Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Rabu, Februari 03, 2010

Calon-calon yang dicari majikan

Oleh - Norden Mohamed

Di sebalik cerita-cerita pembuangan dan pemberhentian pekerja, skim pemberhentian sukarela iaitu voluntary separation scheme mahupun penutupan syarikat berikutan dengan masalah prestasi masing-masing, masih terdapat banyak lagi syarikat-syarikat yang tercari-cari pekerja baru.

Iklan-iklan di dada akhbar dan laman-laman web mencari pekerjaan masih melihat permintaan daripada pelbagai syarikat yang berkehendakkan pekerja baru berikutan dengan perkembangan bisnes masing-masing.

Ditambah pula, banyak juga perniagaan yang pada waktu dahulu tidak memerlukan pekerja yang ramai, kini sudah mula memerlukan warga kerja untuk menyudahkan pesanan dan tempahan para pelanggan yang kian bertambah. Kerja-kerja berupa industri belakang rumah pun sudah menggunakan mesin bagi pengeluarannya.

Kerana itu, perniagaan membuat rempeyek, bepang, kerepek dan jamu pun kini memerlukan tenaga kerja yang bukan sedikit. Dan perniagaan-perniagaan ini sudah tidak mengambil para pekerjanya melalui temuduga jalan-masuk atau walk-in interview semata-mata. Malah, syarikat-syarikat ini benar-benar menjalankan temuduga.

Calon-calon yang berkelulusan ijazah pun sudah diambil bekerja di syarikat-syarikat sebegini. Oleh kerana jurusan pembelajaran pada hari ini sudah begitu khusus, agaknya calon yang berkelulusan Ijazah Kulineri yang mengambil mata pelajaran Teknologi Kerepek sebagai kajian majornya ~ dialah yang akan terpilih!

Bagi syarikat-syarikat yang ingin menganjurkan temuduga, ia bukannya proses yang mudah. Calon-calon yang memohon pun semakin bertambah. Bagi setengah-setengah syarikat yang tersohor, berkarung-karung surat permohonan akan diterimanya setiap kali tawaran diwartakan. Itu tidak termasuk e-mel-e-mel peribadi atau permohonan langsung dari syarikat-syarikat mencari pekerja siber.

Sesuatu tarikh perlu diperuntukkan bagi sesuatu temuduga bagi sesebuah jawatan itu. Jika calon yang dicari adalah dari kalangan eksekutif, mereka yang terlibat sebagai penemuduga, tentulah para pegawai dari kalangan pengurusan syarikat. Sekurang-kurangnya pegawai berjawatan pengurus yang akan menjadi penemuduga. Panel temuduga sekurang-kurangnya tiga orang. Bayangkan masa (man-hour) yang diperuntukkan untuk mendapatkan calon.

Siapakah yang dipilih untuk menghadiri temuduga? Andai kata, syarikat berkenaan mengiklankannya, para pemohonnya boleh menjangkau melebihi 100 orang. Biasanya, dalam 100 pemohon, terdapat 90 calon berkelulusan untuk sesuatu jawatan itu.

Mengapa? Kerana kita sudah punyai berbelas universiti awam dan berpuluh-puluh universiti swasta. Justeru itu, kita mempunyai begitu ramai calon-calon yang berkelulusan. Mereka yang mempunyai CGPA atau markah gred purata kumulatif melebihi 3.00 pun semakin ramai.

Namun, daripada 90 calon yang berkelulusan itu, mungkin tidak sampai 10 orang yang berkelayakan untuk menjawat jawatan tersebut. Mereka yang berkelulusan sememangnya ramai. Tetapi yang berkelayakan itu amat sedikit. Ini yang menjadikan pencarian calon-calon yang berkelayakan semakin sukar.

Siapakah pula calon-calon yang berkelayakan? Atau, calon-calon yang bagaimanakah yang akan dicari majikan? Mereka tidak semestinya memperoleh tiga Anugerah Dekan untuk enam semester pengajian kerana mereka yang berkelulusan begitu sudah ramai. Yang dicari adalah calon-calon yang menunjukkan ciri-ciri kepimpinan dan yang ringan tulang.

Tiada ertinya menyertakan berpuluh-puluh sijil penyertaan kursus, bengkel, operasi khidmat siswa mahupun PLKN. Yang dicari adalah calon-calon yang pernah menjadi Pengerusi, Bendahari, Setiausaha ataupun setakat AJK Projek Khidmat Siswa, Persatuan Gamelan, Kelab Ragbi, Persatuan Catur ataupun Ahli Majlis Perwakilan Pelajar.

Ini adalah kerana mereka yang berjawatan dalam persatuan ada pengalaman menjadi ketua. Ketua dicari-cari oleh majikan dalam temuduga kerana mereka yang ada pengalaman memimpin, biasa mengambil keputusan, berbincang, bermesyuarat dan mengatur orang untuk melaksanakan sesebuah projek.

Mereka yang ringan tulang juga dicari-cari. Lagi banyak pengalaman sebagai jurujual, promoter di pasaraya, penjual burger, atau penghantar surat sebelum memohon jawatan, lagilah bagus kerana syarikat-syarikat pada hari ini berkehendakkan calon yang rajin dan berpengalaman bekerja sebagai orang bawahan. Orang yang biasa bekerja di peringkat bawahan mudah memahami dan mengambil hati para pekerja operasi. Pekerja operasi adalah golongan yang teramai di dalam sesebuah syarikat. Mereka seperti tentera bagi sesebuah syarikat. Mereka umpama semut yang membawa sebutir nasi untuk memenuhi pinggan syarikat.

Rupa paras yang cantik atau wajah yang tampan sudah tidak menjadi keutamaan. Ini adalah kerana, kecantikan dan ketampanan pada hari ini sudah begitu mudah diperoleh. Dengan pakaian yang sesuai, dandanan yang berpadanan, sesiapa sahaja boleh make-over menjadi hensem dan cun. Justeru itu ia hanyalah faktor yang membantu.

Namun x-factor calon-calon pilihan, tetap mereka yang berpengalaman memimpin dan yang ringan tulang. Mereka yang berani membuat keputusan dan lasak bergelumang dalam realiti kehidupan menjanjikan sinar buat syarikat. Mereka tidak akan terperuk di dalam zon selesa. Apatah lagi mempunyai herd mentality.

Sinar Harian. 3 Feb. 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..