Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Jumaat, April 15, 2011

Lucah, pornografi, bogel, telanjang..

Menyekat akses laman porno






KETIKA Indonesia masih bergelut dengan masalah sosial yang meruncing akibat gejala penyebaran kandungan pornografi di kalangan remajanya, Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Arifinto pantas mencipta satu lagi episod memalukan negara berkenaan dengan gelagatnya menonton video lucah semasa persidangan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Jumaat lalu.
Lebih memalukan rakyat Indonesia kerana Arifinto merupakan antara individu yang bertanggungjawab meluluskan undang-undang antipornografi di Indonesia sejak tahun 2008. Pengkritik Indonesia lantas menggelarnya sebagai manusia hipokrit dan mahu dia dihukum di bawah undang-undang yang sama.
Jika dilihat rentetan kes membabitkan penyebaran kandungan pornografi di Indonesia, keberkesanan undang-undang antipornografinya seolah-olah pincang dan longgar, lebih-lebih lagi tanpa sekatan media yang menyalurkan kandungan pornografi secara menyeluruh.
Sejak sekian lama masalah sosial seperti pelacuran, pengguguran janin, seks luar nikah dan sebagainya semakin berleluasa di Indonesia, ia seperti dibiarkan begitu sahaja tanpa tindakan tegas oleh pihak yang bertanggungjawab.
Titik kemunculan penerbitan berunsur lucah di Indonesia dilihat sebagai kesan kejatuhan bekas Presiden Suharto pada tahun 1999 selepas satu demi satu majalah yang menjual cerita-cerita dan gambar-gambar berunsur seks memasuki pasaran Indonesia sejurus itu.
Bagaimanapun, kemunculan majalah-majalah itu tidak mencetuskan kontroversi besar di negara yang mempunyai lebih 80 peratus penduduknya beragama Islam.


INDONESIA dipercayai negara kedua paling banyak menyebarkan kandungan pornografi selepas Rusia.



Hanya beberapa tahun sejak kebelakangan ini, terutama apabila video seks artis Ariel Peterpan dengan dua artis wanita iaitu Luna Maya dan Cut Tari tersebar. Ia menjadi tajuk-tajuk berita utama Indonesia dan negara-negara jirannya, rakyat Indonesia mula membuka mata.
Apatah lagi, gelagat Arifinto yang memalukan institusi undang-undang dan pemerintah Indonesia baru-baru ini, peletakan jawatan malah penegasannya yang tidak sengaja mengakses e-mel kandungan lucah melalui komputer tabletnya itu menambah kebimbangan rakyat mengenai keberkesanan undang-undang antipornografi negara berkenaan.
Laman web lucah
Terdahulu, Menteri Penerangan Indonesia, Tifatul Sembiring berkata, beliau akan merangka undang-undang baru bagi menangani masalah itu yang telah menghina negara.
"Dalam satu kajian yang dilakukan pada tahun 2007 mendapati, sebanyak 97 peratus pelajar sekolah menengah di Indonesia pernah mengakses laman web lucah," ujarnya.
Menurut data daripada Associated Press (AP), Indonesia merupakan negara kedua paling banyak menyebarkan kandungan pornografi selepas Rusia.
Kajian yang dijalankan oleh Jawatankuasa Menentang Pornografi di Indonesia pula mendapati, remaja di antara umur 14 hingga 19 tahun paling banyak mencari kandungan pornografi dalam bentuk video cakera padat (DVD), cakera video digital (VCD) atau buku komik.
Dalam pada itu, kajian Universitas Islam Indonesia pula menyatakan kira-kira 90.7 peratus kes penderaan seksual dan rogol di Indonesia dilakukan oleh remaja dan 68.2 peratus remaja mengaku pernah melakukan hubungan seks.


GELAGAT Arifinto menonton video lucah semasa persidangan Dewan Perwakilan Rakyat dikatakan memalukan pemerintah Indonesia.



