Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Rabu, Februari 24, 2010

Hairan sikap Nik Aziz persoal kewibawaan mahkamah

ARKIB UTUSAN MALAYSIA : 23/02/2010

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertikaikan perbicaraan Penasihat Parti Keadilan Nasional (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai usaha bersepadu untuk mengkucar-kacirkan sistem pengasingan kuasa di negara ini.

Malah sokongan padu diterima oleh Anwar daripada rakan pakatan pembangkang yang lain termasuk membenarkan campur tangan pihak luar jelas memperlihatkan kesungguhan mereka untuk mencapai matlamat tersebut.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Abdul Majid Mohd. Isa berkata, yang jelasnya rentetan daripada perbicaraan Anwar itu pihak pembangkang semakin tidak menghormati sistem demokrasi yang selama ini menjadi tunggak pemerintahan negara..

''Saya sendiri hairan melihat sikap Nik Abdul Aziz yang sanggup mempersoalkan kewibawaan badan kehakiman hanya disebabkan Anwar. Adakah Nik Abdul Aziz tidak sedar yang Anwar sedang menghadapi tuduhan liwat?

''Berbanding dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang beliau dilihat lebih konsisten, berprinsip dan kenyataannya lebih berwibawa. Dalam isu ini pendirian beliau cukup jelas bahawa pihak luar tidak boleh campur tangan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas perbezaan pendapat antara Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi berhubung perbicaraan tuduhan liwat melibatkan Anwar.

Abdul Hadi sebelum ini menyelar tindakan 50 anggota Parlimen Australia untuk campur tangan dalam kes liwat melibatkan Anwar dan mahu ia diselesaikan mengikut sistem kehakiman negara ini tanpa dipengaruhi oleh mana-mana anasir luar.

Terbaru, Nik Abdul Aziz pula mendakwa proses perbicaraan yang dilalui oleh Anwar adalah sebagai usaha untuk menghalang Ketua Pembangkang itu menjadi Perdana Menteri.

Abdul Majid yang juga Profesor Kanan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata, Abdul Hadi mampu memikirkan isu tersebut secara lebih rasional walaupun beliau merupakan seorang pemimpin parti pembangkang.

''Alhamdulillah masih terdapat pemimpin seperti Abdul Hadi yang meletakkan kepentingan agama dan negara lebih daripada politik,'' katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, sebagai pembuat undang-undang Nik Abdul Aziz sepatutnya lebih faham mengenai perjalanan sistem kehakiman di negara ini.

''Biarlah Anwar melalui perbicaraan yang adil tanpa perlu diganggu.

''Sekiranya Anwar tidak bersalah sudah tentu hakim akan membebaskannya tetapi jika sebaliknya Nik Abdul Aziz perlu menghadapi realiti. Jangan disebabkan Anwar, Nik Abdul Aziz hilang pertimbangan,'' katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Kharuddin M. Zain pula berkata, secara peribadi beliau amat kecewa dengan Pas khususnya Nik Abdul Aziz kerana meletakkan politik lebih daripada segala-galanya..

''Dalam isu perbicaraan Anwar ini nampaknya survival politik adalah segala-galanya bagi Pas. Alhamdulillah Abdul Hadi tidak sebegitu. Namun pengaruh yang ada pada Nik Abdul Aziz tidak boleh diketepikan,'' katanya lagi.

Sementara itu beliau turut berkongsi pendapat dengan Abdul Majid bahawa kesungguhan Anwar melambat-lambatkan perbicaraan membuktikan terdapat usaha untuk menggagalkan sistem demokrasi.

''Anwar kini dalam proses membentuk persepsi masyarakat bahawa sistem kehakiman negara kita tidak boleh dipercayai. Beliau memerlukan masa untuk menerangkan perkara ini kepada rakyat.

''Atas sebab itu Anwar cuba untuk membuat penangguhan supaya beliau berpeluang memberi penerangan bahawa kes liwatnya merupakan satu konspirasi jahat pihak kerajaan walaupun tidak ada bukti,'' tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..