika perkara ini terjadi? Itu persoalan yang memang sukar aku nyatakan. Apa jadi..?

Boleh faham...??