Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Rabu, Oktober 27, 2010

Cerita Bola:Sebelum final

30 Oktober 2010, pentas akhir Piala Malaysia (PM) sekali lagi mempertemukan finalis musim lalu, Kelantan dan NS. Kemenangan 3-1 ke atas Kelantan musim lalu akan dipertahankan. Itu tekad NS. Kelantan pula tidak mahu kecewa lagi seperti tahun lalu di hadapan puluhan ribu penyokong setia. Menariknya juga dalam perlawanan ini adalah pertembungan dua pasukan dari kumpulan yang sama. NS juara kumpulan A, PM 2010 dan Kelantan naib juaranya. Menariknya juga perlawanan ini adalah mengenai Hai-O. 2009, Hai-O mewakili NS dan mencatat nama sebagai penjaring, menewaskan Halim Napi.

Sebelum final, Kelantan memulakan langkah sumbang apabila tumbang 1-0 kepada NS di SSM IV hasil "gabungan mantap" "dua Karim" - Idris Karim dan Yusuf Mat Karim. Selepas itu Kelantan menceriakan sedikit penyokongnya dengan menundukkan PKNS 1-0 di laman lawan. Kembali di laman sendiri (20 September) Kelantan kembali menyemarakan kemarahan penonton dengan keputusan seri 3-3 dengan KL Plus. Pusingan kedua Kelantan merentap kegembiraan NS, 2-2 di laman lawan. Kunjungan PKNS di Kota Bharu dimanfaatkan sepenuhya apabila wakil Selangor itu "disekeh" dengan 4-0. Misi menebus kehampaan dengan KL Plus tertunai dengan apabila wakil Kuala Lumpur itu pula dibelasah 4-0.

Menang tiga, seri dua dan tewas sekali meletakan Kelantan di tangga kedua kupulan A. Lantas Kelantan bersua dengan Selangor, juara kumpulan D untuk saingan suku akhir. Siapa menduga, siapa menyangka skuad K.Devan tumbang di kaki dan kepala skuad B.Satianathan dengan jaringan yang agak besar.

Rekod pertemuan Kelantan - Selangor (Liga Super) agak seimbang musim ini; seri 0-0 di KB dan 1-1 di Shah Alam. Perlawanan pertama suku akhir membawa pelbagai cerita. Pergaduhan penyokong kedua-dua pasukan di Shah Alam "menguntungkan" FAM apabila FAS & KAFA didenda. Susun atur penyokong di stadium yang tidak adil dikatakan pencetus pergaduhan, selain provokasi kedua-dua belah penyokong. Idlan dan P.Kunalan pula dilayan kad merah akibat bercakaran sesama sendiri.

Langkah seterusnya diatur untuk pertemuan dengan Sang Kenari pada peringkat separuh akhir. Harapan penyokong agar "Kenari tidak terbang bebas" tertunai jua. Seri di Alor Star, dan menang di KB cukup untuk Kelantan melangkah ke final 2010. Keupayaan Idlan menundukkan Helmi Eliza di SSM IV sekali lagi menjadi taruhan Kelantan untuk menundukkan Sani Kamsani, Sabtu ini. Musim lalu jaringan lewat Indra tidak sedikitpun menjadi ubat kekecewaan penyokong Kelantan. Kali ini harapan disandang sekali lagi pada semua pemain agar kita tidak terus dikecewakan.

Negeri Sembilan
Musim ini NS tewas dengan Selangor dalam perebutan Piala Sumbangsih. Kegembiraan terubat apabila berjaya membawa balik Piala FA setelah menewaskan Kedah (penentuan penalti) pada final. Kedudukan dalam liga tidaklah membanggakan. Walaupun tidak berada dalam kelompok lima terbaik, ia tidak menghalang NS untuk cemerlang dalam saingan kumpulan A, PM. Untuk rekod, musim ini NS tumpas kepada Kelantan (Liga Super) di Paroi dan juga KB. Peringkat PM, NS berjaya menundukkan Kelantan di KB tapi tidak berjaya mengulangi di Paroi apabila seri 2-2.

Pada peringkat separuh akhir pertama NS dikejutkan oleh Sang Lebah, Johor FC di laman sendiri. Kesilapan Sani Kamsani ketika ingin menyelamatkan bola di luar kotak penalti membawa padah. Jaringan tunggal Johor FC seakan membawa petanda pasukan kelab itu akan mengecapi nikmat perlawanan akhir. (Untuk rekod, Pasukan Bola Sepak Majlis Pembandaran Petaling Jaya, di bawah bimbingan Dollah Salleh pernah menjuarai PM). Perlawanan kedua di Johor, Shukur Adan membuka kembali ruang NS untuk ke final. Tandukan cantik Shukur cukup buat NS kembali bernafas. Minit-minit akhir, NS sekali lg "mencari makan" dengan sepakan penalti. Sharuain Abu Samah (pemain pertama menjaringkan gol final 2009) menyudahkan penalti tersebut untuk membawa NS ke pentas akhir. Nampaknya NS selesa dengan jaringan penalti dalam mana-mana perlawanan.


