Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Sabtu, Oktober 16, 2010

Cerita Bola: Red Giants tumbang, Red Warriors terbang

Fuhh.. Entah daripada mana hendak ku mulakan. Segalanya bagaikan mimpi. Mimpi yang penuh makna. Segalanya bersarang dalam kepala; yang mana dulu hendak dilafazkan. Rasanya elok kita mulakan daripada sambutan penonton. Kehadiran penonton yang memenuhi setiap inci ruang stadium bagaikan kita melupakan seketika kerakusan KAFA "memeras" penyokong.


Sebelum perlawanan bermula keadaan di perkarangan stadium telahpun sesak dengan orang ramai yang ingin mendapatkan tiket. Dipendekan cerita; tiket habis sebelum pukul 11:00 tengah hari. Dan aku hanya menjadi penonton di luar stadium. Untuk tidak ketinggalan merasai kenikmatan dan kemeriahan, aku turut ke stadium pada malamnya. Aku menyaksikan melalui skrin layar besar di sebuah lot kedai makan di medan selera berdekatan stadium. Tidak perlu ulas panjang kerana aku yakin seluruh rakyat Malaysia yang menjadi peminat bola sepak tempatan turut menyaksikan perlawanan malam tadi melalui Astro Arena 801.


Ketika perlawaan sedang berlangsung; Medan Selera, Stadium Sultan Muhammad IV
Suasana sebelah pagi. Penyokong yang memenuhi perkarangan stadium untuk mendapatkan tiket.
Rasanya tidaklah perlu untuk ulasan panjang lebar mengenai perlawanan ini; pasti ramai yang boleh memberi gambaran ketika menonton sama ada di stadium mahupun di Astro Arena. Cuma apa yang hebatnya kemeriahan ini adalah sambutan penonton. Penyokong berdiri teguh di belakang pemain. Lebih 25 ribu orang memenuhi setiap inci ruang stadium. Kebanjiran penonton Kelantan ini jelas menggugat keyakinan Selangor untuk mencipta kejutan. Jika sebelum ini K.Devan penuh yakin mengatakan Selangor tetap memiliki kelebihan walaupun beraksi di laman Kelantan. Namun segalanya bagai tidak menjadi bagi skuad Red Giant untuk menumbangkan Red Warriors.

