''SAYA tak tau nak kata apa sebab pendirian dia, bertukar macam cuaca, ada masa dia setuju, ada masa tak setuju. Saya nak tunggu pendirian yang tegas oleh Pas, jadi bila dia bersikap dolak-dalik ni susah nak cerita.''
Itulah jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mencadangkan Pas dan UMNO duduk semeja berbincang dan menamatkan perseteruan lebih 50 tahun antara kedua-dua parti dokongan orang Melayu itu.
Sememangnya, kalaulah kenyataan Nik Abdul Aziz seperti cuaca maka akan huru-hara penduduk di kawasan yang terlibat, masakan tidak, kalau hari ini panas, esok hujan dan lusa pula mendung.
Tetapi kenyataan politik tidak boleh dilayan seperti cuaca, ia sebaliknya perlu konsisten dan padu. Kalau hari ini kata mahu, esok kata tidak, lusa kata nak fikir dulu, maka tiada siapa pun boleh disalahkan kalau orang sifatkan Nik Abdul Aziz tiada pendirian.
Oleh itu, kenyataan terbaru Nik Abdul Aziz berhubung rundingan dengan UMNO boleh ditafsirkan satu kenyataan politik atau tidak keterlaluan kalau disifatkan sebagai usaha mengalih perhatian berikutan pelbagai kemelut yang melanda pembangkang sekarang.
Mungkin atas nama perpaduan Islam dan orang Melayu, pemimpin UMNO termasuk Najib sentiasa bersikap terbuka untuk berunding dengan Pas. Tetapi dalam masa yang sama, apa yang harus difikirkan, apakah kali ini Pas benar-benar serius?
Kita tidak harus melupakan pada Oktober tahun lalu, Pas dilanda konflik hanya semata-mata apabila ada beberapa pemimpin itu mencadangkan rundingan dengan UMNO.
Cubalah ingat apa yang dilakukan oleh Nik Abdul Aziz, pada 24 Oktober Mursyidul Am Pas itu berkata, beliau tetap dengan keputusannya meminta pimpinan parti itu mengadakan muktamar agung khas bagi menentukan kedudukan beberapa pemimpin yang menimbulkan masalah dalaman kepada parti berhubung isu kerajaan perpaduan.
Akibatnya beberapa pemimpin utama Pas dipandang serong oleh ahli sendiri dan dianggap mempunyai agenda politik peribadi, biarpun mereka ikhlas menyuarakannya demi kepentingan umat Islam.
Tindakan Nik Abdul Aziz tersebut hanyalah secebis daripada beberapa kenyataan Nik Abdul Aziz sebelum itu yang menentang sebarang usaha untuk mengadakan rundingan dengan UMNO.
Tambahan pula Menteri Besar Kelantan itu sentiasa menganggap Pas jauh lebih baik daripada UMNO. Sehinggakan kalau hendak bermesyuarat dengan DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR), boleh tetapi kalau dengan UMNO tidak boleh.
Oleh itu kenapa baru sekarang Nik Abdul Aziz hendak bercakap soal rundingan dengan UMNO dan kenapa pula mahu menyeret sama DAP dan PKR dalam rundingan tersebut?
Begitu juga apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menegaskan parti itu sedia bekerjasama dan berbincang dengan UMNO dalam setiap perkara.
Tetapi kita harus faham dalam beberapa isu politik yang tercetus sebelum ini terutamanya melibatkan kerjasama dengan UMNO, Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi seolah-olah tidak mempunyai kata putus.
Apabila perkara itu dibawa dalam perbincangan, mesyuarat atau muktamar, seolah-olah ada arus yang begitu kuat menghalang sebarang usaha untuk berunding dengan UMNO.
Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi boleh berkata dan mencadangkan apa sahaja tetapi akhirnya keputusan akan dibuat oleh parti. Kaji sahaja isu penggunaan kalimah Allah, pada mulanya, kedua-dua pemimpin itu dengan tegas mengatakan ia tidak boleh digunakan oleh bukan Islam tetapi apabila mesyuarat diadakan, keputusan dan pendirian mereka berubah!
