Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Khamis, Januari 21, 2010

Cerita Bola; Macam mana tu? Apa dia nak sebenarnya?

Bagai mana hendak mulakan catatan kali ini apabila mengenangkan perlawanan di antara Kelantan dengan Kedah pada 19 Januari 2010 yang lalu. Kekalahan yang memalukan buat Sang Kijang pada permulaan musim. Dalam perlawanan tersebut aku tertarik terhadap beberapa perkara yang berlaku pada malam itu. Pertama adalah mengenai tewasnya Kelantan yang kononnya digelar Pahlawan. Kedua adalah mengenai gelagat penyokong.

Pemain / Jurulatih
Syed Adney Syed Hussein, adalah bekas penjaga gol bawah 23 tahun kebangsaan, dan bekas penjaga gol skuad MyTeam. Ini bermakna Syed Adney bukan calang-calang penjaga gawang. Di bawah skuad MyTeam misalnya, Adney menerima tunjuk ajar bekas penjaga gol Selangor dan juga kebangsaan, Rashid Hassan. Ini juga bermakna, bukan calang-calang jurulatih yang melatihnya. Namun malam itu seolah-olah Adney tidak pernah menerima latihan daripada mana-mana jurulatih. Adney bagaikan berlatih sendirian sebelum menerima kunjungan Kedah, malah seolah-olah berlatih tanpa pengawasan sehinggalah menerima perlawaan untuk menyarung jersi Kelantan.

Gol saguhati dijaringkan ole Azlan Ismail pada minit ke-41 berlaku tanpa diduga. Macam mana tu? Apa dia nak sebenarnya? Itu persoalannya. Bagi yang tidak sempat melihat di kaca tv (siaran berita) mahupun yang tidak berkesempatan ke stadium, boleh "melihatnya" di sini. Situasi bermula daripada bola  yang "dipassing" oleh pertahanan (dari sebelah kanan gol), kemudian ditahannya. Datang pula Azlan yang cuba mengancam (dari depan) kalau-kalau ada peluang. Adney berpusing ke kanan, begitu juga Azlan. Adney cuba mengacah. Acahkan pertama menjadi, dicubanya sekali lagi. Dan acahkan keduanya kali ini betul-betul menguntungkan Azlan apabila bola tiba-tiba menuju ke kaki Azlan. Tanpa berbuat apa-apa Azlan hanya membiarkan bola itu "mencium" butnya seketika sebelum bola itu bergolek ke sebelah kanan Adney dan terus menuju ke gawang. Apa yang Adney mahukan lakukan sebenarnya? Keadaan ini seolah-olah menggambarkan Syed Adney tidak sempat menghabiskan pembelajaran kemahiran sebagai penjaga gol. Namun itulah bola sepak, segala kemungkinan boleh berlaku. Sehebat mana pun penjaga gol di dunia ada juga melakukan kesilapan.


Catatan sebelum ini ada berkisarkan mengenai tiga pemain baru Kelantan iaitu Adney, Hairuddin dan Akmal. Malam yang kurang bernasib baik itu juga menyaksikan kelibat Hairuddin dan Akmal yang kurang disenangi oleh penonton (tapi tidak tahulah dua pemain itu senangi atau tidak oleh jurulatih). Dipendekkan cerita, dua pemain ini masih lagi tercari-cari rentak. Separuh masa kedua mereka dikeluarkan. Zamri yang bermain di posisi pertahanan di bawa masuk menggantikan Akmal di posisi Akmal. Che Hisyamuddin menggantikan Hairuddin. Macam mana agaknya perancangan dan taktikal yang ingin dilakukan oleh Sathianathan? Apa yang Sathia mahukan agaknya? Sebagai jurulatih yang profesional, Sathia sudah pasti mengetahui apa yang dilakukannya.

Penyokong
Sebaik gol pertama diperoleh oleh Kedah, penyokong mula "panas". Mangsa cemuhan sudah pasti Syed Adney. Kemudiannya Hairuddin dan Sathianathan. Jiwa bergelodak memudahkan perkara-perkara yang tidak elok diluahkan. Apa yang penyokong mahukan sebenarnya? Penyokong mahukan permainan yang menarik, tektikal yang jitu dan (kalau boleh) kemenangan. Kekalahan yang seumpama ini tidak dapat diterima.

