Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Rabu, April 28, 2010

Cerita bola; Amaran kebangkitan Kelantan


SENTUHAN Nurshahrul terus berbisa apabila berjaya meledakkan dua gol ketika Kelantan membenam KL Plus 3-0 di Stadium MBPJ kelmarin.


TIGA kemenangan berturut-turut dengan sembilan gol boleh dianggap satu amaran daripada Kelantan dalam saingan Liga Super musim ini selepas agak tenggelam diawal musim.

Malam kelmarin giliran KL Plus menjadi mangsa selepas dijinakkan 3-0 melalui dua jaringan penggempur kebangsaan Nurshahrul Idlan Talaha dan jaringan menarik pemain berpengalaman, Hairuddin Omar.

Apa yang menarik untuk diperkatakan selain perlawanan yang menyaksikan Kelantan menguasai perlawanan itu adalah kebangkitan yang ditunjukkan bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli yang dilihat sudah mula menemui sentuhan.

Namanya turut tersenarai dalam catatan pengendali Kelantan, B. Sathinathan sebagai antara pemain yang perlu diberikan pujian ekoran dua aksi yang cukup memberangsangkan walaupun masih belum menyumbang gol untuk pasukan.

Menurut Sathia, Akmal Rizal sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan gandingannya bersama Norshahrul sudah menampakkan keserasian dan memberikan kesan yang cukup baik dalam misi Kelantan memburu kejuaraan.

"Saya memberinya kepercayaan dan nampaknya dia tidak mensia-siakan kepercayaan yang saya berikan itu. Dia semakin meningkat dan saya masih percaya dia mampu melakukan sesuatu untuk pasukan.

"Dia sentiasa ingin bermain bola sepak sebab itu saya lihat bagaimana dia keluar dari krisis keyakinan dan mencari kekuatan mental itu cukup luar biasa hebatnya," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, beliau menjangkakan satu perlawanan yang sengit berdepan KL Plus selepas Kelantan kehilangan dua tonggak, Shakir Saari dan S. Chanturu selain ketua pasukan, Indra Purta Mahayuddin yang tidak cergas sepenuhnya akibat demam.

Jelasnya, selepas Norshahrul berjaya memecah benteng KL Plus, beliau bertambah yakin dengan persembahan anak-anak buahnya yang bermain seperti yang telah dirancang.

"Inilah yang saya katakan, sebuah pasukan yang baik tidak hanya bergantung kepada seorang pemain dan para pemain yang ada sering bersaing untuk merebut tempat kerana peluang itu sentiasa terbuka.

"Sebagai pemain, jika anda turun bermain dengan jiwa untuk mendapatkan kejayaan, percayalah siapapun lawan anda, pasti pasukan anda akan menang dan saya sentiasa mahu melihat pemain saya beraksi dengan jiwa seperti itu," ujarnya.

Sathia mengharapkan pemain-pemainnya mampu mengekalkan prestasi yang ada untuk menempuh perlawanan yang akan datang selain sentiasa bekerja keras untuk menjamin kemenangan pasukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..