Dalam soal ini, Pas berbeza dengan UMNO, jika di dalam UMNO apabila pemimpin sudah sepakat maka ahli akan mengikut sahaja tetapi dalam Pas, sentimen politik mengatasi segala-galanya.
UMNO dilihat seolah-olah 'musuh kamu yang paling nyata' sehingga kalau ada pemimpin Pas yang mencadangkan berbaik-baik dengan UMNO, mereka akan dianggap sebagai 'boneka UMNO'.
Ketika diminta mengulas perkara ini, salah seorang pemimpin Pas yang suatu ketika dahulu amat bersetuju jika kedua-dua parti berunding berkata, beliau tidak menaruh apa-apa harapan.
''Anggaplah sahaja buat masa ini, ia hanyalah satu kenyataan politik sehinggalah parti membuat keputusan,'' katanya ketika dihubungi.
Pemimpin tersebut tentu lebih memahami sentimen di dalam partinya, apatah lagi kalaulah Pas terutamanya Nik Abdul Aziz hendak berunding, hentikanlah semua tohmahan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Mana mungkin, kedua-dua belah pihak berunding kalau dalam masa yang sama, satu pihak mengecam pihak yang lain. Adalah lebih baik, kalau Pas benar-benar ikhlas dan tegas kali ini untuk berunding maka mereka juga perlu menunjukkan sikap persahabatan dengan UMNO.
Mereka perlu memberi penjelasan terlebih dahulu kepada ahli-ahli kenapa rundingan itu hendak dijalankan. UMNO sudah pasti tidak mahu pisang berbuah dua kali, apabila setelah menyatakan kesediaan berunding, Pas pula bercakaran sesama sendiri yang akhirnya rundingan itu entah ke mana.
Lebih buruk lagi, demi untuk menjaga hubungan politiknya dengan anggota pembangkang yang lain, maka kesudahannya UMNO pula dipersalahkan dan kononnya berada dalam keadaan lemah sehingga mahu berunding dengan Pas.
Bukankah ini yang berlaku dahulu apabila Abdul Hadi mencadangkan kerajaan perpaduan dahulu? Oleh itu adalah lebih baik jika semua pemimpin UMNO mencontohi sikap Najib yang tidak tergopoh-gapah untuk menyatakan persetujuan kecuali melihat Pas benar-benar tegas dalam soal tersebut.
Sama ada hendak diakui atau tidak, UMNO ingin berunding dengan Pas adalah demi kebaikan umat Islam dan orang Melayu, tidak lebih daripada itu. UMNO tidak memerlukan suntikan kekuatan daripada Pas bagi memperolehi kejayaan di dalam pilihan raya.
Rakyat lebih tahu menilai siapa yang paling layak antara kedua-dua parti itu dalam memperjuangkan nasib orang Melayu dan umat Islam.
Oleh itu rundingan dengan Pas adalah atas dasar keikhlasan UMNO untuk melihat dua parti terbesar orang Melayu sekurang-kurangnya sekata dalam isu berkaitan kaum tersebut dan agama Islam.
Berdasarkan kepada keadaan itu, adalah wajar jika kenyataan Nik Abdul Aziz dianggap 'cuaca yang tidak menentu ciptaan Pas', mungkin paling sesuai disifatkan 'hujan panas' yang menimbulkan keresahan kerana tidak pasti apakah selepas itu akan panas atau hujan.
Apa pun, kali ini seperti juga isu kerajaan perpaduan, ia terserah kepada Pas untuk menentukan langkah seterusnya.
UMNO tidak perlu berbuat apa-apa kerana sejarah sudah membuktikan bahawa di dalam Pas terlalu banyak 'otak' yang akhirnya mewujudkan cuaca politik ciptaan Pas dan bak kata Perdana Menteri, ''Saya tak tau nak kata apa''.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..