Minit-minit akhir pula Che Hisyamuddin diperintahkan keluar padang ekoran kekasaran yang dilakukan ke atas pemain lawan. Hah!! Nasib baik tidak ada  penyokong yang cuba masuk ke padang untuk campur tangan dan "campur kaki".

Dari segi pengadilan, penyokong juga tidak berpuas hati. Aku tidak nampak di mana silap pengadil. Kalau ada pun hanya satu atau dua keputusan, terutamanya yang melibatkan penyingkiran Hisyamuddin. Hisyamuddin bertindak setelah berlaku tolak-tolak di antara kedua-dua pemain. Mungkin kerana terlalu geram, Hisyamuddin "menenyeh" kepala lawan. Dan itu yang memaksa pengadil berbuat keputusan sedemikian. Tapi mungkin bagi penyokong yang lain ada yang mempersoalkan beberapa keputusan yang dibuat.

Sebaik tamat perlawanan, penonton tidak terus keluar. Masih menunggu di dalam stadium. Seperti biasa, lontaran kata-kata dan lontaran bekas minuman mengiringi pemain dan jurulatih masuk ke bilik persalinan. Di luar stadium, penyokong berkumpul beramai-ramai seolah-olah peristiwa April 2009 bakal berlangsung sekali lagi. Sambil menunggu pemain dan pengurusan kedua-dua pasukan keluar memungkinkan perkara yang tidak diingini akan berlaku. Itu  adalah salah satu cara protes. Alhamdulillah, tidak berlaku perkara buruk walaupun suasana agak membimbangkan. Apa yang penyokong mahu sebenarnya dengan bersikap demikian? Hanya mahukan melepaskan geram dan rasa tidak puas hati.

Gelagat
Sewaktu berada dalam stadium aku tertarik dengan gelagat anak-anak kecil yang turut sama menyaksikan perlawanan tersebut. Semangat yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap bola sepak turut tersemai di kalangan anak kecil. Macam mana tu? Apabila dari kecil telah dibawa menonton, sudah pasti ia memupuk minat kanak-kanak. Apa yang ibu bapa mahu sebenarnya dengan membawa anak-anak ke stadium. Aku pasti setiapa orang ada jawapannya.

Di sebalik cara untuk memupuk minat anak-anak terhadap bola sepak ini, aku melihat ada kelemahan dan keburukannya. Apa yang anak-anak akan belajar di dalam stadium apabila melihat ada penyokong membaling mercun, botol minuman dan sebagainya? Apa yang anak-anak akan belajar sekiranya mereka disajikan dengan kata-kata maki hamun semasa perlawanan berlansung? Anak-anak akan melalui proses pembelajaran yang tidak sihat di situ. Pada perlawanan malam itu aku sempat melihat seorang kanak-kanak (lingkungan umur 5-6 tahun) menghayung-hayung tangannya seolah-olah membaling sesuatu. Walaupun tiada apa yang dibalingnya, ini menunjukkan ia telah belajar sesuatu pada malam itu (dan mungkin pada malam-malam perlawanan sebelumnya). Dari sudut lain pula kedengaran kata-kata kurang sopan keluar daripada seorang dua kanak-kanak (lingkungan umur 10-12 tahun). Inilah proses pembelajaran di stadium. Jika anak-anak ini dibesarkan dalam suasana begini tidak mustahil suatu hari nanti mereka mampu menggantikan abang-abang mereka, ayah-ayah mereka mahupun saudar-saudara mereka sebagai pembaling mercun di stadium dan juga "pengeluar" kata-kata tidak beradap. Dan ini bukan sahaja dilakukan di stadium malah di luar stadium.

Bagi penyokong Kelantan, orang perempuan tidak sesuai ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak. Kalaupun minat cukuplah sekadar menonton di tv. Sesiapa yang membawa masuk perempuan akan dicemuh malah akan dibaling dengan sesuatu. Pendek kata, jika ada perempuan yang ke stadium pada waktu itu, sudah pasti ia satu penyesalan. Jika ada juga yang ingin turut serta seoloknya duduk di astaka, bukan di tempat terbuka.

Akhir sekali, aku mengharapkan bukan sahaja perubahan dan peningkatan yang baik buat pasukan Cik Siti Wan Kembang ini, malah buat penyokongnya. Begitu juga kepada anak-anak yang terlibat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..