Masalah itu dikatakan berlarutan akibat kelonggaran undang-undang berkaitan dan tiada pendidikan sosial khas kepada remaja mengenai bahaya pornografi serta tiada sekatan menyeluruh ke atas media yang mengandungi elemen pornografi.
Undang-undang pornografi telah wujud di Indonesia sejak tahun 2008 tetapi pelaksanaannya dilihat kurang tegas. Penyebaran pornografi dalam pelbagai bentuk dilarang tetapi mereka yang melanggar undang-undang hanya dikenakan denda maksimum yang rendah.
Disebabkan itu, masih ada segelintir rakyat Indonesia yang masih menyebarkan kandungan pornografi kerana mereka yakin faedah yang mereka dapati lebih lumayan berbanding hukuman yang dikenakan.
Terlepas hukuman
Contohnya, dalam kes Budi Han, suspek utama dalam kes penyebaran gambar bogel dan video melalui Internet dan VCD beberapa pelakon Indonesia, seperti Sarah Azhari, Rachel Maryam, and Femmy Permatasari pada tahun 2003 tidak dikenakan hukuman penjara kerana polis tidak menemui VCD asalnya.
Polis juga bersetuju melepaskannya daripada sebarang hukuman walaupun dia didapati bersalah pada masa itu.
Masalah implementasi undang-undang antipornografi Indonesia turut dicacatkan oleh sejumlah kumpulan penentang di Indonesia yang membantah undang-undang pornografi di Indonesia atas alasan ia menyekat kebebasan beragama seperti ia menyekat pelbagai etnik budaya mengamalkan aktiviti tradisi mereka.
Undang-undang berkenaan mendefinisikan pornografi sebagai sesuatu yang bersifat ketelanjangan. Justeru, bantahan dibuat dengan mengemukakan beberapa alasan antaranya ia bakal menimbulkan isu mengenai pemakaian wanita Jawa Barat ketika melakukan tarian japongan dan wanita yang mengamalkan pakaian seperti berkemban di Jawa Tengah dan Jawa Timur.
Bagaimanapun, apabila video seks yang melibatkan ketiga-tiga artis Indonesia iaitu Ariel Peterpan, Luna Maya dan Cut Tari tersebar, ia mula menimbulkan kebimbangan masyarakat terhadap pengaruhnya kepada orang ramai khususnya golongan muda.
Jika sebelum ini pejuang hak asasi manusia dan kebebasan media massa sering membantah sebarang tindakan pemerintah untuk menyekat pengedaran bahan yang tidak sesuai melalui Internet dan sebagainya, tetapi kini mereka juga yang melahirkan rasa bimbang mengenai pengedaran bahan sedemikian tanpa kawalan.
Lantaran itu pemerintah Indonesia memutuskan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal pengedaran bahan di Internet supaya kesan negatifnya dapat dikurangkan kepada masyarakat.
Tahun lalu pemerintah Indonesia mengumumkan sekatan ke atas empat juta laman porno di Internet setelah menerima desakan masyarakat secara berterusan berhubung perkara itu sebagai usaha melindungi golongan remaja daripada pengaruh pornografi.
Sekatan akses itu meliputi semua laman yang mengandungi bahan pornografi seperti aksi persenggamaan normal mahupun yang di luar tabie, aksi bogel, penampilan visual alat kelamin dan simbol-simbol pornografi.
Menteri Komunikasi dan Informatika Tifatul Sembiring berkata, langkah itu selaras dengan kehendak undang-undang antipornografi Indonesia yang diluluskan pada 30 Oktober 2008.
"Pada masa ini, kira-kira 90 peratus laman porno sedang disekat aksesnya, kami akan melakukannya berperingkat-peringkat sehingga semuanya disekat," katanya pada sidang akhbar di Jakarta tahun lalu.
Suruhanjaya Perlindungan Anak Indonesia misalnya telah menyatakan bahawa penyebaran video porno artis popular dan selebriti Indonesia Ariel, Luna Maya dan Cut Tari telah mendorong penontonnya memperkosa 33 orang kanak-kanak.
"Sekatan akses itu akan dikekalkan walaupun selepas bulan Ramadan, selagi undang-undang antipornografi berkuat kuasa," katanya.
Sekatan itu akan membabitkan semua kata kunci dalam pencarian yang boleh dikaitan dengan seks seperti 'bogel' dan seumpamanya.
Namun, ekoran gelagat Arifinto minggu lalu, timbul persoalan apakah sekatan yang dijalankan itu signifikan ke atas masyarakat Indonesia apabila kandungan-kandungan pornografi masih boleh dicapai dengan mudah.
Populasi tertinggi
Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya (UM), Profesor. Madya Dr. Jas Laile Suzana Jaafar berpendapat, kegagalan Indonesia mengawal penyebaran kandungan pornografi adalah disebabkan status negara berkenaan sebagai antara negara yang mempunyai populasi tertinggi di dunia.
"Walaupun undang-undang diwujudkan, sukar mengawal penyebaran maklumat di Indonesia yang mempunyai jumlah penduduk melebihi 200 juta dan pada masa yang sama mempunyai sistem maklumat yang canggih," katanya.
Menurut Jas Laile, Indonesia boleh dianggap sebagai negara yang liberal, baik dari segi agama, pengamalan budaya dan pemecahan etnik yang terlalu banyak.
"Tidak seperti di Malaysia, dalam perlembagaan termaktub bahawa Melayu itu muslim tetapi di Indonesia adalah sebaliknya.
"Kebebasan yang mereka miliki merupakan peluang yang luas untuk pengaruh negatif seperti pornografi meresap masuk ke dalam masyarakat mereka sehingga sukar dikawal oleh kerajaan," katanya.
Bagaimanapun, keberkesanan pelaksanaan undang-undang boleh diperbaiki sekiranya kerajaan bersikap lebih tegas seperti negara-negara maju yang mengenakan hukuman berat ke atas pesalah pornografi secara menyeluruh.
"Masalah penyebaran pornografi berlaku di semua negara, tidak terkecuali Malaysia. Selain undang-undang yang tegas, menjadi tanggungjawab individu, ibu bapa dan masyarakat itu sendiri untuk mempunyai kesedaran mengenai bahaya pornografi.
"Sekiranya kerajaan itu sendiri sukar mengawal penyebaran pornografi, pengawalan sepatutnya bermula di rumah. Ibu bapa harus memantau aktiviti anak-anak setiap kali mereka menggunakan komputer," katanya.
Laporan berita dari kosmo.com.my

