Oleh - Faizal Riduan
Kenyataan terbaru Sister in Islam (SIS) oleh Pengerusi Eksekutif barunya Dr Hamidah Merican membantah hukuman sebat syariah terhadap tiga pesalah wanita mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) tidaklah menarik sangat. SIS yang lebih sinonim dengan Zainah Anwar lebih dua dasawarsa lalu telah membuat banyak kenyataan jauh lebih panas. Tidak perlu membaca jauh pandangan hidup Zainah Anwar selama lebih 20 tahun dalam SIS kerana fikiran singkatnya dapat dibaca sependek paragraf pertama rencana Ending the Patriarchy dalam majalah Time edisi 10 Mac 2003.
Ini kerana hukuman sebat Syariah yang dikenakan selama ini lebih kepada ‘acah-acah’ untuk menguji sistem perundangan Syariah secara beransur tahap. Malah tidak ralat untuk dikatakan hukuman tersebut sebenarnya bersifat separuh masak kerana hukum sebat dalam Islam telah jelas dalam kesalahan hudud seperti jenayah zina bagi yang bujang sebanyak 100 kali sebatan (Surah Al-Nur ayat 2), jenayah qazaf sebanyak 80 kali sebatan (surah Al-Nur ayat 4) dan jenayah peminum arak sebanyak 40 kali sebatan menurut sabda Rasulullah (riwayat Abu Said al-Khudri dan Ali). Tetapi nisbah yang dikenakan terhadap pesalah Syariah setakat ini tidak sampai 10 peratus dari kadar sebenar.
Saya lebih tertarik untuk mengulas kenyataan akhbar SIS terbaru ini apabila melihat muka baru ketuanya, Dr Hamidah Merican buat pertama kali. Mati-mati saya menyangka Datuk Ambiga Sreenevasan membuat penampilan semula dalam persalinan bertudung sebagaimana fesyen yang melanda artis wanita tanah air. Saling tak tumpah bagai kembar seiras dan pelanduk dua serupa!
Ada dua sahaja perkara boleh dipuji Dr Hamidah Merican berbanding Zainah Anwar, iaitu beliau bertudung lengkap mengikut syariat mengalahkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin. Keduanya, latar belakang pendidikan beliau sebagai pemegang ijazah kedoktoran. Namun dengan kesarjanaan dalam Pengurusan Berasaskan Nilai, apalah yang boleh diharapkan sangat dengan interpretasi Islam beliau jika dibandingkan dengan mentornya Profesor Madya Dr Amina Wadud, sarjana Bahasa Arab dan Pengajian Islam yang juga pensyarah Pengajian Islam di Universiti Commonwealth Virginia dan pernah berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Hakikatnya pembawaan nama ‘Islam’ dalam akronim SIS adalah amat kontradiksi. Ia menyekat kemasukan pejuang wanita bukan Islam yang jauh lebih berkarisma seperti Ambiga, Irene Fernandez dan Sofia Lim Siu Ching. Jika mereka yang membuat kenyataan anti sebat Syariah, jujur saya masih boleh menerima kerana perbezaan agama dan pandangan hidup.
Bukan sahaja mereka, malah sebahagian daripada kita umat Islam apabila menyebut hukuman sebat dengan rotan secara refleks mengundang trauma, terutama ketika melihat rakaman video tidak sampai hati untuk dihabiskan apatah lagi mendengar cerita khalayak menyaksikan dengan mata kepala sendiri. Masakan tidak, kesan pendarahan dan kecederaan tersebut akan meninggalkan parut kepada pesalah dan akan hilang selepas tempoh dua tahun. Itulah persepsi awalnya.
Oleh yang demikian, tidaklah menghairankan apabila resolusi Majlis Peguam pada 2007 menegaskan hukuman sebat secara sivil adalah kejam, amat menyeksa dan tidak berperikemanusiaan. Malah isu kempen demonstrasi hukuman rotan secara sivil oleh pihak berkuasa turut dibantah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) melalui pesuruhjayanya Profesor Dr Chiam Heng Keng yang mendakwa ia memberikan kesan psikologi dan kecederaan emosi mungkin tidak akan timbul jika dibuat dibuat secara syariah yang lebih tertib dan menyantuni pesalah.
