Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Isnin, Februari 28, 2011

"Rahmat" pilihanraya

Bila tiba pilihanraya kecil (dan juga pilihan raya umum) penduduk setempat akan dilimpahi kemewahan. Bakal menanti adalah penduduk DUN Kerdau (Pahang) dan Merlimau (Melaka). Begitu juga dengan rakyat negeri Sarawak.

Seperti biasalah, mana-mana PRK diadakan maka berduyun-duyunlah ahli politik akan berkunjung ke pelusok kawasan. Bersusun-susun bantuan akan disusun untuk agihan penduduk. Bercacak-cacak bangunan dan jambatan baru yang dijanjikan. Tak lupa juga dengan jalan bertar baru. Itu fenomena biasa. Dan berebut-rebut wartawan tv dan surat khabar sibuk melaporkan berita dan info. Dua media utama ini sama ada daripada pihak kerajaan pusat mahupun kerajaan pembangkang. Dan yang paling utama adalah peranan media ini untuk menyampaikan propaganda, provakasi, kempen, dan seluruh agenda calon dan parti pilihan.

Dalam dunia teknologi yang semakin maju, media altenatif pula timbul dan dimanfaatkan sepenuhnya. Laman blog, laman sosial internet dijadikan medan  penting seperti media utama sebelum ini. Tapi itu bukan persoalan utama  bagi aku.

Persoalannya.... Time macam nilah orang politik sibuk masuk kawasan. Rakyat pula bukan main bangga kalau orang politik masuk dan datang bagi bantuan. Katannya inilah keperihatinan pemimpin. Janji punya janji, janji dan janji terus berjanji untuk memberi bantuan kepada pengundi.

Projek segera,dan bantuan kilat akan sampai bila-bila masa. Bantuan makanan dari rumah ke rumah, baja percuma untuk setiap pekebun kecil, perahu-perahu tambahan untuk nelayan-nelayan dan macam-macam lagi.


Jika sebelum ini jalan berlubang-lubang, jambatan hampir runtuh, rumah kian uzur tiada siapa yang peduli. Tapi dengan adanya PRK semua itu akan selesai dalam waktu yang singkat. Bantuan kewangan juga turut sama disalurkan. (Kononnya) Bantuan yang diberi nama "kemanusian dan tanggungjawab".


Rancangan tv dan ruang berita di tv dan surat khabar akan diselitkan perihal kempen calon-calon pilihan. Malah ada ruangan khas untuk calon-calon tertentu berkempen. Waktu-waktu beginilah calon dapat berkempen dan menghentam lawan.


Rakyat? Akan tersenyum dan puas kerana waktu begini mereka boleh memohon apa saja. "Mintalah apa saja, asalkan anda mengundi dan memilih parti kita", mungkin itulah kata-kata seorang calon. Adakah ini "rahmat" dan "hikmat" pilihanraya?


Hmmmnn...adakah sistem pilihan raya dan sistem kempen Malaysia adil? Adakah setiap calon dan parti diberi hak yang sama dalam ruang kempen, terutama di media massa (tv dan cetak)?


Baca ni.. Jangan pilih badut
Wang pembayar cukai
Adakah dosa & pahala dalam mengundi pilihanraya?

Sabtu, Februari 26, 2011

Islam bergolak

Umum mengetahui Mesir melalui satu lagi detik sejarah baru-baru ini. Cerita ini agak "lama" tapi belum lagi basi. Husni Mobarak yang memerintah Mesir lebih dua dekad akhirnya digulingkan oleh rakyatnya. Kini baru kita tahu negara yang sarat dengan sejarah tamadun Islam rupa-rupanya tersemat dendam di kalangan rakyatnya.

Terbaru adalah kisah di Libya. Sama seperti Husni, Muammar Gaddafi juga memerintah Libya dalam tempoh yang agak lama. Gaddafi bukan sahaja ditentang oleh rakyatnya malah oleh sebahagian anggota ketenteraan Libya. Tunjuk perasaan yang diadakan oleh rakyat telah ditentang habis-habisan oleh tentera kerajaan. Hasilnya ratusan penunjuk perasaan terkorban. Opss..! Bukan ratusan, tapi telahpun mencapai angka ribu.

Mesir dan Libya, negara Islam yang bergolak. Kesannya ribuan yang terkorban. Apa sudah jadi? Mengapa mereka memberontak? Tidak ada jalan damaikah lagi yang dicapai? Nampaknya, proses demokrasi diganti dan disudahi dengan demonstrasi dan pemberontakan.

Isu saudara seislam kita di Afghanistan, Palestin, Iraq, Selatan Thailand dan beberapa tempat lagi belum selesai; kini isu Mesir dan Libya pula. Afghanistan dan Iraq yang dimusnahkan oleh Amerika Syarikat beberapa tahun dulu belum lagi pulih. Walaupun kerajaan baru telah dibentuk, ia bukan penyelesaian yang terbaik setakat ini buat Iraq dan Afghanistan. Palestin, wilayah yang belum lagi mendapat status "negara" ekoran kekejaman Zionis. Selatan Thai, juga wilayah yang sering bergolak dan dipandang sepi oleh pemerintahnya.

