Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Sabtu, Februari 06, 2010

Jangan pandang ringan: PM

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat tidak seharusnya memandang ringan isu berkaitan agama kerana ia boleh mencetuskan kontroversi antara agama dan kaum.

Menurutnya, beberapa kejadian sebelum ini dilihat sebagai cubaan pihak tertentu untuk menggugat kestabilan dan hubungan kaum di negara ini.

“Misalnya, isu kalimah Allah sejak awal tahun ini, benar-benar menguji sejauh mana kebijaksanaan kita untuk menanganinya.

“(Ini termasuk) insiden cubaan membakar beberapa gereja dan surau, dan yang terbaru insiden kepala khinzir diletakkan di pekarangan dua masjid,” katanya pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama ulama dan umara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Najib berkata, lipatan sejarah lampau banyak membuktikan bahawa peperangan dan pertentangan bermula daripada perkara kecil.

“Sedarilah bahawa api yang besar lagi memusnahkan bermula daripada bara-bara kecil yang gagal dipadamkan,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak perlu memahami implikasi negatif yang boleh dicetuskan daripada perkara bersifat kontroversi.

Katanya, sifat tidak mahu berganjak semata-mata untuk mempertahankan ego hanya akan mengakibatkan semua pihak menanggung rugi dan perlu kembali kepada kaedah rundingan dan berdialog antara pihak yang terlibat dalam setiap isu berkaitan.

“Yakinlah perpaduan 1Ummah akan dicapai melalui sifat persefahaman dan saling menghormati,” katanya.

Najib berkata, lawatan diplomatik sememangnya amat penting bagi membantu menyelesaikan konflik di negara lain.

“Dalam usaha memerangi keganasan, isu minoriti penduduk Islam di negara bukan Islam misalnya, keadaan di selatan Thailand dan Filipina adalah komitmen kerajaan untuk membantu,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan hubungan diplomatik antara negara luar secara erat amat penting dan melalui kerjasama, kedua-dua negara boleh bertukar-tukar fikiran dan mekanisme berhubung usaha memulihkan imej umat Islam seperti fenomena Islam phobia yang perlu ditangani. - Bernama

Sinar Harian 6 Feb. 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..