Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Khamis, Februari 04, 2010

Saya hanya mahu tunai amanah Tun Razak: Ku Li

KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah, semalam, menjelaskan kehadiran beliau memberi ceramah di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Bharu atas jemputan 52 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Kelantan dan Terengganu, bukannya di pentas Kerajaan Negeri pimpinan Pas.

Malah, beliau menegaskan kedatangan beliau itu untuk menunaikan amanah Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua yang mahu hasil minyak diagih-agihkan kepada negeri-negeri di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak sekiranya ada minyak di pesisiran pantai negeri berkenaan.

“Saya bukan hadir perhimpunan di Kelantan itu kerana saya hendak sokong Pas... Tidak... Saya ahli UMNO.

“Kebetulan saya bekas Pengerusi Petronas yang asal dari Kelantan. Kalau rakyat di sana hendak saya jelaskan mengenai Petronas dan Akta Kemajuan Petroleum 1974, apakah saya tidak patut pergi? Saya kena bagi penerangan. Saya bukan fikir soal Kelantan saja, tapi juga soal seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Menurutnya, pada zaman pemerintahannya, Tun Abdul Razak sememangnya mahukan hasil minyak diagih-agihkan kepada negeri-negeri di Pantai Timur untuk membangunkan Kelantan, Terengganu dan Pahang selain di Sabah dan Sarawak.

Katanya, formula pemberian lima peratus daripada hasil minyak kepada negeri-negeri berkaitan, adalah hasil rundingan dengan Ketua Menteri Sarawak, Abdul Rahman Yaakob yang pada masa itu, mendakwa kerajaan pusat tidak ada hak ke atas minyak di Sarawak.

“Tun Razak seronok sangat kerana Pantai Timur boleh dapat faedah walaupun tidak nampak tanda ada minyak, tapi tahu sekurang-kurangnya di offshore.

“Sebab itu kita buat Akta Kemajuan Petroleum itu, menyatakan bahawa kalau jumpa minyak di offshore di mana-mana negeri, maka negeri itu akan mendapat lima peratus sekiranya negeri-negeri itu meletak hak seluruh hasil minyak kepada Petronas. Jadi, jelas, tidak ada apa yang hendak dipertikaikan,” katanya.

Tengku Razaleigh berharap Petronas menjalankan tugas dan tanggungjawab berdasarkan yang termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974.

“Saya bukan paksa Petronas atau Kerajaan Pusat bayar kepada Kerajaan Negeri (Kelantan) tapi ini mereka (Petronas) sendirilah kena ikut perjanjian itu.

“Dia (Petronas) menerima amanah ini dan tidak boleh hendak berdolak dalik dan kena menasihat kerajaan bahawa inilah yang sepatutnya dilakukan. Kalau tidak, apa ertinya ada perjanjian antara negeri dan apa ertinya persekutuan,” katanya.

Menjawab dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan bercanggah apa yang dikatakannya 10 tahun lepas mengenai isu sama, katanya: “Saya tidak pernah kata itu, takkan saya nak bercakap bercanggah dengan apa yang saya buat. Saya tidak nyanyuk lagi.”

Ahli Parlimen Gua Musang itu dilaporkan berucap pada malam ceramah Perdana Royalti Minyak di Stadium Mohamad IV, Khamis lalu. - Bernama

Sinar Harian 4 Feb. 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..