Iraq, Afghanistan, Palestin, Mesir dan Libya yang mempunyai pemimpin daripada kalangan orang Islam. Walaupun begitu pemimpin Islam negara masing-masing ini juga tidak sebulu. Maknanya wujud juga perselisihan dan ada golakan dalaman. Pemimpin-pemimpin yang tidak bersatu hati ini juga menimbulkan bibit-bibit perpecahan di kalangan rakyat.

Apa sudah jadi dengan umat Islam? Permusuhan sesama sendiri yang tiada kesudahannya. Apakah ini kesinambungan pertelingkahan zaman nabi-nabi ratusan ribu tahun lalu? Bermula dengan permusuhan Qabil dan Habil di zaman Adam A.S sehinggalah kepada zaman kewafatan Rasulullah. Kemudian berlanjutan ke zaman Khulafah Abu Bakar hingga ke zaman Ali. Kemudian wujud lagi pertelingkahan ke zaman sahabat, dan tabi'e sehingga wujudnya "perpecahan" mazhab. Kemudian permusuhan ini terus meniti dari zaman sejarah (juga zaman sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua) hingga ke zaman moden kini. Dan kini permusuhan sesama sendiri belum lagi selesai.

Apakah hikmah di sebalik ini semua?

Bimbang dan risau. Pertelingkahan ini akan mengembirakan musuh Islam. Umat Islam bergolak, mereka bersorak.

Pergolakan yang berlaku di tempat orang juga wujud di tempat kita, Malaysia. Pemimpin-pemimpin politik seislam bertelagah ingin menegak "kebenaran" masing-masing. Tapi adakah "kebenaran" itu benar-benar benar? Perbezaan wadah perjuangan, parti politik dan pendapat telah mencetuskan permusuhan.

Perkara ini bukan saja berlaku kepada pemimpin atasan, malah tempiasnya hingga ke akar umbi (mengambi istilah yang selalu digunakan oleh orang-orang politik). Rakyat bawahan akan terbawa-bawa dengan sentimen kepartian, lebih-lebih lagi pengikut parti politik masing-masing. Walaupun begitu kita masih lagi bersyukur kerana tiada kejadian seumpama di Mesir dan Libya. Walaupun ada "acara" demonstrasi di sesetengah tempat dan suatu masa lalu, ia belum lagi mengundang kejadian seperti yang berlaku di tempat orang.

Zaman Adam A.S sehingga zaman Rasulullah, sebarang pertelagahan, permusuhan dan perselisihan faham sesama sendiri dileraikan oleh kebijaksanaan pemimpin, yakni para rasul. Pemimpin yang mengimbangi sebarang ketidaksempurnaan dalam masyarakat. Tapi zaman ini pemimpin pun kadang-kala dan selalu juga "pendek akal" macam pengikutnya juga. Pengaruh keseronokan dunia mengatasi kredibiliti memimpin.


Sampai bila semua ini akan berakhir? Bagaimana agaknya pengakhirannya?... Pengakhiran yang dinanti tidak lain tidak bukan hanya dengan berpandu (agama) Islam yang teguh. Ya, Islam akan terus tegak dan teguh kerana Islam tidak pernah bergolak, yang bergolak adalah umatnya.. Jangan disebabkan umatnya, Islam yang dikatakan bergolak. Umat Islam yang bergolak, Islam tak pernah bergolak apatah lagi bergolek..

Ahad, Februari 20, 2011

Cerita bola: "Sukan terbaik hanya di RTM". Opss..! Maaf

Slogan "Sukan terbaik hanya di RTM" mungkin akan menjadi slogan semata-mata. Sebelum ini RTM boleh dikatakan salah satu nadi bola sepak tempatan. Siaran langsung saban minggu dapat menghidangkan peminat tempatan mengetahui maklumat dan info terkini. Tapi tahun 2011, peminat tempatan mungkin hanya dihidangkan siaran langsung ketika perlawanan merebut piala sahaja seperti Perlawanan Akhir Piala FA dan juga Piala Malaysia.

Sebelum ini ada juga program "Fokus Bola" yang diacarakan oleh Haji Zainal Abidin Rawop dan beberapa pengacara lain. Tapi sejak Zainal beralih ke Astro Arena, tiada bola yang perlu difokuskan oleh RTM. "Sebelum Wisil" dan "Wisil Penamat" sebelum ini menjadi info penting bagi peminat tempatan, tapi kini wisil benar-benar ditiup panjang seakan menandakan tamatnya seketika keghairahan RTM terhadap bola sepak tempatan.