Rabu, April 13, 2011

Hobi baru atau tabiat baru?

Apa motifnya gambar ini? Apa kaitannya pada catatan kali ini?
Sejak akhir-akhir ini ada sesuatu yang aku lakukan hampir setiap hari. Bangun daripada tidur, selepas makan, aku terus menuju ke pintu pagar rumah. Sambil melangkah pendek tak sampai 10 meter aku mendapatkan peti surat yang tergantung di pintu pagar besi.

Oh! Kosong. Tiada surat hari ini ye.
Melihat-lihat kalau ada surat di dalamnya. 

Tapi sebenarnya aku pun tak tahu surat siapa yang aku nantikan. Apa yang pasti itulah yang aku lakukan sejak akhir-akhir ini. Entahlah, ini hobi baru atau tabiat baru.

Nak kata nanti bil elektrik tak mungkin, sebabnya bil biasanya terus terselit di pintu masuk rumah.

Kadang-kadang terfikir, kalau menanti surat daripada sahabat lama (mahupun sahabat baru), tak mungkin sebabnya pada zaman teknologi begini mana ada lagi surat menyurat, melainkan kad hari raya. Paling tidakpun sudah pasti sahabat akan sms. Tambahan pula zaman internet ni face book dan twieter lebih senang. Stem pun tak payah tampalkan.

Atau mungkin aku menanti surat @ kad jemputan kahwin. Mungkin juga. Sebab dalam beberapa minggu ini beberapa orang sahabat ada sms akan melangsungkan perkahwinan. Dan mereka juga meminta alamat jika aku inginkan kad. Tapi, setakat ini tidak seorangpun aku membalas sms (hantar alamat). Macam mana mereka nak hantar kad? 

Hah..! Biarkan. Biarkan aku dengan tabiat baru ni. Lagipun bukannya kena bayarpun kalau buat macam ni. Bukannya tengok wayang, tapi tengok surat. Itupun kalau ada.

Walau apapun, "surat" panggilan daripada Allah, belum diterima. Dan jika kita menerima pun, kita tidak akan tahu bila masanya. Izrael akan turun menjadi "posmen" menjemput kita untuk kembali ke tempat asal. Itulah "surat" terakhir kita di muka bumi. Itulah "surat" di pertengahan di antara hidup dan mati manusia.

Insya-Allah, mudah-mudahan kita akan sentiasa menerima surat yang terbaik daripada insan yang baik ataupun "surat' yang terbaik daripada Allah.

Peti surat yang kadang kala ada isi, kadang kala kosong.

Cerita bola: Kelantan tewas besar

Dah lama tak cerita bola. Tapi malangnya malam tadi, apabila Kijang dimalukan sang Seladang. Mungkin salah masuk kandang, Kijang ditendang. Jaringan besar 4-0 seakan tidak dapat diterima oleh peminat bola sepak Kelantan. Dua gol masing-masing pada separuh masa pertama dan kedua. Siapa salah, apa yang perlu dibetulkan?