Secebis cerita di separuh akhir
Pertemuan dengan Kedah pada saingan separuh akhir ada beberapa cerita yang menarik juga untuk diperkatakan. 12 minit perlawanan tiga pertukaran. Ini kisah di Kedah. Azizi cedera, dinganti oleh Subra. Kemudian Subra pula terjatuh dan cedera, diganti pula oleh Daudsu. Shakir berlanggar dengan Badrul Baktiar di tengah padang; juga terpaksa dikeluarkan, Khairan Eroza dibawa masuk. Khabarnya Shakir menerima empat jahitan di dagu akibat perlanggaran itu. Semua pertukaran dalam masa 12 minit. Sepanjang 90 mini permainan, Kelantan tidak mempamerkan corak yang menarik. Hambar. Semuanya tidak menjadi. Adakah wujud unsur-unsur mistik, yang "mengawal" pergerakan pemain Kelantan? Mujurlah Apex cemerlang di gawang, kalau tidak tentu ditembusi oleh Kedah. Begitu juga dengan Kedah, lemah permainannya.


Di KB permainan bertenaga dipamerkan oleh pemain Kelantan. Asakan bertali arus, tapi kubu Kedah tetap kebal. Separuh masa kedua Idlan memecah kebuntuan menerusi sepakan sudut dan menewaskan Helmi. Di sebalik itu; terdengar daripada sahabat-sahabat yang berkunjung ke SSM IV mengenai satu peristiwa "aneh". Ada satu kain (macam kain good morning) yang dibawa oleh Helmi Eliza sewaktu memasuki padang. Kain itu diletakan di tepi gol. Nak dijadikan cerita, pada separuh masa kedua, Hashim Mustapha mengarahkan "budak bola" mengeluarkan kain tersebut dari padang. Tut tut...lepas kain itu dibuang, sepakan sudut yang dilakukan oleh Idlan terus menerjah gawang. Helmi pula terpinga-pinga dan kemudian macam tercari sesuatu di tepi gol (mungkin cari kainnya). Itu cerita daripada sahabatlah, aku sebenarnya tak berapa percaya sangat hal-hal macam ni. Sekali lagi aku tegaskan, aku tak berapa percaya sangat cerita-cerita begitu.


Masih lagi di KB; kali ini mengenai penyokong Kedah. Sebelum ini penyokong luar tidak berani bertandang di SSM IV. Tapi kali ini penyokong Kedah memecah tradisi. "Tuduhan" mengenai "kesamsengan" penyokong Kelantan di laman sendiri mahupun laman lawan tidak sedikitpun merungsingkan penyokong Kedah. Ini menunjukkan kita orang Kelantan tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak. Kesopanan kita terhadap penyokong Kedah juga kerana membalas jasa penyokong Kedah sewaktu penyokong Kelantan bertandang ke Alor Star. Apa-apa pun terima kasih penyokong Kedah keranai sudi datang ke stadium kami. Tidak seperti di Shah Alam, penyokong Selangor dikatakan memulakan provokasi dan sekali gus menyemarakan pertelingkahan. Di Alor Star rombongan Kelantan disambut dengan tangan terbuka. Ini juga mengikut kata sahabat-sahabat yang berkunjung ke Alor Star.


Ini pula mengenai Sathia "mangsa" jawatankuasa media FAM buta. Sathia digantung ekoran komennya mengenai pertukaran gelanggang perlawanan Terengganu - Perlis. Dan kesannya, Sathia tidak dapat bersama anak didiknya sewaktu separuh akhir kedua di KB. Sathia berhubung melalui walkie talkie dengan pembantunya (Hashim) dan pengurus (Azman) dari tempat duduk penonton. Begitulah ceritanya yang menghiasi skuad Kelantan ketika saingan separuh akhir.


Kisah lalu biarkan berlalu. Sabtu ini akan menyaksikan pertembungan hebat. Tapi ada yang hebat lagi mengenai KAFA dan FAM. Isu tiket!! Nantikan update dari ramboview.blogspot, sebelum final berlangsung.


Ini..
KAFA, FAM bunuh "angsa bertelur emas"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..