Farhan ketika Kelantan menentang Pahang dalam Liga Super |
PENYERANG Kelantan, Mohd. Norfarhan Muhammad yang muncul wira skuad The Red Warriors (TWR) apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan itu ketika menewaskan Johor Darul Takzim (Johor DT) 1-0 pada perlawanan akhir Piala FA malam kelmarin, berasa puas kerana dapat membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatihnya, Bojan Hodak.
Pada final Piala FA menentang Sime Darby FC tahun lalu, Norfarhan sekadar menyaksikan rakannya beraksi daripada bangku pemain simpanan kerana Hodak lebih berminat menggunakan gandingan Norshahrul Idlan Talaha serta Mohammad Ghaddar ketika itu.
Kira-kira lima bulan selepas itu, dalam final Piala Malaysia menentang Angkatan Tentera (ATM) pula, penyerang berusia 29 tahun itu sekali lagi menjadi penonton apabila menjalani penggantungan perlawanan akibat menerima dua kad kuning.
Namum, segala kenangan pahit itu terus lenyap di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin apabila Norfarhan yang menerima umpanan sempurna daripada kapten, Mohd. Badhri Mohd. Radzi menampilkan aksi tenang untuk menyudahkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-16 sekali gus membantu Kelantan mengekalkan kejuaraan Piala FA yang dimenangi mereka tahun lalu.
"Saya sangat gembira serta berbangga kerana menjadi sebahagian dalam sejarah gemilang pasukan Kelantan dan saya anggap kejayaan ini hasil usaha keras semua pihak yang terlibat dalam membangunkan bola sepak Kelantan.
"Saya tidak kisah siapa pun yang menjaringkan gol, namun apa yang paling penting bagi saya adalah dapat bermain dalam perlawanan akhir ini.
"Bagi saya, kemenangan ini adalah hasil permainan berpasukan dan kerjasama semua pihak," kata Norfarhan ketika ditemui Kosmo! selepas perlawanan akhir Piala FA malam kelmarin.
Kejayaan Kelantan itu membolehkan mereka mengekalkan kejuaraan Piala FA yang dimenangi tahun lalu manakala bagi pasukan Johor DT, kegagalan itu telah menangguhkan hasrat mereka untuk mencatat kejuaraan buat pertama kali dalam kejohanan kalah mati itu.
Ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri pula telah dipilih sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir Piala FA tersebut selepas berjaya mengemudi dengan baik jentera tengah pasukan Kelantan serta berjaya menenggelamkan arkitek Johor DT, Mohammad Safiq Rahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..