Analisis
Pertahanan longgar sangat malam tadi. Pada awal babak sudah ada ancaman yang mencemaskan. Namun ini dapat diatasi dengan kepekaan Apex. Jaringan pertama, kedua, ketiga dan keempat, semuanya ada kepincangan pada bahagian pertahanan. Bukannya pertahanan tidak bagus, cuma ada kelekaan.

Mengapa pertahanan terlalu memberi ruang dan peluang kepada pasukan lawan? Mereka juga lambat mengeluarkan bola dari kawasan bahaya. Setiap pemain lawan seakan bebas berlegar-legar di kawasan sendiri.

Badri Radzi direhatkan kerana tidak mempamerkan aksi menarik ketika menentang T-Team pada 5 April lalu. Lalu Datuk M.Karathu mengantikan Daniel pada 9 April, ketika menetang Felda United. Hasilnya menakjudkan apabila Kelantan membenam Felda dengan 6-0. Tapi malam tadi ini bahagian tengah ini seakan mati. Gandingan Shakir dan Daniel mudah dipatahkah perak.

Bahagian serangan kurang menyengat kerana bahagian tengah lumpuh. Idlan dan Chanturu kurang mendapat sokongan dari bahagian tengah.

Itu secara kasar gambaran dan pemerhatian MyView. Secara khususnya kita harus menumpu kepada bahagian pertahanan. Kita cuba tengok secara lebih dekat di mana ada lompangnya. Separuh masa kedua, Daudsu dikeluarkan dan diganti dengan Subra. Pada aku, Daudsu harus kekal sepanjang tempoh 90 minit. Cuma perlu diberi tumpuan adalah Zairul Fitri dan Farisham. Dua pertahanan ini seakan hilang keserasian. Rizal Fahmi Rosid, kurang mempamerkan aksi sebagai pertahanan Malaysia.

Apex sudah hilang sengat dan semangat? Penjaga gol Malaysia ini tidak seagresif seperti sebelumnya. Gol pertama mungkin kita boleh sandarkan kepada kesilapan pertahanan yang memberi ruang kepada lawan. Apex juga telindung menyebabkan gol pertama mudah dijaringkan. Gol ketiga, jaringan Akmal Rizal, tidak sepatutnyan dilepaskan. Mungkin Apex tidak menyangka Akmal mencuba dari jauh, lalu dia sedikit alpa.

Malam tadi nyata ada kelainan dalam kem Kelantan. Banyak hantaran pendek dilakukan. Hantaran panjang dan jauh jarang dilakukan. Begitu juga dengan tendangan sudut. Walaupun mendapat lebih 10 sepakan sudut, pemain lebih selesa membuat hantaran kepada rakan ke luar kawasan penalti lawan. Dan hantaran ini tidak mencemaskan kem pertahanan Perak.

Dua perkara yang ada kelainan adalah "hantaran pendek" dan "tendangan sudut". Apakah ini kelainan yang cuba ditonjolkan oleh Karathu? Aku percaya, penyokong lebih gemar melihat bola sepakan sudut dihantar terus ke dalam kawasan penalti lawan. Tindakan ini sekurang-kurangnya memberi ancaman dan mencemaskan pertahanan lawan.

Malam tadi juga Perak lebih tertumpu kepada pertahanan. Mereka ramai berkampung di kawasan penalti jika bola berada di kawasan Perak. Lihat saja bagaimana Idlan dirantai dan diapit oleh dua hingga tiga orang pemain Perak. Sebaliknya pertahanan Kelantan sedikit longgar dan jarang melakukan apa yang pertahanan Perak lakukan.
Analisis & ulasan oleh Hj. Zainal Abidin Rawop & Azlan Johar

Resolusi @ cadangan
Perlawanan akan datang pada 16 April, di Kota Bharu. Lawan kali ini adalah Sabah. Sabah pernah menewaskan Perak pada perlawanan lalu dengan keputusan 2-1. Apakah Kelantan juga akan mengalami nasib seperti Perak?

Aku rasa perlawanan selepas ini Apex pula perlu direhatkan. Bukannya dia tidak bagus, cuma dia perlu berehat seketika. Shahrizan Ismail perlu diberi peluang. Shahrizan bukan asing dalam kem Kelantan. Biarkan Shahrizan buktikan bahawa dia masih boleh mengawal gawang.

Begitu juga dengan Wan Rohaimi di bahagian pertahanan. Pusingan pertama liga berbaki dua perlawanan (lawan Sabah - 16 April, dan Perlis 19 April), beri peluang untuk Wan  Rohaimi. Gandingkan Rohaimi dengan Daudsu, Rizal, dan Zairul Fitri.