Dari Sinar Harian (Edisi Kelantan): 
Kelantan layak ke separuh akhir 

KOTA BHARU – Naib juara Piala Malaysia musim lalu, Kelantan berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir setelah menyingkirkan juara sebanyak 32 kali, Selangor dengan kemenangan 3-0 dalam perlawanan suku akhir kedua TM Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu malam tadi. 
Dengan kemenangan malam tadi, Kelantan mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir menerusi kiraan agregat 3-0 setelah perlawanan pertama di Shah Alam pada Selasa lalu terikat seri tanpa jaringan. 
Beraksi di hadapan hampir [lebih] 25,000 penyokong setia Kelantan, skuad kendalian B Sathianathan jelas menggunakan kelebihan beraksi di halaman sendiri di samping sokongan ‘pemain ke-12’ iaitu penyokong jelas menjadi tonggak kemenangan Kelantan malam tadi 
Seawal minit keempat, Selangor mula mengacah ke pintu gol Kelantan. Pemain tengah, Shafiq Rahim yang berjaya merebut bola daripada salah seorang pertahanan Kelantan, sempat melorongkan bola kepada Ketua Pasukan, Mohd Amri Yahyah namun rembatan terus ke dakapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat. 
Selang seminit kemudian, giliran Kelantan pula menguji pintu gol Selangor menerusi rembatan Akmal Rizal Ahmad Rakhli namun sedikit tersasar beberapa inci di sebelah kanan pintu gol. 
Stadium Sultan Muhammed Ke-IV bergema dengan sorakan penyokong setia Kelantan apabila Mohd Norfarhan Muhammad menjaringkan gol pertama Kelantan pada m-13. Hantaran lintang Akmal Rizal dari sebelah kanan pintu gol Selangor ditampan kemas Mohd Norfarhan yang terus merembat kencang ke penjuru sebelah kiri menewaskan Mohd Hamsani Ahmad. 
 Farhan menyudahkan hantaran Akmal.
Pada m-15, benteng pertahanan pasukan pelawat sekali lagi kelam-kabut apabila hantaran lintang merbahaya Hairuddin Omar terpaksa disepak keluar Mohd Nasriq Baharom. Manakala sepakan percuma Muhd Badhri Radzi seminit selepas itu sempat ditumbuk keluar Mohd Hamsani dalam usahanya mempertahankan pintu golnya daripada dibolosi. 
Bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal kembali menggamatkan suasana di stadium pada m-24 apabila berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan cantik setelah menerima umpanan rendah Ketua Pasukan, Indra Putra Mahayuddin. 
Giliran Akmal mencatat nama sebagai penjaring setelah menyudahkan hantaran Indra
Selang seminit selepas itu, Kelantan terlepas menambahkan jaringan apabila rembatan Indra Putra ditepis Mohd Hamsani yang menyaksikan bola terkena tiang gol selepas itu. 
Selangor turut berpeluang merapatkan jurang pada m-35 apabila hantaran lintang D Surendran ditampan Shafiq Rahim namun rembatan beliau tersasar melangkaui pintu gol Kelantan. 
Awal babak kedua, pasukan pelawat dilihat kembali menguasai corak permainan menerusi rangkaian bahagian tengah diketuai Mohd Amri sementara aksi pemain Kelantan sedikit tenggelam seakan berpuas hati dengan defisit dua gol itu. 
Namun, penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi wajar diberi pujian kerana menyelamat sekurang-kurangnya lima percubaan merbahaya pemain Selangor pada separuh masa kedua. 
Tertekan untuk mendapatkan gol, jurulatih Selangor, K E Devan memasukkan serentak dua pemain penyerang iaitu Farderin Kadir dan Rudie Ramli bagi memperkuatkan jentera serangan mereka. 
Pada m-59, penyerang Selangor, R Surendran menggigit jari apabila rembatan jarak dekatnya ditepis Khairul Fahmi manakala selang dua minit kemudian, percubaan pemain gantian, Farderin Kadir juga turut diselamatkan Khairul Fahmi. 
Kem pasukan Selangor sekali lagi hampa apabila rembatan pemain tengah, Mohd Hardi Jaafar pada m-61 dinafikan oleh Khairul Fahmi sekali lagi. 
Dua percubaan pasukan Selangor masing-masing pada m-69 dan 78 menerusi Mohd Amri dan R Surendran juga mudah dipatahkan oleh Khairul Fahmi. 
Pada ketika pasukan pelawat rancak melancarkan serangan bertali arus, pemain tengah Kelantan, Muhd Badhri akhirnya menghukum kelalaian benteng pertahanan Selangor menerusi gol ketiga pada m-79 yang akhirnya membunuh semangat juang pemain Selangor. 
Segalanya terhasil apabila Akmal Rizal bijak melakukan hantaran jauh dari sebelah kanan padang dan Muhd Badhri yang tanpa dikawal mudah melepasi kawalan Khairul Anuar Baharum dan merembat kencang menewaskan Mohd Hamsani buat kali ketiga. 
Akmal sekali lagi menjadi pencetus gol
Kelebihan tiga gol sehingga penghujung perlawanan menyaksikan percaturan taktikal B Sathianathan menukar corak permainan secara bertahan dengan memasukkan Khairan Eroza Razali pada ketika K E Devan kian tertekan angkara aksi longlai Gergasi Merah Kuning yang mudah dimalukan di Kota Bharu. 
Percubaan pemain gantian, Mohd Nizab Ayub pada minit-minit akhir perlawanan yang jauh tersasar menutup tirai aksi cemerlang Kelantan malam tadi mengesahkan tempat ke separuh akhir manakala Selangor sekali lagi kempunan untuk merasai nikmat menjulang piala paling berprestij di negara ini setelah ditunjukkan jalan keluar di peringkat suku akhir buat kali kedua berturut-turut. 
Sementara itu, penyerang Kelantan, Akmal Rizal turut diumumkan sebagai pemain terbaik dalam perlawanan malam tadi.
Setiap posisi memainkan peranan yang berkesan. Bermula dari Apex hinggalah kepada gandingan Akmal - Hai-O, semuanya bermain dengan cemerlang. Namun yang menjadi tumpuan adalah Akmal Rizal. Jika sebelum ini Idlan cemerlang menjadi watak utama ketika menentang KL Plus, tetapi malam  tadi adalah milik Akmal. Berbeza sebelum ini, Akmal dilihat pencetus kepada tiga gol terbabit. Hantarannya, kawalan bolanya, dan pergerakkannya cukup mengerunkan lawan. Begitu juga dengan Hairuddin Omar (Hai-O). Walaupun tidak menyumbang gol tetapi Hai-O bermain dengan baik.


Dengan keputusan ini maka berakhirlah riwayat Red Giants pada saingan Piala Malaysia. Red Warriors pula terbang tinggi untuk mencongak percaturan ketika menentang Terengganu atau Kedah. Pada perlawanan terdahulu Kedah berjaya mengikat Terengganu di laman Sang Penyu dengan keputusan 2-2. Di atas kertas nampaknya memihak kepada Sang Kenari.

Ayuh Kelantan! Semarakan semangat perjuangan untuk menjulang piala kebanggaan kita. Mudah-mudahan Final tahun ini sekali lagi terisi oleh kita.

Ini juga..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..