Sebenarnya rasa trauma itu tidak lebih daripada polemik ketidakfahaman tentang pelaksanaan undang-undang berkaitan sebat yang dilaksanakan mengikut undang-undang Islam. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan hukuman sebat Syariah ini sering dipukulratakan dengan hukuman sebat sivil sedangkan dari segi konsep dan pelaksanaan keduanya adalah berbeza.
Hukuman sebat di Mahkamah Sivil yang terpakai dalam Kanun Prosedur Jenayah 1998 sebenarnya bukanlah berakar umbi dari sejarah Islam. Sebaliknya ia diperkenalkan British seawal pembentukan Negeri-Negeri Selat. Mahkamah Syariah telah dipinggirkan dengan merendahkan kedudukannya menjadi mahkamah terbawah di dalam hierarki sistem keadilan semasa pentadbiran British memperkenalkan Courts Ordinance tahun 1948. Maka adalah tidak adil kesan ketidakadilan sebat sivil dikesampingkan dengan kaedah sebat syariah yang jarak bezanya lebih jauh dari timur dan barat.
Saat ini barulah saya menginsafi lirik lagu Raihan, ‘Iman Mutiara’ - “Iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertakwa. Ia tak dapat dijual beli. Ia tiada di tepian pantai”. Benarlah iman tidak juga semestinya datang dari NGO Islam dan pihak berkuasa Islam. Iman sebenarnya boleh berada di mana-mana. Malah ia mungkin datang dari dalam gereja seperti keyakinan yang dizahirkan tokoh besar Kristian Eropah, Dr Rowan Williams, Uskup Besar Canterbury England yang menyarankan bahagian-bahagian Undang-Undang Syariah Islam sebagai penyelesaian kesatuan sosial di United Kingdom dalam wawancaranya dengan Radio 4 BBC pada 7 Februari 2008.
Bagi SIS dan Majlis Peguam yang cakap berlapik atas prinsip ketinggian undang-undang diperuntukkan dalam Perlembagaan dengan Seksyen 289, Akta Kanun Jenayah, kini perlu mencari alasan lain yang lebih berfakta kerana kenyataan Y.A Abdul Hamid Mohammad, Hakim Mahkamah Rayuan dalam satu penghakiman kes Kamariah Ali dan lain-lain lawan Kerajaan Negeri Kelantan dan satu lagi (2002) 3 MLJ 657 menyebut, “Kedua, Perlembagaan itu sendiri memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri (bagi negeri-negeri) untuk mengkanunkan Hukum Syarak dalam perkara-perkara disebut dalam Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan (‘Senarai II’)”.
Sudah sampai masanya kerajaan, pihak berkuasa agama dan universiti menjalankan kajian dan penyelidikan serta tidak tercicir dalam retorik kertas kerja seperti dalam Seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah tahun lalu. Sebaliknya perlu mengambil inisiatif proaktif sebagaimana satu kumpulan penyelidik di Institut Perubatan Novosibirsk, Rusia yang diketuai pakar biologi Dr Sergei Speransky menemui kaedah baru (baca: lama) merawat ketagihan alkohol dan kegundahan melampau melalui sebatan sebagaimana pernah dikuatkuasakan di sekolah Britain pada kurun sebelumnya dan mengesyorkan sesi terapi 30 sesi membabitkan 60 kali sebatan ke atas punggung seseorang berbadan sederhana. Menurutnya berdasarkan saintifik, sebatan di punggung mampu merembeskan sejenis bahan kimia semula jadi badan manusia, endorpin yang bertindak sebagai antibodi terhadap kesan ketagihan arah, dadah dan rokok.
Jadi di manakah logiknya kenyataan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), Datuk Syed Abas Syed Ali yang juga ADUN Balung di Sabah yang turut mempertikaikan hukuman 6 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pahang dengan alasan logik analogi peminum arak sama dengan penghisap rokok yang sukar meninggalkan tabiat ketagihan. Jika kita memerlukan sampel uji kaji sebagai testimonial maka calon terbaik, saya syorkan ialah Dr Hamidah Merican, Zainah Anwar atau Datuk Syed Abas Syed Ali, itu pun jika kesalahan menghina mahkamah ditambah dengan hukuman rotan dan tidak cukup sekadar peruntukan denda dan penjara. Seperti kata orang sekarang, “Belum cuba belum tahu”.
Sinar Harian 22 Feb. 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..