Badri mesti diberi peluang sekali lagi untuk mengisi kesebelasan utama. Gandingkan kembali Badri @ Piya dengan Shakir. Nurul Azwan dan Soley juga makin selesa di posisi masing-masing. Chanturu dan Idlan akan menjadi pemusnah kem lawan.

Corak hantaran pantas dan hantaran jauh tampak lebih sempurna. Mungkin kali ini corak seperti ini boleh "dikembalikan". Sepakan sudut terus ke kawasan penalti lawan lebih menggerunkan lawan. Kelantan mempunyai pakar untuk sepakan sudut seperti Nurul Azwan, Piya dan Idlan. Dan penyudahnya (hasil sepakan sudut) kita mungkin boleh mengharapkan Rizal Fahmi atau Chanturu.

Ini adalah pandangan aku daripada kaca mata seorang peminat. Biasanya jika melontarkan kritikan, lebih banyak menjurus kepada kutukan. Kali kita ingin melihat Kelantan akan terus melangkah garang. Biarkan penyokong kembali senyum.


Okey, kita lihat sekali lagi bagaimana Kijang ditendang Seladang;


Gol pertama: Fazrul Hazli

Gol kedua: Shafiq Jamal

Gol ketiga: Akmal Rizal

Gol keempat: Razali Umar

Barangkali ada yang akan memberi respon negatif terhadap "analisis" (kononnyalah, hihihie..) aku, tapi inilah yang aku nampak. Inilah PandanganKu..

Lihat ini..

Isnin, April 04, 2011

Ada sebuah cerita

Kata ustaz; hidup ini sementara je, yang kekal abadi adalah akhirat. Dunia ini hanya sebagai persinggahan, itulah kata ibarat. Bagaikan jambatan dan titian, menitilah dan peganglah erat-erat. Berjaga-jagalah dengan syaitan dan iblis kerana selalu ada muslihat dan jerat.

Tapi kita masih lalai dan leka dengan keseronokan duniawi, masih mendabik dada untuk terus bergembira. Dan sering terfikir hidup ini hanya sekali, jadi manfaatkan apa saja di depan mata. Seronoknya hidup bergembira kalau boleh taknak sikitpun duka, biarlah apa orang nak kata asalkan kita suka.

Kata emak pula; hidup ini kalau asyik berangan memang takkan ke mana. Asyik sangat dengan angan-angan memang kerja takkan sempurna. Tapi itulah buat kita selalu terlena. Semua yang dihajati (khayal dengan berangan) memang selalu mengena.

Tapi angan-angan itu sesuatu yang sangat indah, sesiapakan memang takda kuasa nak menghalang. Kadang-kadang dan selalunya apa yang orang tegur kita buat tak endah, sebab angan-angan ini selalunya boleh bawa kita terbang macam helang.

Ayah menyambung kata emak; Memang hebat angan-angan, tapi sayang tanpa usaha. Akhirnya impian tinggal kenangan, apa yang pasti semuanya hampa saja.

Sebelum ini ayah pernah juga berkata; kita boleh berangan. Lepas berangan kena ada usaha, baru impian jadi senang. Tapi malangnya impian hanya diusahakan dengan angan, tanpa usaha hakiki dan dibiarkan angan-angan menjadi kenangan.

Apa yang kita mahu jarang yang dapat, apa yang kita taknak senang-senang je datang bergolek. Oh mungkin kita lupa inilah ujian walaupun berat, supaya kita sentiasa ingat bukan senang nak dapat yang molek.

Pepatah Melayu lama ada berkata, diam ubi berisi diam besi berkarat. Pepatah yang selalu ingatkan kita, agar selalu berusaha walaupun rintangan yang berat. Mungkin ada sesuatu untuk kita, yang mungkin tersurat dan juga yang tersirat.

Pujuklah hati didiklah jiwa tundukan nafsu seboleh-boleh yang terdaya. Ini semua cubaan dan dugaan yang Maha Esa yang ingin menguji adakah kita berupaya..

Jumaat, April 01, 2011

Antara mimpi dan jodoh

Istiqarahlah jika kita ingin membuat pilihan. Istiqarahlah jika kita keliru dalam memutuskan sesuatu pilihan. Istiqarahlah jika kita ingin mendapat jodoh yang terbaik. Istiqarah adalah salah satu cara kita meminta pertolongan daripada Allah yang maha berkuasa.