Tahun 2011 adalah giliran Astro diberi hak penyiaran. Inilah menjadi faktor mengapa RTM tidak lagi bertindak sebagai penyiar utama. Selepas menyiarkan perlawanan Piala Sumbangsih di antara Selangor - Kelantan pada 29 Januari lalu, ramai yang optimis RTM akan terus bertindak salah satu penyiar utama. Tapi nampaknya setelah dua kali Sabtu (12 & 19 Feb.'11), penantian peminat tanpa Astro hampa.

Catatan ini bukan untuk "menjatuhkan" RTM, hanya sekadar luahan "wakil" peminat bola sepak tempatan yang tiada akses siaran berbayar, Astro. Orang-orang muda dan segelintir orang tua akan memenuhi stadium, kedai-kedai makan, restoran, warung untuk menyaksikan siaran langsung. Bagi yang tidak berkesempatan ke stadium atau kedai makan, mereka akan menunggu siaran berita RTM pukul 12:00 tengah malam; itupun kalau ada laporan.

Aku percaya masih ramai yang terus menanti "Fokus bola, Sebelum wisil, Wisil penamat", dan "Sekilas liga" terus bersiaran di RTM, lebih-lebih lagi siaran langsungnya.

Apa-apa pun terima kasih RTM kerana laporan sukan setiap hari pukul 1330 di TV1. "Sukan terbaik hanya di RTM"... 

Jumaat, Februari 11, 2011

Candu video lucah

MERAKAM aksi lucah untuk simpanan sendiri boleh menjerat pelakunya.


KECANGGIHAN gajet seperti kamera dan perakam video serta Internet yang lebih mudah diakses menyebabkan penyebaran imej dan klip video lucah di negara ini kian menular.
Walaupun kemudahan tersebut dicipta untuk perkara lebih baik, ada juga yang menjadikannya medium paling murah untuk merakam dan menonton aksi pornografi.
Ada pengguna yang sengaja merakam aksi intim sendiri untuk dijadikan koleksi peribadi.
Namun, ramai juga yang menggunakannya untuk mendapatkan wang, sama ada melalui jualan ataupun peras ugut.
Tidak hairanlah pada zaman dunia tanpa sempadan ini peratusan remaja yang terbabit dalam seks bebas menurut satu kajian dianggarkan lebih 27 peratus kerana peluang dan ruang semakin terbuka termasuk mendapat bahan lucah di telefon bimbit dan Internet.
Penyebaran melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan muat turun yang boleh dibeli pada harga murah memberi pengaruh negatif kepada kanak-kanak dan remaja.
Bersaing
Bermula dengan tengok sekadar suka-suka, ia boleh menjadi ketagihan sehingga timbul perasaan ingin mencuba.
Sebagai contoh, penyebaran meluas rakaman video membabitkan kanak-kanak yang juga adik-beradik berumur antara 11 hingga 14 tahun yang sedang melakukan hubungan seks akhir tahun lalu membuktikan pengaruh filem porno mengundang masalah yang lebih besar di negara ini.
Perlu diakui, zaman remaja adalah peringkat perkembangan individu mencari identiti diri.
Sekiranya tiada didikan daripada ibu bapa, mereka akan terpesong apatah lagi jika akrab dengan rakan sebaya yang sudah rosak akhlak.
PENYEBARAN video lucah semakin sukar diperangi.


Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mariani Md. Nor memberitahu, kanak-kanak dan remaja yang terdedah kepada perlakuan seks terutama secara langsung di depan mata mereka sendiri akan mempelajari dan menimba kemahiran tertentu, cuma belum sampai ke tahap mengamalkannya.
Beliau mempunyai pengalaman menjalankan satu kajian ke atas remaja perempuan berusia 12 tahun yang mengatakan melakukan seks tidak menjadi kesalahan, bahkan sering melakukannya dengan lebih daripada seorang pasangan.
“Itu kajian lima tahun dulu, remaja itu sudah sampai ke tahap begitu serius dalam seks bebas, apatah lagi pada peringkat usianya sekarang yang sudah 17 tahun,” katanya.
Kosmo! sebelum ini mendedahkan hasil satu kajian yang dibuat oleh seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2009 yang mendapati 60 peratus kes perzinaan berpunca daripada menonton bahan-bahan lucah.
Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja UKM, Dr. Khaizil Ismail berkata, Kajian Remaja Berisiko Tinggi yang dijalankan selama enam bulan di pusat-pusat pemulihan akhlak di seluruh negara itu merangkumi kira-kira 600 responden yang berumur antara 15 dan 20 tahun.
Khaizil juga menyokong kenyataan bahawa kes buang bayi yang semakin banyak berpunca daripada menonton bahan lucah.
Selain cenderung melakukan zina, penyelidik di Pusat Penyelidikan Seks, Kesihatan dan Masyarakat Australia, Universiti La Trobe di Melbourne, Australia, Michael Flood mendapati kanak-kanak yang sering menonton filem porno menganggap kekerasan dalam hubungan seksual adalah perkara biasa.
Nafsu

