Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Khamis, Februari 04, 2010

Disaran sertai pembangkang

KUALA LUMPUR 3 Feb. - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah disaran meninggalkan UMNO dan menyertai parti pembangkang khususnya Pas.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, langkah itu akan membolehkan Tengku Razaleigh untuk mengecam kerajaan dengan bebas.

"Tinggalkan UMNO dan masuk Pas kalau dia benar-benar mahu bersekongkol dengan pembangkang dan teringin untuk menjadi Perdana Menteri," tegasnya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tengku Razaleigh bahawa UMNO boleh mengambil sebarang tindakan ke atasnya berikutan kenyataannya yang bertentangan dengan Kerajaan Pusat berhubung bayaran royalti minyak kepada Kelantan.

Tambah Syed Ali, Tengku Razaleigh sebenarnya berasa begitu seronok diberikan peluang berceramah di hadapan puluhan ribu pendengar.

"Beliau sudah lama tenggelam dan tidak berpeluang bercakap di hadapan orang ramai," katanya.

Jelasnya, Tengku Razaleigh telah lupa bahawa beliau masih merupakan pemimpin UMNO dan terikat dengan peraturan dan tatatertib parti.

Menurut Syed Ali, Tengku Razaleigh telah memilih jalan bertentangan dengan aspirasi parti, justeru adalah sebaik-baiknya beliau segera meninggalkan UMNO tanpa menunggu tindakan parti.

"Tengku Razaleigh telah memilih jalan singkat supaya dia dilihat masih popular dengan berada di pentas pembangkang," katanya.

Syed Ali tidak menolak kemungkinan Ahli Parlimen Gua Musang itu mengambil peluang dengan 'ketiadaan' Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meraih populariti.

Beliau turut menjelaskan, sememangnya Tengku Razaleigh dan Anwar mempunyai impian yang sama untuk menjadi Perdana Menteri.

"Mungkin menyedari impian Anwar semakin hancur berikutan kes liwat, maka inilah peluang Tengku Razaleigh untuk menjadi juara," ujarnya.

Syed Ali kecewa kerana perbuatan seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana UMNO khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengamalkan dasar 'tutup pintu' kepada pemimpin parti untuk menyuarakan pendapat.

"Pada saya, Perdana Menteri sudah tentu bersedia bersemuka dengan Tengku Razaleigh jika beliau ikhlas untuk berbincang isu royalti minyak di Kelantan," katanya.

Menurut beliau, Tengku Razaleigh sebagai pemimpin veteran sepatutnya lebih mengetahui bahawa kepentingan parti lebih utama daripada agenda peribadi.

Utusan Malaysia 4 Feb. 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..