Istiqarah adalah “ilham” daripada Allah keatas permintaan kita. Jika kita bernasib baik, ada rezeki, istiqarah kita akan termakbul. Dan ia akan “terilham” dengan pelbagai cara. Ada dengan perasaan, ada dengan gerak hati dan ada dengan mimpi. Ya, mimpi.

Mimpi yang baik eloklah dicerita (kepada yang arif) agar / mudah-mudahan ia turut mendapat doa daripada orang yang mendengarnya (alim). Mimpi yang buruk ada baiknya disimpan agar ia tidak “terdoa” oleh mereka yang mendengarnya. Mimpi yang baik hadir sebelum Subuh. Lebih baik jika hampir-hampir Subuh. Jika mimpi selepas Asar, ia mimpi yang memang mainan tidur.

Tidur selepas Asar akan membawa kepada perkara yang tidak baik. Salah satunya adalah akan membawa masalah mental dan jiwa. Ehm...? Badan juga akan menjadi lemah dan tidak bersemangat.

Kenapa mimpi baik itu hadir sebelum Subuh? Aku pun tak pasti. Apa yang pasti mimpi selepas Asar adalah sesuatu yang sia-sia. Sebabnya, kita dilarang tidur selepas Asar. Maknanya apa jua mimpi selepas Asar itu adalah mimpi yang sia-sia. Bagaimana pula kalau tidur sebelum Asar hingga ke Asar? Itu juga tidak elok. Seelok-eloknya bangun sebelum Asar.

Itu kata-kata orang bijak pandai dalam hal mimpi dan hal tidur.

Sebelum ini ada jugalah aku solat sunat istiqarah memohon pertolongan daripada Allah. Walaupun hidup ini bukanlah sebagai hamba Allah yang sejati, tapi tidak salah rasanya jika ingin meminta daripada Yang Maha Pemberi. Dan sememangnya daripada Dialah yang patut kita meminta, bukan daripada makhluk lain.

Dalam hal ini apa yang aku ingin katakan adalah mengenai mimpi dan jodoh. Suatu ketika dahulu pernah jugalah termimpi seseorang. Si dia selalu hadir dalam mimpi. Tapi perancangan Allah lebih tepat dan jitu. Akhirnya si dia bertemu jodoh dengan orang lain.

Baru-baru ini sekali lagi mimpi hadir. Kali ini orang lain (bukan si dia yang dah kahwin tu). Seingat aku adalah tiga atau empat kali (orang yang sama seperti dalam catatan mimpi lalu). Yang terbaru dalam dua tiga hari lalu. Tapi kali ini buat julung-julung kalinya si dia hadir selepas Asar. Fuhh.. Ini kes tidur siang harilah ni. Gadis ini memang kawan lama. Nak kata asyik terfikir dan teringatkan dia takdalah sangat. Tapi ada jugalah terfikir dan ingat walaupun lama tak jumpa. Uhm uhm uhm... Atau sebab lama tak jumpa sebab tu teringat...

Kata orang bijak pandai dalam hal psikologi, mimpi juga akan hadir jika kita asyik berfikir mengenai sesuatu. Tidak kira apa yang kita fikir, ia akan terbawa-bawa ke alam separa sedar, iaitu tidur. Jika kita asyik terfikir mengenai masalah kerja, keluarga, atau apa saja, masalah ini akan turut bertamu dalam tidur. Begitu juga jika asyik berfikir pasal jodoh.

Jadi, bagaimana pula dengan istiqarah? Adakah hadirnya sesuatu ilham (dalam mimpi) itu tanda dan petunjuk daripada Allah bahawa istiqarah kita telah dimakbulkan? Atau ilham itu hadir kerana kita asyik berfikir dan terfikir mengenai sesuatu?
Inteam - Nur kasih

Paling baru adalah mimpi kubur. Ya, kubur berdekatan rumah. Mudah-mudahan ini juga membawa kepada makna yang baik. Insya-Allah.
Salah satu sudut pandangan kubur berdekatan rumah aku

Apapun mimpi, apapun ilham, semuanya dengan keizinan Allah. Sama ada mimpi baik atau buruk, ia akan bertamu dalam tidur jika Allah izinkan.

Mudah-mudahan ilham yang baik itu hadir dengan keizinan Allah.

*Selepas Asar di sini bukanlah bermaksud selepasnya waktu Asar – masuknya waktu Maghrib. Selepas Asar ini bemaksud selepas azan Asar berkumandang / tempoh waktu Asar.