Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Jumaat, April 09, 2010

Menjejak salasilah manusia

AMMAR JAZLAN MAD LELA




ISU berhubung sejarah kewujudan manusia pertama di bumi antara persoalan yang sering diperdebatkan dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia sehingga ke hari ini.

Meskipun kajian berhubung sejarah kewujudan manusia bukan satu perkara baru, jawapan terhadap persoalan itu telah dimulakan oleh para saintis dan pakar arkeologi sejak awal abad ke-18.

Secara umum, hanya manusia (Homo Sapien) dan manusia Neanderthal yang mendiami bumi dan dianggap majoriti. Golongan Neanderthal dipercayai pupus secara misteri tanpa diketahui sebabnya.

Bagaimanapun, baru-baru ini dunia sains dikejutkan dengan penemuan tulang manusia purba yang dikatakan sebagai saudara terbaru kepada susur galur manusia. Penemuan itu mungkin mengakibatkan sejarah kewujudan manusia terpaksa dikaji semula.

Tulang yang ditemui itu dipercayai kanak-kanak ditemui di Gua Denisova di kawasan pergunungan Altai, selatan Siberia dianggarkan berusia 40,000 tahun.
Kajian mengenai penemuan itu disiarkan dalam jurnal mingguan, Nature yang dilaporkan oleh Johannes Krause dan Svante Paabo dari Max Planck Institute for Evolutionary Anthropology di Leipzig, Jerman.

Dalam kajian itu, mereka menerangkan pemetaan asid deoksiribonukleik (DNA) yang terhasil daripada tulang tersebut menunjukkan 400 perbezaan genetik daripada 54 orang manusia dan enam fosil spesies Neanderthal.

Analisis yang menunjukkan spesies purba itu berkongsi keturunan yang sama dengan Homo Sapien dan Neanderthal kira-kira sejuta tahun lalu. Mereka mencadangkan, terdapat penghijrahan lain sebelum itu di luar Afrika yang gagal dikenal pasti.

Kertas kerja medekodkan rangkuman set DNA yang diambil daripada mitokondria yang bertindak sebagai janakuasa sel. Namun kajian itu berbeza berbanding proses DNA biasa yang mengambil nukleus untuk membezakan manusia.


PENEMUAN pelbagai rangka manusia purba di seluruh dunia memberi peluang pengkaji membongkar misteri susur galur manusia.



Paabo berkata, penyelidik sedang mendekod nuklear DNA daripada spesies berkenaan bagi mencari jawapan sama ada ia diletakkan di bawah kategori Homo Sapien, Neanderthal atau bakal menjadi salasilah baru sejarah kewujudan manusia.

Masih kabur

Tanpa melalui ujian analisis nuklear DNA mereka menjelaskan: "Kami tak menyatakan ia adalah spesies baru walaupun membayangkan ia sesuatu yang tidak mustahil."

Pakar arkeologi, Prof Madya Dr. Asyaari Muhamad berkata, penemuan rangka itu membuktikan kewujudan spesies lain yang mempunyai bentuk dan ciri-ciri fizikal yang hampir sama dengan manusia moden pada hari ini.

"Ia merupakan satu penemuan yang besar dalam bidang arkeologi dan mampu mencetuskan fenomena baru kepada para pengkaji meneruskan kajian mereka.

"Walaupun dianggap sebagai spesies baru, namun maklumat mengenainya masih kabur, malah banyak lagi kajian dan ujian perlu dilakukan bagi membuktikan dakwaan itu. Sehingga kini, pengkajinya sendiri masih belum berani mengisytiharkan penemuan rangka itu adalah manusia atau sebaliknya," katanya yang merupakan Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Asyaari menjelaskan, penemuan artifak dan rangka manusia purba bukan satu perkara baru sejak kajian mengenainya dilakukan oleh para pengkaji di seluruh dunia sejak penghujung abad ke-18.

Ujarnya, beberapa rangka manusia purba juga pernah dijumpai sebelum ini yang memberi bukti susur galur dan penemuan manusia terawal.

Di Malaysia, antara tapak arkeologi yang berjaya dibongkar oleh para pengkaji tempatan setakat ini ialah di Bukit Tengkorak, Sabah; Gua Niah, Sarawak; Bukit Bunuh, Lenggong, Perak dan di Gua Bewah, Terengganu.








KAJIAN mengenai artifak dan rangka manusia telah dimulakan sejak penghujung abad ke-18.






Penemuan-penemuan itu katanya, bukan sahaja memberi bukti terhadap kehidupan manusia malah turut memberi peluang kepada penyelidik mengkaji sosiobudaya masyarakat ketika itu.

Beliau berkata, walaupun terdapat pelbagai bukti dan teori penyelidik Barat, namun sebagai umat Islam mereka wajib mempercayai manusia pertama di bumi ini ialah Nabi Adam A.S.

