Ujian Allah berterusan apabila ibu kembali ke wad. Pada 2 Julai 2013, sesuatu yang tidak dijangka apabila ibu mengalami demam secara tiba-tiba. Sebelum itu ibu sedang membakar ikan untuk makan tengah hari. Belumpun selesai ibu terasa sejuk yang amat sangat. Meluru masuk ke rumah dan berbaring dan berselimut.
Dari pukul 01:00 tengah hari (lebih kurang) sampailah hampir Maghrib ibu berselimut dan dalam keadan separuh sedar. Muntah dan pening. Tidak mahu bercakap dan tidak bergerak banyak. Tidak mampu untuk berdiri, malah bangun mengangkat tubuh sekalipun.
Lebih kurang jam 06:30 petang ibu masih berbaring. Lalu kami sepakat untuk membawa ibu ke hospital. Lebih kurang jam 07:00 petang ambulans datang. Kami tak mahu mengambil risiko untuk membawa ibu dengan kereta memandangkan ibu dalam separuh sedar.
Menuju ke wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) juga masih dalam tidur yang tidak lena. Beberapa jam dalam wad kami setia menunggu. Akhirnya, sesuatu yang tidak kami duga; ibu disyaki ada kuman dalam darah. Oh tuhan. Terbayang bagaimana nasib orang-orang yang mengalami simptom ini, mereka tidak bertahan lama ..
Ya Allah, selamatkan ibu.
Lebih kurang jam tengah malam ibu dimasukan ke Wad Puteri. Wad yang mensyaratkan pelawatnya mesti memakai pas masuk ketika melawat. Wad yang tidak membenarkan waris untuk menunggu. Wad yang hanya jururawat dan doktor yang menjadi penjaga. Pelawat dan waris hanya boleh melawat pada waktu yang ditetapkan sahaja. Dengan kata lain wad ini adalah wad separa kritikal.
Di sini ibu diberi penafasan melalui tabung oksigen. Segala macam wayar membalut tubuh ibu. Ya Allah. Kesan "air garam" hospital menampakan muka dan tangan ibu macam belon. Menurut kata doktor, keadaan ibu agak baik kerana cepat dibawa ke hospital. Ya Allah. Kami tak fikir "cepat" dibawa ke hospital kerana ibu demam pada tengah hari, dan lewat senja baru ke hospital. "Maafkan kami ibu. Kami tidak tahu ini serangan virus yang dibenci".
Apabila melihat kepada tanda-tanda jangkitan ketar lutut kawe dibuatnya. Ini ada dalam pengamatan kami. Antaranya;
- Rasa sejuk
- Kekeliruan atau kecelaruan
- Air kencing yang keluar berkurangan bila membuang air kencing.
- Demam atau suhu badan yang rendah (hipotermia)
- Hyperventilation (keadaan tercungap-cungap)
- Pening akibat tekanan darah rendah
- Denyutan jantung yang cepat
- Menggigil
- Ruam kulit
- Kulit hangat (warm)
Doa dan air mata seiringan. Alhamdulillah, Allah mendengar rintihan kami. Ibu beransur pulih. Denihari 06 Julai ibu dipindahkan ke wad biasa, Puteri. Wad yang membenarkan waris menunggu dan menjaga. Wad yang membenarkan pelawat masuk tanpa pas.
Syukur kehadrat Ilahi, 08 Julai ibu dibenarkan pulang. Kami tak tahu status kuman dalam darah ibu kerana yang penting ibu kembali ke rumah. Dibekalkan ubat yang cukup banyak.
Unsur mistik
02 Julai, sebelum kejadian. Denihari yang biasa bagi ibu. Bangun pagi seawal 04:00 pagi untuk buat kuih-muih jualan. Ini lebih sebagai hobi. Waktu ini ibu tersentak dengan satu bayangan seakan tikus besar, putih, terbang paras pinggang. "Sesuatu" itu menjelma tiga kali.
Tengah hari itu semasa sedang membakar ikan untuk makan tengah hari, ibu demam tiba-tiba. Pada waktu terlantar inilah baru ibu ceritakan pada kami apa yang ibu nampak pagi hari tadi. Ayah andaikan itu hanyalah tikus besar. Memandangkan mata ibu tak berapa terang, ayah membuat telahan sebegitu.
05 Julai, Jumaat: Kami menjemput ustaz dari pusat rawatan Islam. Mereka datang jam 09:00 pagi. Kami sama-sama solat hajat, dan baca Yassin. Kemudian, mereka "membasuh" setiap sudut rumah dengan ayat-ayat Yassin tadi. Di luar rumah dipasakkan dengan garam yang bercampur dengan lada hitam. Satu rawatan altenatif.
Kembali sihat
13 Julai. Ibu belum pulih sepenuhnya. Walaupun mampu berdiri dan mandi sendiri ibu belum boleh menjalani rutinnya. Kalau sihat malam, pagi esoknya demam. Segar bugar waktu pagi, malamnya pula kembali sejuk badan.
Kini kami mampu berdoa agar Allah memberi kesihatan untuk ibu.
..................................................
Ini.. Ibu kembali ke wad
AeMan - Buatmu ibu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..