EMPAT orang di dunia ini yang dibenarkan menyentuh khazanah Laut Mati berusia 2,000 tahun kini berusaha keras untuk menghidupkan semula artifak itu.
Senjata mereka adalah: set pengepit khas, berus-berus kecil dan kesabaran yang tiada penghujungnya.
"Saya tidak menganggap ia sebagai kerja, tetapi ibarat restu," ujar Tanya Treiger sambil memegang sebuah instrumen seperti pisau bedah.
Treiger adalah salah seorang daripada wanita tersebut, yang kesemuanya adalah imigran bekas Kesatuan Soviet yang bertanggungjawab terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan skrol terkenal yang ditemui separuh abad lalu di tebing Laut Mati.
Tugas mereka adalah bagi memastikan manuskrip yang dipamerkan kelak berada dalam keadaan yang baik untuk memulihkan puluhan ribu fragmen yang bukan sahaja rosak seiring peredaran masa tetapi ekoran usaha pemuliharaan lampau.
Sehari demi sehari sejak 18 tahun lalu, mereka berusaha keras untuk menanggalkan pita pelekat yang digunakan untuk memadankan fragmen-fragmen itu.
"Pelekat Scotch terkenal pada masa dulu dan ia kelihatan sebagai penyelesaian yang bagus," ujar Pnino Shor, yang mengetuai Jabatan Rawatan Artifak dan Pemuliharaan di bahagian penguatkuasaan barangan antik Israel.
"Tetapi pada tahun 1960-an pelekat itu menjadi jelas dan merosakkan," katanya. Lebihan pelekat itu menyerap ke dalam kulit kertas dan menyebabkan kerosakan."
Kesemua yang terlibat bekerja di dalam sebuah makmal Pertubuhan Aktuari Antarabangsa (IAA) yang kecil di Muzium Baitulmuqaddis dekat Israel, akan memerlukan 18 tahun lagi untuk menyelesaikan tugasan untuk pemuliharaan fragmen-fragmen itu, kata Shor.
"Apa yang mereka lakukan ketika ini hanyalah rawatan pertama," katanya sambil menunjukkan kepada salah seorang wanita yang sedang menyeka sejumlah kecil pelarut organik untuk menanggalkan lebihan pelekat yang telah meresap ke dalam kulit kertas itu.
"Sekiranya kami bertuah, ia akan pulih semula dan tulisannya akan menjadi lebih jelas."
Setelah fragmen-fragmen itu dirawat, mereka akan diletakkan di atas kadbod bebas asid dan disimpan di dalam kotak-kotak yang dijaga rapi.
Bagi yang sudah siap untuk pameran, ia diletakkan di dalam saku jala gentian yang tertutup antara pinggan-pinggan polikarbonat.
Fragmen-fragmen itu dianggap salah satu penemuan arkeologi paling penting kerana mengandungi kira-kira 900 dokumen berkenaan agama-agama besar dan signifikan sejarah.
Ditemui antara tahun 1947 dan 1956 di Gua Qurman di atas Laut Mati, skrol kulit kertas itu ditulis dalam bahasa Ibrani, Aramia dan Greece dan yang paling tua adalah Old Testament (Perjanjian Lama).
Dokumen tertua bertarikh abad ketiga sebelum masihi dan yang terbaru ialah kira-kira 70 tahun selepas masihi, ketika pasukan Rom memusnahkan kuil Yahudi kedua di Baitulmuqaddis.
"Kesemuanya ditulis ketika saat genting dalam sejarah ketamadunan Barat semasa Yahudi dan Kristian berkembang menjadi agama yang kita kenali hari ini," kata Shor.
Artifak-artifak itu ditempatkan di Muzium Israel, manakala yang terbesar dipamerkan di Kuil Kitab yang diterangi cahaya remang secara pusingan untuk meminimumkan kerosakan akibat terdedah.
Apabila tidak dipamerkan, bahan itu disimpan di tempat gelap, bilik simpanan yang suhunya dikawal seakan-akan suasana di dalam Gua Qurman, di mana kelembapan, suhu dan kegelapan mengekalkan skrol-skrol itu sehingga dua milenium.
"Sekiranya kami mampu mengekalkan mereka sehingga 2,000 tahun lagi kami telah menjalankan tugas kami dengan baik," kata Shor.
Penjaga skrol-skrol tersebut sangat berhati-hati apabila meminjamkan sejumlah artifak itu untuk pameran di luar Israel.
Mereka sangat prihatin supaya perhatian khusus diambil kira ketika pembungkusan dan penghantaran, dan mahukan suasana seperti di dalam Kuil Kitab.
Namun salah satu isu lain yang timbul berkaitan skrol itu apabila Jordan membuat tuntuan hak milik ke atasnya.
Jordan mengatakan Israel merebut skrol-skrol itu dari sebuah muzium di Baitulmuqaddis timur pada tahun 1967 ketika mereka mencerobohi sebahagian daripada bandar itu dan di Tebing Barat, yang kemudian berada di bawah jajahan Jordan.
Israel mentertawakan dakwaan itu sambil menegaskan bahawa skrol-skrol itu adalah sebahagian daripada agama Yahudi, kebudayaan dan warisan sejarahnya, serta tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Jordan.
Akhirnya, mereka yang berminat untuk melihat artifak-artifak itu dapat berbuat demikian walaupun hanya dari rumah, pejabat mahupun pusat Internet.
Dalam masa terdekat ini, IAA akan melancarkan projek khas untuk meletakkan kesemua koleksi di dalam bank data Internet.
Dengan menggunakan infra merah, sebagaimana kebiasaan dalam fotografi, pakar-pakar berkata banyak inskripsi yang menghitam selama bertahun-tahun akan dapat dilihat semula dengan mata kasar.
Projek itu turut membabitkan penggunaan pengimejan spektral dan beberapa kaedah berteknologi tinggi lain untuk meningkatkan pemuliharaan.
Ia juga akan menentukan jumlah sebenar fragmen yang ada - Shor menganggarkan jumlahnya sekitar 50,000 dan 100,000.
Setelah kesemua koleksi masuk ke dalam talian, diharap dalam masa lima tahun, semua orang akan dapat mencuba untuk memadankan fragmen-fragmen individu itu dengan yang lain, tanpa merosakkan nilai artifak, kata Shor.
"Ini akan menjadi teka-teki paling menarik."
Kosmo! 24 Feb. 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..