KUALA LUMPUR 15 Jan. - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah menasihati rakyat supaya tidak menyalahkan UMNO berhubung kejadian membakar beberapa gereja di seluruh negara baru-baru ini. Ia kerana, beliau percaya terdapat pihak ketiga yang tidak dikenali menjadi dalang dalam kejadian itu.
"Masyarakat negara ini terutama penganut Kristian tidak boleh menyalahkan UMNO mahupun orang Melayu berhubung kejadian itu.
"Saya tahu UMNO tidak terlibat dalam perbuatan itu. Saya juga tahu agama Islam tidak mengajar penganutnya untuk membakar rumah ibadat penganut agama lain," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Ponggal Muhibbah 1Malaysia anjuran Inmal Corporation di sini hari ini.
Murugiah percaya polis akan menjalankan siasatan secepat mungkin dan membawa pihak terbabit ke muka pengadilan.
"Kejadian pembakaran gereja adalah satu perkara yang amat serius di negara ini dan pihak berkuasa harus menjalankan siasatan secepat mungkin," katanya.
Menurutnya, semua masyarakat di dunia mempercayai kewujudan tuhan dan menyembah tuhan mereka mengikut amalan masing-masing.
"Amalan setiap kaum menyembah tuhan adalah berlainan. Maka kita harus menghormati acara yang melibatkan soal keagamaan kaum lain," jelasnya.
Katanya, isu agama adalah sangat sensitif di negara ini, oleh itu semua pihak harus bertolak ansur antara satu sama lain.
"Kita harus menjadi negara contoh kepada dunia lain kerana kita hidup dengan aman di negara yang mempunyai berbilang kaum," jelasnya.
Dalam pada itu kata beliau, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional akan sentiasa memastikan bahawa semua rumah ibadat di negara ini berada dalam keadaan selamat.
"Kami sentiasa membuat pemantauan. Jabatan ini juga menjadi orang tengah untuk menyelesaikan beberapa itu melibatkan tempat beribadat di negara ini," jelasnya.
Utusan Malaysia. 16 Jan. 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..