IMAGINASI kita mungkin membayangkan raja Mesir purbakala itu sempurna fizikal, gagah dan memiliki wajah yang tampan.
Namun, gambaran itu sangat berbeza pada salah seorang firaun paling terkenal, Tutankhamun yang lebih dikenali dengan gelaran Raja Tut.
Itulah yang berjaya dibongkar oleh sekumpulan saintis baru-baru ini.
Berasaskan kajian asid deoksiribonukleik (DNA) dan imbasan tomografi berkomputer (CT) selama dua tahun, nyatalah imej remaja lelaki yang menawan pada artifak Raja Tut jauh berbeza daripada jasad sebenar yang tersemadi.
Raja Tut terpaksa berdiri menggunakan tongkat kerana kakinya bengkok manakala bibirnya didapati sumbing.
Penemuan 130 batang tongkat di tempat persemadiannya membuktikan masalah kakinya itu.
Kaki bengkok
Bahkan cerita dia mati dibunuh kerana terdapat lubang pada tengkoraknya adalah tidak tepat. Dia sebenarnya mati akibat penyakit malaria yang telah melumpuhkan sistem imunisasi tubuhnya.
Raja Tut mula popular selepas mumia berusia 3,300 tahun itu ditemui pada tahun 1922 dengan limpahan barang kemas dan artifak, termasuk topeng emas di sisinya.
Raja Tut menjadi firaun ketika berusia 10 tahun pada 1333 Sebelum Masihi dan hanya sempat memerintah selama sembilan tahun sebelum meninggal dunia pada usia 19 tahun.
Lebih memeranjatkan, saintis mendapati sebahagian penyakit yang dihidapi Raja Tut merupakan penyakit keturunan.
Bapanya, Akhenaten sumbing bibir manakala datuknya, Amenhotep III mempunyai kaki yang bengkok dan menghidap penyakit pemberhentian darah ke kaki iaitu Kohler.
Penyakit genetik lain seperti skoliosis dan tulang belakang melengkung turut ditemui pada mumia-mumia lain daripada Dinasti ke-18 firaun.
Kalau sudah namanya penyakit genetik, tidak mustahil jika keturunan firaun terdahulu juga kaya penyakit seperti mereka.
Ujian DNA ke atas ratusan mumia itu juga mendapati beberapa mumia mempunyai persamaan penyakit iaitu diserang parasit malaria.
Sejarahwan perubatan dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat, Dr. Howard Markel berkata, sesetengah penyakit Raja Tut termasuk penyakit tulang terjadi akibat perkahwinan sumbang mahram.
"Kanak-kanak yang dilahirkan hasil perkahwinan sesama adik-beradik cenderung untuk menghadapi masalah genetik," lapor beliau dalam Journal of the American Medical Association (JAMA).
Sebenarnya, Raja Tut merupakan anak kepada firaun Akhenaten dengan adik kandung Akhenaten sendiri yang belum dikenal pasti. Wanita itu bukan isteri utama Akhenaten iaitu Permaisuri Nefertiti.
Sebelum ini juga terdapat spekulasi bahawa bapa Raja Tut ialah firaun Smenkhkare yang kurang dikenali.
Smenkhkare merupakan firaun yang memaksa seluruh rakyat Mesir menyembah tuhan matahari, Aten.
"Terdapat banyak kekeliruan tentang pewarisan takhta firaun dan mengetahui Tutankhamun merupakan pewaris langsung kini telah mengubah segalanya," kata Salina Ikram, seorang pakar mumia Universiti Amerika di Kaherah.
Mirip perempuan
Kajian terbaru itu turut mendedahkan bahawa dua janin yang bersemadi bersama Raja Tut mungkin merupakan anak-anaknya.
Ahli arkeologi Mesir, Zahi Hawass yang terlibat dalam kajian itu mengakui dia telah melakukan kesilapan selama ini apabila menentang ujian DNA dilakukan ke atas mumia-mumia.
"Saya tidak pernah terfikir yang kita akan memperoleh penemuan yang begitu hebat seperti ini," katanya.
Bagaimanapun, kajian tersebut menyangkal kenyataan sebelum ini yang mengatakan keluarga firaun mengalami penyakit pelik yang menyebabkannya berfizikal mirip perempuan.
Teori itu timbul daripada gaya artistik yang digambarkan pada patung-patung firaun yang mempunyai dada dan punggung yang menonjol serta wajah yang membujur.
"Nampaknya, Tutankhamun atau Akhenaten tidak mempunyai bentuk fizikal yang signifikan dengan teori itu," lapor saintis.
Projek DNA
Kini, pakar-pakar sedang berusaha untuk mengenal pasti siapakah adik Akhenaten yang merupakan ibu Raja Tut serta siapa pula isteri Raja Tut.
Projek DNA itu juga mahu mengenal pasti yang mana satukah mumia yang bernama Nefertiti, seorang permaisuri yang masyhur dengan kecantikannya.
"Belum terbongkar sepenuhnya, banyak lagi kajian yang perlu dilakukan," kata Hawass.
Pada masa ini, satu pameran firaun, Tutankhamun and the Golden Age of Pharaohs sedang berlangsung di San Francisco, California, Amerika Syarikat.
Di situ, mumia Raja Tut, mumia yang dipercayai ibunya dan neneknya, Permaisuri Tiye turut dipamerkan.
Dr. Howard Markel, sejarahwan perubatan dari Universiti Michigan berkata: "Walaupun penemuan itu akan mencacatkan kisah kehebatan Raja Tut selama ini, ia tidak akan mengubah gambaran orang ramai terhadapnya.
"Dia jauh lebih terkenal kerana apa yang dimiliki dan yang dipakainya berbanding apa yang pernah dilakukan sepanjang hayatnya."
Makam Raja Tut yang terletak di Lembah Raja-Raja di Luxor itu sendiri merupakan satu tarikan yang kuat di Mesir.
Ekonomi Mesir amat bergantung kepada perlancongan. Ia menyumbang kira-kira AS$10 bilion (RM35 bilion) kepada pendapatan tahunan negara itu.
Kosmo! 21 Feb. 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..