Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Rabu, Februari 10, 2010

UMNO tidak perlu terburu-buru terima cadangan Pas - Khir

SHAH ALAM 9 Feb. - Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo meminta pemimpin UMNO supaya tidak terburu-buru untuk mengadakan kerjasama dengan Pas sama ada melibatkan soal agama mahu pun politik. 

Beliau berkata, cadangan kerjasama yang ditimbulkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dikhuatiri hanya satu langkah parti itu untuk menangani imejnya yang tercalar akibat kemelut dalam pakatan pembangkang.

Katanya, malah umum mengetahui Pas ketika ini dilihat semakin tersepit berikutan sokongan orang Melayu terhadap parti itu semakin jauh di samping masalah dalaman parti itu sendiri.

''Keadaan ini tidak termasuk isu yang berlaku di Pulau Pinang apabila orang Melayu sendiri membuat bantahan kerana tidak berpuas hati terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang didakwa menindas kaum Melayu di negeri itu.

''Situasi-situasi sedemikian sebenarnya telah banyak menekan Pas jadi mereka mula cari cara untuk tangani kerosakan atau 'damage control' melalui cadangan kerjasama dengan UMNO," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, UMNO pernah menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan Pas mengenai kepentingan umat Islam selepas idea mengenainya dicetuskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri tidak lama dahulu.

Bagaimanapun cadangan itu bukan sahaja ditolak bulat-bulat oleh Nik Abdul Aziz malah melabelkan siapa yang menyokong kerjasama tersebut sebagai boneka UMNO.

Sementara itu Mohamad Khir bersetuju dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini yang mahukan Pas supaya lebih tegas dalam pendirian mereka sebelum membuat tawaran untuk berbincang dan bekerjasama dengan UMNO.

Mohamad Khir berkata, Pas sebelum ini pernah berulang kali berdolak-dalik dalam usaha mengadakan kerjasama dengan UMNO termasuk pendirian parti itu yang tidak pernah konsisten khususnya melibatkan kepentingan orang Melayu dan Islam. 

Utusan Malaysia 10 Feb. 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..