Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Rabu, Februari 10, 2010

Mahkamah Dunia

Februari 2010 menyaksikan beberapa perkara yang menjadi topik perbualan pada tahun-tahun lalu kini menjadi lebih hebat. Ada beberapa perkara yang mendapat perhatian umum sama ada di kedai-kedai kopi, pejabat-pejabat mahupun di mana jua. Antaranya kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim - Saiful Bukhari Azlan, perebutan tampuk pemerintahan Menteri Besar Perak di antara Datuk Seri Zambry Abd. Kadir - Datuk Seri ir. Nizar, pertelagahan UMNO - PAS, perselisihan faham kerjasama politik dan sebagainya. Dalam hal ini ada kes-kes yang dihadapkan ke mahkamah untuk diadili. Ya, diadili di mahkamah dunia.

Topik terbaru adalah mengenai Zamby - Nizar yang baru diputuskan oleh mahkamah pada 9 Februari 2010. Mahkamah telah memutuskan Zambry adalah MB Perak yang sah. Perkara ini diputuskan mengikut undang-undang. Namun sebagai rakyat biasa aku tidak arif dalam perundangan sebegini. Siapa yang lebih berwibawa dalam hal negara demokrasi? Rakyat atau pihak istana? Walau apapun keputusan dan telahan kita terhadap hal ini, ia tidak akan membawa apa-apa makna kerana mahkamah dunia telah memutuskan.

Anwar - Saiful pula satu lagi isu yang hangat diperkatakan pada tahun lalu. Pada tahun ini kes ini mula dibicarakan di mahkamah. Kedua-dua pihak  masing-masing mendakwa "akulah yang betul". Pihak pendakwa dan pembela saling mengemukakan hujah masing-masing. Ada juga yang sanggup bersumpah dengan nama Allah untuk menunjukkan dialah yang betul dan tidak bersalah. Hujah yang terbaik akan menghasilkan keputusan yang terbaik. Namun siapa yang sebetul-betulnya betul kita tidak tahu. Mahkamah dunia  akan menentukan siapa yang bersalah dan tidak mengikut perkiraan undang-undang dunia. Keputusan ini nanti kita tidak pasti adakah itu adalah keputusan yang tepat walaupun dikemukan bukti yang terhebat. Namun yang pasti, mahkamah akhirat adalah yang sebetul-betulnya. Bersediakah mereka yang terbabit dalam kes ini diadili di mahkamah akhirat?

Pertelagahan politik di Malaysia tidak pernah reda dan surut. Jika surut pun ia hanya seketika. Masing-masing mendakwa merekalah yang terbaik untuk rakyat. Apa yang pasti masing-masing ingin berkuasa untuk mengejar cita-cita tersendiri. Cita-cita terhadap kemakmuran, cita-cita terhadap kebajikan rakyat dan pelbagai lagi. Apa yang pasti kita mengharapkan cita-cita khalifah ini adalah untuk menjaga amanah daripada Allah. Mahkamah dunia telah menetapkan siapa yang mampu untuk meyakinkan rakyat dialah yang mampu memerintah. Di akhirat nanti mahkamah Allah akan mengadili pula bagaimana keyakinan itu diperoleh; adakah dengan rasuah, adakah dengan hati yang ikhlas atau dengan apa cara sekalipun.

Antara mahkamah dunia dan mahkamah akhirat sudah tentulah kita mengharapkan mahkamah akhirat. Semoga mahkamah dunia ini membawa input yang baik untuk kita di mahkamah akhirat kelak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..