BERMULA dengan tengok sekadar suka-suka, ia boleh menjadi ketagihan sehingga timbul perasaan ingin mencuba. - Gambar hiasan


“Menonton filem lucah adalah sumber pembelajaran seks yang salah kerana secara realitinya, aksi yang ditunjukkan adalah aksi yang keterlaluan.
“Filem lucah tidak menunjukkan kasih sayang, keintiman dan keistimewaan hubungan antara pasangan, sebaliknya ia mempamerkan kekasaran dan kekerasan lelaki terhadap perempuan demi memuaskan nafsu,” jelasnya kepada USA Today.
Jelas Flood lagi, bukti dari seluruh dunia mendapati pornografi memberikan kesan negatif bukan sahaja kepada individu, tapi juga komuniti.
Bahkan, hasil daripada soal selidik yang dijalankan secara rambang, Flood merumuskan kanak-kanak yang suka menonton aksi lucah sering gagal dalam membina hubungan dengan pasangan dan kebanyakannya lebih gemar melakukan hubungan seks bebas.
Tahun lalu juga, akhbar-akhbar di Indonesia menyiarkan Komisi Perlindungan Anak Indonesia (KPAI) menerima laporan mengenai kes perkosa melibatkan 33 kanak-kanak.
Ia dikatakan berpunca daripada pengaruh video porno penyanyi Ariel Peterpan yang ditonton.
Di Amerika Syarikat pula, dianggarkan kanak-kanak dan remaja lelaki berumur 12 hingga 17 tahun adalah golongan terbesar yang menonton video lucah kategori ekstrem yang menayangkan aksi seks kasar.
Suruhanjaya Kajian Pornografi Kebangsaan di negara itu pada tahun 1970 dan 1986 mendapati seorang daripada lima kanak-kanak lelaki serta seorang daripada 10 kanak-kanak perempuan mendapat pendedahan pertama kepada filem lucah seawal usia 12 tahun.

Rabu, Februari 02, 2011

Cerita bola: Kelantan "tewas"

Langkah pemilik Piala Sumbangsih 2011 disekat Terengganu malam tadi. Kelantan mendahului dengan jaringan Piya hasil daripada lambungan cantik Nurul Azwan Roya pada minit ke-35. Kegembiraan Kelantan akhirnya ternoktah pada minit ke-69 apabila Marzuki Yusof menyudahkan hantaran Joseph Kalang. Kedudukan 1-1 kekal hingga tamat permainan.

Sebelum sepak mula dilakukan penyokong terlebih dahulu dihidangkan dengan "tayangan" trofi Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih. Dua buah Frerari merah mengapit sebuah pacuan empat roda yang membawa dua trofi impian setiap pemain bola sepak tempatan. Trofi ini diarak sekeliling stadium dengan sorakan yang begitu gemuruh.


Secara keseluruhan aku lihat kedua-dua pasukan sama hebat. Apex dan Sharbinie sama-sama diuji barisan lawan masing-masing. Babak pertama Apex terpaksa kerja keras ekoran diserang bertali arus, namun tiada serangan merbahaya. Kelekaan barisan pertahanan Kelantan membawa padah apabila Marzuki bijak mencari ruang dan peluang melalui tandukan. Bola melambung tinggi melepasi kepala tiga pemain Kelantan dan Apex sebelum singgah ke penjuru gol, sebelah kanan.


Setelah ditewaskan oleh Marzuki, Apex bertindak lebih agresif untuk menghalang lawan daripada membolosi gawang. Terengganu kempunan beberapa peluang keemasan apabila Apex lebih cemerlang dan garang di kawasannya.

Ketiadaan Azizi di posisi pertahanan seakan membuka ruang kepada pelawat untuk menembusi benteng. Namun ini segera diatasi dan ditampung oleh Daudsu. Daudsu kali ini terpaksa kerja keras dengan asakan lawan. Farishan dan Zairul Fitri kadang kala leka dan cuai di bahagian masing-masing.

Bintang baru Kelantan, K.Soley belum lagi "semakan" (serasi) dengan Idlan dan Piya. Gerakannya sedikit terbantas dan teragak-agak. Begitu juga dengan Danial Fadli yang sering kali teragak-agak dalam membuat hantaran. Gerakan Soley @ Solihin Kanasain agak perlahan dan "malu-malu" jika dibandingkan dengan Canthuru. Tapi kawalan bolanya agak menarik. Separuh masa kedua Soley terlepas peluang terhidang di depan mata setelah menerima lorongan cantik Idlan. Idlan seperti biasa dengan kemahirannya mengeleceh dan mengeliru lawan di tepi garisan membuat hantaran ke arah Soley, tapi Soley yang sudah mendapat bola di kaki berpusing bagaikan hilang arah sebelum bola dirampas pihak lawan.

