SEJAK tiga tahun kebelakangan ini, Kelantan mula mempamerkan kegarangan mereka dalam aksi liga bola sepak tempatan.
Bermula selepas tampuk Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diambil alih oleh Tan Sri Annuar Musa, para peminat setia Kelantan mula membanjiri gelanggang keramat - Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.
Tahun 2009 menjadi musim terbaik Kelantan apabila mereka berjaya menjejakkan kaki ke pentas akhir pada kempen Piala Malaysia dan Piala FA.
Bagaimanapun, Kelantan terpaksa akur apabila sekadar muncul naib juara pada kedua-dua kempen tersebut.
Kegagalan dalam dua final itu menyebabkan KAFA mengambil keputusan untuk memperkuatkan pasukan dengan menyenaraikan beberapa nama besar bagi musim 2010.
Pada musim 2009, Kelantan hanya mempertaruhkan tiga pemain bersatus bintang iaitu Indra Putra Mahayuddin, Norfarhan Muhammad dan Khalid Jamlus.
Namun bagi musim 2010, Kelantan berjaya 'mengikat' beberapa pemain ternama, antaranya Syed Adney Syed Hussien (UPB-MyTeam), Norshahrul Idlan Talaha (UPB-MyTeam), Shakir Shaari (UPB-MyTeam), S. Chanturu (Pulau Pinang), S. Subramaniam (Perak), Akmal Rizal Rakhli (KM Naza), Azizi Che Ros (Perlis) dan Hairuddin Omar (T-Team).
Pada aksi pembukaan Liga Super menentang Terengganu, 9 Januari lalu, Kelantan hanya mampu membawa pulang satu mata ke Kota Bharu, namun rata-rata peminat masih berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan skuad kendalian B. Sathianathan itu.
Empat hari kemudian, skuad The Red Warriors itu mula menampilkan aura sebagai gergasi Pantai Timur apabila membenam Johor 3-0 di laman sendiri.
Bertandang ke Kangar menentang Perlis pada 16 Januari, memperlihatkan barisan pemain Kelantan seperti bermasalah untuk menembusi benteng skuad Singa Utara itu sehingga menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Jika dinilai daripada status pemain yang ada, jelas Perlis tidak mampu menandingi Kelantan kerana ketika itu, semua barisan bintang mereka disenaraikan untuk menggempur kubu Perlis.
Bagaimanapun, hasrat tersebut tidak kesampaian apabila jentera pemain Perlis mampu beraksi dengan baik sehingga berjaya mematahkan setiap serangan Kelantan.
Sejak itu, peminat mula mempertikaikan keupayaan anak-anak buah Sathianathan terutama pemain yang berstatus bintang.
Kemuncaknya, detik duka sang Kijang hadir pada pertembungan menentang Kedah di Kota Bharu pada 19 Januari lalu apabila mereka dimalukan skuad Kenari itu gara-gara kecuaian penjaga gol, Syed Adney. (baca ini)
Syed Adney yang berdepan tekanan yang cukup tinggi daripada peminat selepas kesilapan tersebut mengharapkan jentera serangan menghasilkan gol bagi menutup kecuaiannya itu.
Bagaimanapun, jentera depan Kelantan seperti kehilangan punca apabila mereka terus terkial-kial mencari gerak yang mudah dipatahkan oleh barisan pertahanan Kedah.
Kekalahan 0-1 itu telah merentap semangat para penyokong Kelantan yang mula mendesak supaya rombakan segera dilakukan KAFA termasuk menyingkirkan Sathianathan.
Namun kemenangan 4-1 ke atas Johor FC di Kota Bharu pada 23 Januari lalu di tambah pula dengan kehadiran semula penjaga gol berpengalaman, Halim Napi sedikit sebanyak mengubat duka. (Baca ini)
Kebanyakan peminat berharap ia sebagai batu loncatan untuk Kelantan memulakan langkah lebih bergaya.
Namun hasrat mereka tersentap lagi apabila anak-anak buah sekadar mampu seri tanpa jaringan dengan Perak di Ipoh pada 26 Januari lalu.
Biarpun menang 3-1 ke atas Pulau Pinang empat hari kemudian, peminat Kelantan seperti sudah hilang ghairah apabila melihatkan bintang-bintang mereka seakan-akan mula hilang seri.
Peminat fanatik Kelantan kini juga sudah mula mempersoalkan kemampuan pemain-pemain bintang mereka.
Jika alasan musim baru bermula, nampaknya ia sekadar alasan seperti 'melepaskan batuk di tangga' dan peminat juga sudah mula muak untuk mendengarnya.
Bagi mereka, pemain-pemain yang dibawa masuk musim ini bukan 'budak hingusan' dalam dunia profesional, sebaliknya sudah masak dengan bola sepak tempatan.
Turun sekadar dengan cagaran nama sebagai pemain yang pernah menyarung jersi kebangsaan belum cukup untuk membuatkan penonton 'mengalunkan' nama mereka.
Kemenangan sememangnya diharapkan peminat Kelantan tetapi kekalahan yang diiringi dengan permainan di bawah prestasi sebenar cukup mengguris perasaan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..