"Apa yang didakwa sebagai manusia berkemungkinan hanya menyerupai secara fizikal sahaja tetapi sebenarnya bukan manusia. Pada masa yang sama kita tidak boleh menafikan kewujudan spesies-spesies lain yang mungkin hidup bersama manusia ketika itu," katanya.

Saintis Barat berpendapat, kemunculan manusia bermula dari timur Afrika. Manusia pertama yang berhijrah dari sana adalah Homo Erectus kira-kira dua juta tahun lalu.

Penemuan fosil pertama Homo Erectus dibuat pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 di beberapa bahagian Indonesia dan China. Fosil-fosil spesies manusia itu turut ditemui di benua Afrika.

Dua contoh penemuan fosil Homo Erectus yang terkenal di Asia adalah Java Man yang ditemui oleh penyelidik Belanda, Eugene Dubois di Trinil, Pulau Jawa pada tahun 1891 dan di antara tahun 1923 hingga tahun 1927 di Zhoukoudian, China yang dipanggil Peking Man.

Penghijrahan beramai-ramai berlaku dalam dua gelombang. Pertama, ia melibatkan golongan Homo Rhodesiensis yang berhijrah sejak 300,000 hingga 500,000 tahun lalu. Golongan itu juga dikatakan sebagai keturunan asal kepada manusia Neanderthal.

Penghijrahan kedua pula berlaku kira-kira 50,000 tahun lalu membabitkan golongan yang menjadi keturunan manusia sekarang yang dikenali sebagai Homo Sapien.

Penemuan pelbagai fosil daripada sumber haiwan, tumbuh-tumbuhan dan manusia zaman purba di beberapa buah lokasi di seluruh dunia telah dijadikan asas oleh penyelidik Barat untuk merungkai misteri tersebut.

Mereka telah mengilhamkan Teori Evolusi iaitu perubahan yang berlaku secara perlahan-lahan bahawa kewujudan manusia asalnya bukan seperti manusia pada hari ini.

Perdebatan spesies manusia

Teori itu kemudiannya dikembangkan oleh Charles Darwin menerusi bukunya, The Origin of Species. Beliau menyatakan semua jenis haiwan berasal daripada satu sel purba. Seterusnya beliau menulis buku The Descent of Man dan mendakwa manusia berasal daripada perubahan spesies haiwan yang paling maju, iaitu monyet.

Menurut Darwin, melalui evolusi sebagai manusia purba peradaban manusia didakwa belum sempurna. Hidup secara rakus di alam haiwan dan terikut-ikut cara hidup sebelum itu.

Bagaimanapun Islam mempunyai pandangan yang berbeza. Keturunan manusia bermula daripada Nabi Adam A.S. dan bukannya melalui proses evolusi makhluk-makhluk lain.

Adam dicipta daripada tanah liat seperti firman Allah dalam surah al-Hijr, ayat 26 yang bermaksud: "Kami menjadikan manusia itu daripada tanah liat hitam kering, daripada tanah hitam yang berubah baunya."


GUA Niah di Sarawak pernah diduduki manusia purba kira-kira 40,000 tahun lalu.



Penciptaan Adam adalah sempurna dan menjadi bapa kepada seluruh manusia dari mula hingga hari kiamat. Adam dilantik sebagai khalifah di muka bumi dan nabi pertama yang mampu menguruskan kehidupan serta menimba ilmu pengetahuan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Malaysia Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Mokhtar Saidin berkata, penemuan spesies manusia di Siberia itu membuktikan masih banyak spesies manusia yang belum diketahui.

Beliau mendedahkan, persepsi berhubung kewujudan manusia pernah menjadi perdebatan apabila para pengkaji menemui fosil saiz otak sebesar buah anggur di Liang Bua, Kepulauan Flores, Indonesia.

Kajian yang dilakukan oleh Profesor R. P. Soeyono dari Pusat Penelitian Arkeologi Indonesia pada tahun 2003 itu menemui spesies manusia hobit yang mempunyai ketinggian kurang daripada satu meter dan berusia sekitar 18,000 tahun.

"Pada satu seminar yang mengumpulkan ramai saintis dan pakar arkeologi kira-kira dua tahun lalu mengesahkan ia adalah manusia. Resolusi akhir pada seminar itu menyimpulkan berlakunya kecacatan terhadap spesies berkenaan yang menyumbang kepada perbezaan ciri fizikalnya," katanya.

Beliau berpendapat, dari sudut saintifik sekiranya analisis terhadap penemuan rangka di Siberia itu tepat, para pengkaji memerlukan lebih banyak data untuk mengisi, memperbaiki dan memecahkan kumpulan-kumpulan manusia.

"Jika analisis DNA berkenaan adalah spesies yang betul, saintis perlu melakukan lebih banyak kajian untuk mengetahui kewujudan manusia pada hari ini," ujarnya.

Kosmo! 9 April 2010

Memulihkan artifak laut mati

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..