Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Ahad, Januari 10, 2010

“Boleh keluar UMNO jika bukan bersifat perkauman”

KUALA LUMPUR - “Nazri menuduh saya sebagai rasis, betul kerana saya mempertahankan kursus BTN (Biro Tata Negara) daripada dirombak dan menuduh saya hanya bercakap pasal orang Melayu sahaja tanpa mengambil kira kaum lain.

“Beliau berada dalam parti yang bersifat perkauman tetapi dalam masa sama mengatakan bahawa beliau anti perkauman dan menuduh kursus Biro Tata Negara (BTN) bersifat perkauman,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Ekonomi Malaysia-Indonesia 2009 bertajuk “Peluang dan Cabaran Daripada Perspektif Media dan Perniagaan” semalam, Dr Mahathir berkata, Nazri perlu meninggalkan UMNO bagi membuktikan beliau bukan seorang yang bersifat perkauman.

“UMNO adalah parti yang bersifat perkauman pada asasnya kerana hanya mengambil ahli daripada kaum Melayu.

Saya cadangkan agar beliau keluar UMNO untuk membuktikan yang beliau antiperkauman. Beliau harus sedar kedudukannya dalam parti dan peka dengan kenyataannya yang menyentuh isu perkauman khususnya orang Melayu,” katanya.

Bekas Perdana Menteri berkata, BTN berfungsi dengan baik cuma segelintir yang tidak memahami nilai positif yang boleh dijayakan dalam kursus itu terutama untuk membangunkan negara.

“Setakat pengetahuan saya, tiada kepincangan dalam BTN, malah sebahagian besar modul adalah sesi penerangan mengenai sejarah negara kita. Isu BTN diperbesar-besarkan pembangkang dan menjadikan isu ini sebagai mainan politik semata-mata,” katanya.

Sementara itu ketika berucap, Dr Mahathir berkata, media Malaysia dan Indonesia berperanan besar dalam merapatkan hubungan kedua-dua negara serta bertindak menghapuskan segala salah sangka rakyat masing-masing.

Beliau berkata, kerjasama erat antara kedua-dua buah negara juga dapat menyelesaikan masalah yang ditimbulkan sesuatu pihak sebelum ia menimbulkan kemarahan di kalangan rakyat yang membaca kandungan sesebuah laporan.

“Media mempunyai peranan sangat besar kerana ia akan mempengaruhi pemikiran dan persepsi orang yang membaca kandungan laporan mereka. Jadi, saya yakin kita (Malaysia-Indonesia) perlu mempunyai hubungan kekeluargaan yang baik agar laporan yang dikeluarkan tidak mengganggu sensitiviti rakyat di dua buah negara ini,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar perhimpunan dan forum yang bertujuan merapatkan lagi hubungan dua buah negara ini diadakan tahun hadapan dengan menjemput media kedua-dua negara melawat agensi media negara masing-masing.

Sinar Harian. 09/12/09

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..