Nizab Ayub, Khalid Jamlus, dan Khairan Eroza mungkin masih lagi dalam mood berbulan madu dek kemenangan ke atas Selangor pada Sabtu lepas. Masuk sebagai pemain gantian pada babak-babak akhir untuk menggerakan bahagian serangan dan tengah, tapi mereka kurang menyerlah. Ada sikap tamak, gelojoh dan gopoh dalam diri menyebabkan permainan sedikit terencat.

Penyokong
Kali ini stadium penuh dan ada sedikit limpahan hingga ke pagar bawah. Harga tiket RM12 tempat terbuka dan RM25, astaka habis dijual (mungkin). Harga di tangan ulat tak tahulah. Seperti biasa, jaringan gol diserikan dengan sorakan dan pujian beserta dengan "hadiah" bekas minuman ke dalam padang diberikan. Nampaknya sahabat kita ni tak serik dan perit lagi.

Pengadil
Siapalah pengadil malang kali ini dilantik.. Ada beberapa keputusan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pengadil. Ia sekali gus mengundang rasa tidak puas hati di kalangan penyokong. Tapi, itulah pengadil; yang mengadili sesuatu mengikut pemerhatian, pengetahuan dan pengalaman.

PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Mohd Romzi Zahari
Penolong Pengadil 1: Azrul Zairil Abdul Hamid
Penolong Pengadil 2: Mohd Fazli Ishak
Pegawai Keempat : Mohd Ezani Said
Komisionel Perlawanan : Jamil Zakaria
Pegawai Penilai : Othman Omar
General Kordinator : Arif Hassan
Keputusan seri di laman sendiri bagaikan satu kekalahan bagi sebahagian besar penyokong. Stadium keramat ini bagaikan tidak boleh menerima keputusan seri apatah lagi jika tewas.

Sementara itu mangsa Kelantan hujung minggu lalu melakar detik gembira apabila menang ke atas lawan, Perlis dengan jaringan 2-0. Dengan ini Selangor bergaya, Kelantan hampa di laman sendiri. Sementara itu NS semakin mencengkam apabila melakar kemenangan kedua menumpaskan T-Team, 3-1, di Paroi.

Selasa, Februari 01, 2011

Cerita bola: Disiplinkan penyokong yang babil dan tolol

Semangat orang gedebe atau samseng tidak mudah hilang dari jati diri sesetengah orang Kelantan. Semangat ini mudah terbawa-bawa dalam segenap hal. Semangat ini jugalah yang sering kali mencemari nama baik Kelantan. Gedebe yang menyelaputi penyokong Kelantan dalam arena bola sepak menjadi topik hangat di mana-mana media massa.

Lihat saja tingkah laku sebahagian sahabat kita ketika memberi sokongan kepada pasukan; ada yang terpekik terlolong, mencarut, melempar kata nista. Habis sumpah seranah ke arah pemain lawan, dilemparkan pula ke arah penyokong lawan. Tidak cukup dengan itu, pengadil pula jadi sasaran. Lebih pilu, ayat-ayat membunuh ini juga ditujukan ke arah pemain sendiri, jika pemain kita mempamerkan corak permainan yang hambar.

Tidak cukup dengan itu, lebih parah sikap gedebe ini dipamerkan dengan bentuk fizikal; balingan objek, dan mercun ke dalam padang. Kalau tak pemain lain, dituju kepada pengadil. Kalau pengadil "mengelak", pihak keselamatan pula yang menjadi sasaran. Lebih parah, pihak perubatan pun akan dilibat sama.

Puas kita nasihat, puas kita bertaskirah, puas kita membebel, tapi masih ada yang babil dan tolol. Kerana gedebe, segelintir penyokong ini telah menyemarakan lagi holigen di kalangan kita. Babil dan tolol seakan kembar seiras dalam diri masing-masing.

Menjadi satu keseronokan dan kepuasan jika dapat membaling mercun dan objek ke padang. Keseronokan bersorak bagaikan hilang seri jika tiada objek melayang ke dalam padang. Sorakan yang kedengaran di segenap penjuru dan sudut seakan tiada seni jika tidak disertakan dengan bunyi mercun.

Sedar atau tidak sikap babil dan tolol segelintir sahabat kita ini menjadi tarikan negatif kepada orang luar? Segelintir media massa yang sememangnya anti Kelantan sudah pasti bertepuk dan bersorak dengan tingkahlaku kita. Inilah yang dinanti-nantikan. Ini berita sensasi yang ditunggu-tunggu setiap masa. Inilah.

Cukuplah kita seakan dipulaukan dalam segenap hal, jangan ditambah lagi dalam hal bola pula. Semangat gedebe yang tak bertempat ini akan menambahkan lagi semangat kebencian segelintir orang luar terhadap kita.

