BACHOK - Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin menyifatkan pemimpin Kerajaan Kelantan di bawah pimpinan Pas gagal menjana pendapatan negeri dengan memanfaatkan sumber alam yang terdapat di negeri ini sejak 20 tahun memerintah.
Menurutnya, ini dapat dibuktikan dengan hasil kutipan cukai tahun lalu apabila Kelantan hanya berjaya mengumpul RM34 juta sedangkan negeri ini mempunyai kekayaan sumber asli.
“Kelantan mempunyai sumber asli yang tersendiri seperti emas, timah, minyak serta gas selain rakyat berkebolehan, jadi jika aktiviti ekonomi dijalankan sebaiknya, mustahil hasil yang diperolehi hanya RM34 juta setahun,“ katanya kepada media selepas menyampaikan bayaran elaun sara hidup nelayan secara tunai kepada 519 nelayan di daerah ini, semalam.
Turut hadir pada program di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bachok, Tangok itu ialah Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kelantan Ab Llah Rashid.
Awang Adek berkata, berbanding Perlis sebuah negeri kecil dan tidak mempunyai banyak sumber seperti Kelantan, kutipan cukainya melebihi RM107 juta setahun.
“Ini menunjukkan pemimpin negeri Perlis bijak mentadbir dan menjana ekonomi, walaupun ia tidak banyak sumber kekayaan,“ katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, lebih memburukkan keadaan apabila banyak kilang yang beroperasi di Pengkalan Chepa ditutup menyebabkan ramai rakyat Kelantan hilang pekerjaan.
”Saya berani memberi jaminan jika rakyat memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk memerintah Kelantan pada pilihan raya akan datang, pelbagai kegiatan ekonomi dapat dilakukan,“ katanya.
Menurutnya, antaranya menjadikan Pengkalan Petah, sebagai bandar baru petrokimia dan gas yang akan menghasilkan pendapatan melebihi RM1 bilion setahun.
“Kita mahu Kelantan menghasilkan pendapatan seperti Terengganu yang menyumbang hasil lebih RM1 bilion setahun, kegagalan Pas membangunkan projek itu disebabkan mereka gagal bekerjasama dengan kerajaan pusat yang merupakan satu-satunya kerajaan yang mampu melaksanakan projek sebesar itu,“ katanya.
Sinar Harian 22 Feb. 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..