Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Sabtu, Februari 06, 2010

Blog lapor kes Anwar kena bertanggungjawab, beretika


KUALA LUMPUR - Penulis blog perlu bertanggungjawab dan beretika dalam melaporkan perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengelakkan tidak boleh diulas kerana masih dibicarakan atau mempengaruhi keputusan.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, mereka mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat, di samping masih tertakluk pada undang-undang berkaitan komunikasi di negara ini.

“Dengan trend yang ada sekarang ini, saya percaya penulis-penulis blog pun akan terasa mereka perlu bertanggungjawab terhadap masyarakat dan tidak bebas seperti aliran air semata-mata, mencurahkan ke sana dan melimpah ke sini.

“Mereka sendiri akhirnya akan ditembusi undang-undang. Mahu tidak mahu, undang-undang akan mencekau mereka pada tahap yang tertentu. Sebelum itu berlaku, seperti yang berlaku kepada penuntut di Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan), haruslah mereka memperbaiki pendirian mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku ‘Melakar Jejak - Biografi Mohd Yusof Noor’ di sini, semalam.

Katanya, Jabatan Peguam Negara sentiasa memantau laporan yang disiarkan menerusi blog-blog tertentu mengenai cara kes berkenaan dihuraikan, 'sama ada secara am atau menghina dan menyalahi hukuman tidak boleh diulas'.

Sementara itu, Rais berkata, kementerian itu tidak menghalang atau menyekat Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk melaporkan perbicaraan kes berkenaan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh mahkamah.

Kes perbicaraan Anwar, 63, yang juga Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008 bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu lepas. - Bernama
 
Sinar Harian 6 Feb. 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..