Perlakuan kita yang gedebe ini ini menjadi ikutan anak-anak kecil dan remaja-remaja baru. Pernah satu ketika aku melihat gelagat anak kecil dan beberapa remaja baru yang melakukan aksi negatif sewaktu menonton di stadium. Di sini mereka mempelajari sesuatu yang tidak ada dalam silibus persekolahan. Diajar bagaimana untuk membaling mercun, diajar cara-cara untuk mencarut, ditunjukkan panduan melakukan provokasi dan diajar dan terus diajar untuk menjadi orang yang kurang ajar.

Wahai sahabat, sedarkah kita akan hal ini? Cukuplah..

Bagaimana lagi agaknya untuk kita memberi kesedaran kepada segelintir sahabat kita ini agar lebih tertib ternin ketika memberi sokongan?

Kepada sahabat yang budiman, tolong-tolonglah sahabat kita di sebelah tu. Jika ada yang cuba-cuba nak lempar botol-botol air, tolong-tolong nasihatkan. Takut? Samalah, akupun takut juga.

Dunia semakin canggih dengan teknologi, melalui alam siber ini kita cuba menasihat. Agak-agaknya yang suka duk wat acara lempar mercun dan botol tu semuanya ada Facebook, Twiter, MySpace, website tak? Kalau ada, mudah-mudahan ini adalah medium terbaik kita untuk mendisplinkan sahabat kita yang gedebe lagi babil dan tolol tu.

1 Februari '11, seteru tradisi akan bertemu di SSM IV. Sang Penyu akan bertandang ke laman Sang Kijang. Dua perkara yang menarik di sini; pertama adalah permainan dan kedua adalah penonton. Tapi kali ini aku tekankan kepada penonton. Walaupun berjiran, Kelantan dan Terengganu bagaikan musuh utama dalam arena ini. Setiap kali bertemu sudah pasti ada sesuatu yang terjadi. Penyokong kedua-dua pasukan akan turut sama "berperang". Itulah yang terjadi sejak sekian lama. Malam ini kita akan saksikan detik-detik "peperangan" ini.

Aku anak jati Kelate yang akan terus menyokong pasukan ini (tapi sekali sekala kena kutuk dan kritik jugalah kan).

Patung Nefertiti jadi rebutan







BARU-BARU ini, Majlis Agung Antikuiti Mesir (SCA) menggesa Jerman memulangkan kepala patung Permaisuri Nefertiti kepada majlis itu. Nefertiti dianggap begitu unik disebabkan wajah jelitanya selain kontroversi selepas kematiannya.
Individu yang bersungguh-sungguh mahu patung ratu berusia 3,300 tahun itu dibawa pulang ialah Ketua Jabatan Antikuiti Mesir, Dr. Zahi Hawass yang menjalankan kempen mengembalikan artifak purba negara itu sejak lapan tahun lalu.
Kempen beliau itu dilihat agak sukar kerana pada tahun 2007, pihak berkuasa Jerman enggan meminjamkan patung Nefertiti semasa Mesir menganjurkan satu pameran dengan alasan ia mudah pecah jika dipindahkan.
Nama Nefertiti jarang diperkatakan dalam riwayat tamadun Mesir purba, tidak seperti Cleopatra yang sehingga kini dianggap wanita paling bahaya dalam sejarah dan penggoda yang telah memikat lelaki paling berkuasa di dunia, iaitu Julius Caesar dan Marcus Antonius dari Rom.
Namun, jika disorot semula lembaran sejarah Nefertiti yang juga isteri kepada Amenhotep IV, dia sebenarnya mempunyai pengaruh yang sangat besar.
Dalam beberapa catatan rekod Mesir purba, figura wanita pertama Dinasti ke-18 ini sangat diagungkan. Dia bersama Amenhotep IV telah mencetuskan revolusi agama Aten yang memuja satu tuhan sahaja iaitu tuhan matahari.
Keperibadian isteri kesayangan Firaun ini juga semakin menyerlah apabila dia diberi peranan besar dalam aspek agama selepas diangkat sebagai wakil wanita dalam aspek ketuhanan.
Dibunuh
Sesetengah teori mengatakan Nefertiti adalah penulis revolusi agama dan budaya yang diilhamkan oleh Akhenaten yang menolak agama-agama lain sehingga membangkitkan kemarahan golongan pendeta.
Tidak gentar dengan ancaman, Nefertiti bersama Akhenaten mengambil keputusan untuk memindahkan pusat pemerintahan Mesir dari Thebes ke Amarna semata-mata untuk mentaati tuhan baru mereka.
Pakar sejarah mengaitkan perkembangan agama baru ini adalah hasil usaha Nefertiti.
Nefertiti juga dipercayai memegang kuasa yang lebih besar daripada kuasa seorang permaisuri semasa pemerintahan suaminya.
Bahkan, pendapat mengatakan pemerintahan Mesir purba pada zaman Firaun Akhenaten adalah pemerintahan bersama pasangan suami isteri ini.


CANCELOR Jerman, Angela Merkel merenung Permaisuri Nefertiti di Muzium Neues di Berlin pada 16 Oktober 2009. Patung berusia 3,300 tahun itu telah menarik berpuluh ribu pengunjung setiap tahun ke muzium itu.




