Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Sabtu, Februari 26, 2011

Islam bergolak

Umum mengetahui Mesir melalui satu lagi detik sejarah baru-baru ini. Cerita ini agak "lama" tapi belum lagi basi. Husni Mobarak yang memerintah Mesir lebih dua dekad akhirnya digulingkan oleh rakyatnya. Kini baru kita tahu negara yang sarat dengan sejarah tamadun Islam rupa-rupanya tersemat dendam di kalangan rakyatnya.

Terbaru adalah kisah di Libya. Sama seperti Husni, Muammar Gaddafi juga memerintah Libya dalam tempoh yang agak lama. Gaddafi bukan sahaja ditentang oleh rakyatnya malah oleh sebahagian anggota ketenteraan Libya. Tunjuk perasaan yang diadakan oleh rakyat telah ditentang habis-habisan oleh tentera kerajaan. Hasilnya ratusan penunjuk perasaan terkorban. Opss..! Bukan ratusan, tapi telahpun mencapai angka ribu.

Mesir dan Libya, negara Islam yang bergolak. Kesannya ribuan yang terkorban. Apa sudah jadi? Mengapa mereka memberontak? Tidak ada jalan damaikah lagi yang dicapai? Nampaknya, proses demokrasi diganti dan disudahi dengan demonstrasi dan pemberontakan.

Isu saudara seislam kita di Afghanistan, Palestin, Iraq, Selatan Thailand dan beberapa tempat lagi belum selesai; kini isu Mesir dan Libya pula. Afghanistan dan Iraq yang dimusnahkan oleh Amerika Syarikat beberapa tahun dulu belum lagi pulih. Walaupun kerajaan baru telah dibentuk, ia bukan penyelesaian yang terbaik setakat ini buat Iraq dan Afghanistan. Palestin, wilayah yang belum lagi mendapat status "negara" ekoran kekejaman Zionis. Selatan Thai, juga wilayah yang sering bergolak dan dipandang sepi oleh pemerintahnya.

Iraq, Afghanistan, Palestin, Mesir dan Libya yang mempunyai pemimpin daripada kalangan orang Islam. Walaupun begitu pemimpin Islam negara masing-masing ini juga tidak sebulu. Maknanya wujud juga perselisihan dan ada golakan dalaman. Pemimpin-pemimpin yang tidak bersatu hati ini juga menimbulkan bibit-bibit perpecahan di kalangan rakyat.

Apa sudah jadi dengan umat Islam? Permusuhan sesama sendiri yang tiada kesudahannya. Apakah ini kesinambungan pertelingkahan zaman nabi-nabi ratusan ribu tahun lalu? Bermula dengan permusuhan Qabil dan Habil di zaman Adam A.S sehinggalah kepada zaman kewafatan Rasulullah. Kemudian berlanjutan ke zaman Khulafah Abu Bakar hingga ke zaman Ali. Kemudian wujud lagi pertelingkahan ke zaman sahabat, dan tabi'e sehingga wujudnya "perpecahan" mazhab. Kemudian permusuhan ini terus meniti dari zaman sejarah (juga zaman sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua) hingga ke zaman moden kini. Dan kini permusuhan sesama sendiri belum lagi selesai.

Apakah hikmah di sebalik ini semua?

Bimbang dan risau. Pertelingkahan ini akan mengembirakan musuh Islam. Umat Islam bergolak, mereka bersorak.

Pergolakan yang berlaku di tempat orang juga wujud di tempat kita, Malaysia. Pemimpin-pemimpin politik seislam bertelagah ingin menegak "kebenaran" masing-masing. Tapi adakah "kebenaran" itu benar-benar benar? Perbezaan wadah perjuangan, parti politik dan pendapat telah mencetuskan permusuhan.

Perkara ini bukan saja berlaku kepada pemimpin atasan, malah tempiasnya hingga ke akar umbi (mengambi istilah yang selalu digunakan oleh orang-orang politik). Rakyat bawahan akan terbawa-bawa dengan sentimen kepartian, lebih-lebih lagi pengikut parti politik masing-masing. Walaupun begitu kita masih lagi bersyukur kerana tiada kejadian seumpama di Mesir dan Libya. Walaupun ada "acara" demonstrasi di sesetengah tempat dan suatu masa lalu, ia belum lagi mengundang kejadian seperti yang berlaku di tempat orang.

Zaman Adam A.S sehingga zaman Rasulullah, sebarang pertelagahan, permusuhan dan perselisihan faham sesama sendiri dileraikan oleh kebijaksanaan pemimpin, yakni para rasul. Pemimpin yang mengimbangi sebarang ketidaksempurnaan dalam masyarakat. Tapi zaman ini pemimpin pun kadang-kala dan selalu juga "pendek akal" macam pengikutnya juga. Pengaruh keseronokan dunia mengatasi kredibiliti memimpin.


Sampai bila semua ini akan berakhir? Bagaimana agaknya pengakhirannya?... Pengakhiran yang dinanti tidak lain tidak bukan hanya dengan berpandu (agama) Islam yang teguh. Ya, Islam akan terus tegak dan teguh kerana Islam tidak pernah bergolak, yang bergolak adalah umatnya.. Jangan disebabkan umatnya, Islam yang dikatakan bergolak. Umat Islam yang bergolak, Islam tak pernah bergolak apatah lagi bergolek..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..