Pengaruh penting Nefertiti boleh dilihat melalui lukisan dan ukiran gambarnya yang banyak ditemui di dinding kuil.
Persamaan saiz di antara ukirannya dan ukiran Akhenaten memberi petunjuk mereka mempunyai kepentingan yang sama dalam struktur politik Mesir purba.
Sayangnya, zaman kegemilangan permaisuri yang mendapat jolokan Wanita Paling Cantik Di Dunia ini tidak lama.
Pada tahun ke-14 pemerintahan Akhenaten iaitu kira-kira tahun 1335 Sebelum Masihi, nama dan pengaruh besar Nefertiti lenyap begitu sahaja.
Teori sejarah mengatakan Nefertiti meninggal dunia disebabkan wabak penyakit yang melanda kawasan itu.
Ada juga yang mengatakan dia tidak lagi disukai suaminya kerana rekod sejarah selepas itu menunjukkan Akhenaten banyak merujuk kepada isteri keduanya iaitu Kiya, ibu kepada Firaun Tutankhamun yang terkenal dengan gudang emasnya.
Selain itu, timbul juga teori Nefertiti dibunuh oleh pendeta Mesir kerana dia memulakan revolusi agama di Amarna.
Anehnya, semua rekod tentang permaisuri ini telah dihapuskan supaya tiada sesiapa yang akan menyebut namanya.
Perang Dunia
Misteri dan kontroversi kehilangan Nefertiti masih diperdebatkan.
Bukan sahaja fakta sejarah, malah patung ukiran permaisuri tersebut yang didakwa dibawa keluar secara haram masih menjadi rebutan antara Mesir dan Jerman.
Gesaan yang dikeluarkan kerajaan Mesir supaya kepala patung berkenaan dipulangkan ke Kaherah tidak dipedulikan Jerman.

KEDUDUKAN Lembah Raja yang berhampiran Sungai Nil di Luxor, Mesir. Sebuah filem Itali tahun 1961 lakonan Jeanne Crain menggambarkan Nefertiti sebagai ‘Ratu Sungai Nil’.


Malah, tindakan Zahi Hawass yang bersungguh-sungguh dalam kempen tersebut ditempelak Yayasan Warisan Budaya Prussia yang bertanggungjawab mengendalikan Muzium Neues apabila mereka mendakwa mempunyai dokumen sah pemindahan patung itu dari Mesir ke Jerman.
Bagi sesetengah pihak, tindakan Zahi mungkin tidak disenangi, namun beliau bertindak demikian selepas mengetahui patung berleher jinjang dengan mata yang unik itu didapati dibawa keluar dari Mesir secara haram pada tahun 1924.
Meneliti patung ukiran Nefertiti yang dihasilkan daripada batu kapur itu, ia cukup layak untuk dianggap salah satu hasil kerja seni terbaik dunia pramoden.
Berusia 3,300 tahun, artifak unik tersebut telah ditemui di sebuah kompleks membuat patung di Lembah Raja di Luxor, kira-kira 275 kilometer dari selatan Kaherah pada tahun 1912 sebelum dibawa ke Jerman oleh ahli ekskavasi Jerman, Ludwig Borchardt.
Melalui ukiran ini sahaja, ramai yang dapat membayangkan kejelitaan asli Permaisuri Nefertiti.
Bibir merahnya yang separa tebal, mata yang bundar dan lehernya yang jinjang menjadikan patung kepala ini cukup menawan.
Dengan hiasan mahkota tinggi yang disempurnakan dengan lekapan batu-batu aneka warna yang bernilai tinggi, sentuhan warna gelap yang tebal pada kening dan garisan mata nyata membangkitkan pesona wanita berkulit kuning langsat itu.
Bagaimanapun, Zahi optimis Jerman akan menyerahkan semula artifak tamadun milik negaranya itu.
Malah, usaha kerajaan Mesir untuk membawa pulang patung tersebut telah dimulakan sejak Perang Dunia Kedua tamat iaitu pada tahun 1947.
“Saya tahu Jerman tidak senang dengan apa yang saya lakukan. Saya tidak kisah apa mereka mahu kata. Saya hanya mahu membawa pulang patung kepala Permaisuri Nefertiti.
“Kerajaan dan rakyat Mesir begitu bersemangat menanti kepulangan harta dan warisan tamandun purba ini kepada pihak yang sepatutnya.
“Jika perkara ini menjadi kenyataan, kepala patung itu akan dipamerkan di muzium baru di selatan Kaherah,” katanya.

DUN Tenang: BN pilihan rakyat

        BN menang besar

MUHYIDDIN Yassin mengangkat tangan Mohd. Azahar Ibrahim setelah diumumkan sebagai pemenang kerusi DUN Tenang di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis, malam tadi. - Utusan/ISHAK RAHMAD
LABIS 30 Jan. - Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dengan majoriti lebih besar menerusi calonnya, Mohd. Azahar Ibrahim yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya kecil yang berlangsung hari ini.
Mohd. Azahar menang dengan majoriti 3,707 undi selepas mendapat 6,699 undi untuk mengalahkan calon Pas, Normala Sudirman yang hanya memperoleh 2,992 undi. Sebanyak 142 undi rosak.
Majoriti itu meningkat 1,243 undi berbanding 2,492 undi yang diperoleh BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 2008.
BN juga menawan semula dua kawasan majoriti Cina iaitu di Bandar Labis Timur dan Labis. Bandar Labis Tengah masih memihak kepada pembangkang.
Bagi peti undi Bandar Labis Timur, BN mendapat 669 undi dan Pas pula 632 manakala di Labis BN memperoleh 380 undi dan Pas 337 undi. Bandar Labis Tengah BN mendapat 365 undi dan Pas 851.
Kemenangan calon BN itu diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya DUN Tenang, Md. Asri Amir di pusat penjumlahan undi di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis di sini, pukul 10.02 malam ini.
Menurut Md. Asri, sebanyak 67 peratus daripada keseluruhan 14,753 pemilih keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil DUN Tenang ini.
"Maka, saya dengan ini mengisytiharkan calon BN, Mohd. Azahar Ibrahim sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan DUN Tenang," katanya.
Peratusan keluar mengundi hari ini rendah disebabkan hujan lebat yang tidak henti-henti di seluruh kawasan DUN Tenang sejak awal pagi hingga tamat tempoh mengundi pukul 5 petang.
Pilihan Raya Kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha, 59, akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis pada 17 Disember tahun lalu.
Pada PRU12, Allahyarham mendapat 6,367 undi menewaskan calon Pas, Mohd. Saim Siran yang memperoleh 3,875 undi.
Pengumuman tersebut disambut dengan tepukan gemuruh kira-kira 1,000 penyokong BN yang berada di dalam dan luar dewan sebelum beliau turut dijulang bagi meraikan kemenangan itu.
Turut meraikan kemenangan Mohd. Azahar itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi DUN Tenang.
Selain itu, turut hadir meraikan kemenangan BN tersebut ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.
Bagaimanapun, Normala dan para pemimpin Pas lain tidak kelihatan di dalam dewan ketika pengumuman itu.
Ketika ditemui kemudiannya, Mohd. Azahar mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang memberi kepercayaan kepada beliau menjadi wakil rakyat DUN Tenang.
Menurutnya, beliau akan memikul amanah itu dengan sebaik-baiknya bagi meneruskan agenda pembangunan di kawasan itu.
Mohd. Azahar juga akan berusaha memastikan setiap janji yang dibuat sepanjang kempen pilihan raya kecil ini ditunaikan secepat mungkin.
"Terima kasih kepada semua yang mengundi saya dan juga kepada jentera BN yang bekerja keras siang dan malam. Insya-Allah saya akan berkhidmat sebaik mungkin sebagai wakil rakyat di DUN Tenang.
"Tugasan pertama saya adalah untuk menyelesaikan masalah banjir," katanya.
Sumber: www.utusan.com.my
_________________________________________________
MyView: Hasrat PAS untuk menawan Tenang tidak kesampaian apabila wakil mereka tewas dengan majoriti yang agak besar. Pilihan rakyat sekali lagi kepada BN. Lebih parah kali ini lebih ramai yang memilih calon dari kerajaan pusat ini. Walaupun peratusan keluar mengundi tidak sampai 80 %, ia memadai untuk mematikan hasrat PAS untuk menjadi wakil di Tenang.

Ramai yang telah menduga keputusan ini akan memihak kepada calon BN, tapi PAS tetap juga ingin mencuba. Sementelahan lagilah, Johor ini adalah kubu kuat BN/UMNO.

Jentera kerajaan yang meliputi semua aspek digerakkan bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU yang lalu. Baik dari segi media massa mahupun projek-projek segera, semuanya diguna sebaik mungkin. Tambahan pula pada era global ini, media altenatif seperti laman blog, dan laman sembang sosial, menjadi medan terbaik buat BN untuk terus menyampaikan mesej dan mempergiatkan jentera parti. 

Walaupun harga barang naik dan harga petro naik, ini tidak sedikitpun memberi gambaran bahawa rakyat harus menolak BN pada PRK ini. Apa yang pasti BN terus mendapat kepercayaan rakyat DUN Tenang.

Di sebalik itu, kemelut yang melanda Pakatan Rakyat @ pakatan pembankang sejak akhir-akhir ini mungkin menjadi penyebab mengapa rakyat Tenang terpaksa menolak PAS.

Apa yang pasti, tugas rakyat telah terlaksana melalui kertas undi. Kini tiba masanya pula tugas YB baru untuk melaksanakan amanah yang diberikan.